Carian Maklumat di sini

Custom Search

Monday, July 30, 2012

Tok Aman Bali Resort

While on the way to bukit keluang , stopped at Tok Aman Bali Beach Resort to get some information about it. It's opened on 15 November 2011 should be a 4 star resort. It's just normal from outside but the interior is quite decent with neat design. The resort is surrounded by lagoon and there is some water activities available upon request and beach is just opposite the resort. The reception is very kind he bring us around the resort and explained all of our inquiries. Right now they having their opening promotion with deluxe room just from RM198 nett. Their pre-opening promotion will end on end of January 2012.










Introduction:

A purportedly 4 stars resort located at Pantai bisikan bayu ( Dalam Rhu) about 50km or 50minutes away from Kota Bharu. Build on land surrounded by a lagoon and South East Asia sea just opposite it.

Facilities/ Attractions:

Swimming pool, Pedal Boats Rides, Conference Room, Coffee House, Gym, Sauna, Table tennis, Bicycle Ride, Restaurant, etc.

Address:
Lot 6264(1), Resort Kampung Dalam Rhu Semerak, Tok Bali, Kota Bharu, Malaysia

Contact:
Tel: 609-6918899
Fax:609-6918787

Website: www.tokamanbali.com.my

Dengan hanya RM400 di Pulau Redang



BOLA sepak pantai antara sukan yang boleh disertai pengunjung Pulau Redang, Terengganu.

KENAPA? Masih tak percaya...? Namun itulah yang penulis alami sendiri selama tiga hari dua malam berada di sebuah pulau yang menjadi lokasi snorkeling terbaik di negara ini.
Sebenarnya sudah lama penulis merancang untuk bercuti ke Pulau Redang, Terengganu. Perancangan awal perlu supaya kamu dapat mengawal serta mengurangkan bajet perbelanjaan kamu sepanjang berada di sana.

Penulis mula bergerak ke Kuala Terengganu dengan menaiki bas dari Shah Alam, Selangor. Lebih jimat menaiki bas awam berbanding menggunakan kenderaan sendiri.
Sesampainya di Kuala Terengganu, penulis diberitahu oleh penduduk tempatan supaya membeli stok makanan terlebih dahulu sebelum bergerak ke pulau bagi menjimatkan perbelanjaan.
Sebaik sahaja diberitahu, penulis dan rakan-rakan pun apa lagi, membuat tindakan drastik untuk memborong stok makanan sampai tak cukup tangan hendak membawanya.

Tunggu punya tunggu, feri pun sampai pada kira-kira pukul 10 pagi. Jarak perjalanan agak jauh, tetapi dek kerana terpesona dengan keindahan alam sepanjang perjalanan, rasa macam seminit dua sahaja.
Setibanya di Pulau Redang, penulis terpaku seketika. Pantainya memang putih, laut yang jernih, memang betul-betul memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.

Perjalanan diteruskan, mencari lokasi kediaman yang tersedia dalam pakej percutian penulis.
Dari luar nampak macam calet yang tak berapa 'kelas', tetapi bila tengok di dalam..., boleh tahan juga. Kelengkapan asas semuanya ada. Siap ada penghawa dingin lagi.

Cukup tentang penginapan. Tarikan utama di sini adalah aktiviti snorkeling. Baiklah, penulis akan gabungkan semua pengalaman penulis melakukan snorkeling yang sangat mengujakan ini.Lokasi pertama snorkeling adalah Pulau Batu Sauh. Kejernihan air laut memang menakjubkan. Belum terjun ke laut lagi sudah nampak warna-warni kehidupan di dasar laut.

Lokasi kedua penulis melakukan snorkeling adalah Taman Tema Marin. Berlainan sedikit dengan lokasi snorkeling sebelum ini. Di sini, hidupan lautnya lebih banyak kerana dipelihara.
Penulis juga berkesempatan untuk berada dekat dengan belut sepanjang 10 kaki. Khuatir digigit belut, penulis hanya menyaksikan sahaja ia lalu di depan mata.

Snorkeling kali ketiga ini lebih menyeronokkan sebab penulis dapat berenang bersama anak ikan yu. Nampak ganas...he...he...he...Perasaan? Memang takut pada mulanya, tetapi peluang macam ini bukan datang selalu. Mula-mula takut juga hendak pegang walaupun anak ikan yu. Namun, memikirkan peluang hanya datang sekali, penulis sentuh juga ikan yu itu.

Jangan risau tentang keselamatan kerana sekiranya kita patuh pada arahan yang mahir, perkara-peraka yang tidak diingini dapat dielakkan.Bermalam di Pulau Redang juga menyeronokkan kerana pelbagai aktiviti disediakan termasuk karaoke, BBQ dan persembahan live band. - AZRUL
Sumber:utusan malaysia

Populasi burung upeh kian terancam .


Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD

Burung upeh di Kuala Gula kini berdepan dengan ancaman kepupusan dipercayai akibat faktor persekitaran.

Mungkin segelintir pencinta burung telah menyedari bahawa burung upeh yang dianggap unik ini diancam kepupusan.
Burung ini sering ditemui di Kuala Gula, Daerah Kerian Perak dan menjadikan kawasan tersebut sebagai habitatnya dan dengan ancaman yang dihadapi, ia bagaikan satu mimpi mengerikan bagi spesies tersebut

Sejak tahun 1980an lagi burung tersebut telah dipantau perkembangannya namun, tinjauan yang dilakukan baru-baru ini mendapati bilangannya semakin menurun.
Justeru, bagi menangani masalah tersebut, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah melancarkan usaha konservasi ke atas spesies burung tersebut.
Menurut Pegawai Hidupan Liar Perhilitan, Rahmah Ilias, pada tahun 1998, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), bersama Zoo Negara dan Perhilitan telah menjalankan program Pengenalan Semula dan Pembiakan Burung Upeh.

