Carian Maklumat di sini

Custom Search

Tuesday, April 1, 2014

Tembok jadi tarikan pelancong



Tembok sempadan sepanjang 20.9 kilometer yang menganjur antara 
Bukit Batu Puteh, Kuala Perlis dan Padang Besar dilihat berpotensi
 sebagai produk baru sektor pelancongan.

KEINDAHAN bukit-bukau, sawah dan tasik, yang mewarnai landskap alam, sememangnya sudah tidak asing bagi pelancong yang melawat Perlis.

Apa kata jika jajaran tembok yang menjalar di sempadan Malaysia-Thailand juga disenaraikan sebagai tarikan pelancong ke negeri paling kecil ini.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa tembok keselamatan di kawasan berbukit itu perlu menolak kehadiran pelancong kerana kedudukannya dalam kawasan keselamatan.
Walaupun tembok konkrit itu dilihat sebagai tidak mesra, menggerunkan, suram dan kaku namun ada yang mahukan aset keselamatan negara itu dimesrakan kepada pelancong. Sesiapa sahaja termasuk pelancong yang melepasi pintu sempadan sama ada di Padang Besar atau Wang Kelian pasti akan melewati tembok yang dibina sejak 20 tahun lepas itu.

Bagaimanapun tidak ramai yang tergerak hati untuk merakam kenangan di pinggir tembok setinggi 2.4 meter itu atas alasan ia berada di kawasan keselamatan.

Ada yang beranggapan tiada apa yang menarik di tembok yang sentiasa dikawal anggota keselamatan apatah lagi ia belum pernah melakar peristiwa besar sebagaimana yang pernah berlaku di Tembok Berlin dan Tembok Besar China.

Namun ramai yang melihat potensi tembok sempadan sepanjang 20.9 kilometer yang menganjur antara Bukit Batu Puteh dan Padang Besar sebagai produk baru sektor pelancongan.

Ada yang berharap kawasan tembok terutama berhampiran pintu sempadan boleh didekati secara terkawal walaupun bukan untuk keseluruhan tembok itu.

Antara yang melihat potensi tembok sempadan sebagai aset pelancongan yang baharu ialahRaja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Selama ini baginda menyumbang banyak idea untuk memajukan sektor pelancongan di Perlis melalui pelbagai kegiatan promosi di dalam dan luar negara.

Mercu tanda di Sempadan

Tuanku Syed Faizuddin berharap akan ada usaha untuk menjadikan tembok yang menyimpan pelbagai kisah berkaitan keselamatan itu sebagai mercu tanda pelancongan kawasan sempadan.

“Mungkin sebuah ruang persinggahan boleh diwujudkan di pinggir tembok untuk para pelancong bergambar kenangan di pinggirnya," titah baginda pada program berbasikal santai di Padang Besar baru-baru ini.

Jika tembok sempadan tidak boleh didekati mungkin sebuah replika tembok sempadan boleh dibina di lokasi strategik untuk membolehkan pelancong bergambar kenangan apabila tiba di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin mengimbas kembali pengalaman baginda meninjau tapak bekas Tembok Berlin di Jerman pada akhir tahun lepas. Sisa tembok bersejarah yang diruntuhkan itu kini menjadi tumpuan pelancong meskipun ia lama dimusnahkan.

Tembok Berlin yang dibina pada 1961 menjadi dinding pemisah antara Jerman Barat dan Jerman Timur selama 28 tahun sebelum diruntuhkan pada 1989.Para pelancong yang melawat Berlin mengambil kesempatan bergambar di pinggir-pinggir cebisan tembok yang menjadi tinggalan sejarah sebagai kenangan.

Baginda yakin tembok sempadan yang menjadi dinding pemisah Malaysia dan Thailand juga mampu menggamit pelancong ke Perlis.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menjadi Menteri Besar Perlis juga pernah mencadangkan kawasan pinggir sempadan dibuka kepada pelancong.

Baginya, keunikan Perlis sebagai sebuah negeri yang bersempadan dengan Thailand dan dipisahkan dengan tembok konkrit harus dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong.

Bagaimanapun cadangan Shahidan, yang dibuat pada 1999 itu, tidak dapat dilaksanakan dengan alasan faktor keselamatan.Seorang pelancong dari Pulau Pinang, Norhisham Said, 34, mengakui teruja melihat tembok sempadan apabila melepasi pintu sempadan di Wang Kelian.

