Carian Maklumat di sini

Custom Search

Monday, April 27, 2015

Damai di Resorts World Kijal

Ibarat bercuti di luar negara

“MACAM kat luar negara.” Itu reaksi spontan rakan saya ketika melihat gambar pemandangan tepi pantai dan kolam renang yang diambil dari bilik tingkat tujuh di Resorts World Kijal ketika dikongsikan dalam kumpulan rakan-rakan di WhatsApp.
Reaksi sedemikian menunjukkan pantai-pantai di negara ini masih mampu menjadi tarikan kuat kepada penduduk negara ini untuk merehatkan minda di hari minggu atau cuti bersama rakan atau keluarga.
Resorts World Kijal atau dahulunya dikenali sebagai Awana Kijal yang terletak di KM28, Jalan Kemaman-Dungun, Kijal, di selatan Terengganu merupakan satu destinasi pelancongan yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada pencinta percutian pantai di negara ini.
Ketika berpeluang kembali menjejakkan kaki ke hotel bertaraf lima bintang itu baru-baru ini, saya masih dapat merasakan keindahan dan kedamaiannya walaupun telah beberapa kali menginap di hotel itu bersama keluarga.
Cuma apa yang berbeza kali ini ialah perjalanan ke hotel itu dari Kuala Lumpur telah menjadi semakin cepat berbanding sebelum ini kerana anda boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sepenuhnya hingga ke Kijal.
Sebelum ini, jika menggunakan LPT, pemandu terpaksa keluar di persimpangan Jabor berhampiran Cherating, Pahang dan meneruskan perjalanan menggunakan jalan biasa hingga ke Kijal.
Setibanya di kawasan hotel, pemandangan indah yang pernah dinikmati sebelum ini kembali lagi. Bangunan hotel yang tersergam indah dikelilingi padang golf 18 lubang, kolam renang bersaiz besar dan pantai Kijal yang menghadap Laut Cina Selatan sememangnya mampu memberikan kedamaian kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini.
Selepas melakukan proses daftar masuk, saya dan keluarga ditempatkan di bilik Premier Seaview Rooms di tingkat tujuh yang menghadap kolam renang, pantai dan laut.
Seperti biasa, sebaik sahaja selesai melabuhkan diri di bilik, tumpuan utama kanak-kanak dan penggemar aktiviti renang sudah tentu kolam renangnya yang terbentang luas menghadap pantai.
Kolam renang terbesar di Terengganu ini itu sudah tentu mampu memuaskan sesiapa sahaja kerana ia terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu kolam kanak-kanak dengan permainan, kolam renang bertaraf kejohanan dan kolam biasa.
Bagi yang hanya ingin berehat sambil berendam, dua tempat jakuzi dengan air suam-suam kuku turut disediakan berhampiran kolam.
Di waktu petang, pengunjung boleh menikmati keindahan pantai dengan berjalan-jalan atau menyewa basikal atau motosikal ATV bagi menyelusuri pantai sepanjang 7.6 kilometer itu.
Setanding dengan hotel dan pusat percutian terkenal yang lain, Resort World Kijal juga menawarkan perkhidmatan kulinari terbaik bagi memenuhi citarasa anda yang mana sajian utama masyarakat di negeri Pantai Timur seperti nasi dagang menjadi antara hidangan istimewa yang disajikan oleh chef berpengalaman.
Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh menikmati makan malam BBQ romantik bersama yang tersayang di kafe Oasis Beach Bistro yang berlantaikan pasir pantai halus sambil disinari cahaya bulan dan bintang.
Bagi penggemar makanan dan masakan yang berasaskan panggang khususnya, destinasi ini adalah antara lokasi yang anda wajib kunjungi jika ingin menikmati menu kambing golek dan makanan laut dipanggang yang pasti membuatkan anda tidak berganjak dari meja makan.
Selain makanan dan hidangan yang menyelerakan menjadi tarikan, Resort Word Kijal juga merupakan destinasi yang boleh dikunjungi bagi melupakan sebentar kesibukan di kota Kuala Lumpur kerana di sini terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga.
Permainan catur gergasi, congkak gergasi dan ping pong ditawarkan secara percuma, selain kanak-kanak turut disediakan ruang khas yang membolehkan mereka melukis, mewarna, dan melakukan aktiviti lain bersama staf bertugas.
Bagi ibu bapa yang ingin merehatkan minda, mengembalikan kesegaran badan dan juga fikiran, pihak Resorts World Kijal juga turut menawarkan perkhidmatan spa dan urutan terbaik iaitu di Taman Sari Royal Heritage Spa.
Selain perkhidmatan urutan, spa ini juga menyediakan khidmat tatarias kuku serta dandanan rambut yang pasti akan menarik minat golongan wanita yang ingin sentiasa kelihatan segar dan menawan.
Dengan menginap di Resorts World Kijal ini, anda bukan sahaja dapat menikmati segala perkhidmatan menarik yang disediakan, malah terdapat juga beberapa tarikan utama yang terletak berhampiran dengan resort ini seperti pantai tempat penyu mendarat, pusat kraftangan, pusat beli-belah dan juga lambakan gerai jualan keropok lekor yang menjadi tarikan utama di sekitar jalan berhampiran resort tersebut.