Zoo Negara juga telah membekalkan tiga induk jantan dan tujuh induk betina yang kemudiannya ditempatkan di Taman Alam Kuala Selangor dan diuruskan oleh MNS bagi tujuan tersebut.
"Burung-burung ini telah diletakkan di dalam sebuah sangkar yang besar di taman tersebut dan beberapa cubaan membuat sarang telah direkodkan pada tahun 2002 dan 2003.
"Kemudian kita berjaya menemui lima biji telur dan berjaya menetas. Namun ke semua anak burung tersebut tidak berjaya sampai ke peringkat dewasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kembara Bersama Media (KBM), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di Kuala Gula, Perak, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, pada tahun berikutnya ke semua burung tersebut telah terlepas dan hidup di sekitar Taman Alam sehingga ke hari ini.

Bertitik tolak daripada usaha tersebut, sekali lagi pihak Zoo Negara dan Perhilitan menganjurkan program pembiakan dan pengenalan semula spesies burung upeh di Kuala Gula.
Pada 4 Mac 2007, Perhilitan dan Zoo Negara telah menjalankan program pelepasan semula burung upeh sejumlah lapan ekor iaitu empat jantan dan empat betina.
Burung-burung tersebut dibiakkan di dalam Zoo Negara sebelum diserahkan kepada Perhilitan untuk diasuh agar mampu berdikari di habitat liar.

Antara asuhan yang diberikan kepada burung-burung tersebut adalah latihan pemakanan yang mana spesies unggas itu diberi ikan hidup secara kerap.
Jelas Rahmah, pada peringkat awal spesies unggas itu tidak memakan ikan hidup berikutan ia biasa diberikan ikan mati, lama kelamaan ia mula membiasakan diri.

Apabila burung-burung itu dilihat mampu untuk mencari makanan sendiri, ia dilepaskan ke sekitar Kuala Gula.Setelah dilepaskan, burung-burung tersebut akan dipantau oleh Perhilitan menggunakan kaedah radio telemetri untuk mengetahui kawasan keliaran dan pergerakan populasi baru yang telah dilepaskan.Program pelepasan tersebut akan terus dijalankan sehingga populasi yang stabil diwujudkan semula di Kuala Gula.

Projek selama lima tahun tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya 100 ekor burung upeh dibiakkan dan sehingga kini hampir 36 ekor telah dilepaskan.
Pemantauan yang dilakukan selepas enam bulan program pelepasan dijalankan mendapati burung, tersebut telah mula bersarang.

Seterusnya pada Jun 2010, pemantauan yang dilakukan menemui beberapa sarang dan pada Ogos tahun yang sama terdapat beberapa ekor anak burung telah ditemui.
Ia sekali gus menunjukkan bahawa program pelepasan tersebut perlu diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan kestabilan bagi bilangan spesies burung upeh terus berkekalan.
Biarpun terdapat usaha membiak dan melepaskan semula burung tersebut di kawasan yang sama namun masih terlalu banyak kajian perlu dilakukan bagi memastikan objektif usaha tersebut berjaya dicapai.

Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Ahmad Ismail, program pengenalan semua sesuatu spesies burung itu perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin kejayaan program tersebut.
"Banyak perkara perlu diambil perhatian sepenuhnya ketika keputusan untuk melaksanakan program pengenalan semula burung upeh ini.

"Antaranya adalah keadaan persekitaran habitat, keadaan burung, adaptasi burung, penerimaan masyarakat setempat serta pelbagai lagi faktor," ujarnya ketika di temui baru-baru ini.
Dr. Ahmad yang juga merupakan ahli majlis MNS berkata, burung upeh yang dibiakkan di dalam kurungan tidak memiliki kemahiran untuk hidup di habitat liar.
Justeru, burung upeh memerlukan masa untuk menyesuaikan diri keadaan habitat sebenar bagi memudahkannya untuk mencari makan, membiak seterusnya tidak pupus.
Katanya, beberapa program pelepasan burung upeh telah dijalankan di Kuala Gula sebelum ini namun program tersebut pada peringkat awalnya tidak menunjukkan keputusan yang memberansangkan.
"Malah ada sesetengah burung upeh ini hilang tanpa dapat dikesan, berkemungkinan mati akibat ditangkap penduduk setempat mahupun diserang haiwan pemangsa," katanya.

Ini kerana burung upeh yang baru dilepaskan masih belum mampu berdikari untuk mencari makanan sendiri malah amat jinak kepada manusia berikutan ia mengenali manusia sejak kecil.
Kajian yang dilakukan oleh Dr. Ahmad bersama beberapa penyelidik dari UPM mendapati penduduk setempat masih lagi tidak memahami kepentingan konservasi burung tersebut.

"Hampir 47 peratus penduduk yang ditemubual di Kuala Gula ini menyatakan mereka tidak memahami konsep dan usaha konservasi yang sedang dilakukan di sana.
"Kita sudah buat kajian demografik berdasarkan pelbagai kaum dan mendapati mereka tidak memperolehi maklumat yang tepat dalam usaha konservasi burung upeh," ujarnya.

