Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, March 18, 2009

Suara alam Taman Negara



Peserta Program Ekspedisi Saintifik Universiti Teknologi Mara (UiTM) bergambar kenangan di hadapan stesen penyelidikan.

Ekspedisi saintifik selongkar rahsia habitat tertua

KEUNIKAN Taman Negara Jerantut yang kaya dengan khazanah alam cukup mempopularkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Kepelbagaian flora dan fauna, selain kesejukan air Sungai Tembeling menggamit pelancong dari seluruh dunia.

Berkunjung lagi ke hutan penuh rahsia ini, pengalaman menyelongkar keunikan Taman Negara bersama kumpulan pengkaji cukup meninggalkan kesan.Program Ekspedisi Saintifik yang dianjurkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini membawa penulis menghayati keunikan tumbuh-tumbuhan, unggas, serangga dan hidupan alam yang melengkapkan landskap Taman Negara.

Antara kemudahan yang dilawati ialah Stesen Penyelidikan UiTM-Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Keniam. Selain berfungsi sebagai pusat penyelidikan saintis, stesen ini juga banyak dikunjungi pelancong.

Untuk sampai ke Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan, pelancong perlu menaiki bot selama kira-kira dua jam sambil menikmati pemandangan menarik sepanjang mudik Sungai Tembeling.



Selain itu, aktiviti memancing di tiga lubuk ikan iaitu Keniam Kecil, Lubuk Rawa dan Lubuk Licin cukup menyeronokkan. Lebih-lebih lagi mendapat rezeki tangkapan ikan kelah, tapak, baung, toman, belida, lampam dan bujuk.

Selain wartawan, turut dibawa menyelongkar rahsia Taman Negara ialah 10 bekas pelajar jurusan fotografi UiTM, pegawai Jabatan Perhutanan Pahang dan penduduk setempat.

Khamis

8 pagi:
Kami berkumpul di Travellers Home, Kuala Tahan untuk mengikuti sesi penerangan. Kami mengambil peluang beramah mesra dan berkenalan antara satu sama lain sebelum memulakan perjalanan.

8.30 pagi: Selesai taklimat, kami menaiki kenderaan yang membawa kami ke jeti Kuala Tahan. Masing-masing tidak sabar menaiki perahu panjang sambil meredah arus deras dan jeram Sungai Tembeling.

9 pagi: Detik yang dinanti-nantikan tiba. Peserta rombongan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan menaiki bot panjang untuk pergi ke Kuala Keniam. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam kerana dipengaruhi arus Sungai Tembeling.

11 pagi: Rombongan selamat sampai ke stesen penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam. Pengalaman mudik Sungai Tembeling tidak dapat dilupakan terutama melihat kehijauan dan air sungai yang mengalir deras.

11.30 pagi: Selepas menikmati juadah, ekspedisi bermula apabila peserta dibahagikan kepada tujuh kumpulan mengikut kajian. Kami mula menjelajah Taman Negara mengikut zon ditetapkan. Penulis memperoleh pengalaman berharga apabila berkongsi rahsia hutan seperti jenis tumbuh-tumbuhan, unggas dan hidupan lain ketika meredah belukar.

Sesungguhnya, Taman Negara sesuai dijadikan hutan ilmu kerana banyak maklumat diperoleh di hutan tertua ini. Apa yang penting, kita boleh melihat bagaimana setiap isi alam saling bergantung untuk melengkapkan kitaran hidup.

1 petang: Kami kembali ke stesen untuk menikmati makan tengah hari. Sambil menjamu selera, pelbagai cerita dan pengalaman menarik dibualkan. Ada juga yang mengadu kepenatan selepas meredah belantara.

2.30 petang: Kami menyambung semula sesi kajian sambil menikmati keindahan flora dan fauna.

4 petang: Rombongan bertolak balik ke Kuala Tahan. Peserta yang kepenatan tertidur sepanjang perjalanan.

6 petang: Kami selamat tiba di kemudahan penginapan, Travellers Home. Penulis mengambil peluang berehat dan membersihkan diri.

9.30 malam: Selesai makan malam, sesi perbincangan dan pembentangan hasil kajian hari pertama diadakan.

Jumaat

10 pagi:
Kami tiba di Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam. Peserta mengambil kesempatan menyiapkan tugasan yang belum selesai.

11.30 pagi: Sementara menunggu peserta melakukan kajian saintifik, kami dibawa bermain air Sungai Tembeling dan Sungai Keniam. Sungguh menyegarkan!

1.30 petang: Rombongan yang diketuai Dr Norrizah Jaafar Sidik melawat kawasan penempatan tradisional, Orang Asli di tepi Sungai Tembeling. Kumpulan masyarakat Orang Asli ini menjalani rutin hidup yang sama saban hari sebagai penghuni hutan tertua ini.

3 petang: Kami dibawa pula melawat sebuah lagi kawasan penempatan iaitu Kampung Pagi. Peluang digunakan untuk beramah mesra dengan penduduk dan melihat aktiviti harian mereka.

5 petang: Majlis penutup ringkas disempurnakan Penyelaras Projek di Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam, Prof Dr Mohd Nazip Suratman. Kami kemudian pulang ke Travellers Home, Kuala Tahan untuk mengemas barangan dibawa.

6 petang: Kami meninggalkan Kuala Tahan dengan ilmu dan pengalaman berharga.

Fakta

  • Taman Negara Jerantut terkenal di kalangan pelancong tempatan dan asing yang mencintai kedamaian dan alam semula jadi.

  • Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam menjadi antara destinasi popular bagi pengunjung Taman Negara Jerantut..

  • Keunikan gaya hidup Orang Asli menjadi tarikan pelancong mendekati masyarakat peribumi itu.

  • Pelancong boleh menggunakan kemudahan bot dengan tambang berpatutan untuk melawat beberapa kampung tradisional seperti Kampung Mat Daling, Kampung Sat dan Kampung Pagi di sepanjang Sungai Tembeling.

  • Aktiviti air seperti berkayak, memancing, berakit dan sukan air sesuai dilakukan di jeti Taman Negara.
  • Semarak Pulau Redang




    Gotong-royong bersih pulau serlah keunikan

    SIAPA tidak jatuh cinta dengan Pulau Redang? Lokasi pelancongan indah ini dianugerahi pemandangan menakjubkan - laut membiru, pasir putih dan hutan hujan tropika gah memagari landskap pulau fantasi ini.

    Pesona pulau ini terus mengundang tetamu dari segenap pelusuk dunia, malah ada yang sanggup mengembara berhari-hari untuk berkunjung dan berkongsi anugerah alam di Pulau Redang.


    Namun, kerakusan manusia meratah keindahan alam di Pulau Redang jika tidak dikawal suatu hari nanti, boleh merosakkan permata alam ini. Sisa buangan seperti tin, botol dan bekas makanan yang dicampak insan tidak prihatin tentunya mencemar keunikan pulau ini.

    Begitu juga hidupan laut dan terumbu karang boleh rosak andai jari-jari nakal menyentuhnya serta mengganggu proses hidup dan habitat penghuni alam ini.

    Baru-baru ini, kolum 48 Jam berpeluang menyertai aktiviti Hari Membersih Pulau Redang anjuran Berjaya Hotels & Resorts. Sambil makan angin di Pulau Redang, penulis insaf harta alam yang dipinjamkan kepada manusia ini harus dipelihara setiap masa.

    MASIH bersemangat untuk mengutip sampah di Taman Laut Negara, Pulau Redang walaupun hari mulai terik.

