Carian Maklumat di sini

Custom Search

Friday, April 5, 2013

Sg. Lembing kaya alam semula jadi

KUANTAN 3 April - Sungai Lembing di sini sememangnya kaya dengan keunikan alam semula jadinya seperti Bukit Panorama, Air Terjun Pelangi dan Muzium Sungai Lembing.
Maka tidak hairanlah sekiranya destinasi itu bakal menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara sejak zaman perlombongan bijih timah lagi.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, Sungai Lembing disasarkan bakal menjadi kawasan hab pelancongan dalam tempoh lima tahun lagi.
Tambahnya, bagaimanapun prasarana di Sungai Lembing perlu melalui proses menaik taraf, seperti menaik taraf jalan bandar Sungai Lembing ke Air Terjun Pelangi dan kolam air panas supaya hasrat itu tercapai.
"Untuk ke Air Terjun Pelangi, pelancong perlu menaiki pacuan empat roda sejauh tujuh kilometer dari bandar Sungai Lembing. Kita mahu jalan tanah merah itu dinaik taraf kepada jalan berbatu supaya pacuan empat roda (4WD) yang lalu di kawasan itu tidak berdebu.
"Kita mahu kekalkan laluan itu kerana pelancong lebih berminat untuk menaiki 4WD pacuan empat roda untuk ke Air Terjun Pelangi," ujarnya.
Kata beliau, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) diminta membuat kajian sebelum mengemukakan peruntukan tertentu kepada Kerajaan Persekutuan supaya matlamat Sungai Lembing untuk dijadikan bandar pelancongan tercapai.
"Selain itu kita juga mahu menaik taraf kolam air panas yang telah rosak untuk meningkatkan lagi jumlah pelancong ke sini kerana selama ini mereka akan berkunjung ke Perak dan Selangor untuk ke kolam air panas.
"Para belia di kawasan sekitar perlu mengambil peluang perniagaan seperti membuka gerai cenderamata bagi menambahkan pendapatan mereka," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohammed Shah berkata, kawasan ini berpotensi untuk dimajukan di dalam bidang pelancongan.
"Kehadiran para pelancong semakin bertambah, jadi kita berharap agar peruntukan tersebut dapat diluluskan," katanya.
Beliau memberitahu, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak RM100 juta bagi pembinaan laluan antara Jalan Sungai Lembing ke Jerantut.
Bagaimanapun, katanya, bagi membina jalan sejauh 129 kilometer itu, tambahan kos sebanyak RM100 juta lagi diperlukan supaya projek berkenaan berjalan lancar.
''Pembinaan jalan ini merupakan salah satu projek tambahan untuk kemudahan rakyat berulang-alik dari Kuantan ke Jerantut.
"Sebelum ini, penduduk Kuantan terpaksa mengambil masa empat jam untuk ke Jerantut dan dengan laluan terbaharu ini akan memendekkan tempoh perjalanan kira-kira dua jam," jelasnya.
Menurutnya, pembangunan lain yang turut dibangunkan di situ adalah pembinaan tiga jambatan bailey yang kini hampir siap sepenuhnya.
Katanya, pembinaan itu memudahkan penduduk di tiga kampung di seberang Sungai Klau berulang alik ke Pekan Sungai Lembing dengan selamat.
"Sebelum ini, mereka menghadapi masalah untuk ke pekan terbabit terutama pada musim banjir kerana jambatan sedia ada dinaiki air.
"Pembinaan jambatan bailey ini membawa banyak manfaat kepada mereka kerana segala urusan dapat dilakukan dengan lancar," ujarnya.
Katanya, limpahan pembangunan yang dilaksanakan di Sungai Lembing membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat di situ.
Tambahnya, perubahan yang dilakukan meliputi aspek sosial dan ekonomi sekali gus membawa perubahan kehidupan masyarakat setempat.
"Kerajaan BN tidak mengabaikan kehidupan rakyat di sini dan tumpuan diberikan supaya mereka turut merasai nikmat pembangunan," katanya.
Jelasnya, jika sebelum ini Sungai Lembing sunyi dengan kehadiran pengunjung, kini suasana dan keadaannya semakin berubah.
"Rakyat perlu menilai kemajuan dan pencapaian BN di kawasan ini dan sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, akan terdapat pelbagai projek lagi untuk dibangunkan," katanya.
Apa yang dinyatakan Md. Sohaimi itu hakikatnya diakui pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan Politeknik Muadzam Shah (PMS) yang sempat menyertai Program Transformasi 1Siswa 1Komuniti ke Sungai Lembing baru-baru ini.
Menurut Pengarah PMS, Norlida Abd. Razak, program tersebut bertujuan memenuhi keperluan sesi pengajaran dan pembelajaran penuntut memandangkan kawasan itu merupakan bandar warisan yang memenuhi ciri-ciri pelancongan.
"Sungai Lembing memang unik. Program dua hari ini memberi peluang peserta mengunjungi Bukit Panorama untuk melihat matahari terbit selain mengunjungi terowong lombong bijih timah.
"Mereka turut dibawa melawat ke kawasan rekreasi dan Pasir Kubur yang juga merupakan tempat pelancongan," katanya sambil mengatakan keyakinan usaha kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan Sungai Lembing pasti memberi kebaikan menyeluruh.

