Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, January 29, 2014

Naan Corner saji roti boom asli


ROTI boom atau roti canai mini semakin digemari rakyat negara ini.

BAGI peminat roti boom, pasti tertanya-tanya siapakah pencetus asal yang menghasilkan 'roti canai mini' yang semakin menjadi kegemaran ramai di negara ini.

Jawapan kepada persoalan itu ada di Naan Corner yang terletak tidak jauh dari ibu kota iaitu di Ampang Jaya.

Pemiliknya, Parwis Kausar, berkata, selain menu yang diwarisinya turun-temurun iaitu roti boom, pelbagai jenis makanan turut lain dihidangkan di restoran miliknya.
Istimewanya, setiap masakan yang disajikan di restoran itu dimasak dengan menggunakan resipi sendiri yang diwarisi turun temurun sejak dahulu.

Menurutnya, bermula dengan masakan India, Melayu dan Cina sehinggalah aneka masakan Barat, kesemuanya ada dihidangkan di Naan Corner.

"Bagi penggemar roti boom, mereka boleh menikmati hidangan tersebut pada harga 50 sen sekeping.

"Harga makanan lain juga amat berpatutan yang mana paling mahal adalah RM40," katanya.
Menurut Parwis, selain roti boom, antara menu lain yang digemari pengunjung adalah daging dendeng, nasi lemak kukus RM1, mee rebus, tauhu bakar dan murtabak daging.
"Kebanyakan mereka yang mengunjungi restoran ini terdiri daripada pelanggan tetap memandangkan restoran ini telah bertapak di situ sejak 30 tahun lalu.

"Pelanggan tetap datang ke restoran ini semata-mata mahu menikmati roti boom dan beberapa jenis masakan yang mereka gemari," tambahnya.

Dalam pada itu, antara masakan Melayu yang terdapat di Naan Corner adalah nasi campur, nasi ayam, mee kari dan asam laksa.

Manakala, masakan barat pula adalah chicken chop, fish and chip, lamb shank dan stik rib eye.
"Menu istimewa lain yang disediakan adalah cucur udang, udang mentega, sup kambing, sup tulang, sup Singapore dan sup ekor.Restoran Naan Corner turut menyediakan pelbagai jenis minuman yang pastinya memikat selera pengunjung.Antaranya adalah longan super, laici super, durian belanda dan mango lassi.

Parwis berkata, saiz gelas bagi setiap minuman adalah besar bagi memastikan kepuasan setiap pelanggan."Melihatkan pada saiznya, pasti ramai yang tidak menyangka harga bagi segelas air minuman di sini adalah antara RM5 hingga RM10.

"Selain saiz gelasnya yang besar, rasa minuman yang disediakan juga sangat istimewa dan tidak terdapat di mana-mana restoran lain," ujarnya.Restoran Naan Corner dibuka setiap hari pada pukul 3 petang hingga 2 pagi.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Percutian resort tengah bandar raya





MENJADI satu-satunya resort di tengah bandar raya Kota Kinabalu, Sutera Harbour Resort, menawarkan percutian yang pastinya sukar dilupakan oleh para tetamunya.

Mereka yang berkemampuan dan menginginkan percutian secara eksklusif, namun masih mahukan sesuatu yang lebih mencabar, tidak perlu risau untuk mencari resort atau tempat penginapan kerana semua itu boleh dinikmati secara pakej di Sutera Harbour Resort.

Begitupun, mereka haruslah mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk menikmati keseronokan bercuti sambil melawat tempat-tempat menarik.

Sutera Harbour Resort yang merangkumi dua hotel lima bintang iaitu The Magellan Sutera Resort dan The Pacific Sutera serta kelab rekreasi The Sutera Harbour Marina, Golf and Country Club, menawarkan pakej pelancongan terbaik di negeri ini.

Meliputi kawasan seluas 155.4 hektar tanah tebus guna, resort bersepadu ini memiliki kemudahan rekreasi luas termasuk padang golf, gelanggang tenis dan jeti bagi persinggahan kapal-kapal pelayaran mewah.