“Tembok yang kaku itu perlu hidup. Berikan nafas kepadanya," kata ahli perniagaan itu kepada Bernama semasa ditemui di Wang Kelian.

Mural di tembok
Bagaimanapun tembok sempadan di Padang Besar mula diceriakan dengan lukisan mural yang menghiasi dindingnya.

Seorang kakitangan awam Zaonah Hamisan, 36, dari Batu Pahat, Johor yang mengunjungi Padang Besar tidak melepaskan peluangnya merakamkan gambar kenangan di pinggir tembok berhampiran pintu sempadan itu.

Bagi beliau, ia adalah satu peluang yang baik untuk mengabadikan kenangan apabila tiba di pekan sempadan ini yang menjadi tumpuan pelancong. Sesungguhnya tiada apa yang perlu disembunyikan kerana tembok ini sememangnya boleh dilihat dengan jelas di pintu sempadan dan berhampiran laluan menuju ke pintu masuk Thailand.

Kerajaan mula membina tembok konkrit di sepanjang sempadan berbukit antara Bukit Batu Putih dan Padang Besar bermula 1994 yang antara lain bertujuan mengekang kegiatan pencerobohan dan penyeludupan melalui sempadan ini.

Apa yang penting selagi tidak menjejaskan keselamatan negara, tembok sempadan di kawasan pintu sempadan ini perlu diberi nafas baharu dan dihidupkan sebagai produk pelancongan.

Pembinaan replika tembok boleh menjadi alternatif kepada tembok sebenar jika pihak berkuasa keselamatan tidak membenarkan ia dihampiri.

Sebelum ini, penganjuran kegiatan berbasikal dan larian di pinggir sempadan pernah diadakan oleh beberapa pihak dan memberi peluang kepada para peserta mendekati tembok sempadan.

Sesungguhnya para pelancong juga sentiasa menunggu jika ada ruang untuk mereka menikmati suasana pinggir sempadan yang unik. - Bernama


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Menjamu selera di puncak gunung



SEBAHAGIAN pelanggan menikmati makan malam stimbot dan barbeku 
bersama keluarga dalam kedinginan malam di Restoran Puncak Kedah,
 Gunung Jerai, Gurun, Kedah.

Bagaimana rasanya menghirup sup atau tom yam panas dalam keadaan cuaca sejuk? Tentu sekali ia cukup menyelerakan, sekali gus membuatkan kita sukar untuk berhenti daripada menambah semangkuk demi semangkuk untuk terus menikmatinya.
Bagi merasai pengalaman sebegitu, tidak perlulah kita berbelanja besar ke luar negara, sebaliknya kita hanya perlu membuat tempahan di Restoran Puncak Kedah yang terletak begitu hampir dengan puncak Gunung Jerai, Kedah dalam kawasan The Regency Jerai Hill Resort.
Paling istimewa di situ, sudah tentulah hidangan stimbot serta barbeku yang menyajikan pelbagai makanan laut serta sayuran segar sedia untuk dinikmati pelanggan restoran.
Menurut Ketua Chef Restoran Puncak Kedah, Ayob Yahaya, disebabkan keistimewaan lokasi dan hidangan berkenaan, ada pengunjung sanggup datang dari jauh dan berkunjung ke situ semata-mata mahu menikmati keunikan lokasi dan keenakan makanan di situ.
"Memang ada dalam kalangan pelanggan tetap kami termasuk dari Pulau Pinang yang datang pada sebelah malam semata-mata mahu menikmati stimbot dan barbeku di sini, sekurang-kurangnya dua atau tiga kali dalam sebulan.
"Keunikan menjamu selera di sini, ada kalanya suhu mencecah sehingga 17 darjah celcius menyebabkan mulut ‘berasap’ ketika bercakap. Sudah tentu, keadaan itu menambah selera pengunjung untuk menikmati stimbot dan barbeku segar yang kami sediakan," katanya.
Sebagai pembuka selera, antara hidangan yang sering menjadi pilihan pengunjung adalah sup cendawan, manakala kek lobak merah istimewa yang penuh dengan serat dihidangkan sebagai penutup sajian bersama teh tarik.
Dibuka bermula pukul 11 pagi sehingga 11 malam setiap hari, para pengunjung hakikatnya tidak hanya menjamu selera, sebaliknya turut berpeluang menjamu mata melihat pemandangan indah dari restoran berkenaan.
Jika pada waktu siang, pengunjung berpeluang menikmati keindahan sawah padi, lautan serta beberapa pulau berdekatan termasuk pulau legenda, Langkawi dari tempat duduk restoran.
Di sebelah malamnya pula, lampu-lampu pelbagai warna menghiasi kawasan sekitar, sekali gus mencipta suasana romantis buat pasangan bercinta.
Ayob menambah, bagi mana-mana pihak yang datang berkumpulan, mereka boleh membuat pilihan sama ada mahu menikmati hidangan di restoran atau di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai termasuk di sekitar kolam renang.
"Kami menyediakan perkhidmatan yang agak fleksibel di sini dan harga dikenakan berbeza mengikut permintaan pelanggan terhadap apa yang mereka mahu.
"Tetapi untuk stimbot biasa, kami mengenakan caj sebanyak RM28++ seorang dewasa, manakala untuk stimbot barbeku harganya adalah sekitar RM38++ seorang," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mi Kampua di Pasar Besar Sibu



