Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, January 29, 2014

Menggamit ketenangan di Residence Inn Cherating




WALAU ke mana sahaja destinasi pelancongan dirancang, pastinya pilihan terarah kepada hotel atau resort yang memberi kemudahan dan pemandangan memuaskan.
Diselubungi ketenangan alam semula jadi dan alunan ombak Laut China Selatan yang mendamaikan, Residence Inn Cherating (RIC), Kuantan, Pahang memahami kehendak itu dengan menjanjikan yang terbaik kepada mereka untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan.
Bagi yang sering berkunjung ke negeri-negeri di pantai Timur, pastinya tidak dapat menafikan keindahan pantai dan kehijauan alam semula jadi yang masih terpelihara.
Mengambil tema ciptaan indah Yang Maha Esa, Residence Inn Cherating dibina di atas tanah seluas empat hektar oleh syarikat milik penuh bumiputera iaitu Residence Inn & Motel Sdn. Bhd., pada 1994.
Mengambil masa kira-kira lima minit ke pantai Cherating, hotel tersebut yang bertapak di pesisir laut itu menjanjikan penjimatan dengan perkhidmatan serta kemudahan bertaraf lima bintang.
Hotel itu menyediakan 74 bilik bersama balkoni peribadi yang terbahagi kepada 14 bilik Executive Deluxe menghadap kolam renang dan jakuzi; 46 bilik Deluxe Apartment dan 14 calet di dalam taman ala kotej Inggeris yang digemari pelancong luar negara.
Bagi mereka yang menginap di sini, sudah tentunya ingin mencari kadar bayaran berpatutan, sesuai dengan bajet mereka dan RIC sudah pasti tidak mengecewakan.
Terdapat tiga pakej disediakan bermula pada harga rendah hingga berpatutan seperti percutian dua hari satu malam meliputi super saver package, hot deal package dan tiga hari dua malam breakway package.
Bagi pasangan yang baru berkahwin, hotel ini turut menawarkan pakej romantik dikenali honeymoon @ RIC pada harga istimewa yang membolehkan pasangan terbabit menikmati makan malam di tepian jakuzi di kawasan kolam renang.
Selain kemudahan bilik, RIC juga menyediakan beberapa aktiviti kepada pengunjung bermula kembara hutan, snorkeling, pukat tarik, berkayak di sungai dan melihat kelip-kelip pada waktu malam.
Pengunjung tidak perlu bimbang tentang soal keselamatan kerana hotel itu juga mempunyai sistem kawalan keselamatan dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) selama 24 jam.
Kemudahan lain yang turut disediakan adalah perkhidmatan pengangkutan, tempat letak kereta percuma, internet tanpa wayar, kelab karaoke, mini bar dan Paradise Cafe, kedai cenderamata, tiga buah kolam renang dan satu jakuzi, gimnasium serta perkhidmatan perubatan 24 jam yang jarang ditemui di tempat penginapan percutian yang lain.
Dengan kemudahan dan perkhidmatan terbaik itu, tidak hairanlah jika RIC dinobatkan oleh tetamunya sebagai antara tempat penginapan terbaik di pantai Cherating.
Menurut Pengarah Urusan RIC, Wan Ramzi Wan Muda, keindahan semula jadi di pantai Cherating adalah tarikan sebenar yang menggamit tetamu berkunjung ke hotel ini.
"Tiga faktor yang menjadi jaminan buat pengunjung adalah layanan terbaik, perkhidmatan cemerlang dan makanan disediakan dengan kasih sayang bagi menghargai tetamu kami," katanya.
Tambahnya, RIC mengamalkan konsep prihatin terhadap alam sekitar dan sistem kumbahan yang menggunakan sistem Hi-clean berfungsi dengan menapis air ke tahap boleh guna semula, sekali gus mengalir ke laut dalam keadaan bersih.

© Utusan Melayu (M) Bhd