Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, December 21, 2011

AKCR dikelilingi kehijauan

 KICAUAN burung dan kehijauan alam semula jadi serta ketenangan yang menyambut ketibaan sememangnya cukup mendamaikan. Keletihan perjalanan menyusuri Lebuhraya Utara-Selatan dari ibu negara selama sejam setengah dan dua jam pemanduan dari Singapura bagaikan terbang bersama angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup.

Itulah kedamaian yang pastinya dirasai di Ayer Keroh Country Resort (AKCR), Ayer Keroh, Melaka. Terletak hanya dua kilometer (km) dari Plaza Tol Ayer Keroh dan berdekatan pelbagai tarikan di Melaka, AKCR dengan slogan ‘The Green Heritage of Melaka,’ pasti tidak mengecewakan pengunjungnya.

Dibangunkan dalam kawasan seluas 6.9 hektar yang dirasmikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 April 1986, AKCR antara hotel di Melaka yang menawarkan keindahan alam semula jadi.Justeru, bagi yang inginkan keselesaan dan lari daripada kesibukan kota tetapi berdekatan dengan tarikan pelancongan yang menarik, AKCR adalah destinasi paling tepat.

Selain menyediakan 70 bilik iaitu 54 unit Superior, 11 unit Deluxe dan 5 unit Family, AKCR turut menyediakan 12 chalet dan dua bilik dometri yang boleh memuatkan 20 orang sebilik.

Menariknya, chalet dua bilik, tiga bilik dan suite menerapkan konsep seperti berada di rumah dengan tempat letak kereta, lama yang luas sesuai untuk mengadakan aktiviti bersama keluarga tersayang dan dikelilingi dengan keindahan alam semula jadi.

Jarak antara chalet pula cukup luas dan tidak berpagar yang membolehkan pengunjung mengadakan sebarang acara seperti berbeku serta aktiviti kekeluargaan. Setiap bilik dan chalet yang ditawarkan di AKCR dilengkapi kemudahan seperti televisyen, WiFi, saluran berbayar Astro, telefon, penyaman udara serta kelengkapan membuat kopi dan teh.

Bagi yang datang secara berkumpulan dan mahu bermalam di dalam khemah, tapak perkhemahan yang boleh memuatkan 100 orang dalam satu masa turut disediakan. Di samping tapak perkhemahan, AKCR turut mempunyai aktiviti menarik dan terbaru khas buat pengunjung terutama yang sukakan aktiviti lasak serta mencabar minda.

Antara aktiviti yang pastinya membuatkan pengunjung teruja adalah permainan paintball, flying fox, wall climbing dan banyak lagi. Aktiviti riadah termasuk berbasikal, merentas hutan dan bermain tenis juga boleh di lakukan di resort itu.

Bagi yang kurang menggemari aktiviti yang mencabar itu, pengunjung boleh berenang di kolam renang sedalam lebih kurang 2.5 meter untuk dewasa dan 0.5 meter untuk kanak-kanak yang dikelilingi pokok yang menghijau. Jika mahu mengunjungi destinasi menarik di Melaka, pengunjung yang menginap di AKCR tidak perlu pergi jauh atau mungkin membawa kereta kerana tempat menarik seperti Mini Malaysia, Taman Rama-Rama, Zoo Melaka, Taman Botani dan Taman Buaya kedudukannya berdekatan.

Bagi mengadakan sebarang acara ataupun seminar, seba–nyak lima dewan yang boleh
di sewa dan semuanya dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sistem audio, meja dan mikrofon wireless, projektor dan white board. Menjamu selera pula, bukan masalah untuk pengunjung yang menginap di AKCR kerana ada tiga restoran menyediakan pelbagai hidangan menarik khas buat pengunjung iaitu di Sireh Junjung Coffee House, Anjung Cafe dan Serambi.

Bagi yang merancang berkunjung ke Melaka atau mencari penginapan dikelilingi kehijauan alam semula jadi dan jauh daripada kesibukan, Ayer Keroh Country Resort Melaka adalah pilihan paling tepat. Untuk maklumat lanjut atau sebarang tempahan, hubungi 06 2325211 atau mengunjung laman web www.akcr.com.my.
Sumber:harian metro

Keunikan Gua Kelawar

KEUNIKAN dan keindahan Kilim Geoforest Park (KGP) sukar diungkapkan dengan kata-kata hinggakan ia diiktiraf sebagai tapak warisan dunia pada 1 Jun 2007 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).Lebih membanggakan kerana perairan mengasyikkan itu menjadi tumpuan umum dari dalam dan luar negara sejak sekian lamanya.