Sehingga kini beliau bersama beberapa penyelidik dari UPM masih menjalankan kajian dan pemerhatian terhadap burung upeh berbekalkan dua dana geran yang telah diperolehinya.
Dana geran tersebut disumbangkan oleh Perhilitan dan daripada Skim Geran Universiti Penyelidikan (RUGS) telah dikhaskan untuk melakukan penyelidikan burung upeh atau lebih mudah dikenali dengan nama Milky Stork.
Kajian yang perlu dilakukan pada peringkat seterusnya adalah berkenaan tahap kemandirian (survival) , kebolehan beradaptasi dengan dunia luar, gangguan habitat yang sedang melanda kawasan Kuala Gula.
Sambil melahirkan rasa kecewanya, Dr. Ahmad menegaskan pembangunan, perladangan serta penerokaan kawasan hutan paya bakau yang giat dilaksanakan sekitar Kuala Gula mampu memberi impak negatif kepada burung upeh.
Biarpun kejayaan demi kejayaan dilakarkan menerusi program pembiakan ex-situdi Zoo Negara bagi mengembang biak burung upeh, namun realitinya kadar kemandirian burung tersebut di habitat asal amat rendah akibat faktor-faktor tersebut.
"Kita masih boleh menemui burung-burung tersebut di sana (Kuala Gula) namun ia tidak membiak seperti yang diharapkan kerana sukar untuk mencari habitat yang benar-benar sesuai untuk bersarang.
"Burung ini sangat unik, malah tempat untuk ia bersarang pun memerlukan kriteria yang tertentu, ketinggian tertentu, cabang atau dahan yang sesuai," katanya.
Terdapat beberapa usaha telah dilakukan membina sarang tiruan telah dilakukan namun ia tidak berjaya menarik perhatian burung untuk bersarang.

Ditambah pula dengan faktor kawasan hutan yang semakin mengecil akibat aktiviti pertanian.
Contohnya terdapat beberapa kawasan paya bakau yang mati akibat pembuangan air tawar daripada kawasan takungan air tawar di dalam kawasan pertanian secara berlebihan.
"Apabila tahap kemasinan air paya bakau berubah dan menurun secara mendadak, pokok-pokok yang terdapat di sekitarnya tidak dapat bertahan lalu mati.

"Kematian pokok-pokok yang menjadi habitat dan kawasan kediamannya sekali gus menjejaskan kadar survival burung-burung tersebut," katanya.

Selain itu, pokok-pokok yang telah mati menjadikan kawasan tersebut lapang seterusnya menyebabkan burung upeh mudah terdedah kepada pemangsa ketika mencari makan di sana.

Beliau turut mengutarakan cadangan agar diadakan kawasan pembiakan khas (in-situ) di Kuala Gula bagi memudahkan burung upeh untuk beradaptasi di kawasan tersebut.
Sumber:utusanmalaysia.com

Menara condong Teluk Intan



TIDAK perlu terbang ke Itali untuk menikmati keajaiban Menara Condong Pisa kerana pengalaman yang hampir sama boleh dikecapi di bandar Teluk Intan, Perak yang hanya memakan masa dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur.
Terletak di tengah-tengah bandar yang dahulunya dikenali sebagai Teluk Mak Intan, menara jam setinggi 25.5 meter yang condong ke arah barat laut tersebut kini menjadi mercu tanda kepada bandar di daerah Hilir Perak itu.

Bangunan yang kelihatan seolah-olah mempunyai lapan tingkat dari luar itu, dibina bagi menempatkan sebuah tangki air untuk kegunaan penduduk setempat sekiranya berlaku kemarau.
Kejadian banjir besar yang berlaku pada tahun 1889 dan 1895 menjadi antara faktor bangunan yang dibina oleh Leong Choon Chong itu mula condong.

Mengikut catatan sejarah juga, menara yang berada di antara Jalan Pasar, Jalan Ah Cheong, Jalan Selat dan Jalan Bandar itu juga pernah digunakan tentera Jepun sebagai pusat kawalan pada suatu ketika dahulu.

Namun, setelah 127 tahun berlalu, menara condong itu kini hanya berdiri sebagai satu monumen sejarah yang menjadi daya tarikan pengunjung ke Teluk Intan.

Wartawan S2, SITI NURAZLINA JAMALUDIN dan jurugambar FAIRUZ IZYANA AYUB menjejaki keunikan bandar yang suatu ketika dahulu juga pernah dikenali sebagai Teluk Anson.
Sumber:utusan malaysia.com

Belajar & beriadah di Gunung Belumut



Pintu gerbang Hutan Lipur Gunung Belumut, Kluang, Johor menyambut kedatangan para pengunjung.

PERJALANAN mengambil masa hanya 45 minit dari bandar Kluang, Johor ke Felda Ulu Dengar yang terletak kira-kira 39 kilometer dari daerah itu.
Tempat yang dituju adalah Hutan Lipur Gunung Belumut yang merupakan sebuah hutan simpan milik Jabatan Perhutanan Negeri Johor yang dijadikan tempat kajian, rekreasi dan pendidikan bagi orang ramai.

Ia amat popular di kalangan penduduk sekitar Johor yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi yang masih belum tercemar dan terletak tidak jauh dari bandar.