SURAYA Omar (kanan) sibuk menyediakan mi kampua kicap 
di Pasar Besar Sibu, Sarawak.

APABILA sampai di Sibu, Sarawak, antara makanan yang wajib dimakan adalah mi kampua. Penulis berkesempatan merasa keenakan mi tersebut di Suraya Cafe yang terletak dalam kawasan Pasar Besar Sibu.
Kedai ini telah dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membuat lawatan pada 2012.
Pemiliknya, Suraya Omar, 43, berkata, mi kampua adalah sejenis mi berasal dari masyarakat Foochow yang mana ia sedap, murah dan digemari masyarakat tempatan.
"Saya mempelajari resepi mi kampua ketika bekerja di kedai makan orang Cina sebelum memulakan perniagaan sendiri.
"Resepi asal diubah kandungannya agar ia halal dan dapat dimakan oleh mereka yang beragama Islam," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Beliau yang telah berniaga mi tersebut sejak 15 tahun dahulu menambah, kedainya dibuka 365 hari setahun tanpa ada cuti.
Katanya, beliau dibantu empat orang pekerja bagi menyediakan lebih 100 mangkuk mi kampua sehari.
"Cara membuat hidangan ini senang. Rebus mi terlebih dahulu, kemudian kicap cair dan pekat, minyak bawang merah dicampur dan digaul bersama mi.
"Mi kampua saya dihidangkan bersama sup yang pasti menyelerakan orang ramai," jelasnya.
Suraya berkata, pengunjung di Pasar Besar Sibu kebanyakannya akan singgah makan di sini bagi merasa keenakan mi berkenaan.
Pelbagai variasi mi kampua disediakan seperti mi kampua kicap, puti, sos, goreng dan sup yang mana kesemuanya hanya berharga RM3 sahaja.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Salman’s Homestay sedia penginapan bajet



RUANG kaki lima yang ringkas dan selesa untuk pengunjung di Salman's Homestay.