GANTUNG...antara kelawar menghiasi Gua Kelawar.

GELAP...lorong gelap yang ada di Gua Kelawar.

TANGKAS...Burung Helang Merah antara tarikan di Sungai Kilim.

CANTIK...pemandangan indah di Pulau Anak Tikus.

DAKI...anak tangga yang perlu dipanjat sebelum sampai ke Gua Langsir.

TERPELIHARA...antara hidupan laut yang diternak.
Berstatus geopark pertama negara dan di Asia Tenggara serta ke-22 di dunia, KGP adalah satu daripada tapak warisan dunia yang ada di Langkawi selepas Machincang Geopark dan Pulau Dayang Bunting Geopark.

Bagi yang belum tahu, antara destinasi menyeronokkan di KGP adalah Pulau Chabang, Pulau Gorilla, Gua Langsir, Pinakel Langsir, Teluk Cina Mati dan Tasik Langgun yang menjadi tarikan kepada pengunjung selain kemudahan lebih 70 bot beroperasi mampu membawa anda ke mana-mana tempat.



Kunjungan Harian Metro ke KGP baru-baru ini dengan bantuan dua pegawai Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Shariffah Aemee Dianna Syed Mohamed dan Mohammad Faizal Othman, amat menyeronokkan hingga sukar lekang daripada ingatan.


Melalui Sungai Kilim jam 9.10 pagi, didapati kehadiran beberapa kumpulan pelajar sekolah ke kawasan berusia 550 juta tahun itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan.

Ini kerana kehadiran mereka bukan saja memanfaatkan masa terluang tetapi untuk menimba ilmu pengetahuan.

Destinasi pertama yang dikunjungi dan antara tarikan utama pengunjung di situ ialah Gua Kelawar yang dihuni lebih 5,000 kelawar di dalam gua berusia 440 hingga 480 juta tahun.

Menyusuri lorong gelap yang cukup mendebarkan tetapi menyeronokkan, pengunjung dapat melihat kehidupan kelawar unik terbahagi kepada dua spesies iaitu kelawar gemar memakan serangga dan memakan buah.

Fakta menyatakan bahawa hidung kelawar memakan serangga berbentuk bulat, kadangkala berbentuk bunga dan ia mampu menelan sehingga 1,200 serangga selama sejam dalam satu malam.

Selain kelawar, burung layang-layang antara hidupan yang turut mendiami gua terbabit dan fakta menerangkan kebiasaannya kelawar yang keluar daripada gua membelok ke kiri kemudian ia diikuti burung layang-layang.

Berlatarkan batu kapur, Gua Kelawar yang terletak di kawasan paya bakau di tepi anak Sungai Kilim itu juga mempunyai ruangan berbentuk terowong panjang kaya dengan stalagmit dan stalaktit besar selain menjadi rumah kepada kumpulan kelawar itu.

Gua terbabit yang juga kaya dengan fosil berusia 250 hingga 480 juta tahun itu terbentuk disebabkan hakisan dan tujahan ombak selain dibarisi hidupan pokok bakau yang kuat mencengkam akarnya.

Tarikan Gua Kelawar adalah struktur stalaktit dan stalagmit yang kelihatan begitu unik kerana ia membengkok ke arah sisi mencari cahaya matahari.

Proses kedua-dua pembentukan itu mengambil masa yang lama hingga mencecah 100 tahun bagi membentuk satu inci stalaktit atau stalagmit.

Hampir sejam di Gua Kelawar, penerokaan yang cukup mempesona diteruskan dengan menyaksikan kehidupan Burung Helang Merah di Sungai Kilim yang terletak satu kilometer dari Pengkalan Nelayan Kilim.

Mengambil masa lebih kurang lima minit dengan bantuan bot laju, kami berpeluang melihat lebih 30 burung Helang Merah yang terbang bebas di kawasan sungai, sekali gus mencantikkan pemandangan tatkala sampai di kawasan yang dituju.