Kedudukannya di kawasan tanah rancangan Felda memudahkan lagi pergerakan ke sana walaupun tidak mempunyai pengangkutan awam khusus untuk masuk ke kawasan tersebut.
Orang ramai boleh memilih untuk memandu sendiri atau pun menaiki bas, namun penulis yang balik bercuti ke kampung baru-baru ini pergi ke sana dengan menaiki kereta.
Tidak sukar bagi mereka yang kali pertama mahu ke Hutan Lipur Gunung Belumut kerana papan tanda disediakan sepanjang perjalanan di dalam kawasan Felda tersebut.
Paling penting pengunjung perlulah mengetahui di mana letaknya Felda Ulu Dengar sebelum boleh sampai ke kawasan hutan simpan itu.
Felda Ulu Dengar terletak di jalan menuju ke Mersing di pekan Kampung Gajah. Mudah untuk mencari pekan ini kerana terdapat sebuah penjara iaitu Penjara Kluang Batu 8 di Jalan Kluang - Mersing.
Di sini, bukan sahaja pengunjung dapat menikmati alam sekitar, bahkan boleh mandi di air sungai yang jernih dan tidak tercemar yang terdapat di kawasan itu.

Kawasan mandi itu menjadi tarikan utama kepada pengunjung kerana mereka boleh terjun dari tebing tinggi, namun ia dilarang oleh pihak pengurusan hutan kerana berbahaya.
Bagaimanapun, pasti pengunjung dapat melihat ramai remaja dan mereka yang berani melakukan aksi terjun dari ketinggian 10 meter dari tebing.

Selain mandi di sungai yang sejuk dan bersih, mereka yang suka mendaki gunung boleh mendaki Gunung Belumut yang berketinggian 1010 meter (3,314 kaki) dari paras laut.
Sebelum mendaki, setiap pengunjung perlu meminta kebenaran daripada pejabat Jabatan Hutan Negeri Johor di situ dan membuat laporan polis untuk memaklumkan mengenai aktiviti itu. Ia adalah prosedur biasa bagi pendaki.

Biasanya, pendakian pergi dan balik ke puncak gunung boleh dilakukan sehari suntuk bagi individu yang sihat dan cergas. Namun, ada juga yang gemar bermalam di tapak perkhemahan berdekatan puncak, sebelum turun ke hutan lipur keesokan harinya.

Bagi sesiapa yang ingin bermalam di hutan lipur pula, mereka boleh memilih untuk berkhemah atau menginap di calet pada harga berpatutan.

Kepada kaki hutan, bolehlah meneroka keindahan Hutan Lipur Gunung Belumut sekali gus merasai sendiri keindahan alam semula jadi yang belum terusik.Banyak kemudahan disediakan seperti tandas awam, surau, pondok rehat dan kedai makan. - AMIRUL
Sumber:utusanmalaysia.com

Helang tarikan baru Kuala Selangor



Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat helang dari jarak dekat ketika menyusuri kuala Sungai Selangor di Kuala Selangor.

PERCUTIAN bajet kali ini berkongsi pengalaman bercuti ke Kuala Selangor atas tajaan Goldpage Assets Sdn. Bhd.
Sebut sahaja destinasi ini, dua lokasi eko-pelancongan iaitu menerokai keunikan kelip-kelip dan kehidupan nelayan pasti berlegar di fikiran.

Kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuala Selangor menaiki kereta. Memandangkan ia terletak dalam Selangor, jarak perjalanan yang kami tempuh hanya mengambil masa kira-kira sejam.
Setibanya di Kuala Selangor, kami singgah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pasir Penambang untuk mengalas perut.

Cendol durian menjadi pilihan malah harganya juga murah, hanya RM2.
Perjalanan diteruskan dan kami memilih untuk singgah ke ikon Kuala Selangor iaitu Bukit Malawati.
Sejak kali terakhir ke situ, terlalu banyak perubahannya. Apa yang pasti, satu benda yang tidak berubah, bilangan monyet yang sangat banyak! Dari kaunter bayaran masuk sehinggalah ke bahagian Rumah Api.

Sekali imbas, penulis seperti berada dalam filem Planet Of The Apes, gitu! Jangan risau kerana haiwan ini jinak dan tidak mencederakan manusia.
Bagaimanapun, haiwan ini pantang nampak tangan orang memegang makanan, memang kena kerumunlah jawabnya.

Bagi yang tidak pernah berkunjung ke lokasi ini, sebenarnya Bukit Malawati merupakan kawasan bersejarah yang mempunyai keunikan yang tersendiri.
Banyak peninggalan dari zaman penjajah terdapat di sini, antaranya kubu perang, meriam dan rumah api yang kini begitu terkenal.

Di atas bukit ini juga terletaknya Muzium Sejarah Kuala Selangor di mana pengunjung boleh mempelajari sejarah Kuala Selangor.

Lokasi ini juga menawarkan pemandangan Selat Melaka yang menarik. Selain itu, pengunjung turut berpeluang melawat lokasi lain seperti Batu Hampar, Busut Malawati, Kota Malawati, Makam Diraja, Meriam Penggawa, Muzium Permainan Tradisional, Perigi Beracun dan Laman Budaya.
Puas bersiar di Bukit Malawati, kami bergerak ke lokasi seterusnya iaitu Taman Alam Kuala Selangor yang terletak di hutan simpan di pesisiran Kuala Sungai Selangor.
Dari Jeti Pasir Penambang, kami menyewa sebuah bot tambang dengan harga RM25 (dewasa) dan RM15 (kanak-kanak) bagi melihat tarikan baru di Kuala Selangor iaitu menyaksikan gelagat helang terbang dari puncak pokok dan menyambar makanan di hadapan pelancong dengan aksinya yang tersendiri dari pukul 5 petang ke 7 malam.