MELANCONG antara terapi terbaik untuk minda. Bagaimanapun, aktiviti berkenaan lebih menyeronokkan sekiranya dilakukan bersama keluarga dan sesuai pula dengan kemampuan kewangan.
Sekiranya tidak, ia bukan menjadi terapi terbaik sebaliknya akan mengacaukan lagi minda. Di Sabah, destinasi wajib yang perlu dikunjungi adalah Kundasang di Ranau. Namun, untuk pelancong terutama dari Semenanjung, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan kerana melibatkan kos tinggi terutama kos penerbangan yang mampu mencecah ribuan ringgit bagi yang datang secara rombongan.
Walau bagaimanapun, melalui perancangan rapi, segalanya mampu diatasi. Hotel penginapan di Kundasang sendiri mempunyai banyak pilihan, bermula daripada yang bertaraf lima bintang sehinggalah hotel bajet termasuk inap desa dan sewaan bilik.
Antaranya adalah Salman’s Homestay yang terletak di Kampung Mesilau, iaitu kawasan yang paling sejuk di daerah Kundasang. Kedinginan suhu di situ membuatkan setiap kali menjelang senja, sesiapa yang bercakap akan kelihatan wap-wap air keluar daripada mulutnya, tidak ubah seperti berada di negara-negara beriklim sejuk.
Penginapan ini yang terletak di tanah tinggi amat tenang dan sunyi daripada kesibukan kota, selain berlatar belakangkan Gunung Kinabalu yang tersergam indah, penghuninya juga bakal mendengar bunyi deruan anak sungai dari puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.
Pada sebelah pagi, iaitu selepas waktu Subuh, kira-kira pukul 5.30 pagi, penghuni mampu melihat dengan jelas batu-batu di puncak gunung itu, terlalu dekat dan ia merupakan satu perasaan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Namun kita perlu melihatnya pada awal pagi kerana beberapa jam selepas itu, puncak kebanggaan rakyat Sabah dan negara ini akan diselimuti oleh kabus tebal.
Pengurus Salman’s Homestay, Salman Nasaruddin, 26, berkata, pihaknya mempunyai tiga unit rumah yang setiap satunya mempunyai dua bilik besar dan mampu memuatkan sehingga lapan orang dalam satu masa.
Katanya, setiap unit tersebut memiliki ruang tamu dan bilik air persendirian serta dapur dan kelengkapan memasak.
"Bagi penghuni yang tidak mahu memasak, kami menyediakan beberapa menu makanan yang boleh ditempah seperti patin masak lemak, daging masak halia, lamb chop, burger bakar, roti john dan pelbagai lagi menu istimewa dengan harga berpatutan.
"Kemudahan lain adalah mesin basuh, set tv, WiFi percuma dan barbeku, malah penginapan ini juga terletak berhampiran masjid. Semuanya ditawarkan pada harga yang amat berpatutan bersesuaian dengan bajet yang datang secara berkumpulan iaitu hanya RM180 untuk satu malam," katanya kepada S2.
Kedudukan Salman’s Homestay ini amat strategik iaitu hanya satu kilometer (km) ke Ladang Tenusu, Desa Dairy Farm; Kundasang Golf Club (2 km), Ladang Strawberi (6 km), Memorial Peringatan Perang (7 km), Kinabalu Park (12 km), Ladang Teh Ranau (29 km), Air Panas Poring (29 km) dan Tagal Ikan Kelah Luanti (30 km).
Tambah Salman, projek inap desa keluarganya itu dimulakan pada 2010 dan siap pada penghujung 2013 dan mula menerima kedatangan penghuni pada awal tahun ini.
"Pelbagai cabaran dihadapi seperti kekurangan modal, selain kawasan tapak homestay dipenuhi dengan batu besar. Kami terpaksa berulang kali menggunakan jentera untuk memindahkannya, namun tidak berjaya. Akhir sekali batu-batu tersebut terpaksa dibakar perlahan-perlahan sehingga pecah dengan sendiri," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, January 29, 2014

Naan Corner saji roti boom asli


ROTI boom atau roti canai mini semakin digemari rakyat negara ini.

BAGI peminat roti boom, pasti tertanya-tanya siapakah pencetus asal yang menghasilkan 'roti canai mini' yang semakin menjadi kegemaran ramai di negara ini.

Jawapan kepada persoalan itu ada di Naan Corner yang terletak tidak jauh dari ibu kota iaitu di Ampang Jaya.

Pemiliknya, Parwis Kausar, berkata, selain menu yang diwarisinya turun-temurun iaitu roti boom, pelbagai jenis makanan turut lain dihidangkan di restoran miliknya.
Istimewanya, setiap masakan yang disajikan di restoran itu dimasak dengan menggunakan resipi sendiri yang diwarisi turun temurun sejak dahulu.

Menurutnya, bermula dengan masakan India, Melayu dan Cina sehinggalah aneka masakan Barat, kesemuanya ada dihidangkan di Naan Corner.

"Bagi penggemar roti boom, mereka boleh menikmati hidangan tersebut pada harga 50 sen sekeping.

"Harga makanan lain juga amat berpatutan yang mana paling mahal adalah RM40," katanya.
Menurut Parwis, selain roti boom, antara menu lain yang digemari pengunjung adalah daging dendeng, nasi lemak kukus RM1, mee rebus, tauhu bakar dan murtabak daging.
"Kebanyakan mereka yang mengunjungi restoran ini terdiri daripada pelanggan tetap memandangkan restoran ini telah bertapak di situ sejak 30 tahun lalu.

"Pelanggan tetap datang ke restoran ini semata-mata mahu menikmati roti boom dan beberapa jenis masakan yang mereka gemari," tambahnya.

Dalam pada itu, antara masakan Melayu yang terdapat di Naan Corner adalah nasi campur, nasi ayam, mee kari dan asam laksa.

Manakala, masakan barat pula adalah chicken chop, fish and chip, lamb shank dan stik rib eye.
"Menu istimewa lain yang disediakan adalah cucur udang, udang mentega, sup kambing, sup tulang, sup Singapore dan sup ekor.Restoran Naan Corner turut menyediakan pelbagai jenis minuman yang pastinya memikat selera pengunjung.Antaranya adalah longan super, laici super, durian belanda dan mango lassi.

Parwis berkata, saiz gelas bagi setiap minuman adalah besar bagi memastikan kepuasan setiap pelanggan."Melihatkan pada saiznya, pasti ramai yang tidak menyangka harga bagi segelas air minuman di sini adalah antara RM5 hingga RM10.

"Selain saiz gelasnya yang besar, rasa minuman yang disediakan juga sangat istimewa dan tidak terdapat di mana-mana restoran lain," ujarnya.Restoran Naan Corner dibuka setiap hari pada pukul 3 petang hingga 2 pagi.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Percutian resort tengah bandar raya





MENJADI satu-satunya resort di tengah bandar raya Kota Kinabalu, Sutera Harbour Resort, menawarkan percutian yang pastinya sukar dilupakan oleh para tetamunya.

Mereka yang berkemampuan dan menginginkan percutian secara eksklusif, namun masih mahukan sesuatu yang lebih mencabar, tidak perlu risau untuk mencari resort atau tempat penginapan kerana semua itu boleh dinikmati secara pakej di Sutera Harbour Resort.

Begitupun, mereka haruslah mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk menikmati keseronokan bercuti sambil melawat tempat-tempat menarik.

Sutera Harbour Resort yang merangkumi dua hotel lima bintang iaitu The Magellan Sutera Resort dan The Pacific Sutera serta kelab rekreasi The Sutera Harbour Marina, Golf and Country Club, menawarkan pakej pelancongan terbaik di negeri ini.

Meliputi kawasan seluas 155.4 hektar tanah tebus guna, resort bersepadu ini memiliki kemudahan rekreasi luas termasuk padang golf, gelanggang tenis dan jeti bagi persinggahan kapal-kapal pelayaran mewah.

Pacific Sutera Resort mempunyai 500 bilik dan suite eksklusif dengan hiasan kontemporari dengan harganya bermula daripada RM400, sementara The Magellan pula mempunyai sebanyak 456 bilik dengan kadar bermula daripada RM450 untuk penginapan satu malam.
Seandainya pelancong berminat untuk melawat pulau-pulau berhampiran, mereka boleh menaiki bot resort berkenaan ke Taman Tunku Abdul Rahman yang merangkumi lima buah pulau yang terletak hanya kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot dari resort berkenaan.

Lima buah pulau indah yang terdapat di situ adalah Manukan, Mamutik, Sulug, Gaya dan Sapi.
Eksekutif Pemasaran dan Komunikasinya, Ryazilah Abdul Rahim berkata, resort itu turut menjalinkan usaha sama dan perkongsian dengan pihak ketiga untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pelancongan di Sabah.

''Sebagai contoh, kami bekerjasama dengan Jabatan Keretapi Negeri Sabah menawarkan pakej menaiki keretapi stim vintaj yang bertujuan memberi pengalaman zaman silam British Borneo Utara kepada pelancong.

"Penumpang yang bakal menikmati pengalaman perjalanan dari Tanjung Aru, melalui pekan Putatan, Kinarut, Kawang dan Papar akan dilayan oleh kru keretapi itu yang lengkap memakai uniform zaman kolonial, selain hiasan dalamannya turut memaparkan dekorasi zaman berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Ryazilah berkata, kepada pelancong bajet, pihaknya turut menawarkan penginapan bajet rendah melalui Sutera Sanctuary Lodges (SSL) yang diuruskan bersama dengan Taman-Taman Sabah.

''Sasaran utama SSL untuk menjadi resort yang dapat memenuhi keperluan tetamu kami daripada pelbagai peringkat, dari orang-orang kenamaan hinggalah ke backpackers," katanya.

Katanya, Sutera Harbour akan meningkatkan lagi kemudahan di resort itu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua tetamunya dapat menikmati pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika berada di negeri ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Menggamit ketenangan di Residence Inn Cherating




WALAU ke mana sahaja destinasi pelancongan dirancang, pastinya pilihan terarah kepada hotel atau resort yang memberi kemudahan dan pemandangan memuaskan.
Diselubungi ketenangan alam semula jadi dan alunan ombak Laut China Selatan yang mendamaikan, Residence Inn Cherating (RIC), Kuantan, Pahang memahami kehendak itu dengan menjanjikan yang terbaik kepada mereka untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan.
Bagi yang sering berkunjung ke negeri-negeri di pantai Timur, pastinya tidak dapat menafikan keindahan pantai dan kehijauan alam semula jadi yang masih terpelihara.
Mengambil tema ciptaan indah Yang Maha Esa, Residence Inn Cherating dibina di atas tanah seluas empat hektar oleh syarikat milik penuh bumiputera iaitu Residence Inn & Motel Sdn. Bhd., pada 1994.
Mengambil masa kira-kira lima minit ke pantai Cherating, hotel tersebut yang bertapak di pesisir laut itu menjanjikan penjimatan dengan perkhidmatan serta kemudahan bertaraf lima bintang.
Hotel itu menyediakan 74 bilik bersama balkoni peribadi yang terbahagi kepada 14 bilik Executive Deluxe menghadap kolam renang dan jakuzi; 46 bilik Deluxe Apartment dan 14 calet di dalam taman ala kotej Inggeris yang digemari pelancong luar negara.
Bagi mereka yang menginap di sini, sudah tentunya ingin mencari kadar bayaran berpatutan, sesuai dengan bajet mereka dan RIC sudah pasti tidak mengecewakan.
Terdapat tiga pakej disediakan bermula pada harga rendah hingga berpatutan seperti percutian dua hari satu malam meliputi super saver package, hot deal package dan tiga hari dua malam breakway package.
Bagi pasangan yang baru berkahwin, hotel ini turut menawarkan pakej romantik dikenali honeymoon @ RIC pada harga istimewa yang membolehkan pasangan terbabit menikmati makan malam di tepian jakuzi di kawasan kolam renang.
Selain kemudahan bilik, RIC juga menyediakan beberapa aktiviti kepada pengunjung bermula kembara hutan, snorkeling, pukat tarik, berkayak di sungai dan melihat kelip-kelip pada waktu malam.
Pengunjung tidak perlu bimbang tentang soal keselamatan kerana hotel itu juga mempunyai sistem kawalan keselamatan dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) selama 24 jam.
Kemudahan lain yang turut disediakan adalah perkhidmatan pengangkutan, tempat letak kereta percuma, internet tanpa wayar, kelab karaoke, mini bar dan Paradise Cafe, kedai cenderamata, tiga buah kolam renang dan satu jakuzi, gimnasium serta perkhidmatan perubatan 24 jam yang jarang ditemui di tempat penginapan percutian yang lain.
Dengan kemudahan dan perkhidmatan terbaik itu, tidak hairanlah jika RIC dinobatkan oleh tetamunya sebagai antara tempat penginapan terbaik di pantai Cherating.
Menurut Pengarah Urusan RIC, Wan Ramzi Wan Muda, keindahan semula jadi di pantai Cherating adalah tarikan sebenar yang menggamit tetamu berkunjung ke hotel ini.
"Tiga faktor yang menjadi jaminan buat pengunjung adalah layanan terbaik, perkhidmatan cemerlang dan makanan disediakan dengan kasih sayang bagi menghargai tetamu kami," katanya.
Tambahnya, RIC mengamalkan konsep prihatin terhadap alam sekitar dan sistem kumbahan yang menggunakan sistem Hi-clean berfungsi dengan menapis air ke tahap boleh guna semula, sekali gus mengalir ke laut dalam keadaan bersih.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, January 21, 2014

Mentarang bakar menu istimewa




PENGGEMAR makanan laut pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati keunikan rasa mentarang bakar yang banyak terdapat di gerai-gerai tepi jalan di sekitar Kampung Sungai Leman, Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor.