Villa terapung ikon Lumut

Zambry Abd Kadir (tengah) menyaksikan pelan pembangunan Sea Villa selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Abdul Puhat Mat Nayan (kiri) dan Andrew Wong di Ipoh semalam.
IPOH 27 Mac - Sebanyak 300 unit villa terapung akan dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 20 hektar di pesisir pantai berhampiran Swiss Garden Golf Resort & Spa, Lumut, dekat sini, sekali gus menjadi ikon pelancongan terbaharu di bandar maritim itu.
Dibina dengan konsep mesra alam di atas tanah pajakan kerajaan negeri selama 99 tahun itu menelan kos RM200 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2016.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, villa tersebut akan dihubungkan dengan laluan ke laut berbentuk 'palm concept' seperti yang dibina di Sepang, Selangor dan Dubai.
"Projek ini akan memperkenalkan pengalaman penginapan yang unik kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Justeru mampu memperkembangkan lagi potensi pelancongan di negeri Perak," kata Zambry.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) projek 'Sea Villa' Mukim Lumut dalam daerah Manjung antara kerajaan negeri dan Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan sementara Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd., pula diwakili oleh Timbalan Pengarah Urusan PJ Development Holdings Berhad, Andrew Wong.
Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd., sebagai pemaju, bernaung di bawah Swiss Garden International Hotels, Resorts & Inns iaitu seksyen perhotelan bagi PJD Holdings Berhad yang menguruskan 12 hotel dan resort di dalam dan luar negara.
Baru-baru ini, Swiss-Garden Golf Resort & Spa Damai Laut memenangi Anugerah Pelancongan Perak 2012 sebagai resort terbaik.
Menurut Zambry, perjanjian kerjasama itu turut meliputi aspek pembangunan infrastruktur kemudahan awam seperti menaik taraf laluan masuk sejauh empat kilometer ke resort berkenaan selain tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh pihak pemaju.
Pembinaan villa tersebut yang akan dilengkapi kemudahan seperti spa, gimnasium dan kolam renang juga akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain memperkembangkan industri berkaitan pelancongan di Lumut.