Destinasi ini boleh dikatakan yang paling menarik buat mereka yang suka mengambil gambar flora dan fauna.

Pastikan sebelum ke sana, pengunjung sediakan lensa zoom sejauh 300 milimeter untuk gambaran lebih jelas. Jika bernasib baik helang akan terbang berdekatan bot tambang yang dinaiki.
Bukan mudah merakamkan gambar burung helang, lebih-lebih lagi ketika berada dalam bot yang sedang bergelora. Semuanya bergantung pada nasib.

Tepat pukul 7 malam, kami singgah ke Restoran Makanan Laut Kuala Selangor.
Dengan kadar bayaran sebanyak RM30, hidangan ikan siakap masak stim, sayur campur, nasi goreng, udang goreng mentega, lala masak kicap dan pencuci mulut buah mangga disajikan kepada kami.
Puas menjamu selera, kami ke Kampung Bukit Belimbing. Menyusuri perjalanan singkat selama 10 minit di sepanjang Sungai Selangor sambil melihat kelip-kelip yang berterbangan pada waktu malam amat mengasyikkan.

Lokasi ini boleh dikatakan yang terbaik buat warga kota menikmati alam semula jadi serta melihat hidupan malam. Antara lokasi popular untuk melihat kelip-kelip adalah Kampung Kuantan dan Bukit Belimbing.
Selain destinasi yang dilawati wartawan .com, lokasi Air Terjun Chilling, Kuala Kubu Bharu dan Air Terjun Kuala Selangor turut menjadi tarikan utama kepada pengunjung.
Bagi sesiapa yang ingin bermalam di Kuala Selangor, boleh memilih untuk menginap di rumah tumpangan atau hotel bajet dengan harga berpatutan.
Sumber:utusanmalaysia.com

Tuesday, June 26, 2012

Pilihan bilik ikut kemampuan - Bachok Kelantan



PENGUNJUNG juga boleh menginap di calet Sudara Beach Resort, Bachok.


KEINDAHAN pantai sepanjang lebih 20 kilometer yang menghubungkan Bachok dan Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan menjadi khazanah pelancongan di kedua-dua daerah tersebut.

Berbanding dengan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Pengkalan Chepa, pantai di tempat itu jauh lebih menarik kerana ia masih terpelihara dan tidak terhakis.

Selain pantai Tok Bali yang sememangnya cukup popular kepada pengunjung dan pelancong asing, keindahan pantai Telong di Bachok turut sama hebatnya.

Atas inisiatif itulah, Maimun Mohd. Hussain, seorang usahawan wanita di negeri Kelantan mengambil langkah membuka sebuah resort di pantai itu yang dikenali sebagai Sudara Beach Resort (SBR) pada 2000.

Dengan berkonsepkan A Solitude in Paradise, SBR pastinya memberi satu pengalaman percutian yang indah dan menarik kepada semua pengunjung sama ada yang datang bersama rakan atau pun keluarga.

Bayangkan nikmatnya meneguk secawan kopi panas pada waktu petang di beranda sambil mata disajikan dengan keindahan pantai memutih yang diselangi kebiruan air Laut China Selatan.

Maimun yang juga Pengarah Urusan SBR berkata, ia merupakan antara panorama yang boleh dinikmati oleh setiap pengunjung jika mereka memilih percutian yang menenangkan jiwa dan bagi yang mahukan riadah, semuanya ada di sini.

"Resort ini menyediakan 50 calet yang menawarkan beberapa jenis bilik mengikut kemampuan pengunjung. Bilik-bilik ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pemandangan laut, kolam renang, taman tepi sungai dan asrama.

"Ia bergantung kepada pengunjung. Bagi yang mahu menikmati keindahan pantai dan biru laut, mereka akan ditempatkan di calet yang menawarkan pemandangan tersebut," katanya kepada S2.

Pelbagai harga ditawarkan mengikut kemampuan pengunjung iaitu bermula daripada RM170 bagi calet yang menyajikan pemandangan laut, RM150 (pemandangan kolam renang dan pemandangan tepi sungai), RM125 (pemandangan taman), serta RM230 untuk dorm yang mempunyai enam bilik dengan setiap satu menempatkan lima katil dua tingkat.

Sebagai sebuah resort, setiap bilik dilengkapi dengan keperluan asas iaitu televisyen, pendingin hawa, bar mini, seterika, pemanas air, dan beranda.

Selain itu, untuk kepuasan pengunjung, beberapa fasiliti lain turut disediakan iaitu perkhidmatan wi-fi, restoran dan kafe serta bilik mandian spa.

Manakala kepada yang meminati aktiviti sukan dan pantai, SBR turut menyediakan kolam renang, gelanggang bola sepak pantai dan bola tampar pantai serta aktiviti permainan dalam seperti dart dan karom.

"Lokasi resort ini hanya 45 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu dan pengunjung tidak perlu risau kerana kami menyediakan pengangkutan pergi dan balik dengan tambahan bayaran RM20 sehala.

"Sarapan di sini adalah percuma dan bagi makan malam serta tengah hari, ia bergantung kepada permintaan pengunjung. Namun, kebanyakannya mahukan hidangan secara bufet dan barbeku," kata Maimun.