Monday, December 1, 2014

Rehat minda di Taman Air Bukit Merah


Taman Air Bukit Merah
PENAT selepas seminggu menyertai kursus di utara tanah air membuatkan saya dan beberapa rakan lain nekad mencari tempat rehat, santai dan kalau boleh merendamkan badan.
Selepas menyenaraipendekkan beberapa destinasi, Bukit Merah Lake Town Resort (BMLTR) menjadi pilihan kerana menepati keperluan kami, selain ia berada di pertengahan perjalanan antara Kedah dan Kuala Lumpur.
Cuma kurangnya cerita tentang taman tema itu sejak kebelakangan ini menimbulkan sedikit keraguan, namun ia terus lenyap selepas mendapatkan maklumat lanjut di laman web pusat peranginan itu di www.bukitmerahresort.com.
Kami tiba kira-kira pukul 11 pagi selepas mengharungi perjalanan hampir tiga jam. Melihat air tasik membuatkan kami tidak sabar untuk mandi-manda di taman tema air di pusat peranginan itu.
Selepas membeli tiket, kami terus ke pintu masuk taman tema. Bagaimanapun di sepanjang laluan itu, kami berhenti beberapa kali apabila ada antara rakan-rakan yang tertarik dengan barang jualan di kedai yang terdapat di sepanjang laluan dari kaunter tiket ke pintu masuk taman air.
Selepas memakai gelang tiket di kaunter masuk, kami terus menyalin pakaian dan menyimpan beg di peti simpanan yang boleh disewa pada kadar tertentu.
Kami memilih ke kawasan sebelah kanan taman tema air kerana ia menempatkan kolam yang lebih besar dan permainan sesuai untuk dewasa.
Di sebelah kiri pula lebih kepada permainan kanak-kanak kerana jelas kelihatan kanak-kanak bergembira bersama ibu bapa masing masing di kawasan itu.
Sebagai permulaan, kami memilih untuk berendam di kolam utama selain ‘mengurut’ badan di bawah pancutan air deras yang amat menyenangkan.
Puas berendam, kami menyewa pelampung dan meneroka keseluruhan taman tema air itu dengan menyusuri sungai buatan.
Seterusnya, kami menambah keseronokan dengan melayan tarikan graviti menerusi permainan gelongsor.
Ketika itu, pengunjung tidak ramai, menjadikan permainan itu lebih menyeronokkan kerana kami tidak perlu menunggu lama untuk mendapat giliran turun semula.
Bagaimanapun keadaan berbeza di permainan belon basah besar apabila perlu menunggu agak lama ekoran ramai pengunjung ingin mencuba permainan itu.
Permainan yang memerlukan kita memanjat ke tengah bahagian gelembung sebelum menjatuhkan diri, lebih meriah jika disertai secara berkumpulan.
Setiap kumpulan diberikan masa selama lima minit sebelum digantikan kumpulan seterusnya. Walaupun kelihatan tidak mencabar, permainan ini menuntut kekuatan daripada pemain untuk memanjat ke puncak belon sebelum membebaskan diri meluncur ke bawah. Puas dengan permainan itu, perut mula terasa lapar. Kami mengisi perut dengan makanan yang dibeli dari gerai di dalam taman tema air itu. Agak mengejutkan harga makanan amat berpatutan dan tidak jauh berbeza daripada harga di luar. Sebagai contoh sebiji kelapa muda hanya RM3.50.
Keadaan itu jelas berbeza dengan taman tema lain yang dilihat mempunyai strategi terancang untuk memastikan pengunjung tidak mempunyai pilihan lain, melainkan terpaksa membeli makanan yang dijual mahal dalam taman tema tersebut.
Selepas makan kami berehat sebelum kembali ke kolam bagi meneruskan aktiviti yang belum dilakukan sebelum ini. Kami mandi sampai puas sehingga pukul 4.00 petang. Selepas menyalin pakaian, kami menunaikan solat di surau yang disediakan sebelum keluar dari taman air tersebut.
Atas alasan enggan menempuh perjalanan malam, kami mengakhiri kunjungan ke BMLTR meskipun tiket berharga RM48 yang kami beli melayakkan kami mengunjungi Taman Eko, Skycycle dan mengayuh bot, kayak atau kanu.
Satu lagi tarikan di pusat peranginan itu yang kami tidak sempat lawati ialah Pulau Orang Utan.
Kami meninggalkan BMLTR kira-kira pukul 5 petang dengan hati puas. Matlamat untuk merehatkan minda selepas penat mengikuti kursus tercapai. Kesimpulannya, meskipun agak kurang diberikan perhatian sejak kebelakangan ini, Bukit Merah Lake Town Resort sebenarnya tidak mengecewakan. –Aireen Qistina, Kuala Lumpur