Antara yang menjadi tumpuan adalah gerai Faridah Mentarang Bakar yang sering dikunjungi penggemar makanan laut itu.

Pemiliknya, Sazali Zainal, 54, berkata, rata-rata pelanggan yang berkunjung ke gerainya bukan sahaja daripada kalangan penduduk sekitar, malahan ada yang datang dari Lembah Klang.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan di gerai miliknya menjadi faktor utama pelanggan kerap berkunjung ke situ seperti ruang makan menarik, tempat letak kereta percuma dan hidangan istimewa berasaskan mentarang.

"Pelanggan boleh memilih untuk menikmati makanan yang disaji sama ada secara bersila di pondok atau duduk di meja makan yang disediakan di pinggir tali air dalam suasana kampung yang sangat menarik," katanya.
Keistimewaan lain yang terdapat di situ adalah pelanggan boleh membeli mentarang segar untuk dibawa pulang pada harga berpatutan.

"Ada di antara pelanggan membeli mentarang pada harga RM10 sekilogram untuk dibawa pulang," kata Sazali.
Dia yang membuka gerainya bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Jumaat berkata, keunikan rasa mentarang bakar semakin digilai penggemar makanan laut sehinggakan dia mendapat tempahan dari luar Selangor.
"Mungkin sebelum ini mentarang bakar tidak dikenali tetapi selepas hasil laut ini dikomersialkan, ia terus menjadi makanan yang digemari," ujarnya.
Menurutnya, pada hari-hari biasa, dia mampu menjual kira-kira 50 kilogram tetapi hujung minggu mampu mencecah 100 kilogram.

Di gerainya juga terdapat air kelapa segar dari jenis kelapa pandan dan kelapa gading yang amat digemari para pelanggan.

Gerai mentarang bakar miliknya merupakan yang pertama dibuka di daerah itu sejak empat tahun lalu dan menjadi pelopor sebelum diikuti oleh beberapa peniaga lain.
"Harapan saya adalah kawasan Sekinchan dapat menjadi tumpuan penggemar makanan laut khususnya mentarang dan besar lagi harapan saya agar makanan ini dapat dikomersialkan secara lebih meluas, sekali gus menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, September 7, 2013

Taman Eko-Rimba Lata Kinjang: Nikmati air terjun bertingkat

Oleh Rosman Shamsudin
Air terjun bertingkat ditambah aliran air yang bebas pencemaran dari Banjaran Titiwangsa menjadikan Taman Eko-Rimba (TER) Lata Kinjang, Tapah, Perak yang dahulunya dikenali kawasan perkelahan Lata Kinjang kian menjadi tumpuan orang ramai.
Air yang mengalir melalui takat terjun membentuk kolam kecil secara semula jadi dan memberi keselesaan kepada pengunjung menikmati kesegaran serta kesejukan air terjun.
Anda pasti tenang menikmati suasana alam flora dan fauna di taman itu.
Semua takat terjun di taman sehingga ke titi gantung di bahagian atas banjaran itu terbentuk semula jadi akibat aliran air yang menolak batu-batu kecil lalu membentuk kolam kecil di setiap takat terjun itu.
FotoTANGGA yang membawa pengunjung ke takat air terjun bahagian atas serta titi gantung.
Jika kita melalui lebuh raya utara selatan sebelum melewati susur keluar tol Tapah dari arah Kuala Lumpur, anda boleh melihat pemandangan air terjun.
Pengunjung dari arah utara dan selatan boleh menggunakan susur keluar tol Tapah ke arah utara dengan melihat papan tanda di tepi jalan persekutuan iaitu kira-kira tujuh kilometer sebelum sampai ke taman itu.

Sepanjang perjalanan ke kawasan riadah yang terkenal di negeri ini, pengunjung akan melihat penduduk tempatan menjual hasil hutan seperti petai dan jering serta buah-buahan tempatan untuk dijadikan buah tangan ketika pulang.

Pengunjung tidak perlu bimbang membawa kenderaan kerana terdapat kemudahan letak kereta.

Untuk memudahkan mengenali taman dengan lebih dekat, papan maklumat yang disediakan atau di Pejabat Infomasi Lata Kinjang sebagai panduan serta rujukan bagi memudahkan anda meneroka keindahan alam semula jadi di sini.