    Jumaat

    12 tengah hari:
    Rombongan media dan peserta program Hari Membersih Pulau Redang tiba di Lapangan Terbang Pulau Redang. Kami dibawa ke Berjaya Redang Beach Resort yang menjadi tempat penginapan kami sepanjang program ini. Setibanya di resort itu, kami disambut kakitangan hotel dengan minuman selamat datang.

    12.30 tengah hari: Rombongan media dibawa melawat sekitar Berjaya Redang Beach Resort. Kami melihat pelbagai kemudahan disediakan seperti Ayura Spa yang menjadi premis wajib dikunjungi pengunjung yang ingin membelai diri. Kami juga meninjau bilik penginapan dan bersantai sebentar di pantai sebelum menikmati makan tengah hari.

    1 petang: Kami menikmati makan tengah hari menyelerakan dalam suasana resort di premis Palms Restaurant.

    AKTIVITI skuba sememangnya boleh dianggap sebagai perkara wajib dilakukan ketika berada di Pulau Redang.

    1.30 petang: Peserta kategori penyelam berkumpul di pusat menyelam untuk membuat persiapan dan mendengar penerangan ringkas mengenai aktiviti yang perlu dilakukan.

    2.30 petang: Kumpulan penyelam yang lengkap berpakaian menyelam dan peralatan berlepas ke pulau bagi aktiviti menyelam dan mengambil gambar dasar laut untuk Peraduan Fotografi Dasar Laut.

    2.30 petang: Peserta kategori bukan penyelam berkumpul di pusat rekreasi bagi mendengar taklimat mengenai aktiviti mengelilingi pulau dan snorkeling.

    Ketika aktiviti snorkeling, peserta teruja melihat kehidupan laut seperti terumbu karang dan sekumpulan ikan yang berwarna-warni bergerak dalam kumpulan.

    Malah, air laut yang jernih membolehkan siapa saja melihat ikan dari permukaan air.

    Penulis yang pertama kali menyertai aktiviti snorkeling di Pulau Redang, tidak melepaskan peluang keemasan menyertai rakan-rakan lain dalam aktiviti snorkeling. Melihat sekumpulan ikan berwarna-warni berenang mengundang perasaan takjub dalam diri.

    Terdetik dalam hati, alangkah bertuahnya penulis dapat menempuhi pengalaman 'bermesra' dengan kumpulan ikan yang seolah-olah tidak takut kehadiran manusia.

    5 petang: Selepas dua jam, semua peserta kembali ke Berjaya Redang Beach Resort untuk aktiviti bebas. Ketika ini, penulis tidak melepaskan peluang berehat di tepi pantai sambil menikmati pemandangan ombak menghempas pantai putih.

    7 petang: Selepas membersihkan diri, peserta berkumpul di Beach Restaurant untuk menikmati makan malam.

    Ini diikuti, sesi taklimat oleh Pengurus Besar Reef Check Malaysia, Julian Hyde mengenai kehidupan dasar laut serta ancaman yang dihadapi untuk mengekalkan keindahan khazanah marin.

    Dalam taklimatnya, Hyde berkata, keindahan dasar laut atau pantai perlu dikongsi dengan masyarakat. Beliau berkata, maklumat betul berhubung kaedah memulihara khazanah marin terutama terumbu karang amat penting untuk dihebahkan.

    Ini kerana perbuatan seperti sentuhan jari yang mungkin dianggap kebanyakan orang tidak memberi sebarang kesan buruk, boleh mendatangkan kemusnahan teruk kepada terumbu karang akibat terkena jangkitan.

    8.30 malam: Peserta aktiviti menyelam pada waktu malam berkumpul di pusat menyelam bagi mendengar taklimat, menyediakan peralatan dan berlepas ke pulau untuk aktiviti menyeronokkan. Pengalaman pastinya berbeza kerana aktiviti dilakukan pada malam hari.

    10.30 malam: Bersurai untuk aktiviti bebas. Walaupun penat dengan aktiviti seharian, namun penulis mulai merasa rugi sekiranya masa tidak dihabiskan dengan bersantai di tepi pantai sambil mendengar bunyi deruan ombak.

    Sabtu

    8.15 pagi:
    Peserta kategori penyelam berkumpul di pusat menyelam untuk mendengar taklimat, membuatr persediaan kelengkapan dan berlepas ke pulau.

    8.45 pagi: Kami sempat bergambar di tepi pantai sebelum berlepas ke pulau untuk melakukan aktiviti pembersihan dasar laut.

    9 pagi: Penyelam menaiki bot untuk aktiviti pembersihan dasar laut di pulau. Antara peralatan yang dibawa ialah jaring untuk mengumpulkan sampah sarap.

    9 pagi: Peserta bukan penyelam pula bersiap untuk aktiviti pembersihan persekitaran pantai di Taman Laut Negara. Kami dibawa dengan bot untuk ke sana.

    Setibanya di lokasi, kami diberi taklimat mengenai aktiviti membersih pantai. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan masing-masing dibekalkan dengan beg plastik hitam untuk mengumpul sampah.

    Antara sampah yang dikutip ialah bekas makanan, botol, plastik, batu karang mati, tin dan kertas. Selepas sejam mencari dan mengutip sampah, penulis terusik kerana masih ada pengunjung pulau peranginan ini tidak prihatin dengan alam sekitar dengan membuang sampah merata-rata.

    10 pagi: Selesai aktiviti membersih pantai, kami melakukan aktiviti snorkeling di Taman Laut Negara sehingga jam 11.30 pagi. Ini kerana kawasan itu tidak lagi dibenarkan menerima kunjungan selepas jam 12 tengah hari.

    11.45 pagi: Kami menaiki bot untuk kembali ke Berjaya Redang Beach Resort. Namun, atas sebab keselamatan akibat cuaca tidak menentu, bot terpaksa berhenti pertengahan jalan di jeti Kampung Pulau Redang. Kami terpaksa menaiki bas disediakan penganjur untuk ke resort selepas menunggu hampir 20 minit.

    12.30 tengah hari: Kami menikmati makan tengahari di Beach Restaurant. Ketika ini, peserta menghabiskan masa lapang dengan pelbagai aktiviti sama ada berjemur di tepi pantai, mengambil gambar kenangan atau bermain bola pantai.

    7 petang: Selepas makan malam, tibalah masanya untuk majlis penutup dan penyampaian hadiah bagi Peraduan Fotografi serta cabutan bertuah.

    Peserta mula berdebar-debar menanti pengumuman. Pelbagai gambar menarik dan kreatif disiarkan menerusi layar bagi membolehkan peserta dan wakil media membuat undian bagi menentukan pemenang.

    10.30 malam: Selepas penyampaian hadiah, majlis pun berakhir. Tibalah masa bersurai. Kami menuju ke bilik penginapan masing-masing dengan 1,001 kenangan indah di Pulau Redang.

    Jom bersih pulau!

    MENYEDARI perlunya meningkatkan kesedaran mengekalkan pesona Pulau Redang, Berjaya Hotels & Resorts menganjurkan Hari Membersih Pulau Redang, baru-baru ini.

    Bertemakan 'Bersama Kita Melakukan Perubahan', program tahunan yang dianjurkan di Berjaya Redang Beach Resort itu bertujuan membangkitkan kesedaran mengenai kehidupan dasar laut dan batu karang yang makin terdedah kepada ancaman kemusnahan akibat perbuatan manusia.