Wednesday, October 1, 2014

Agropelancongan di Bagan Lalang

Memancing di kelong berhampiran antara aktiviti yang boleh dilakukan apabila menginap di PNK Sepang Resort.
Apa pun nama yang boleh anda berikan agropelancongan atau eko pelancongan atau bersantai, Bagan Lalang di Selangor mungkin boleh menjadi lokasi pilihan.
Pada hujung minggu atau cuti umum, pengunjung memenuhi sekitar pantai menikmati makan malam dan ada yang memasang khemah menghirup udara segar, menenangkan fikiran, jauh daripada hiruk pikuk kebingitan kota.
Dengan jarak perjalanan kira-kira satu jam setengah dari ibu kota, tidak ada sebab mengapa kawasan tersebut yang terkenal dengan hidangan makanan laut yang murah dan segar, tidak menjadi pilihan pengunjung.
Aktiviti air seperti memancing mudik ke sungai menaiki bot menyaksikan panorama hutan bakau, pasti menggamit mereka yang sukakan aktiviti berkaitan alam sekitar.
Namun, bagi penggemar aktiviti memancing, kawasan ini pastinya tidak akan dilupakan begitu sahaja. Lokasinya amat sesuai dan kini terus menjadi pilihan penggemar aktiviti tersebut.
Perkampungan nelayan di sini sebenarnya satu aset yang benar-benar memberi manfaat kepada penduduk dan pengusaha aktiviti pelancongan.
Selain pengusaha individu yang paling tidak membuka restoran, mereka mengaut keuntungan daripada kunjungan penggemar makanan laut yang tidak putus putus setiap hujung minggu.
Oleh sebab itu, apabila Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mewujudkan aktiviti ekonomi menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Camar Laut Resort, iaitu penginapan untuk pengunjung di sini, agensi terbabit boleh dianggap memilih lokasi yang tepat. LKIM menawarkan penginapan ala desa di pesisir pantai Bagan Lalang itu. LKIM merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Sebagai sebuah persatuan yang bernaung di bawah LKIM, PNK Sepang turut mengambil bahagian dalam menjana pendapatan persatuan menerusi pembinaan resort.
Dikenali sebagai PNK Sepang Resort, ia dibangunkan pada tahun 1997 dan menjadi tarikan utama pelancong tempatan terutamanya hujung minggu.
Menurut Penolong Pengurus Pentadbiran PNK Sepang, Mohd. Firdaus Mahadzir, selain lokasi yang strategik dan terletak berhadapan dengan pantai Bagan Lalang, resort tersebut turut menawarkan pelbagai kemudahan lain seperti dewan kuliah, surau dan padang permainan.
Katanya, selain menawarkan penginapan menerusi 20 unit calet dan dua unit dometri PNK Sepang Resort menawarkan pelbagai pakej lain untuk kemudahan pengunjung.
“Antara pakej yang kita tawarkan adalah pakej kursus, seminar dan juga bengkel, program penginapan, sambutan hari keluarga dan pelbagai lagi.
“Malah, bagi mereka yang berminat terhadap aktiviti riadah, kita juga turut menyediakan pakej memancing di atas sangkar kupang dengan kadar cuma RM20 seorang.
``Sangkar tersebut merupakan pelantar yang sebelum ini diusahakan untuk ternakan kupang, namun ia tidak begitu menjadi justeru ditukarkan kepada pelantar untuk aktiviti memancing.
“Memancing di sangkar kupang ini menerima permintaan yang tinggi dalam kalangan kaki pancing kerana kita turut menyediakan perkhidmatan bot untuk menghantar dan mengambil mereka.
“Di sini pelbagai spesies ikan muara boleh diperolehi seperti siakap, siakap merah, sembilang, dan pelbagai lagi," katanya.
Selain sangkar, terdapat juga pakej-pakej memancing di sekitar pantai Bagan Lalang di bawah kelolaan PNK Sepang.
Maklumat lanjut berkenaan PNK Sepang Resort, boleh menghubungi talian 03-3141 3182 atau layari laman web www.pnksepangresort.com.my - ashriq fahmy ahmad dan laupa junus