Terdapat banyak pondok dibina sejak pusat perkelahan itu di naik taraf dan penjenamaan semula menjadi taman eko-rimba di bawah Jabatan Perhutanan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

Bagi menjamin keselamatan pengunjung, papan tanda dibina sebagai panduan kepada pengunjung. Untuk memelihara keindahan flora dan fauna, pengunjung tidak dibenar melakukan sebarang bentuk vandalisme.

Selain mandi di air terjun yang cukup cantik ini, jangan lepaskan peluang mencabar keberanian menaiki tangga hingga ke titi gantung di pertengahan puncak banjaran itu.

Inginkan barangan cenderahati untuk dibawa pulang, jangan lupa membeli pelbagai hasil kraf tangan penduduk terutama di Kampung Asli Lata Kinjang.

Jika bernasib baik, anda berpeluang membeli pelbagai hasil hutan seperti petai dan durian yang cukup terkenal di Tapah.

Pengunjung yang suka aktiviti perkhemahan boleh mendirikan khemah di tapak yang disediakan. Dengan kawasan yang luas, pelbagai aktiviti boleh dijalankan terutama membabitkan alam semula jadi.


INFO

Asal usul nama Lata Kinjang:


Menurut penduduk setempat, nama Kinja ini berasal daripada nama haiwan ‘Kijang’ yang ketika dulu banyak berkeliaran di kawasan ini.

Orang Inggeris yang menjadikan tempat ini sebagai lokasi memburu memanggil Kijang sebagai Kinjang dan nama itu kekal hingga ke hari ini.
Sumber:HArian Metro

Hotel Permai pilihan ramai

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
POPULARITI diraih Hotel Permai kini menjadi bualan ramai terutama di kalangan pelancong yang berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan ketika berkunjung ke Kuala Terengganu.
Menawarkan pelbagai kemudahan terkini serta dekorasi menarik, hotel itu sentiasa memberi layanan mesra kepada pelanggan yang menginap di hotel milik kerajaan negeri itu.
Sebagai usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta keselesaan pelanggan, September ini Hotel Permai akan menawarkan bilik standard di bahagian bangunan sayap lama yang berwajah baru dan berkonsepkan moden kontemporari dengan pelbagai kemudahan terbaik termasuk WiFi.

Pengurus Besar Hotel Permai Azman Ali berkata, sebanyak 130 bilik di bangunan sayap lama itu akan diubah suai secara berperingkat bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.
FotoBILIK yang luas memberikan keselesaan.

“Sebanyak 20 bilik sudah menjalani proses pe­ngubahsuaian dan mula beroperasi September ini.

“Semua kelengkapan di bilik ini termasuk warna dinding ditukar bagi membangkitkan suasana lebih moden serta gaya mewah.

“Kami menggunakan warna krim dan putih untuk bahagian dinding de­ngan lampu malap mewah dileng­kapi televisyen LCD 32 inci lengkap dengan siaran televisyen satelit Astro,” katanya.

Beliau berkata, selain menekankan keindahan dan keselesaan di ruang tidur, ruang tandas juga diubah suai supaya kelihatan lebih moden dan selesa.

“Kami menggunakan warna cerah di ruang tandas yang berperanan mewujudkan suasana yang lebih luas di dalam tandas.

“Kami bukan saja ingin memastikan pelanggan selesa beristirehat di ruang tidur tetapi turut selesa menggunakan kemudahan tandas,” katanya.

Menurutnya, Hotel Permai memiliki ruangan khas atau dewan serba guna sesuai untuk pelbagai acara seperti seminar, mesyuarat dan kursus dengan kelengkapan audio visual terkini.

“Justeru, tidak hairan jika Hotel Permai sering menjadi pilihan ramai
untuk menganjurkan pelbagai program dan kursus.

“Bagi yang gemar menjalani kehidupan sihat seperti bersenam, Hotel Permai turut menyediakan gimnasium yang dilengkapi pelbagai peralatan senaman terkini selain acara berbasikal yang menjadi identiti Hotel Permai,” katanya.

Katanya, harga bilik standard yang ditawarkan kepada pelanggan mengikut harga pasaran semasa sekitar RM150 hing­ga RM180 termasuk sarapan pagi untuk dua orang.
Sumber:Harian Metro