    Selain menyemai kesedaran mencintai keajaiban alam di kalangan masyarakat, ia juga bertujuan meningkatkan usaha pemuliharaan bagi mengimbangi aktiviti harian manusia dan kesan terhadap alam.

    Pelbagai aktiviti disusun sepanjang program pembersihan pantai dan dasar laut yang membabitkan hampir 200 peserta. Antaranya, membersih persekitaran pantai oleh peserta bukan penyelam dan aktiviti membersih dasar laut untuk penyelam berlesen.

    Beberapa selebriti turut serta dalam program itu Jehan Miskin dan Elaine Daly. Kedua-dua selebriti ini memiliki lesen penyelam, tidak pernah letih menyertai aktiviti yang dianjurkan sepanjang program tiga hari itu.

    Info

  • Pulau Redang terletak 45 kilometer dari pinggir pantai Kuala Terengganu. Ia adalah pulau terbesar dari gugusan sembilan pulau yang terlindung di Laut China Selatan.

    Antara gugusan pulau itu ialah Pulau Pinang, Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, dan Pulau Lima.

  • Pulau Redang memiliki air laut jernih kebiruan dan boleh dianggap sebagai syurga bagi penggemar aktiviti menyelam. Ini kerana, perairan terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut.

  • Taman Laut Pulau Redang diuruskan Jabatan Taman Laut Malaysia untuk memberikan perlindungan dan pengurusan khusus bagi kawasan marin. Matlamat utama adalah untuk melindungi, memulihara dan menguruskan persekitaran marin secara berterusan. Selain itu, menggalakkan orang awam memahami, menghargai dan menikmati warisan marin semula jadi Malaysia.

  • Antara keistimewaan Pulau Redang ialah pada waktu tengahari, apabila sinaran matahari terik menembusi air laut, menampakkan terumbu karang dan ikan berwarna-warni.

  • Perairan Pulau Redang menyimpan dua bangkai kapal karam iaitu Kapal H M S Prince of Wales dan H M S Repulse yang karam ketika Perang Dunia Kedua.

  • Pulau indah ini sesuai untuk aktiviti snokeling, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2 km dari pulau.

  • Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau hidupan laut lain.

  • Hutan bakau juga menjadi sebahagian tarikan utama di Pulau Redang.
  • Keasyikan Kampung Lonek



    PERSEMBAHAN kumpulan kebudayaan Kampung Lonek dan gambar atas, ACARA Mengoca Ikan, menggamit kenangan yang menyeronokkan.

    Pesta Mengemping, Adat Pepatih tarikan pelancong

    CUTI sekolah saat paling dinantikan seluruh keluarga yang bercadang makan angin bersama. Dalam tercari-cari lokasi percutian paling sesuai, pelbagai ragam boleh dilihat terutama si anak yang punya 1,001 idea dan aktiviti menarik mahu dilakukan.

    Pening juga ibu bapa memikirkan destinasi yang mahu dituju. Apa kata, sesekali lakukan sesuatu berbeza. Ayuh, bulatkan tarikh sesuai di kalendar dan jom bercuti di kampung!Selain menghirup udara segar dan pemandangan sawah padi menghijau, percutian di desa mampu mengembalikan zaman kanak-kanak dan bagi si kecil, tentunya mengundang pengalaman baru kehidupan di kampung.

    Lokasi dituju, Home Stay Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan yang punya tarikan tersendiri. Menyingkap kehidupan di desa, penulis teruja meraikan Pesta Mengemping dan mengenali Adat Pepatih sepanjang bercuti di destinasi ini.

    Jumaat
    2.30 petang : Selesai solat Jumaat, penulis bersama rakan Virtual Malaysia memulakan perjalanan ke Home Stay Kampung Lonek. Menyusuri perjalanan hampir dua jam dari ibu kota, kami selamat tiba.

    ACARA Tarik Upih, antara tarikan di Home Stay Kampung Lonek.

    4.30 petang : Sambil menantikan acara sambutan, rakan media lain bersiap sedia dengan peralatan rakaman.

    Keriuhan penduduk yang sibuk membuat persiapan tiba-tiba terhenti apabila dua bas yang membawa pelajar dari Kolej Universiti Nilai dan Kolej Lagenda, memasuki perkarangan.

    Apa yang menarik, sempena Pesta Mengemping, penduduk kampung sepakat menjadi ibu bapa angkat kepada pelajar. Ini tentunya dapat mengeratkan hubungan selain memperkenalkan Kampung Lonek sebagai destinasi percutian desa.

    Iringan bunga manggar dan kanak-kanak yang lengkap berpakaian tradisi menyambut kehadiran pelajar asing dan tempatan sebagai tanda ucapan selamat datang.

    PELAJAR didedahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

    Selepas kumpulan pelajar diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing, penulis dan rakan media juga diserahkan kepada ibu bapa angkat kami.

    5.30 petang : Penulis mengambil kesempatan melawat persekitaran Kampung Lonek yang masih kaya dengan unsur-unsur tradisi dan kehidupan masyarakatnya yang aman dan bermuafakat. Penulis termenung sejenak memikirkan kehidupan di kota yang sungguh berbeza dengan keadaan hiruk-pikuk dan jiran tetangga yang kadang kala tidak mengenali sesama sendiri.

    8.45 malam : Selesai makan malam yang disediakan keluarga angkat, kami berkumpul di dewan untuk taklimat dan aktiviti suai kenal.

    Sabtu
    7.30 pagi : Selepas membersihkan diri, kami bersarapan bersama ahli keluarga angkat yang begitu mesra melayani kehadiran kami. Sambil menghirup minuman panas kami gunakan peluang ini untuk mengenali mereka dengan lebih rapat.

    Memang benar, keunikan kehidupan di kampung membuat jiwa menjadi tenang. Sambil menikmati kehijauan sawah bendang dan siulan burung di waktu pagi, realiti hidup di kota seolah hilang dari ingatan.

    8.30 pagi : Dengan niat lebih menyelami kawasan kampung Lonek, kami sepakat berjalan kaki menuju ke lokasi aktiviti sambil menikmati keindahan bendang.

    Aktiviti senaman menjadi pembuka acara sesi pagi. Selesai sesi memanaskan badan, kami mengikuti acara tarik upih, boling kelapa dan program istimewa. Semakin Jauh Semakin Sayang. Pelbagai aksi dan keseronokan terpancar pada wajah pelajar yang menyertai program ini.

    Aktiviti seterusnya, kami dibawa ke bendang bagi melihat sendiri proses menuai padi. Pelajar didedahkan dengan tugas pesawah sambil dibantu penduduk kampung. Bagi pelajar asing, pengalaman ini amat berharga.

    Selain itu, acara mengirik dan mengangin padi turut diadakan. Kebanyakan pelajar asing terpegun melihat budaya pertanian yang diamalkan di sini.

    Ada saja soalan diajukan bagi mendapatkan penjelasan. Bagi menambah keseronokan dan pengalaman pelajar, acara mengoca ikan juga dianjurkan.

    Pelajar diarah memasuki selut pada petak sawah lalu diminta mencari ikan. Gelak tawa dan usikan rakan memecah keheningan pagi di Kampung Loneki. Penduduk kampung juga tidak mahu melepaskan peluang melihat sendiri gelagat pelajar yang menyertai program anak angkat.

    2 petang: Selepas membersihkan diri untuk menikmati makan tengah hari, tidak lengkap rasanya jika masak lemak cili api tiada dalam menu. Berbeza rasanya air tangan orang kampung, apatah lagi pari masak asam pedas menjadi menu utama santapan selain juadah lain yang enak-enak rasanya.