Pacific Sutera Resort mempunyai 500 bilik dan suite eksklusif dengan hiasan kontemporari dengan harganya bermula daripada RM400, sementara The Magellan pula mempunyai sebanyak 456 bilik dengan kadar bermula daripada RM450 untuk penginapan satu malam.
Seandainya pelancong berminat untuk melawat pulau-pulau berhampiran, mereka boleh menaiki bot resort berkenaan ke Taman Tunku Abdul Rahman yang merangkumi lima buah pulau yang terletak hanya kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot dari resort berkenaan.

Lima buah pulau indah yang terdapat di situ adalah Manukan, Mamutik, Sulug, Gaya dan Sapi.
Eksekutif Pemasaran dan Komunikasinya, Ryazilah Abdul Rahim berkata, resort itu turut menjalinkan usaha sama dan perkongsian dengan pihak ketiga untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pelancongan di Sabah.

''Sebagai contoh, kami bekerjasama dengan Jabatan Keretapi Negeri Sabah menawarkan pakej menaiki keretapi stim vintaj yang bertujuan memberi pengalaman zaman silam British Borneo Utara kepada pelancong.

"Penumpang yang bakal menikmati pengalaman perjalanan dari Tanjung Aru, melalui pekan Putatan, Kinarut, Kawang dan Papar akan dilayan oleh kru keretapi itu yang lengkap memakai uniform zaman kolonial, selain hiasan dalamannya turut memaparkan dekorasi zaman berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Ryazilah berkata, kepada pelancong bajet, pihaknya turut menawarkan penginapan bajet rendah melalui Sutera Sanctuary Lodges (SSL) yang diuruskan bersama dengan Taman-Taman Sabah.

''Sasaran utama SSL untuk menjadi resort yang dapat memenuhi keperluan tetamu kami daripada pelbagai peringkat, dari orang-orang kenamaan hinggalah ke backpackers," katanya.

Katanya, Sutera Harbour akan meningkatkan lagi kemudahan di resort itu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua tetamunya dapat menikmati pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika berada di negeri ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Menggamit ketenangan di Residence Inn Cherating




WALAU ke mana sahaja destinasi pelancongan dirancang, pastinya pilihan terarah kepada hotel atau resort yang memberi kemudahan dan pemandangan memuaskan.
Diselubungi ketenangan alam semula jadi dan alunan ombak Laut China Selatan yang mendamaikan, Residence Inn Cherating (RIC), Kuantan, Pahang memahami kehendak itu dengan menjanjikan yang terbaik kepada mereka untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan.
Bagi yang sering berkunjung ke negeri-negeri di pantai Timur, pastinya tidak dapat menafikan keindahan pantai dan kehijauan alam semula jadi yang masih terpelihara.
Mengambil tema ciptaan indah Yang Maha Esa, Residence Inn Cherating dibina di atas tanah seluas empat hektar oleh syarikat milik penuh bumiputera iaitu Residence Inn & Motel Sdn. Bhd., pada 1994.
Mengambil masa kira-kira lima minit ke pantai Cherating, hotel tersebut yang bertapak di pesisir laut itu menjanjikan penjimatan dengan perkhidmatan serta kemudahan bertaraf lima bintang.
Hotel itu menyediakan 74 bilik bersama balkoni peribadi yang terbahagi kepada 14 bilik Executive Deluxe menghadap kolam renang dan jakuzi; 46 bilik Deluxe Apartment dan 14 calet di dalam taman ala kotej Inggeris yang digemari pelancong luar negara.
Bagi mereka yang menginap di sini, sudah tentunya ingin mencari kadar bayaran berpatutan, sesuai dengan bajet mereka dan RIC sudah pasti tidak mengecewakan.
Terdapat tiga pakej disediakan bermula pada harga rendah hingga berpatutan seperti percutian dua hari satu malam meliputi super saver package, hot deal package dan tiga hari dua malam breakway package.
Bagi pasangan yang baru berkahwin, hotel ini turut menawarkan pakej romantik dikenali honeymoon @ RIC pada harga istimewa yang membolehkan pasangan terbabit menikmati makan malam di tepian jakuzi di kawasan kolam renang.
Selain kemudahan bilik, RIC juga menyediakan beberapa aktiviti kepada pengunjung bermula kembara hutan, snorkeling, pukat tarik, berkayak di sungai dan melihat kelip-kelip pada waktu malam.
Pengunjung tidak perlu bimbang tentang soal keselamatan kerana hotel itu juga mempunyai sistem kawalan keselamatan dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) selama 24 jam.
Kemudahan lain yang turut disediakan adalah perkhidmatan pengangkutan, tempat letak kereta percuma, internet tanpa wayar, kelab karaoke, mini bar dan Paradise Cafe, kedai cenderamata, tiga buah kolam renang dan satu jakuzi, gimnasium serta perkhidmatan perubatan 24 jam yang jarang ditemui di tempat penginapan percutian yang lain.
Dengan kemudahan dan perkhidmatan terbaik itu, tidak hairanlah jika RIC dinobatkan oleh tetamunya sebagai antara tempat penginapan terbaik di pantai Cherating.
Menurut Pengarah Urusan RIC, Wan Ramzi Wan Muda, keindahan semula jadi di pantai Cherating adalah tarikan sebenar yang menggamit tetamu berkunjung ke hotel ini.
"Tiga faktor yang menjadi jaminan buat pengunjung adalah layanan terbaik, perkhidmatan cemerlang dan makanan disediakan dengan kasih sayang bagi menghargai tetamu kami," katanya.
Tambahnya, RIC mengamalkan konsep prihatin terhadap alam sekitar dan sistem kumbahan yang menggunakan sistem Hi-clean berfungsi dengan menapis air ke tahap boleh guna semula, sekali gus mengalir ke laut dalam keadaan bersih.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, January 21, 2014