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140908/ag_01/Agropelancongan-di-Bagan-Lalang#ixzz3ExXLXjuD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Percutian ala nelayan di Laguna Setiu

Advertisement
PERCUTIAN di lokasi-lokasi pelancongan popular seperti Pulau Langkawi, Redang, Perhentian, Pangkor dan Tioman serta di kawasan pantai seumpama Port Dickson pastinya sudah dianggap terlalu biasa bagi mereka yang gemar berkelah dan berjalan-jalan.
Disebabkan itu, penulis merancang untuk bercuti di salah satu destinasi percutian di Pantai Timur iaitu Laguna Agro Resort di Setiu, Terengganu.
Menariknya tempat ini adalah, pihak resort menawarkan pengalaman unik kepada pelancong dengan merasai sendiri kehidupan harian sebagai nelayan selain menetap di pesisir pantai.
Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, penulis memulakan perjalanan dengan menaiki kereta rakan. Perjalanan untuk ke Laguna Agro Resort dimiliki oleh Pertubuhan Peladang, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil masa kira-kira 1 jam 4 minit.
Pengalaman bercuti di destinasi percutian bajet berkeluasan 880 hektar itu telah memberi 1,001 kenangan indah yang sukar untuk dilupakan, apatah lagi ilmu yang dicurahkan kakitangan resort dalam memberi pengalaman menyelusuri kehidupan harian sebagai nelayan.
Mungkin ia rutin biasa bagi penduduk setempat, tetapi bukan bagi pelancong luar khususnya dari bandar yang inginkan ketenangan serta suasana kampung.
KEADAAN bilik yang boleh memuatkan tiga orang sesuai untuk percutian bajet.
Dengan bayaran dikenakan serendah RM100.00 untuk bilik memuatkan seramai tiga orang, pelancong dapat menikmati pemandangan indah dan persekitaran cantik yang memukau seperti hamparan pantai yang memutih dan suasana lagun yang mendamaikan.
Sejujurnya, tidak pernah terlintas dalam fikiran betapa gembiranya kehidupan seorang nelayan setelah hasil tangkapan seperti ikan, lala, lokan dan kerang itu dapat dikongsi serta dirasai sendiri bersama ahli keluarga.
Malah, kesemua hasil laut itu akan dijadikan menu utama yang akan disajikan pihak resort tanpa sebarang upah atau dikenakan bayaran tambahan.
Bagi pelancong yang mahu lebih keseronokan, mereka boleh meminta pihak resort untuk mengadakan aktiviti menyusuri lagun, memancing ikan dan udang galah, mencari kepah, kerang, ketam nipah serta melihat lokasi pendaratan penyu. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh membeli hasil hiliran laut seperti belacan, budu, ikan masin dan lain-lain dengan harga yang amat rendah.
Menurut pengurus resort, Mohamad Faizal Abdullah, 21, konsep resort berlatarbelakangkan perkampungan nelayan adalah permintaan orang ramai terutama penduduk setempat yang mahu pemandangan semulajadi terus kekal dipelihara selepas dikomersialkan.
“Sepanjang empat tahun penubuhannya, syukur resort ini terus kekal dipilih sebagai salah satu destinasi percutian khususnya buat pelajar universiti yang datang secara beramai-ramai.
“Laguna Agro Resort juga sesuai diadakan aktiviti berbentuk kem dan perkhemahan selain bermalam di chalet bagi percutian biasa," katanya. - MOHD. FAUZI MOHAMAD SUHAIMI