    Selesai menikmati juadah, kami dibawa melawat ke Tapak Pesta Mengemping. Pelajar diberi pendedahan dan peluang untuk lebih mengenali aktiviti memproses padi secara tradisional.

    Bagi memeriahkan majlis, acara pertandingan masakan tradisional dan Panta Kucung turut diselitkan. Pelajar juga dibawa melihat sendiri hasil keunikan kraftangan penduduk kampung.

    8.30 malam : Selepas berehat dan bersiap-siap kami menuju ke tempat acara malam, Kami dihiburkan dengan persembahan Bongai oleh kumpulan kebudayaan Kampung Lonek. Pelajar asing juga mengambil kesempatan mengadakan persembahan bagi memperkenalkan lagu dan budaya tradisi negara asal mereka. Acara penyampaian hadiah kemudian menutup tirai program.

    Selesai menjamu selera, kami berkumpul di rumah keluarga angkat sambil melihat kembali aksi-aksi yang sempat dirakamkan.

    Terasa panjang perjalanan waktu, malah hati seolah-olah tidak bersedia untuk pulang keesokannya. Pengalaman di Kampung Lonek tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Apa kata, sesekali datanglah ke Kampung Lonek kerana di sini segala-galanya menyeronokkan!

    Keistimewaan tanah tinggi!





    Cameron Highlands janji percutian nyaman, aktiviti menarik

    CAMERON Highlands cukup terkenal sebagai pusat peranginan tanah tinggi di Malaysia. Terletak di barat daya Pahang, pusat peranginan ini kaya dengan khazanah semula jadi serta keunikan flora dan fauna. Keindahan Cameron Highlands tidak pernah pudar malah terus memukau siapa saja.

    Cameron Highlands mendapat nama selepas seorang pegawai Inggeris, William Cameron menemui tanah tinggi itu ketika sedang melakukan tinjauan pemetaan pada 1885.


    Tanah tinggi ini juga terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian seperti teh, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Malah ada antara produk pertanian ini termasuk rangkaian flora sukar diperoleh di tempat lain.

    Awal bulan ini, penulis bersama 20 rakan media dijemput membuat liputan dua program pelancongan di Tanah Rata yang menjadi pusat pentadbiran daerah ini.

    Media dijemput membuat liputan majlis pelancaran Zoom! Cameron Highlands dan larian Taman Negara Eco Challenge (TNEC) 2008 dari Tanah Rata ke Kuala Medang, Lipis.

    Kedua-dua acara disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

    Berada di puncak tanah tinggi mencabar ketahanan mental dan fizikal penulis yang tidak tahan dengan suasana dingin mencucuk tulang terutama di waktu malam. Mujur program diadakan sebelah petang dalam keadaan cuaca nyaman.

    Rabu

    8 pagi :
    Sarapan pagi dengan hidangan roti bakar, kentang goreng, hot dog dan teh kosong di Century Pines Resort cukup menyegarkan.

    Masih terbayang keseronokan tiba di resort ini yang menjadi tempat penginapan media, lewat petang semalam. Suasana ketika itu cukup dingin hingga alat penghawa dingin tidak disediakan di bilik tidur.

    9 pagi : Kumpulan media dibawa melawat Brincang yang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong di Cameron Highlands. Ada banyak gerai menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan cenderamata menggunakan van di sini. Penulis dan rakan mengambil kesempatan membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang.

    Ketika melawat ladang strawberi, penulis teruja melihat buah strawberi yang ranum di tangkai pokok tetapi tidak dibenar memetiknya kecuali membayar RM20 bagi setengah kilogram buah. Tidak sanggup pula membazirkan wang kerana penulis hanya mahu merakamkan gambar buah strawberi.

    12 tengah hari : Selepas menikmati pemandangan serba menghijau di tanah tinggi ini, kami bergegas ke hotel untuk menikmati makan tengahari sebelum menghadiri majlis perasmian program yang disusun.

    1.30 petang : Kami dibawa ke Taman Agro Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk majlis perasmian dan menandatangani plak Zoom! Cameron Highlands yang disempurnakan Tengku Abdullah.

    Hadir sama di majlis itu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S K Devamany.

    3.30 petang : Tengku Mahkota Pahang menandatangani plak Zoom! Cameron Highlands sebelum dibawa melawat ladang sayuran, herba, bunga dan strawberi di Taman Agro Teknologi Mardi (TATM) diiringi Pengarah Mardi, Datuk Abdul Shukur Abd Rahman.

    Jelas tergambar riak gembira pada wajah Tengku Mahkota yang teruja melihat buah strawberi bergayutan di sekeliling pasu, sayur-sayuran dan bunga-bungaan segar yang menggoda setiap mata yang memandang.

    5 petang : Selesai majlis dan sesi minum petang kami bergegas mencari pusat internet untuk mengejar masa menulis dan menghantar berita. Tugas selesai satu setengah jam kemudian.

    7.10 malam : Menghadiri sesi taklimat untuk Taman Negara Eco-Challenge (TNEC) di hotel Cool Point sebelum menikmati makan malam ala barbeku.

    9.30 malam : Sekali lagi meronda di sekitar Tanah Rata sambil menikmati kedinginan malam yang belum pernah dirasai sebelum ini. Jelas, keramahan penduduk Cameron

    Highlands melayan tetamu begitu terasa tidak kira mereka pekedai, pekerja hotel atau penduduk tempatan.

    11 malam : Masing-masing berehat dan dan tidur menantikan esok yang menjanjikan keseronokan.

    Khamis

    7.10 pagi :
    Menikmati sarapan pagi dengan sepiring kuey teow goreng, kentang goreng, roti bakar dan teh O.

    8.20 pagi : Menuju ke Hotel Cool Point tempat perasmian dan pelepasan peserta TNEC 2008 yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang. Seramai 80 peserta dari 21 pasukan termasuk lima pasukan media tidak sabar memulakan larian sejauh 170 kilometer menuju Kuala Medang, Lipis. Penduduk tempatan turut memberi sokongan kepada peserta.

    9.10 minit : Ketibaan Tengku Mahkota diiringi tarian tradisional tiga kaum utama, Melayu, Cina dan India oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (C), Cameron Highlands, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cameron Highlands dan 25 kanak-kanak Tadika Winlon.

    9.40 pagi : Tengku Mahkota melepaskan peserta TNEC 2008 dan menuju ke Ladang Teh Boh di Brincang untuk sesi lawatan ladang teh.

    10.20 pagi : Tiba di ladang teh terbesar milik Boh Plantations dan penulis bersama rakan media teruja melihat 'gelombang' pokok teh yang berusia kira-kira 80 tahun.

    Pokoknya masih rendang dengan daun teh yang merimbun. Penulis tidak melepaskan peluang bergambar di celah pokok. Seumur hidup, inilah kali pertama menyentuh daun teh segar di pokok.

    11.05 pagi : Kumpulan pertama TNEC 2008 dari pasukan komando Kem Sungai Udang, Melaka tiba dan disambut meriah oleh Tengku Mahkota yang setia menanti untuk memberi semangat kepada peserta yang terpaksa berlari menuruni lembah teh menuju ke Sungai Relong.

    11.25 tengahari : Melawat kilang memproses teh milik Boh Plantations sambil menikmati hidangan teh pelbagai perisa dan sandwich yang begitu menyelerakan. Penulis kemudian bergegas pulang ke hotel penginapan untuk menyiapkan berita dan makan tengahari.