SBR turut menawarkan pakej mesyuarat, kursus dan seminar kepada pelanggannya termasuk beberapa aktiviti lasak untuk program team building.

Sementara itu, bagi kemudahan pengunjung beragama Islam, SBR telah membina Masjid Ar-Rahmah bersebelahan resort yang mampu menempatkan 200 jemaah pada satu-satu masa, selain khidmat seorang imam turut disediakan.

"Resort ini biasanya akan penuh pada setiap hujung minggu dengan majoriti pengunjung adalah penduduk tempatan yang mahu beriadah bersama keluarga dan pilihan utama mereka adalah kolam renang.

"Kami juga mengutamakan soal keselamatan dengan menyediakan beberapa pengawal keselamatan untuk bekerja setiap malam, selain Sungai Telong yang menjadi 'pagar' semula jadi kepada resort ini," ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai SBR boleh diperoleh dengan melayari laman webwww.booking.com atau melawat pejabat jualannya di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu.

Wednesday, December 21, 2011

AKCR dikelilingi kehijauan

 KICAUAN burung dan kehijauan alam semula jadi serta ketenangan yang menyambut ketibaan sememangnya cukup mendamaikan. Keletihan perjalanan menyusuri Lebuhraya Utara-Selatan dari ibu negara selama sejam setengah dan dua jam pemanduan dari Singapura bagaikan terbang bersama angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup.

Itulah kedamaian yang pastinya dirasai di Ayer Keroh Country Resort (AKCR), Ayer Keroh, Melaka. Terletak hanya dua kilometer (km) dari Plaza Tol Ayer Keroh dan berdekatan pelbagai tarikan di Melaka, AKCR dengan slogan ‘The Green Heritage of Melaka,’ pasti tidak mengecewakan pengunjungnya.

Dibangunkan dalam kawasan seluas 6.9 hektar yang dirasmikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 April 1986, AKCR antara hotel di Melaka yang menawarkan keindahan alam semula jadi.Justeru, bagi yang inginkan keselesaan dan lari daripada kesibukan kota tetapi berdekatan dengan tarikan pelancongan yang menarik, AKCR adalah destinasi paling tepat.

Selain menyediakan 70 bilik iaitu 54 unit Superior, 11 unit Deluxe dan 5 unit Family, AKCR turut menyediakan 12 chalet dan dua bilik dometri yang boleh memuatkan 20 orang sebilik.

Menariknya, chalet dua bilik, tiga bilik dan suite menerapkan konsep seperti berada di rumah dengan tempat letak kereta, lama yang luas sesuai untuk mengadakan aktiviti bersama keluarga tersayang dan dikelilingi dengan keindahan alam semula jadi.

Jarak antara chalet pula cukup luas dan tidak berpagar yang membolehkan pengunjung mengadakan sebarang acara seperti berbeku serta aktiviti kekeluargaan. Setiap bilik dan chalet yang ditawarkan di AKCR dilengkapi kemudahan seperti televisyen, WiFi, saluran berbayar Astro, telefon, penyaman udara serta kelengkapan membuat kopi dan teh.

Bagi yang datang secara berkumpulan dan mahu bermalam di dalam khemah, tapak perkhemahan yang boleh memuatkan 100 orang dalam satu masa turut disediakan. Di samping tapak perkhemahan, AKCR turut mempunyai aktiviti menarik dan terbaru khas buat pengunjung terutama yang sukakan aktiviti lasak serta mencabar minda.

Antara aktiviti yang pastinya membuatkan pengunjung teruja adalah permainan paintball, flying fox, wall climbing dan banyak lagi. Aktiviti riadah termasuk berbasikal, merentas hutan dan bermain tenis juga boleh di lakukan di resort itu.

Bagi yang kurang menggemari aktiviti yang mencabar itu, pengunjung boleh berenang di kolam renang sedalam lebih kurang 2.5 meter untuk dewasa dan 0.5 meter untuk kanak-kanak yang dikelilingi pokok yang menghijau. Jika mahu mengunjungi destinasi menarik di Melaka, pengunjung yang menginap di AKCR tidak perlu pergi jauh atau mungkin membawa kereta kerana tempat menarik seperti Mini Malaysia, Taman Rama-Rama, Zoo Melaka, Taman Botani dan Taman Buaya kedudukannya berdekatan.

Bagi mengadakan sebarang acara ataupun seminar, seba–nyak lima dewan yang boleh
di sewa dan semuanya dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sistem audio, meja dan mikrofon wireless, projektor dan white board. Menjamu selera pula, bukan masalah untuk pengunjung yang menginap di AKCR kerana ada tiga restoran menyediakan pelbagai hidangan menarik khas buat pengunjung iaitu di Sireh Junjung Coffee House, Anjung Cafe dan Serambi.

Bagi yang merancang berkunjung ke Melaka atau mencari penginapan dikelilingi kehijauan alam semula jadi dan jauh daripada kesibukan, Ayer Keroh Country Resort Melaka adalah pilihan paling tepat. Untuk maklumat lanjut atau sebarang tempahan, hubungi 06 2325211 atau mengunjung laman web www.akcr.com.my.
Sumber:harian metro

Keunikan Gua Kelawar

KEUNIKAN dan keindahan Kilim Geoforest Park (KGP) sukar diungkapkan dengan kata-kata hinggakan ia diiktiraf sebagai tapak warisan dunia pada 1 Jun 2007 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).Lebih membanggakan kerana perairan mengasyikkan itu menjadi tumpuan umum dari dalam dan luar negara sejak sekian lamanya.

