“MACAM kat luar negara.” Itu reaksi spontan rakan saya ketika melihat gambar pemandangan tepi pantai dan kolam renang yang diambil dari bilik tingkat tujuh di Resorts World Kijal ketika dikongsikan dalam kumpulan rakan-rakan di WhatsApp.
Reaksi sedemikian menunjukkan pantai-pantai di negara ini masih mampu menjadi tarikan kuat kepada penduduk negara ini untuk merehatkan minda di hari minggu atau cuti bersama rakan atau keluarga.
Resorts World Kijal atau dahulunya dikenali sebagai Awana Kijal yang terletak di KM28, Jalan Kemaman-Dungun, Kijal, di selatan Terengganu merupakan satu destinasi pelancongan yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada pencinta percutian pantai di negara ini.
Ketika berpeluang kembali menjejakkan kaki ke hotel bertaraf lima bintang itu baru-baru ini, saya masih dapat merasakan keindahan dan kedamaiannya walaupun telah beberapa kali menginap di hotel itu bersama keluarga.
Cuma apa yang berbeza kali ini ialah perjalanan ke hotel itu dari Kuala Lumpur telah menjadi semakin cepat berbanding sebelum ini kerana anda boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sepenuhnya hingga ke Kijal.
Sebelum ini, jika menggunakan LPT, pemandu terpaksa keluar di persimpangan Jabor berhampiran Cherating, Pahang dan meneruskan perjalanan menggunakan jalan biasa hingga ke Kijal.
Setibanya di kawasan hotel, pemandangan indah yang pernah dinikmati sebelum ini kembali lagi. Bangunan hotel yang tersergam indah dikelilingi padang golf 18 lubang, kolam renang bersaiz besar dan pantai Kijal yang menghadap Laut Cina Selatan sememangnya mampu memberikan kedamaian kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini.
Selepas melakukan proses daftar masuk, saya dan keluarga ditempatkan di bilik Premier Seaview Rooms di tingkat tujuh yang menghadap kolam renang, pantai dan laut.
Seperti biasa, sebaik sahaja selesai melabuhkan diri di bilik, tumpuan utama kanak-kanak dan penggemar aktiviti renang sudah tentu kolam renangnya yang terbentang luas menghadap pantai.
Kolam renang terbesar di Terengganu ini itu sudah tentu mampu memuaskan sesiapa sahaja kerana ia terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu kolam kanak-kanak dengan permainan, kolam renang bertaraf kejohanan dan kolam biasa.
Bagi yang hanya ingin berehat sambil berendam, dua tempat jakuzi dengan air suam-suam kuku turut disediakan berhampiran kolam.
Di waktu petang, pengunjung boleh menikmati keindahan pantai dengan berjalan-jalan atau menyewa basikal atau motosikal ATV bagi menyelusuri pantai sepanjang 7.6 kilometer itu.
Setanding dengan hotel dan pusat percutian terkenal yang lain, Resort World Kijal juga menawarkan perkhidmatan kulinari terbaik bagi memenuhi citarasa anda yang mana sajian utama masyarakat di negeri Pantai Timur seperti nasi dagang menjadi antara hidangan istimewa yang disajikan oleh chef berpengalaman.
Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh menikmati makan malam BBQ romantik bersama yang tersayang di kafe Oasis Beach Bistro yang berlantaikan pasir pantai halus sambil disinari cahaya bulan dan bintang.
Bagi penggemar makanan dan masakan yang berasaskan panggang khususnya, destinasi ini adalah antara lokasi yang anda wajib kunjungi jika ingin menikmati menu kambing golek dan makanan laut dipanggang yang pasti membuatkan anda tidak berganjak dari meja makan.
Selain makanan dan hidangan yang menyelerakan menjadi tarikan, Resort Word Kijal juga merupakan destinasi yang boleh dikunjungi bagi melupakan sebentar kesibukan di kota Kuala Lumpur kerana di sini terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga.
Permainan catur gergasi, congkak gergasi dan ping pong ditawarkan secara percuma, selain kanak-kanak turut disediakan ruang khas yang membolehkan mereka melukis, mewarna, dan melakukan aktiviti lain bersama staf bertugas.
Bagi ibu bapa yang ingin merehatkan minda, mengembalikan kesegaran badan dan juga fikiran, pihak Resorts World Kijal juga turut menawarkan perkhidmatan spa dan urutan terbaik iaitu di Taman Sari Royal Heritage Spa.
Selain perkhidmatan urutan, spa ini juga menyediakan khidmat tatarias kuku serta dandanan rambut yang pasti akan menarik minat golongan wanita yang ingin sentiasa kelihatan segar dan menawan.
Dengan menginap di Resorts World Kijal ini, anda bukan sahaja dapat menikmati segala perkhidmatan menarik yang disediakan, malah terdapat juga beberapa tarikan utama yang terletak berhampiran dengan resort ini seperti pantai tempat penyu mendarat, pusat kraftangan, pusat beli-belah dan juga lambakan gerai jualan keropok lekor yang menjadi tarikan utama di sekitar jalan berhampiran resort tersebut.