    5.20 petang : Selepas semua selesai termasuk menyerahkan kunci bilik, kami berkemas untuk pulang. Sempat juga singgah sebentar di Brincang untuk membeli cenderamata.

    6.30 petang : Penulis mengucapkan selamat tinggal Cameron Highlands dan membawa pulang memori indah.

    INFO:

    • Cameron Highlands berkeluasan 71,218 hektar dengan populasi penduduk melebihi 32,000 orang.
    • Mencapai ketinggian 1,230 meter dari aras laut dengan suhu purata 19.8 darjah selsius.
    • Puncak tertinggi terletak di Gunung Brincang dengan ketinggian 2,000 meter dari aras laut.
    • Bandar utama Tanah Rata (pusat pentadbiran), Brincang dan Kea Farm (kawasan tumpuan pelancong), Ringlet, Tringkap, Kuala Terla serta Kampung Raja (kawasan ladang).
    • Penempatan kaum Melayu pertama, Kampung Taman Sedia di lembah antara Tanah Rata dan Brinchang menawarkan pakej penginapan homestay.


    Tarikan:
    • Taman Agro Teknologi Mardi (TATM).
    • Gunung Lumut, Taman Flora, Hutan Lipur Parit Fall.
    • Ladang teh: Brincang dan Sungai Palas.
    • Taman bunga Cactus Point iaitu 500 meter dari Kea Farm, Rose Centre, Rose Valley.
    • Kebun buah strawberi dan taman rama-rama.
    • Aktiviti redah hutan.
    • The Smoke House, The Lake House dan Strawberry Park.
    • Homestay Kampung Taman Sedia, Tanah Rata.

    Pesona ikan hiasan



    SEBAHAGIAN kecil ikan peliharaan.

    Pameran Aquafair Malaysia 2008 himpun ratusan spesies ikan hiasan

    KATA orang, terapi terbaik dan mungkin paling mudah dilakukan ialah dengan memelihara ikan hiasan. Biarpun seekor ikan gapi yang dibela dalam balang kecil, ia cukup melegakan minda. Tari si ikan dengan ekor panjang memantulkan warna keemasan pada sisiknya, cukup mendamai jiwa. Jika mahu mencari ketenangan, perhatikan ikan kecil berenang ke sana-sini - seolah-olah khayal dalam dunianya sendiri.

    Hobi memelihara ikan hiasan sudah lama bertapak di Malaysia. Perhatikan saja rumah kenalan atau saudara-mara yang anda kunjungi, tentu segelintir mereka memiliki akuarium biar kecil sekalipun.


    Hobi memelihara ikan hiasan bukan saja dapat memberi nilai baik, terutama kepada si kecil mengenai rasa sayang kepada ikan atau hidupan laut, malah mengajar erti tanggungjawab apabila ikan perlu dijaga, ditukar airnya serta diberi makan apabila tiba masanya.

    Bagi individu yang mengikuti perkembangan hobi ikan hiasan, mereka pasti ternanti-nanti kewujudan spesies ikan hiasan baru untuk dipelihara. Suatu waktu dulu, spesies ikan arowana yang boleh mencecah RM40,000 seekor mencetus fenomena di kalangan pencinta ikan hiasan. Mereka sanggup berhabis wang beratus-ratus ringgit bagi mendapatkan anak ikan arowana dan memeliharanya sehingga matang.

    Ada yang menjadikan hobi memelihara ikan arowana sebagai sumber pendapatan. Bayangkanlah, jika harganya menyamai sebuah kereta baru, siapa tidak mahu memelihara dan menjual spesies ikan ini yang tidaklah sukar untuk dipelihara di rumah.

    IKAN pari hiasan.

    Selepas kegilaan terhadap arowana reda, sejak akhir-akhir ini, spesies ikan pari hibrid yang berasal dari Amerika Selatan pula mendekati hati peminat ikan hiasan di Malaysia.

    Jika anda belum pernah melihat lebih dekat ikan pari hibrid ini, apa kata kunjungi Pameran Aquafair Malaysia 2008 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, mulai Khamis ini.

    Populariti ikan pari hibrid yang meningkat menjadikan spesies ikan air tawar ini tarikan utama Pameran Aquafair Malaysia 2008. Fizikalnya yang ganjil dan melebar berbanding ikan biasa, menyebabkan ramai ingin memilikinya. Walaupun berbisa (namun tidaklah sebisa ikan pari di laut terbuka), peminat ikan hiasan tetap teruja memeliharanya di rumah.

    Mengikut fakta, ikan pari hiasan ini dikenali sebagai South America Freshwater Stingray dari spesies Potamorygon. Malaysia sebenarnya mempunyai spesies ikan pari tempatan tetapi corak pada ikan spesies tempatan tidak menarik untuk dipelihara dalam akuarium.

    ANTARA aktiviti mengisi pameran Aquafair ketika dianjurkan pada 2006.

    Sebaliknya, ikan pari hibrid dari Amerika Selatan mempunyai bintik atau tompokan ala batik yang menjadikan ia cukup menarik, terutama ketika ia berenang-renang dan melebarkan sirip atau sayap dalam air.

    Sebelum ini, peminat ikan pari hiasan dari Amerika Selatan terpaksa mengimport spesies ikan ini dari benua terbabit. Bekalan ikan pari diperoleh dari habitatnya di Hutan Amazon.

    Namun proses membawa masuk ikan pari Amerika Selatan ke Malaysia cukup rumit di mana ia perlu melalui proses kuarantin serta tempoh penghantaran yang panjang. Disebabkan itu, banyak ikan pari Amerika Selatan mati dalam perjalanan.

    Namun usaha Syarikat Xian Leng Holdings Berhad yang berpejabat di Shah Alam, Selangor, membiak spesies ikan pari hibrid ini sejak 1996 membawa berita baik kepada penggemar ikan pari hiasan ini. Faktor iklim khatulistiwa dan cuaca di Malaysia yang menyamai keadaan di hutan Amazon membolehkan ikan pari ini dibiak dan disesuaikan dengan keadaan di Malaysia.

    Pengarah Eksekutif Xian Leng Holdings Berhad, Tan Cheng Kiat, berkata ikan pari hiasan mula mendapat tempat di kalangan penggemar ikan hiasan kerana rupa dan tarikan fizikalnya.

    “Selepas memelihar ikan hiasan lain yang masing-masing memiliki rupa bentuk tipikal, peminat hobi ikan hiasan mula mencari-cari spesies ikan hiasan lain untuk dipelihara di rumah.

    “Selepas kita membiak spesies ikan pari Amerika Selatan, kita lihat makin ramai peminat menyedari kehadiran spesies hibrid ini kerana suka melihat bentuknya yang berbeza ketika berenang-renang dalam akuarium di rumah,” katanya ketika ditemui Sabtu di premis Xian Leng Aquatic di Seksyen 2, Shah Alam.

    Premis itu dilengkapi aquaritorium mini yang menempatkan beratus-ratus spesies ikan hiasan serta paling menarik, tiada bayaran dikenakan untuk melawat kemudahan ini.

    Memerhati gerak-geri ikan pari hiasan yang dipelihari di premis itu, penulis dapat mengagak mengapa ia makin diminati. Ikan pari hiasan yang lebih gemar berada di bahagian bawah akuarium mudah menarik perhatian siapa saja dengan corak batik pada badannya. Setiap kali ia berubah tempat, pergerakan sirip atau sayapnya sungguh mengasyikkan berbanding ikan hiasan lain.