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140927/pl_01/Percutian-ala-nelayan-di-Laguna-Setiu#ixzz3ExW9Cd1F
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, September 23, 2014

Inap santai di Camar Laut

Oleh  LAUPA JUNUS"


Kawasan padang permainan yang luas amat sesuai untuk aktiviti riadah serta penganjuran hari keluarga.
Selain PNK Resort yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, agensi terbabit juga menawarkan Camar Laut Resort di Bagan Lalang.
Camar Laut Resort yang juga merupakan Pusat Latihan LKIM, sepatutnya menjadi pilihan utama pengunjung.
Pengunjung mungkin biasa mendengar beberapa resort terkenal di situ termasuk yang terkenal dengan struktur binaan di atas air yang sangat menarik tetapi menginap di Camar Laut tidak kurang hebatnya.
Mereka yang mahukan percutian bajet sambil bersantai di tepian laut yang sama di sekitar Bagan Lalang, Camar Laut mungkin boleh dijadikan pilihan.
Pembangunan Camar Laut oleh LKIM di Bagan Lalang sangat tepat kerana sinonim dengan kawasan persekitarannya yang berhampiran dengan laut dan memiliki keunikannya yang tersendiri.
Menurut pengurus Camar Laut, Norlita Bahari, resort tersebut terletak di pesisiran pantai barat Semenanjung Malaysia dan berlatarbelakangkan perkampungan nelayan di pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor.
“Selain itu resort ini juga berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lembah Klang.
“Pada asalnya pusat ini ditubuh untuk kegunaan LKIM dalam menjalankan pelbagai latihan dan seminar kepada kakitangannya, namun atas permintaan ramai ia mula dibuka kepada orang ramai dengan kadar bayaran yang minimum," katanya ketika ditemui di pusat berkenaan baru-baru ini.
Jelas Norlita, Camar Laut sering menjadi tumpuan aktiviti percutian, sukan air dan program latihan sejak ia mula beroperasi pada tahun 1991.
“Pada asalnya pusat ini merupakan tapak penetasan udang harimau sebelum ia dibangunkan menjadi Pusat Latihan LKIM dan resort percutian sejajar dengan hasrat kerajaan memajukan industri agro pelancongan.
“Fungsi utama pusat ini adalah menyediakan kediaman yang bersifat sementara kepada pengunjung selain menawarkan pelbagai perkhidmatan kemudahan latihan dan rekreasi," katanya.
Terbaharu, pihaknya turut menerima tempahan untuk mengadakan majlis perkahwinan berserta penyajian makanan (catering).
Selain itu, ia juga menawarkan pelbagai pakej lain seperti sambutan hari keluarga, kursus, seminar dan rekreasi dalam bentuk pakej yang menarik dan pada kadar harga yang amat berpatutan.
Berbekalkan kemudahan chalet sebanyak 18 buah dengan kapasiti 72 orang serta bilik suite dan standard dengan kapasiti 32 orang dalam satu-satu masa pusat sering menjadi tumpuan orang ramai terutamanya di hujung minggu.
Selain itu, antara kemudahan yang turut disediakan untuk tujuan seminar, kursus, mesyuarat mahupun bengkel, pusat itu turut menyediakan empat buah dewan.
Dewan tersebut adalah dewan I, II, III dan dewan serbaguna dengan masing-masing mampu memuatkan 30, 80,80 dan 300 pengunjung pada satu-satu masa.
Untuk mengadakan aktiviti seperti sukaneka, terdapat padang permainan yang turut disediakan.
Sebagai pelengkap, pusat itu turut dilengkapi bersama sebuah dewan makan bersama set pemanggang dengan kapasiti 70 orang pengunjung serta surau yang berhampiran untuk memudahkan pengunjung beragama Islam untuk bersolat.
Terbaharu, resort tersebut kini sedang membina lebih banyak infrastruktur untuk kemudahan pengunjung.
Antaranya adalah pembinaan kolam renang yang dijangka siap pada penghujung tahun.
Norlita berkata, daripada Januari hingga Ogos lalu, Camar Laut telah menerima kira-kira 8,000 pengunjung
“Tahun ini kita menyasarkan antara 12,000 dan 15,000 pengunjung," ujarnya.