GANTUNG...antara kelawar menghiasi Gua Kelawar.

GELAP...lorong gelap yang ada di Gua Kelawar.

TANGKAS...Burung Helang Merah antara tarikan di Sungai Kilim.

CANTIK...pemandangan indah di Pulau Anak Tikus.

DAKI...anak tangga yang perlu dipanjat sebelum sampai ke Gua Langsir.

TERPELIHARA...antara hidupan laut yang diternak.
Berstatus geopark pertama negara dan di Asia Tenggara serta ke-22 di dunia, KGP adalah satu daripada tapak warisan dunia yang ada di Langkawi selepas Machincang Geopark dan Pulau Dayang Bunting Geopark.

Bagi yang belum tahu, antara destinasi menyeronokkan di KGP adalah Pulau Chabang, Pulau Gorilla, Gua Langsir, Pinakel Langsir, Teluk Cina Mati dan Tasik Langgun yang menjadi tarikan kepada pengunjung selain kemudahan lebih 70 bot beroperasi mampu membawa anda ke mana-mana tempat.



Kunjungan Harian Metro ke KGP baru-baru ini dengan bantuan dua pegawai Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Shariffah Aemee Dianna Syed Mohamed dan Mohammad Faizal Othman, amat menyeronokkan hingga sukar lekang daripada ingatan.


Melalui Sungai Kilim jam 9.10 pagi, didapati kehadiran beberapa kumpulan pelajar sekolah ke kawasan berusia 550 juta tahun itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan.

Ini kerana kehadiran mereka bukan saja memanfaatkan masa terluang tetapi untuk menimba ilmu pengetahuan.

Destinasi pertama yang dikunjungi dan antara tarikan utama pengunjung di situ ialah Gua Kelawar yang dihuni lebih 5,000 kelawar di dalam gua berusia 440 hingga 480 juta tahun.

Menyusuri lorong gelap yang cukup mendebarkan tetapi menyeronokkan, pengunjung dapat melihat kehidupan kelawar unik terbahagi kepada dua spesies iaitu kelawar gemar memakan serangga dan memakan buah.

Fakta menyatakan bahawa hidung kelawar memakan serangga berbentuk bulat, kadangkala berbentuk bunga dan ia mampu menelan sehingga 1,200 serangga selama sejam dalam satu malam.

Selain kelawar, burung layang-layang antara hidupan yang turut mendiami gua terbabit dan fakta menerangkan kebiasaannya kelawar yang keluar daripada gua membelok ke kiri kemudian ia diikuti burung layang-layang.

Berlatarkan batu kapur, Gua Kelawar yang terletak di kawasan paya bakau di tepi anak Sungai Kilim itu juga mempunyai ruangan berbentuk terowong panjang kaya dengan stalagmit dan stalaktit besar selain menjadi rumah kepada kumpulan kelawar itu.

Gua terbabit yang juga kaya dengan fosil berusia 250 hingga 480 juta tahun itu terbentuk disebabkan hakisan dan tujahan ombak selain dibarisi hidupan pokok bakau yang kuat mencengkam akarnya.

Tarikan Gua Kelawar adalah struktur stalaktit dan stalagmit yang kelihatan begitu unik kerana ia membengkok ke arah sisi mencari cahaya matahari.

Proses kedua-dua pembentukan itu mengambil masa yang lama hingga mencecah 100 tahun bagi membentuk satu inci stalaktit atau stalagmit.

Hampir sejam di Gua Kelawar, penerokaan yang cukup mempesona diteruskan dengan menyaksikan kehidupan Burung Helang Merah di Sungai Kilim yang terletak satu kilometer dari Pengkalan Nelayan Kilim.

Mengambil masa lebih kurang lima minit dengan bantuan bot laju, kami berpeluang melihat lebih 30 burung Helang Merah yang terbang bebas di kawasan sungai, sekali gus mencantikkan pemandangan tatkala sampai di kawasan yang dituju.

Helang Merah atau ‘Brahminy Kites’ dahulunya mendapatkan makanan di sekitar kawasan hutan, namun kehidupan itu kini lebih me�nyenangkan sejurus diberikan kisaran lemak ayam setiap hari oleh petugas Lada.

Menyaksikan kelincahan burung helang merah yang tidak henti-henti menjunam ke dasar air mendapatkan lemak ayam ternyata membuatkan pengunjung tersenyum dan bagi kami itu adalah pengalaman yang begitu berharga.

Menurut pegawai Lada yang mengiringi, cara untuk memberitahu bahawa waktu makan sudah tiba kepada burung helang merah dengan mengocak air di sungai menggunakan enjin bot. Ia sememangnya unik dan menyeronokkan.

Puas melihat aksi Burung Helang Merah menikmati makanan yang disediakan, aktiviti seterusnya yang kami lakukan adalah bersiar-siar di sekitar pulau kecil.

Menariknya di Pulau Kecil, pengunjung berpeluang melihat beberapa bukit kecil yang kelihatan seperti Aparchi Head (kepala Red Indian), Baby Face dan ada juga seperti kasut (Pulau Kasut).

Hampir sejam bersiar-siar, destinasi seterusnya ditujui ialah Pulau Anak Tikus (PAT) yang terletak di hujung selatan Pulau Langgun.

PAT yang juga dikenali sebagai kubu fosil dianggarkan berusia 490 juta tahun dibentuk batu kapur gelap yang berlapis sederhana hingga tebal.