Pulau Kapas tumpuan dunia 2014

JUARA keseluruhan kategori lelaki, Benjamin Konscak (tengah) menjulang piala pada kejohanan Kapas-Marang Swimathon 2013, Marang, baru-baru ini.
MARANG 27 Mac - Hadiah yang ditawarkan cuma RM2,000 dengan gelaran sebagai juara namun itu bukanlah faktor utama yang menarik Benjamin Konscak terbang sekali lagi dari Jerman dan menghabiskan beberapa hari di sini.
Pulau yang cantik dengan hamparan pantai yang memutih, jarak yang dekat dengan tanah besar, dipisahkan oleh laut tenang, memenuhi obsesinya untuk berenang dan Kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang menjadi medan yang sentiasa dinantikan.
Konscak turut menganggap penyertaan tahun ini begitu membanggakan kerana berjaya mencipta rekod baharu kejohanan yang dicipta pada tahun lalu.
"Saya tertarik dengan penganjuran pertandingan renang bebas ini, apatah lagi keadaan laut dan pantainya yang cantik. Saya akan kembali tahun depan dan berazam untuk terus mencipta rekod baharu," ujarnya selepas berakhir kejohanan itu.
Konscak bersama perenang jarak jauh negara, Heidi Gan, 25, masing-masing dinobatkan juara keseluruhan kategori Lelaki dan Wanita Kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang 2013 di sini sini baru-baru ini.
Berasal dari Frankfurt, dia berjaya menamatkan saingan sejauh 6.5 kilometer dengan catatan masa 1 jam 25 minit 29 saat sekali gus mencipta rekod baharu mengatasi catatan rekod lamanya 1 jam 28 minit 6 saat dalam kejohanan sama tahun lalu.
Heidi pula berjaya mencatat masa 1 jam 25 minit 43 saat setelah menewaskan juara tahun lalu, Chelsea Chong Xuet Yi yang meraih tempat kedua dengan catatan 1 jam 46 minit 25 saat disusuli Irene Chong (ketiga) dengan 1 jam 48 minit 15 saat.
Kedua-duanya juga merupakan perenang negara.
Heidi pula menganggap penyertaannya kali pertama dalam kejohanan ini sebagai latihan dan stamina bagi menghadapi kejohanan lebih besar.
"Saya cukup teruja kejohanan ini apatah lagi keadaan lautnya agak tenang, walaupun keadaan cuaca agak panas," ujar perenang yang kini sedang menjalani latihan di Australia.
Tempat kedua bagi kategori lelaki dimenangi perenang Hong Kong, Jason Hsieh dengan masa 1 jam 37 minit 52 saat manakala Clement David (Malaysia) pula di tempat ketiga dengan 1 jam 40 minit satu saat.
Juara keseluruhan kategori lelaki dan wanita masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 diikuti naib juara (RM1,500) dan ketiga (RM1,000).
Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said di Pantai Kelulut.
Dalam kejohanan kali ke-14 ini, perenang negara terus membuktikan keunggulan masing-masing apabila sebahagian kategori dipertandingkan berjaya didominasi peserta terbabit.
Selain Heidi yang juga dinobatkan juara kategori Wanita 20 Tahun dan Chelsea juara Remaja Wanita, seorang lagi perenang negara, Beh Wei Doong berjaya mengungguli kategori Remaja Lelaki dengan masa 1 jam 43 minit 34 saat.
Tempat kedua wanita 20 tahun dimenangi Irene Chang (Malaysia) dengan masa 1 jam 48 minit 15 saat dan tempat ketiga Sherrylnn Tan (Singapura) dengan masa 2 jam 61 saat.
Bagi kategori Remaja Wanita, dua lagi perenang negara, Rachel Haah yang mencatat masa 1 jam 48 minit 36 saat dan Lynn Wang dengan masa 1 jam 53 minit 55 saat masing-masing berjaya meraih tempat kedua dan ketiga.
Tempat kedua bagi kategori remaja lelaki pula dimenangi Mohd. Zaim Teh Mohd. Said (Malaysia) dengan masa 1 jam 43 minit 22 saat dan Yeong Yik San (Malaysia) di tempat ketiga dengan masa 1 jam 47 minit 58 saat.
Bagi kategori lelaki 35 tahun, perenang Austria, Mantred Mahzle Mahzle muncul juara dengan masa 1 jam 45 minit 32 saat, mengatasi Tsuyoshi Sawada dari Jepun yang meraih tempat kedua dengan masa 1 jam 49 minit 36 saat dan Yoh Yee Ming (Malaysia) di tempat ketiga dengan masa 1 jam 52 minit 58 saat.
Perenang Hong Kong, Tao Chec Hoo pula menjuarai kategori lelaki 50 tahun dengan masa 2 jam 13 minit 23 saat, Eduard Nowak (Jerman) di tempat kedua dengan masa 2 jam 14 minit 18 saat dan Han Ah Wah (Malaysia) ketiga dengan masa 2 jam 16 minit 49 saat.
Sebanyak 427 peserta mewakili 22 buah negara menyertai kejohanan yang diadakan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM43,000.
Selain memenuhi kalendar sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, sambutan yang kian meluas dalam kalangan peserta antarabangsa mendorong kerajaan negeri bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi menjadikan kejohanan itu sebagai acara dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
Menurut Abdul Rahin, melalui kerjasama itu kejohanan dapat dianjurkan dalam kala lebih besar dengan hadiah lebih lumayan sekali gus akan turut meningkatkan prestijnya.

