TIDAK perlu terbang ke Itali untuk menikmati keajaiban Menara Condong Pisa kerana pengalaman yang hampir sama boleh dikecapi di bandar Teluk Intan, Perak yang hanya memakan masa dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur.
Terletak di tengah-tengah bandar yang dahulunya dikenali sebagai Teluk Mak Intan, menara jam setinggi 25.5 meter yang condong ke arah barat laut tersebut kini menjadi mercu tanda kepada bandar di daerah Hilir Perak itu.
Bangunan yang kelihatan seolah-olah mempunyai lapan tingkat dari luar itu, dibina bagi menempatkan sebuah tangki air untuk kegunaan penduduk setempat sekiranya berlaku kemarau.
Kejadian banjir besar yang berlaku pada tahun 1889 dan 1895 menjadi antara faktor bangunan yang dibina oleh Leong Choon Chong itu mula condong.
Mengikut catatan sejarah juga, menara yang berada di antara Jalan Pasar, Jalan Ah Cheong, Jalan Selat dan Jalan Bandar itu juga pernah digunakan tentera Jepun sebagai pusat kawalan pada suatu ketika dahulu.
Namun, setelah 127 tahun berlalu, menara condong itu kini hanya berdiri sebagai satu monumen sejarah yang menjadi daya tarikan pengunjung ke Teluk Intan.
Wartawan S2, SITI NURAZLINA JAMALUDIN dan jurugambar FAIRUZ IZYANA AYUB menjejaki keunikan bandar yang suatu ketika dahulu juga pernah dikenali sebagai Teluk Anson.
Sumber:utusan malaysia.com