    Tan berkata, ikan pari hiasan boleh dibeli pada harga serendah RM338 bagi ikan pari yang masih kecil manakala yang mencapai tahap matang boleh mencecah RM1,700 atau lebih tinggi.

    Beliau berkata, seperti ikan hiasan lain, ikan pari hiasan tidak sukar dipelihara asalkan pemiliknya tahu proses yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa seperti menjaga suhu air dan kebersihan.

    “Ikan pari boleh diberi makanan ikan kecil atau udang kecil. Mutu air cukup penting dengan alat penapis air perlu dipastikan berfungsi bagi mengekalkan kebersihan dan kesegaran air.

    “Tidak banyak pantang menjaga ikan pari hiasan ini melainkan pemilik perlu berhati-hati mengelak terkena sengatnya. Walaupun sengatan ikan pari hiasan tidaklah sebisa ikan pari di laut, langkah pencegahan perlu diambil,” katanya sambil menambah faktor bisa atau racun tidak menjadi soal bagi penggemar ikan pari hiasan.

    Tan berkata, ikan pari hiasan boleh membiak selepas mencapai umur setahun setengah atau dua tahun.

    “Ini antara faktor mengapa ramai berminat memelihara ikan pari hiasan kerana mahu melihat populasinya makin meningkat,” katanya sambil menambah ikan pari hiasan akan dipamerkan di Aquafair Malaysia 2008 dengan harapan dapat mengulangi fenomena ikan arowana yang diperkenalkan syarikat itu pada pameran sama, dua tahun lalu.

    Sementara itu, Aquafair Malaysia 2008 yang membuka pintunya minggu depan, dijangka terus melonjak nama Malaysia sebagai antara pengeluar ikan hiasan terkemuka di dunia. Kelebihan sebagai negara di garisan Khatulistiwa dengan iklim panas, menambah variasi khazanah laut termasuk ikan hiasan.

    Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, Aquafair Malaysia 2008 akan terus meningkatkan keupayaan dan reputasi Malaysia sebagai pengeluar ikan hiasan yang utama di dunia berikutan kejayaan acara pertama pada 2006.

    "Kami berbangga kerana Aquafair 2006 meletakkan Malaysia di persada dunia sebagai pengeksport ikan hiasan yang boleh dipercayai.

    "Kejayaannya telah memberi dorongan kepada kami untuk mengukuh dan memantapkan pertumbuhan industri ikan hiasan dalam usaha merebut peluang baru di arena antarabangsa," katanya.

    FAKTA: Industri ikan hiasan di Malaysia

  • Industri ikan hiasan Malaysia dijangka mencapai sasaran pengeluaran tahunan sebanyak 800 juta ekor ikan dan menjana nilai eksport mencecah RM300 juta menjelang 2010.

  • Malaysia adalah pengeluar kedua terbesar dunia bagi ikan hiasan dengan membekalkan hampir 10 peratus daripada permintaan global.

  • Industri ikan hiasan tempatan yang pesat berkembang menghasilkan 679 juta ikan tahun lalu bernilai RM192 juta.

  • Malaysia kini membiak lebih 250 spesies yang merangkumi lebih 550 jenis ikan tempatan dan eksotik bagi pasaran tempatan dan dunia.

  • Lebih 90 peratus daripada jumlah pengeluaran dieksport ke lebih 30 negara.

  • Menjelang 2010, Malaysia dijangka menghasilkan lebih 800 juta ikan hiasan untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.

  • Ikan hiasan dianggap sebagai produk nilai tinggi kerana secara perbandingan, nisbah harga ikan perhiasan berbanding yang dibela untuk sajian ialah 100:1 atau secara purata bernilai AS$1.8 juta setan.

    FAKTA: Aquafair Malaysia 2008

  • Aquafair Malaysia 2008 ialah acara dwitahunan kedua anjuran Jabatan Perikanan.

  • Pameran empat hari itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari Khamis ini hingga Ahad depan.

  • Aquafair Malaysia 2008 dijangka menarik lebih 150 peserta pameran dari 10 negara.

  • Matlamat khusus pameran ialah untuk meningkatkan potensi eksport industri ikan hiasan Malaysia, tanaman akuatik dan seluruh rangkaian industri dan perkhidmatan sokongan.

  • Pameran bertempat di Dewan 1, 2 dan 3, KLCC.

  • Waktu pembukaan dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

  • Pameran bagaimanapun terbuka untuk kumpulan profesional dan kumpulan pedagang atau peniaga pada Khamis ini.

  • Pameran dibuka kepada orang ramai mulai Jumaat ini hingga Ahad depan.

  • Bayaran sebanyak RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak dikenakan.

  • Penganjur menjangka lebih 20,000 pelawat akan mengunjungi Aquafair Malaysia 2008.

  • Antara spesies ikan yang boleh dilihat ikan pari hibrid, arowana, discus, betta splenden, ikan kap dan ikan emas.

  • Turut dipamerkan tumbuhan dalam air sebagai hiasan akuarium.
  • Khazanah rimba



    MENAIKI bot menyeberangi sungai. Gambar bawah, wakil media merakamkan kenangan.

    Alam penuh taksub di Taman Negara

    PASTIKAN kamera atau alat perakam video berfungsi dengan baik dan sentiasa di sisi! Inilah nasihat yang mahu dikongsi penulis jika anda berkira-kira menjejak kaki di Taman Negara di Pahang.

    Destinasi ini yang cukup terkenal sebagai hutan hujan tertua di dunia, sarat dengan 1,001 keunikan yang seharusnya dirakam dalam foto atau video untuk ditatap teman mahupun keluarga.asi percutian yang menjadi bualan pencinta alam semula jadi dan pelancong asing ini adalah pilihan tepat untuk menghirup udara segar. Taman Negara mampu menjadi terapi fizikal dan mental. Keasyikan di bawah pawana flora dan faunanya membuatkan anda lupa seketika bebanan rutin harian di pejabat serta hiruk-pikuk kota.

    Tunggu apa lagi, mari berkunjung ke Taman Negara!

    Khamis
    8.30 pagi : Selesai bersarapan, penulis menyertai rakan-rakan media memulakan perjalanan ke Taman Negara dengan menaiki bas disediakan penganjur.

    BURUNG Pacak penghuni Taman Negara.

    Selepas menempuh perjalanan hampir empat jam setengah dari Kuala Lumpur, kami tiba di Kampung Kuala Tahan.

    Sistem perhubungan dan jalan raya yang baik memudahkan pelawat tiba di pintu masuk Taman Negara di Kampung Kuala Tahan. Sama ada menyewa kenderaan atau menaiki bas dan teksi, destinasi ini mudah dikunjungi dari Kuala Lumpur melalui jaringan lebuh raya cekap.

    1 petang : Kami menaiki bot menyeberangi sungai dan tiba di pengkalan jeti Resort Mutiara Taman Negara. Sambil meneguk air buah-buahan yang disajikan, kami asyik menikmati persembahan nyanyian unik oleh kakitangan resort serta ketukan buluh sebagai ucapan selamat datang.

    Selepas menikmati juadah tengah hari yang menyelerakan, masing-masing menuju ke bilik penginapan untuk berehat, membersihkan diri dan bersolat.

    PENGEMBARAAN teroka hutan mendekat keunikan Taman Negara.

    2.30 petang : Kami berkumpul di depan Restoran Seri Mutiara. Kami diberi penerangan oleh jurupandu pelancong sebelum dibawa melihat keajaiban Taman Negara.

