Memang itulah konsep yang biasanya ditawarkan di inap desa. Namun, berbeza dengan apa yang disediakan di Ahsana Homestay. Konsep yang diketengahkan adalah rumah kayu ala resort yang mempunyai balkoni. Lebih tepat konsep chalet di resort peranginan dibawa masuk ke inap desa itu untuk memberikan kelainan kepada penginap.
Pengurus Ahsana Homestay, Mohammad Azli Ahmad, berkata, pihaknya membeli kayu terpakai untuk membina inap desa yang terletak di Kampung Temusu, Mukim Pulai, Baling, Kedah itu.
“Kami beli kayu terpakai dari kedai kayu second hand. Proses membeli dan mengangkut kayu dilakukan pada 2011. Mula-mula kami bina Rumah Sahabat 1 yang mengandungi lima bilik tidur,” katanya kepada S2.
Katanya, Rumah Sahabat 1 mula beroperasi pada Februari 2012 dan setiap bilik dinamakan Abu Bakar, Ali, Umar, Uthman dan Aiman.
Kesemua bilik dilengkapi dengan katil queen, penghawa dingin, kipas dinding dan televisyen.
Selain itu, rumah itu juga mempunyai empat bilik air, dapur, ruang tamu, meja makan, peti sejuk, alatan memasak, jag cerek, seterika dan pemanas air mandian.
“Setiap bilik boleh memuatkan dua hingga tiga orang dengan keseluruhan rumah boleh menampung 15 orang,” katanya sambil memberitahu selimut, alas tidur dan bantal tambahan disediakan mengikut permintaan penginap.
Rumah Sahabat 11 pula dibuka pada Mac 2012. Reka bentuk rumah ini mirip sebuah chalet dua pintu yang mana ia menawarkan dua bilik famili iaitu Al-Fateh dan Al-Farabi.
Mohammad Azli berkata, Rumah Sahabat 11 memuatkan lima hingga lapan orang sebilik.
“Kemudahan yang disediakan adalah katil king dan katil single, penghawa dingin, pemanas air mandian, televisyen, sofa, seterika, peti sejuk, almari pakaian dan jag cerek,” tambahnya.
Sementara itu, terdapat dua bilik double di Rumah Sahabat 111 yang mana setiap bilik dinamakan Sya’rawi dan Qardhawi. Bilik-bilik itu boleh memuatkan dua hingga tiga orang. Kemudahan yang disediakan adalah katil queen, penghawa dingin, kipas dinding, televisyen dan jag cerek.
Mengulas lanjut, katanya, pembinaan rumah kayu yang dilakukan secara berperingkat itu menyaksikan Rumah Sahabat IV dibuka pada awal 2013. Rumah itu menawarkan dua bilik double dan boleh memuatkan dua hingga empat orang sebilik. Rumah-rumah itu diberi nama Turaabi dan Hudhaibi.
“Masing-masing bilik di Rumah Sahabat IV dilengkapi dengan katil queen, pemanas air mandian, televisyen, jag cerek, penghawa dingin, kipas dinding dan seterika,” kata Mohammad Azli sambil memberitahu keunikan inap desa itu adalah setiap bilik tidak guna nombor tetapi menggunakan nama sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W serta tokoh-tokoh antarabangsa dunia Islam.
Unit inap desa berikutnya masih berkonsepkan rumah kayu tetapi tidak mempunyai balkoni kerana asalnya adalah pejabat.
Menurutnya, ada satu ketika, jumlah penginap terlalu ramai dan salah seorang daripada mereka mencadangkan supaya ruang pejabat sedia ada diubah suai menjadi bilik penginapan.
“Oleh kerana ruang pejabat yang asal agak besar, maka kami mengubahsuainya menjadi Rumah Sahabat V. Untuk mengekalkan ciri-ciri rumah kampung, kami menggunakan atap nipah. Rumah ini dinamakan Zuhaili dan boleh memuatkan tiga hingga lima orang.
“Bilik ini dilengkapi dengan katil king, kipas siling, televisyen, jag cerek, kabinet, penghawa dingin, pemanas air mandian, seterika, cawan serta pinggan,” katanya yang turut memberitahu terdapat tiga pekerja tetap di Ahsana Homestay.
Selain menawarkan penginapan rumah kayu yang selesa, penginap juga pasti teruja melihat persekitaran menghijau dalam suasana kampung yang mendamaikan.
Bagi pencinta gunung pula, tentunya teruja melihat pemandangan Gunung Pulai yang terletak di hadapan inap desa ini.
Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, mata akan terus memandang ke arah gunung yang mempunyai kecerunan sehingga 80 darjah itu. Bagi yang menggemari aktiviti mendaki, bolehlah menyahut cabaran ke puncak.
“Kami boleh mendapatkan khidmat penunjuk arah, tetapi jumlah pendaki mestilah melebihi 15 orang sekumpulan,” katanya yang turut memberitahu Ahsana Homestay juga terletak berdekatan tempat-tempat menarik seperti Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong (25 km); Lata Bayu (14 km); Lata Bukit Hijau (40 km); Air Terjun Celak (20 km), Gunung Baling (4 km) dan Gunung Pulai (2 km) serta gua-gua yang terletak di kedua-dua gunung tersebut, antaranya Gua Kambing, Gua Ikan, Gua Kelambu dan Gua Tembus.