Sumber Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140908/ag_02/Inap-santai-di-Camar-Laut#ixzz3E7qwkH5N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, June 25, 2014

'Melepak' dalam suasana dingin Bukit Tinggi

JIKA melalui Lebuh Raya Karak, pasti pemandu dapat melihat papan iklan yang menunjukkan arah ke Bukit Tinggi, Pahang. Lokasi itu memang unik dan menarik kerana di situ terdapat bangunan yang mempunyai reka bentuk seperti bangunan di negara beriklim sejuk di Eropah.
Walaupun terletak berdekatan ibu kota, namun bilangan pengunjung ke Bukit Tinggi tidaklah semeriah yang dialami di Genting Highlands. Agak pelik juga kerana lokasi tersebut lebih dekat berbanding dengan Genting Highlands yang terletak di puncak gunung.
Faktor itulah yang menarik perhatian penulis yang tergerak hati untuk berkunjung ke Bukit Tinggi, Pahang. Pada bulan lalu, penulis berkesempatan singgah di kawasan yang dimaksudkan di papan tanda tersebut kerana seumur hidup penulis belum pernah menjejakkan kaki ke situ.
Perjalanan dimulakan pada pukul 11 pagi dari Petaling Jaya, Selangor dengan menaiki kereta bersama tiga lagi rakan lain yang masing-masing buntu memikirkan destinasi menarik untuk dikunjungi bagi menghabiskan cuti hujung minggu.
Perjalanan kami menempuh Lebuh Raya Duke menuju ke Plaza Tol Gombak sebelum mendaki laluan di Lebuh Raya Karak yang agak berbelok sehingga susur keluar ke Bukit Tinggi.
Dalam sejam perjalanan dari Petaling Jaya, penulis bersama rakan sudah tiba di pintu masuk yang terdapat rumah pengawal. Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di sini, tidak perlu risau kerana papan tanda untuk ke Bukit Tinggi akan memudahkan perjalanan anda.
Setibanya kami di pintu masuk utama ke Bukit Tinggi, terdapat sebuah lagi pondok pengawal seakan-akan rumah tol. Di situ, setiap kenderaan perlu berhenti untuk membayar tiket masuk iaitu RM12 seorang untuk melawat semua tarikan pelancongan di bukit itu nanti.
Tempat pertama yang kami lawati adalah Colmar Tropicale yang mempunyai rekaan bangunan kolonial yang cantik dengan padanan warna yang membuatkan sesiapa sahaja merasakan seperti berada di luar negara.
Di sini juga terdapat pelbagai tarikan menarik seperti hotel, restoran, kedai menjual cenderahati, taman angsa, pusat permainan video dan menara tinjau yang menyajikan pemandangan yang memukau. Ini kerana kawasan sekitar bukit ini amat indah dengan dikelilingi hutan belantara yang menghijau. Kabus nipis yang sesekali bertukar menjadi tebal turut menyapa kami yang mula kesejukan.
Bagi mereka yang ingin bermain golf, terdapat sebuah padang golf untuk kemudahan tersebut serta bagi yang ingin cuba menunggang kuda, juga boleh berbuat demikian di kawasan berhampiran.
Kami menggunakan perkhidmatan tour bus atau tram yang disediakan kerana tidak mahu memandu kereta. Ini kerana menaiki tram lebih santai, sekali gus membolehkan kami menikmati pemandangan sekeliling yang indah, selain memudahkan kami untuk sampai ke tempat-tempat lain yang terletak agak jauh dari Colmar Tropicale.