UMK pulihara Pulau Perhentian

Sebahagian peserta program Penghayatan Taman Laut anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ahmad Maher dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendengar taklimat di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, baru-baru ini.
KOTA BHARU 2 April - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baru-baru ini menyertai 80 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ahmad Maher bagi menjayakan program Penghayatan Taman Laut di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu baru-baru ini.
Seramai 20 penuntut dan 15 kakitangan UMK diketuai Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Strategiknya, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Mohamed telah berkampung selama empat hari dari 21 hingga 24 Mac lalu di pulau yang dinobatkan antara 10 tercantik di dunia itu.
Program yang merupakan aktiviti tahunan SMK Dato' Ahmad Maher itu bertujuan memupuk kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dan turut mendapat sokongan Jabatan Pelajaran Kelantan, Jabatan Taman Laut, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Nik Maheran, pihaknya tertarik dengan pendekatan yang dijalankan oleh SMK Dato' Ahmad Maher dalam usaha memupuk kesedaran tentang pemuliharaan hidupan laut di peringkat sekolah lagi.
Beliau berkata, pihak universiti amat mengalu-alukan sebarang usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai dan seterusnya memberi mesej kepada masyarakat bahawa pemuliharaan hidupan laut serta alam sekitar adalah tanggungjawab semua pihak.
"Sebagai sokongan, pihak kami telah menghantar peserta untuk bersama para pelajar sekolah SMK Dato' Ahmad Maher menjalankan pelbagai program penghayatan hidupan marin di pusat peranginan taman laut itu termasuklah melakukan aktiviti pembersihan pantainya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Pengetua SMK Dato' Ahmad Maher, Che Ragayah Muhammad berkata, program penghayatan taman laut merupakan program tahunan bagi warga sekolah beroleh peluang menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman tentang kepentingan serta pemuliharaan alam sekitar.
Katanya, pendedahan awal tentang biodiversiti alam marin perlu dipupuk di bangku sekolah kerana kesedaran golongan muda amat berkesan dalam menjaga alam sekitar dan hasil laut agar tidak terjejas pada masa akan datang.
"Pendekatan sekolah menganjurkan program ini bukan sahaja untuk penjagaan alam sekitar tetapi membina keyakinan diri para pelajar terutamanya membabitkan aktiviti atau pergerakan yang melibatkan air," katanya.
Sementara itu, siswa Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Mohd. Faeze Kamarulzaman, 22, berkata, program itu wajar diteruskan dan turut dijadikan program tahunan universiti kerana merupakan salah satu tanggungjawab sosial demi menyebarkan kepentingan ekosistem kepada umum.
"Saya begitu kagum dengan pengalaman pertama terutamanya melakukan water confident di bawah bimbingan jurulatih profesional yang memberi tunjuk ajar untuk membina keyakinan diri serta persediaan bagi aktiviti snorkeling dan selam skuba.
"Tidak ketinggalan ialah lawatan ke Telaga Air Berani kerana airnya yang tawar tidak pernah kering walaupun pada musim cuaca panas," katanya.