Helang Merah atau ‘Brahminy Kites’ dahulunya mendapatkan makanan di sekitar kawasan hutan, namun kehidupan itu kini lebih me�nyenangkan sejurus diberikan kisaran lemak ayam setiap hari oleh petugas Lada.

Menyaksikan kelincahan burung helang merah yang tidak henti-henti menjunam ke dasar air mendapatkan lemak ayam ternyata membuatkan pengunjung tersenyum dan bagi kami itu adalah pengalaman yang begitu berharga.

Menurut pegawai Lada yang mengiringi, cara untuk memberitahu bahawa waktu makan sudah tiba kepada burung helang merah dengan mengocak air di sungai menggunakan enjin bot. Ia sememangnya unik dan menyeronokkan.

Puas melihat aksi Burung Helang Merah menikmati makanan yang disediakan, aktiviti seterusnya yang kami lakukan adalah bersiar-siar di sekitar pulau kecil.

Menariknya di Pulau Kecil, pengunjung berpeluang melihat beberapa bukit kecil yang kelihatan seperti Aparchi Head (kepala Red Indian), Baby Face dan ada juga seperti kasut (Pulau Kasut).

Hampir sejam bersiar-siar, destinasi seterusnya ditujui ialah Pulau Anak Tikus (PAT) yang terletak di hujung selatan Pulau Langgun.

PAT yang juga dikenali sebagai kubu fosil dianggarkan berusia 490 juta tahun dibentuk batu kapur gelap yang berlapis sederhana hingga tebal.

Pemandangan PAT yang indah menghadap lautan dalam batuan kapur itu kaya dengan pelbagai jenis fosil terutama ‘gastropod’ dan ‘setatopod’.

Fosil gastropod (sejenis siput) yang lazim ditemui di kawasan terbabit termasuk ‘Malayaspira rugosa’, ‘teichispira kobayshii’, ‘helicomota jonesi’, ‘palaecaphalus giganteus’, ‘lesuerilla zorota’ dan ‘hormotuma’.

Sesudah puas meninjau PAT, kami dibawa pula menyaksikan keindahan Gua Langsir.
Ia dikenali nama sedemikian kerana gua itu mempunyai satu lorong yang amat kecil menyerupai langsir dan hanya sebuah sampan kecil mampu memasuki lorong berkenaan.

Sebelum mengunjungi Gua Langsir, pengunjung terlebih dulu harus mendaki hampir 300 anak tangga serta melalui kira-kira 200 meter jambatan sebelum menyaksikan keindahan mempesonakan di gua terbabit.

Destinasi akhir dikunjungi kami ialah Hole In The World iaitu pusat penternakan yang kaya dengan pelbagai hidupan laut antaranya ikan pari, ikan kerapu, belangkas dan udang lipan selain ‘ikan empat calit’ iaitu ikan kecil yang mempunyai empat garisan pada bahagian badan.

Selain menyaksikan ternakan hidupan laut, pengunjung juga boleh menikmati makanan laut berikutan banyak gerai makan dibuka khas untuk pelanggan dengan harga berpatutan.

Memang benar KGP adalah warisan dunia terunggul di negara ini. Jika berkunjung ke KGP, pengunjung bukan saja dapat menyenangkan perasaan tetapi turut membuatkan pengunjung kagum dengan kepelbagaian destinasi pelancongan yang mengasyikkan di Pulau Langkawi.

 
INFO:
•Kilim Geoforest Park adalah geopark pertama negara dan di Asia Tenggara serta ke-22 di dunia.
•Salah satu daripada tapak warisan dunia di Langkawi selain Machincang Geopark dan Pulau Dayang Bunting Geopark.
•Gua Kelawar yang dihuni lebih 5,000 kelawar di dalam gua berusia 440 hingga 480 juta tahun.
•Bukit kelihatan seperti Apache Head (kepala Red Indian), Baby Face dan kasut antara tarikan di Pulau Kecil.
•Asal usul nama Gua Langsir adalah kerana ia mempunyai lorong yang sangat kecil menyerupai langsir dan hanya sebuah sampan kecil yang boleh memasukinya.
Sumber:harian Metro