    Dalam hati, tidak putus-putus memuji keaslian taman terbesar ini. Kehijauan dan keunikan pesona hutan sukar digambarkan dengan kata-kata. Sesekali menghirup udara segar dalam hutan, amat menyamankan.

    Kami teruja mendekati alam, mengenali pelbagai spesies tumbuhan dan unggas yang memecah keheningan hutan.

    Selain kemudahan penginapan selesa, Mutiara Taman Negara turut menyediakan perkhidmatan spa. Hiasan lanskap yang menarik memukau pandangan pelancong dalam dan luar negara.

    5.30 petang : Aktiviti seterusnya, kami menaiki bot dan menuju ke Perkampungan Orang Asli Dedari. Kagum dengan kehidupan mereka yang serba ringkas, malah tidur bertilamkan tanah. Kelihatan anak-anak kecil tanpa seurat benang riang berlari dengan tidak memakai sepatu.

    Di penempatan ini, demonstrasi menghasilkan percikan api menggunakan sejenis tali yang digosok pada kayu diadakan. Selain itu, kami juga dipertonton dengan aksi menyumpit. Kemahiran ini yang digunakan dalam aktiviti memburu adalah mata pencarian Orang Asli di sini.

    8.30 malam : Selesai menikmati hidangan malam, kami di bawa meneroka suasana malam atau Night Jungle Walk. Berbekal lampu suluh, kami bernasib baik dapat menyaksikan sang kancil yang terkenal dengan cerita bijak pandainya melintas di hadapan kami.

    Hidupan liar seperti kumbang, labah-labah, burung pacak, kongkang, ular daun antara spesies haiwan yang dilihat ketika itu. Tergelak sendiri melihat aksi si katak yang bersahaja persis model peragaan mendiamkan diri ketika jurugambar merakam aksinya.

    10.30 malam : Selesai meneroka hutan pada waktu malam, kami menuju bilik masing-masing untuk berehat. Ada juga mengambil kesempatan berkumpul dan bercerita hingga jauh malam sambil dibuai keheningan hutan.

    Jumaat
    9 pagi : Program paling menarik, kami diuji dengan ekspedisi meneroka hutan dan berjalan di jambatan gantung terpanjang di dunia. Kami difahamkan, setiap seorang perlu melepasi jarak lima meter atau 10 meter ketika berada di jambatan gantung ini.

    Cabaran seterusnya kami dibawa menguji daya tahan dan kesabaran dengan bersemuka penghuni Gua Telinga terutama kelawar. Rasa puas melihat sendiri kehidupan kelawar yang tergantung selepas melalui terowong dan lurah berbahaya.

    2.30 petang : Destinasi seterusnya, kami dibawa menaiki bot membelah keindahan Taman Negara menuju ke Kelah Sanctuary.

    Seronok melihat kelibat ikan kelah menyambar umpan yang ditabur ke permukaan sungai. Beroperasi sepenuhnya April lalu, Kelah Sanctuary menjadi daya tarikan pelancong untuk melalui sendiri pengalaman yang sukar dilupakan.

    Kami menghabiskan petang dengan meninjau serta mendekati keunikan destinasi ini sepuas-puasnya sebelum berangkat pulang esok.

    8 malam : Kami disajikan aneka makanan lazat. Tema makan malam ialah pakaian bertemakan hutan. Tidak cukup pakaian yang dibawa, ada antara kami tampil dengan memakai daun dan ikatan di kepala bagi menghidupkan suasana.

    Sesungguhnya, kenangan 48 jam di Taman Negara tidak gantinya... Hati berbisik pasti datang lagi ke sini!

    Keunikan Mutiara Taman Negara




    TAMAN Negara menambah keunikan rangkaian produk pelancongan di Malaysia. Kunjungan ke Taman Negara menjanjikan kepuasan kepada pengunjung terutama pelancong asing yang tidak pernah kenal atau melihat lebih dekat hutan tropika.

    Selain menjana ekonomi negara, Taman Negara menjadi aset penting yang kaya dengan khazanah flora dan fauna. Kepelbagaian spesies hidupan di Taman Negara terus diteroka hingga ada saja spesies baru ditemui saintis setiap hari.

    Pengarah Jualan Mutiara Taman Negara, Pravind Balram, berkata keunikan Taman Negara tidak pernah menghampakan.

    “Anda boleh lihat gaya hidup Orang Asli atau melawat pusat pembiakan Kelah Sanctuary jika berkunjung ke sini.

    “Selain itu, pengunjung boleh meneroka hutan, merasai debaran melalui jambatan gantung, mendekati habitat kelawar atau meredah jeram di sini,” katanya.

    Pandangan itu dikongsi sama Pengurus Akaun Mutiara Taman Negara, Nasarimah Othman yang menyifatkan Taman Negara sebagai lokasi percutian mengagumkan.

    Apa yang menarik, Mutiara Taman Negara menyediakan pakej percutian lengkap bagi pengunjung yang mahu melakukan pelbagai aktiviti riadah dan mendekati alam di Taman Negara.

    Jurupandu pelancong Mutiara Taman Negara, Hamzah Abdul Hamid atau lebih mesra dipanggil Pak Chu berkata, pihaknya memberi panduan dan maklumat lengkap mengenai Taman Negara kepada pengunjung.

    “Semua aktiviti yang dilakukan dipantau jurupandu berpengalaman. Sehubungan itu, kami akan pastikan pelancong pulang dengan membawa kenangan tidak dilupakan,” katanya,

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Mutiara Taman Negara boleh melayari laman web di alamat ........ atau hubungi talian 09-2663500. Sebarang e-mel boleh dihantar ke rmtn@mutiarahotels.com.

    Maklumat lebih terperinci boleh didapati dengan menghubungi Pravind Balram di talian 03-27822222 atau e-mel: pravind@mutiarahotels.com.

    Sementara itu, pelancong asing, Blatter Marco ketika ditemui di Mutiara Taman Negara berkata, pakej percutian lengkap di Taman Negara menjadi tarikan rakyat asing berkunjung ke hutan tropika ini.

    “Pengalaman tiga hari dua malam di Mutiara Taman Negara pasti saya ceritakan kepada rakan yang lain. Saya pasti kembali lagi,” katanya.

    Tenang di Tasik Kenyir




    Elemen air, darat serlah keunikan destinasi indah

    TENANG. Itulah perkataan yang terpacul dari mulut apabila pertama kali menjejakkan kaki di Tasik Kenyir. Tasik yang terbentuk lebih 20 tahun lalu itu cukup popular di Terengganu hingga menggamit pelawat dari serata dunia.

    Gugusan 15 anak sungai dengan lebih 300 pulau membentuk landskap unik yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara. Dengan keluasan lebih dari 2,600 kilometer persegi, tasik buatan manusia ini dan hutan simpan yang mengelilinginya adalah lebih besar dari saiz Singapura.


    Air tasik yang dingin, tenang sehijau zamrud bagaikan cermin membalikkan pemandangan kaki langit. Tunggul kayu terpacak menjadi bukti kawasan ini dulunya dipenuhi hutan tebal.

    Mudah menganggap diri kerdil di tengah-tengah keajaiban Tasik Kenyir. Padang rumput menghijau melitupi pulau-pulau kecil, tumbuhan pelbagai jenis yang berselirat di darat, sungai dan air terjun melengkapkan ciri-ciri unik tasik buatan manusia ini.

