Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, June 25, 2014

'Melepak' dalam suasana dingin Bukit Tinggi

JIKA melalui Lebuh Raya Karak, pasti pemandu dapat melihat papan iklan yang menunjukkan arah ke Bukit Tinggi, Pahang. Lokasi itu memang unik dan menarik kerana di situ terdapat bangunan yang mempunyai reka bentuk seperti bangunan di negara beriklim sejuk di Eropah.
Walaupun terletak berdekatan ibu kota, namun bilangan pengunjung ke Bukit Tinggi tidaklah semeriah yang dialami di Genting Highlands. Agak pelik juga kerana lokasi tersebut lebih dekat berbanding dengan Genting Highlands yang terletak di puncak gunung.
Faktor itulah yang menarik perhatian penulis yang tergerak hati untuk berkunjung ke Bukit Tinggi, Pahang. Pada bulan lalu, penulis berkesempatan singgah di kawasan yang dimaksudkan di papan tanda tersebut kerana seumur hidup penulis belum pernah menjejakkan kaki ke situ.
Perjalanan dimulakan pada pukul 11 pagi dari Petaling Jaya, Selangor dengan menaiki kereta bersama tiga lagi rakan lain yang masing-masing buntu memikirkan destinasi menarik untuk dikunjungi bagi menghabiskan cuti hujung minggu.
Perjalanan kami menempuh Lebuh Raya Duke menuju ke Plaza Tol Gombak sebelum mendaki laluan di Lebuh Raya Karak yang agak berbelok sehingga susur keluar ke Bukit Tinggi.
Dalam sejam perjalanan dari Petaling Jaya, penulis bersama rakan sudah tiba di pintu masuk yang terdapat rumah pengawal. Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di sini, tidak perlu risau kerana papan tanda untuk ke Bukit Tinggi akan memudahkan perjalanan anda.
Setibanya kami di pintu masuk utama ke Bukit Tinggi, terdapat sebuah lagi pondok pengawal seakan-akan rumah tol. Di situ, setiap kenderaan perlu berhenti untuk membayar tiket masuk iaitu RM12 seorang untuk melawat semua tarikan pelancongan di bukit itu nanti.
Tempat pertama yang kami lawati adalah Colmar Tropicale yang mempunyai rekaan bangunan kolonial yang cantik dengan padanan warna yang membuatkan sesiapa sahaja merasakan seperti berada di luar negara.
Di sini juga terdapat pelbagai tarikan menarik seperti hotel, restoran, kedai menjual cenderahati, taman angsa, pusat permainan video dan menara tinjau yang menyajikan pemandangan yang memukau. Ini kerana kawasan sekitar bukit ini amat indah dengan dikelilingi hutan belantara yang menghijau. Kabus nipis yang sesekali bertukar menjadi tebal turut menyapa kami yang mula kesejukan.
Bagi mereka yang ingin bermain golf, terdapat sebuah padang golf untuk kemudahan tersebut serta bagi yang ingin cuba menunggang kuda, juga boleh berbuat demikian di kawasan berhampiran.
Kami menggunakan perkhidmatan tour bus atau tram yang disediakan kerana tidak mahu memandu kereta. Ini kerana menaiki tram lebih santai, sekali gus membolehkan kami menikmati pemandangan sekeliling yang indah, selain memudahkan kami untuk sampai ke tempat-tempat lain yang terletak agak jauh dari Colmar Tropicale.

SUASANA di Taman Jepun direka menyerupai suasana sebenar perkampungan di negara Jepun.
Destinasi kami seterusnya adalah Taman Jepun yang menyediakan tempat untuk pelawat merasai sendiri keunikan taman tradisi Jepun, di samping dapat menyarung pakaian tradisional mereka dengan kadar sewa yang berpatutan.
Pokok bonsai, kolam ikan, batu-batuan putih dan taman kecil ditambah lagi dengan berpakaian tradisi Jepun membuatkan kami merasai pengalaman sebenar seperti bercuti di negara matahari terbit itu, walaupun hakikatnya lokasi yang disinggahi hanya satu jam memandu dari Kuala Lumpur.
Kemudian kami ke Taman Herba yang menempatkan pelbagai tumbuhan herba di dalam satu taman. Menarik mengenai taman ini, terdapat pelbagai spesies rama-rama yang bebas berterbangan setiap kali menuruni anak-anak tangga di taman berkenaan.
Setelah penat berjalan di dua taman tersebut, kami mengambil keputusan untuk kembali semula ke Colmar Tropicale. Dari situ, kami menuju ke parkir kereta untuk memulakan perjalanan balik ke rumah.
Namun, sebaik sahaja kami melepasi rumah tol yang sama ketika kami naik tadi, terdapat satu papan tanda yang menunjukkan taman arnab dan kami mengambil keputusan untuk singgah di taman itu. Harga tiket masuk adalah RM3 seorang.
Di taman arnab itu, penulis dapat rasakan antara tarikan paling menarik adalah pengunjung dibenarkan bermain dengan arnab dan rusa dengan bebas. Pengunjung juga boleh memberi makan dengan makanan yang dijual pada harga RM3 di kaunter tiket.
Ternyata pengalaman 'melepak' di Bukit Tinggi adalah satu pengalaman yang menarik. Dengan jarak perjalanan yang tidak jauh dari ibu kota dan harga tiket masuk yang berpatutan, sesiapa sahaja mampu menghabiskan hujung minggu dengan berkualiti di Bukit Tinggi.
Selain tarikan yang dikongsi, terdapat juga beberapa tarikan yang tidak sempat untuk penulis lawati seperti taman ekstrem, bermain kuda dan sebagainya. Kalau inginkan tempat berehat hujung minggu yang menarik, bolehlah memilih Bukit Tinggi sebagai percutian bajet kamu. - AMIRUL



© Utusan Melayu (M) Bhd