SUASANA di Taman Jepun direka menyerupai suasana sebenar perkampungan di negara Jepun.
Destinasi kami seterusnya adalah Taman Jepun yang menyediakan tempat untuk pelawat merasai sendiri keunikan taman tradisi Jepun, di samping dapat menyarung pakaian tradisional mereka dengan kadar sewa yang berpatutan.
Pokok bonsai, kolam ikan, batu-batuan putih dan taman kecil ditambah lagi dengan berpakaian tradisi Jepun membuatkan kami merasai pengalaman sebenar seperti bercuti di negara matahari terbit itu, walaupun hakikatnya lokasi yang disinggahi hanya satu jam memandu dari Kuala Lumpur.
Kemudian kami ke Taman Herba yang menempatkan pelbagai tumbuhan herba di dalam satu taman. Menarik mengenai taman ini, terdapat pelbagai spesies rama-rama yang bebas berterbangan setiap kali menuruni anak-anak tangga di taman berkenaan.
Setelah penat berjalan di dua taman tersebut, kami mengambil keputusan untuk kembali semula ke Colmar Tropicale. Dari situ, kami menuju ke parkir kereta untuk memulakan perjalanan balik ke rumah.
Namun, sebaik sahaja kami melepasi rumah tol yang sama ketika kami naik tadi, terdapat satu papan tanda yang menunjukkan taman arnab dan kami mengambil keputusan untuk singgah di taman itu. Harga tiket masuk adalah RM3 seorang.
Di taman arnab itu, penulis dapat rasakan antara tarikan paling menarik adalah pengunjung dibenarkan bermain dengan arnab dan rusa dengan bebas. Pengunjung juga boleh memberi makan dengan makanan yang dijual pada harga RM3 di kaunter tiket.
Ternyata pengalaman 'melepak' di Bukit Tinggi adalah satu pengalaman yang menarik. Dengan jarak perjalanan yang tidak jauh dari ibu kota dan harga tiket masuk yang berpatutan, sesiapa sahaja mampu menghabiskan hujung minggu dengan berkualiti di Bukit Tinggi.
Selain tarikan yang dikongsi, terdapat juga beberapa tarikan yang tidak sempat untuk penulis lawati seperti taman ekstrem, bermain kuda dan sebagainya. Kalau inginkan tempat berehat hujung minggu yang menarik, bolehlah memilih Bukit Tinggi sebagai percutian bajet kamu. - AMIRUL



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, April 1, 2014

Gamitan Pulau Carey




TERLETAK 60 kilometer dari Kuala Lumpur, Pulau Carey dikenali kerana keunikan penduduknya terdiri daripada masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Mah Meri.
Sekitar 1,400 penduduk mendiami pulau itu di enam buah kampung iaitu Sungai Bumbun, Sungai Judah, Sungai Rambai, Kepau Laut, Sungai Jugra dan Sungai Kurau.
Walaupun dihuni oleh masyarakat Orang Asli, namun nama yang ada pada pulau itu sering menimbulkan tanda tanya.
Malah, status pulau yang biasanya dikaitkan dengan pantai dan resort juga menambah perasaan tanda tanya itu.
Walaupun Pulau Carey tidak memiliki semua itu, itu tidak bermakna ia tidak istimewa.
Wartawan S2, MOHD. FAUZI MOHAMAD SUHAIMI dan jurugambar WAHIDIN SALIM menyusuri pulau yang kini sebahagian besarnya diliputi ladang kelapa sawit milik Sime Darby Plantation untuk mencari keunikan lain yang masih tersembunyi.


© Utusan Melayu (M) Bhd