Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, June 1, 2011

Agrotrail tarikan baru Langkawi


Rusa yang diperlihara di Taman Teknologi Agro MARDI ini begitu manja bersama penjaganya, Pembantu Penyelidik MARDI, Abdul Kadir Din.


LANGKAWI bukan lagi nama asing bagi rata-rata rakyat negara ini terutama mereka yang minat melancong.

Gugusan pulau yang masyhur dengan legenda Mahsuri, dikatakan telah bebas daripada sumpahan selama tujuh keturunan itu kini sedang berkembang maju.

Ditambah dengan status kawasan bebas cukai, menjadikan Langkawi sebagai tarikan utama bagi mereka yang meminati aktiviti membeli-belah.

Namun, Tourism Malaysia Kedah dan Ekomegah Holidays dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kini menawarkan pakej baru yang menarik untuk pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Pakej yang dikenali sebagai Langkawi Agotrail tersebut mengambil masa selama empat jam bagi memberi peluang kepada pelancong merasai dan mengenali produk-produk pelancongan agro yang terdapat di sekitar Langkawi.

Menurut Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik, Abdul Rahman Shaari berkata pakej tersebut berkonsepkan Do it and Experience, para pelancong berpeluang untuk melawat ke tempat-tempat pertanian dan perusahaan kecil penduduk tempatan.

"Mereka (pelancong) akan turut serta menjalankan aktiviti-aktiviti semasa lawatan ke kawasan penghasilan produk agro tersebut.

"Kita juga telah meneliti tempat-tempat yang menarik untuk dilawati dan pihak kami juga mendapat kerjasama penuh daripada pihak pengusaha," ujarnya.

Beliau ditemui ketika Program Lawatan Media bersama FAMA ke Langkawi, baru-baru ini.

Antara tempat-tempat menarik yang dimasukan dalam Langkawi Agrotrail adalah Buffalo Park di Kampung Nyior Chabang dan Taman Teknologi Agro Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Seterusnya tempat membuat jeli kelapa di Kampung Lawer, tempat memproses manisan nira kelapa pandan di Kampung Bukit Hantu dan pusat memproses snek ikan bilis di Kuala Teriang, Langkawi.

Perjalanan Langkawi Agrotrail tersebut bermula dari Kompleks Kota Tani, Langkawi dan mereka (pelancong) akan dibawa tempat-tempat memproses ikan bilis di Kuala Teriang terlebih dahulu.

Kemudian ke Kampung Lawer untuk merasai keenakan jeli kelapa muda kemudian terus melawat Buffalo Park di Kampung Nyior Chabang sambil melihat cara membuat keju mozarella daripada susu kerbau.

Seterusnya, pelancong dibawa melawat Taman Teknologi Agro MARDI untuk menikmati buah-buahan tempatan yang ditanam di sana.

Destinasi berikutnya berakhir di Kampung Bukit Hantu di mana pelancong akan dibawa melihat tempat memproses manisan nira kelapa pandan.

Sebelum mereka dibawa pulang ke Kompleks Kota Tani, pelancong akan dibawa menyusuri jalan-jalan kampung untuk menikmati keunikan dan keindahan kampung sekitar Langkawi.

Jelas Abdul Rahman lagi, setakat ini mereka akan bermula dengan kawasan tersebut dahulu, namun dari masa ke semasa pihak Tourism Malaysia akan mengenal pasti tempat-tempat yang boleh dilawati dan akan ditambah ke dalam senarai Langkawi Agrotrail.

Tambah beliau lagi, objektif sebenar pakej tersebut diwujudkan adalah untuk mempromosi produk-produk agro yang terdapat di Langkawi.

Di samping itu, pakej tersebut bukan sahaja dibuka untuk pelancong asing malah ia juga dibuka kepada pelancong tempatan yang datang ke Langkawi.

Pakej tersebut dikendalikan oleh syarikat Ekomegah Holidays yang mana pakej tersebut dikenakan bayaran hanya RM90 bagi dewasa dan RM80 untuk kanak-kanak.

Pelancaran pakej Langkawi Agrotrail tersebut adalah sempena pembukaan Kompleks Kota Tani yang di wujudkan oleh FAMA baru-baru ini untuk kemudahan orang ramai membeli serta menjual produk agro mereka.

Kompleks Kota Tani ini juga bukan sahaja terdapat kegiatan Pasar tani namun ia turut menawarkan pelbagai produk keluaran FAMA dan keluaran tempatan.

Justeru, dengan pelancaran pakej Langkawi Agrotrail yang bermula dan berakhir di kompleks tersebut diharapkan mampu menjadi salah satu destinasi produk pelancongan utama di Langkawi.

Bagi yang berminat untuk merasai pengalaman menyusuri kawasan kampung dan laluan agro tersebut ketika mengunjungi Langkawi, anda boleh menghubungi Tourism Malaysia Kedah di talian 04 730 1322 atau 04 7312322.

Sumber:utusan malaysia