    Baru-baru ini, penulis berpeluang mengunjungi Tasik Kenyir bersama 18 rakan dari Kelab Marsyal Joran (KMJ) Berita Harian untuk menyelongkar misteri tasik ini.


    Jumaat

    6 pagi:
    Kami tiba di Kuala Terengganu selepas menempuh perjalanan kira-kira lapan jam dari Kuala Lumpur. Sejurus tiba di ibu negeri Terengganu ini, kami menuju ke Hotel Mid Town untuk berehat dan membersihkan diri.

    8 pagi: Selepas sarapan pagi, kami diberi taklimat ringkas mengenai program lawatan ke Tasik Kenyir. Hati mula melonjak tidak sabar menjejakkan kaki di Tasik Kenyir dan menikmati keindahan flora dan faunanya.

    10 pagi: Memulakan perjalanan dengan menaiki bas yang disediakan kerajaan negeri ke Pengkalan Gawi. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 45 minit melalui Pekan Sungai Tong.

    10.45 pagi: Kami tiba di jeti Pengkalan Gawi dan disambut pemandu bot. Tanpa berlengah, kami bertolak ke Tasik Kenyir atau lebih tepat, menuju ke lokasi dikenali sebagai Leban Terengganu. Perjalanan ini mengambil masa kira-kira dua jam.

    Keindahan Tasik Kenyir terserlah apabila bot yang membawa kami melalui kawasan tasik yang luas dengan pemandangan memukau.

    12 tengah hari: Kami tiba di Leban Terengganu iaitu salah sebuah lokasi yang menjadi tempat persinggahan pelawat dengan pelbagai aktiviti riadah boleh dilakukan di sini.

    Selepas menikmati juadah tengah hari yang menyelerakan, kami berehat, membersihkan diri dan bersolat dalam ketenangan Tasik Kenyir.

    2 petang: Aktiviti diteruskan dengan pertandingan memancing atas bot. Seronok memancing sambil menikmati pemandangan indah dan udara petang yang nyaman. Kami tidak henti-henti memuji keindahan dan kedamaian tasik. Kesabaran teruji kerana selepas berjam-jam melabuhkan joran, umpan tidak dicuit penghuni tasik.

    5 petang: Aktiviti memancing diteruskan manakala kami yang tidak memperoleh hasil, menuju ke kawasan air terjun untuk menikmati kedinginan air.

    7.30 malam: Selepas solat maghrib, kami menikmati makan malam berlaukkan ikan toman, lampan dan baung yang dipancing. Makan beramai-ramai dalam kedamaian tasik sungguh menyeronokkan.

    8 malam: Selesai menjamu selera, aktiviti memancing diteruskan sehingga pagi .Kedinginan malam dengan hembusan angin membuatkan kami hampir terlena.

    Sabtu

    6 pagi:
    Kami menunaikan solat subuh sambil menunggu matahari terbit untuk sarapan pagi. Keindahan fajar menyingsing menyedarkan penulis keajaiban Tuhan dan kekuatan alam semula jadi.

    9 pagi: Selepas bersarapan dan menikmati suasana pagi, kami bertolak pulang dari Leban Terengganu ke Jeti Pengkalan Gawi.

    11 pagi: Tiba di jeti, kami menaiki bas yang membawa kami ke Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Perjalanan melalui bandar Kuala Berang yang mengambil masa kira-kira sejam.

    2 tengah hari: Kami tiba di TTI dan disambut pihak pengurusan taman ini. Kami mendengar taklimat sebelum melawat pembangunan di TTI.

    3 petang: Kami pulang ke hotel penginapan di Kuala Terengganu. Kesempatan ini kami penuhi dengan berjalan-jalan di sekitar Kuala Terengganu. Antara lokasi yang dituju pastinya Pasar Payang yang terkenal dengan jualan pelbagai barangan seperti batik, kerepok lekor dan cenderahati untuk dibawa pulang.

    8.30 malam: Kami diraikan dalam majlis makan malam oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar Ahmad. Malam kian larut dan kami terus bercerita mengenai keunikan Tasik Kenyir dan keindahan Terengganu.

    Petikan dari Bharian online...

    Sunday, September 7, 2008

    The Top Beach Resort In The Turks And Caicos Providenciales Island

    Some research into The Tuscany Resort on Grace Bay, Providenciales Island Turks and Caicos to see if it would be a good choice for your Caribbean Vacation

    Looking for a Turks and Caicos Resort on Providenciales, then look no further than The Tuscany Resort on Grace Bay.

    It is the newest build, and so is at the end of the line, which makes it calm and peaceful compared to other resorts. There are 30 luxury suites, in this extremely private luxurious boutique resort.

    The Tuscany Resort has been described as completely unbelievable, and so well thought out that it never seems to be crowded.

    The suites in this gorgeous Turks and Caicos Resort are all 3 bedroom, 3 bathroom, so they are perfect for families or groups of friends. It’s especially good for a group of friends because each bedroom has its own bathroom They are all beautifully decorated and equipped including a huge kitchen, a laundry room, and a very large well screened patio which opens off the large dining and living area, and is designed to give a floor to ceiling panoramic view of Grace Bay and the incredible turquoise sea that lies beyond it. Having said that it is important to avoid the first floor doesn’t have a view. Best of all try to get a suite on the fourth floor, and another tip is to avoid the middle suite because they are darker, and also you need to request a room on the outside of the building.

    The décor of the suites are quite incredible with a tropical theme. The sun loungers, more chaise longues really give you the perfect end to the perfect day, with a glass of wine gazing at the Reef as the sun sets in an amazing display of different colours.

    You won’t need the air conditioning, because of the cool breezes coming in through the doors.

    Although the Tuscany resort has no restaurant you will find plenty within a short walking distance and in your suite you have everything you will need for a truly remarkable Turks and Caicos Resort Vacation.

    One of the best things for many people is the fact that you can get massages in your room from Spa Tropique, just a phone call away. It could be a great way to spend the day, by going down to the beach for a swim, up to your suite for a massage, and then back to the beach again!

    As to be expected in a high quality Turks and Caicos resort the pool is great, and the temperature is about right. Because the beach at Grace Bay is so nice you could well have the pool almost to yourself much of the time. It would however be a shame not to go to the beach, and you needn’t worry about be hassled by hawkers and vendors because it is illegal on the Turks and Caicos Islands. The beach and the water are so very clean it is amazing, so clear that you can see the fish in the water from the beach.

    There are lots of restaurants to choose from close to the resort, varying from shacks to high quality high priced places, but excellent food to suit every palate and pocket.

    The Tuscany Resort is a new kid in town, with a fast growing reputation, and if you want a quiet relaxing Turks and caicos Resort On Providenciales Island on Grace Bay then why look further than here?

    For more information go to http://www.caribbean-vacationspots.com/categories/Turks-and-Caicos-Islands/

    by: Gordon Steven

    Rantau Abang Turtle Hatchery

    To halt the decline of the number of the Giant Leatherback Turtle, an endangered species, hatchery work is being carried out at Rantau Abang. Approximately 60 km south of Kuala Terengganu, Visitors would lay in wait quietly from midnight to dawn to watch the memorable sight of these Giant Leatherbacks laying their eggs. These giant turtles, up to 2.5 meters in length and sometimes weighing more than 375 kg is indeed a phenomenal sight to behold. Rantau Abang is one of only six places in the world visited by these turtles, from the months of May to September.

    Sunset at Rantau Abang Turtle  Hatchery

    The Terengganu Government has made it an offense for anyone to collect or sell turtle's eggs except those authorized or licensed to do so.