Pemandangan PAT yang indah menghadap lautan dalam batuan kapur itu kaya dengan pelbagai jenis fosil terutama ‘gastropod’ dan ‘setatopod’.

Fosil gastropod (sejenis siput) yang lazim ditemui di kawasan terbabit termasuk ‘Malayaspira rugosa’, ‘teichispira kobayshii’, ‘helicomota jonesi’, ‘palaecaphalus giganteus’, ‘lesuerilla zorota’ dan ‘hormotuma’.

Sesudah puas meninjau PAT, kami dibawa pula menyaksikan keindahan Gua Langsir.
Ia dikenali nama sedemikian kerana gua itu mempunyai satu lorong yang amat kecil menyerupai langsir dan hanya sebuah sampan kecil mampu memasuki lorong berkenaan.

Sebelum mengunjungi Gua Langsir, pengunjung terlebih dulu harus mendaki hampir 300 anak tangga serta melalui kira-kira 200 meter jambatan sebelum menyaksikan keindahan mempesonakan di gua terbabit.

Destinasi akhir dikunjungi kami ialah Hole In The World iaitu pusat penternakan yang kaya dengan pelbagai hidupan laut antaranya ikan pari, ikan kerapu, belangkas dan udang lipan selain ‘ikan empat calit’ iaitu ikan kecil yang mempunyai empat garisan pada bahagian badan.

Selain menyaksikan ternakan hidupan laut, pengunjung juga boleh menikmati makanan laut berikutan banyak gerai makan dibuka khas untuk pelanggan dengan harga berpatutan.

Memang benar KGP adalah warisan dunia terunggul di negara ini. Jika berkunjung ke KGP, pengunjung bukan saja dapat menyenangkan perasaan tetapi turut membuatkan pengunjung kagum dengan kepelbagaian destinasi pelancongan yang mengasyikkan di Pulau Langkawi.

 
INFO:
•Kilim Geoforest Park adalah geopark pertama negara dan di Asia Tenggara serta ke-22 di dunia.
•Salah satu daripada tapak warisan dunia di Langkawi selain Machincang Geopark dan Pulau Dayang Bunting Geopark.
•Gua Kelawar yang dihuni lebih 5,000 kelawar di dalam gua berusia 440 hingga 480 juta tahun.
•Bukit kelihatan seperti Apache Head (kepala Red Indian), Baby Face dan kasut antara tarikan di Pulau Kecil.
•Asal usul nama Gua Langsir adalah kerana ia mempunyai lorong yang sangat kecil menyerupai langsir dan hanya sebuah sampan kecil yang boleh memasukinya.
Sumber:harian Metro

Thursday, August 18, 2011

Selesa di Avillion Port Dickson

CHALET terapung dengan reka bentuk menarik ini menjanjikan kemudahan penginapan yang selesa di Avillion Port Dickson, Negeri Sembilan.


KEMUDAHAN penginapan di chalet dan hotel Avillion Port Dickson, dekat pantai Teluk Kemang, Negeri Sembilan bakal menjanjikan percutian yang pasti tidak dapat dilupakan. Penginapan mewah yang ditawarkan adalah pada harga yang amat berpatutan.

Hampir semua kemudahan kehidupan moden disediakan, antaranya sambungan tanpa wayar, televisyen skrin rata, tilam mewah, pancuran mandi berkuasa tinggi dan sistem ipod.

"Pengunjung boleh merehatkan diri di Avi Spa, iaitu kemudahan spa terapung dua tingkat yang begitu indah sekali. Avi Spa menawarkan pelbagai rawatan tradisional dan pernah memenangi beberapa anugerah," kata Pengarah Kanan Operasi hotel itu, Gared Mario Cubinar kepada S2.

Avillion Port Dickson menawarkan 258 bilik yang dikategorikan sebagai Beach Rooms, Garden Chalets, Premium Water Chalets, Water Chalets dan Water Villa.

Kesemua bilik itu dipadankan dengan katil saiz king atau dua katil individu dengan pangkin atau day-bed serta bilik mandi terbuka peribadi. Hidangan sarapan pagi boleh didapati di restoran Crow's Nest yang menyediakan perkhidmatan 24 jam sehari. Bagi yang mahu menonjolkan bakat menyanyi, anda boleh berbuat demikian di Jungle Fring Karaoke Bar yang dibuka sehingga larut malam. Sementara itu, mereka yang datang bersama keluarga tidak perlu gusar untuk melakukan sebarang aktiviti. Ini kerana terdapat perkhidmatan jagaan kanak-kanak di Children's Cabin. Avillion Hotel turut menyediakan pelbagai kemudahan riadah pengunjung seperti pusat kecergasan, belajar Tai Chi, kolam renang dan gelanggang tenis.

Keunikan lain hotel butik ini adalah inspirasi seni binanya yang diilhamkan berdasarkan kepada perkampungan nelayan Melayu tradisional dengan mengutamakan budaya tempatan. Lebih tampak mewah, ia memiliki ciri-ciri tertentu bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai gabungan zaman warisan dan keselesaan moden.

Manakala keunikan chalet pula adalah ia dibina di atas air, selain mempunyai tingkap kaca yang membolehkan penghuninya melihat permukaan laut.

Menjanjikan kepuasan maksimum, pihak pengurusan telah menaik taraf chalet bagi meningkatkan keselesaan kepada pelanggan yang menginap di situ.

Sumber:utusan malaysia