Mentarang bakar menu istimewa




PENGGEMAR makanan laut pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati keunikan rasa mentarang bakar yang banyak terdapat di gerai-gerai tepi jalan di sekitar Kampung Sungai Leman, Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor.

Antara yang menjadi tumpuan adalah gerai Faridah Mentarang Bakar yang sering dikunjungi penggemar makanan laut itu.

Pemiliknya, Sazali Zainal, 54, berkata, rata-rata pelanggan yang berkunjung ke gerainya bukan sahaja daripada kalangan penduduk sekitar, malahan ada yang datang dari Lembah Klang.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan di gerai miliknya menjadi faktor utama pelanggan kerap berkunjung ke situ seperti ruang makan menarik, tempat letak kereta percuma dan hidangan istimewa berasaskan mentarang.

"Pelanggan boleh memilih untuk menikmati makanan yang disaji sama ada secara bersila di pondok atau duduk di meja makan yang disediakan di pinggir tali air dalam suasana kampung yang sangat menarik," katanya.
Keistimewaan lain yang terdapat di situ adalah pelanggan boleh membeli mentarang segar untuk dibawa pulang pada harga berpatutan.

"Ada di antara pelanggan membeli mentarang pada harga RM10 sekilogram untuk dibawa pulang," kata Sazali.
Dia yang membuka gerainya bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Jumaat berkata, keunikan rasa mentarang bakar semakin digilai penggemar makanan laut sehinggakan dia mendapat tempahan dari luar Selangor.
"Mungkin sebelum ini mentarang bakar tidak dikenali tetapi selepas hasil laut ini dikomersialkan, ia terus menjadi makanan yang digemari," ujarnya.
Menurutnya, pada hari-hari biasa, dia mampu menjual kira-kira 50 kilogram tetapi hujung minggu mampu mencecah 100 kilogram.

Di gerainya juga terdapat air kelapa segar dari jenis kelapa pandan dan kelapa gading yang amat digemari para pelanggan.

Gerai mentarang bakar miliknya merupakan yang pertama dibuka di daerah itu sejak empat tahun lalu dan menjadi pelopor sebelum diikuti oleh beberapa peniaga lain.
"Harapan saya adalah kawasan Sekinchan dapat menjadi tumpuan penggemar makanan laut khususnya mentarang dan besar lagi harapan saya agar makanan ini dapat dikomersialkan secara lebih meluas, sekali gus menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd