Carian Maklumat di sini

Custom Search

Tuesday, April 1, 2014

Tembok jadi tarikan pelancong



Tembok sempadan sepanjang 20.9 kilometer yang menganjur antara 
Bukit Batu Puteh, Kuala Perlis dan Padang Besar dilihat berpotensi
 sebagai produk baru sektor pelancongan.

KEINDAHAN bukit-bukau, sawah dan tasik, yang mewarnai landskap alam, sememangnya sudah tidak asing bagi pelancong yang melawat Perlis.

Apa kata jika jajaran tembok yang menjalar di sempadan Malaysia-Thailand juga disenaraikan sebagai tarikan pelancong ke negeri paling kecil ini.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa tembok keselamatan di kawasan berbukit itu perlu menolak kehadiran pelancong kerana kedudukannya dalam kawasan keselamatan.
Walaupun tembok konkrit itu dilihat sebagai tidak mesra, menggerunkan, suram dan kaku namun ada yang mahukan aset keselamatan negara itu dimesrakan kepada pelancong. Sesiapa sahaja termasuk pelancong yang melepasi pintu sempadan sama ada di Padang Besar atau Wang Kelian pasti akan melewati tembok yang dibina sejak 20 tahun lepas itu.

Bagaimanapun tidak ramai yang tergerak hati untuk merakam kenangan di pinggir tembok setinggi 2.4 meter itu atas alasan ia berada di kawasan keselamatan.

Ada yang beranggapan tiada apa yang menarik di tembok yang sentiasa dikawal anggota keselamatan apatah lagi ia belum pernah melakar peristiwa besar sebagaimana yang pernah berlaku di Tembok Berlin dan Tembok Besar China.

Namun ramai yang melihat potensi tembok sempadan sepanjang 20.9 kilometer yang menganjur antara Bukit Batu Puteh dan Padang Besar sebagai produk baru sektor pelancongan.

Ada yang berharap kawasan tembok terutama berhampiran pintu sempadan boleh didekati secara terkawal walaupun bukan untuk keseluruhan tembok itu.

Antara yang melihat potensi tembok sempadan sebagai aset pelancongan yang baharu ialahRaja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Selama ini baginda menyumbang banyak idea untuk memajukan sektor pelancongan di Perlis melalui pelbagai kegiatan promosi di dalam dan luar negara.

Mercu tanda di Sempadan

Tuanku Syed Faizuddin berharap akan ada usaha untuk menjadikan tembok yang menyimpan pelbagai kisah berkaitan keselamatan itu sebagai mercu tanda pelancongan kawasan sempadan.

“Mungkin sebuah ruang persinggahan boleh diwujudkan di pinggir tembok untuk para pelancong bergambar kenangan di pinggirnya," titah baginda pada program berbasikal santai di Padang Besar baru-baru ini.

Jika tembok sempadan tidak boleh didekati mungkin sebuah replika tembok sempadan boleh dibina di lokasi strategik untuk membolehkan pelancong bergambar kenangan apabila tiba di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin mengimbas kembali pengalaman baginda meninjau tapak bekas Tembok Berlin di Jerman pada akhir tahun lepas. Sisa tembok bersejarah yang diruntuhkan itu kini menjadi tumpuan pelancong meskipun ia lama dimusnahkan.

Tembok Berlin yang dibina pada 1961 menjadi dinding pemisah antara Jerman Barat dan Jerman Timur selama 28 tahun sebelum diruntuhkan pada 1989.Para pelancong yang melawat Berlin mengambil kesempatan bergambar di pinggir-pinggir cebisan tembok yang menjadi tinggalan sejarah sebagai kenangan.

Baginda yakin tembok sempadan yang menjadi dinding pemisah Malaysia dan Thailand juga mampu menggamit pelancong ke Perlis.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menjadi Menteri Besar Perlis juga pernah mencadangkan kawasan pinggir sempadan dibuka kepada pelancong.

Baginya, keunikan Perlis sebagai sebuah negeri yang bersempadan dengan Thailand dan dipisahkan dengan tembok konkrit harus dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong.

Bagaimanapun cadangan Shahidan, yang dibuat pada 1999 itu, tidak dapat dilaksanakan dengan alasan faktor keselamatan.Seorang pelancong dari Pulau Pinang, Norhisham Said, 34, mengakui teruja melihat tembok sempadan apabila melepasi pintu sempadan di Wang Kelian.

“Tembok yang kaku itu perlu hidup. Berikan nafas kepadanya," kata ahli perniagaan itu kepada Bernama semasa ditemui di Wang Kelian.

Mural di tembok
Bagaimanapun tembok sempadan di Padang Besar mula diceriakan dengan lukisan mural yang menghiasi dindingnya.

Seorang kakitangan awam Zaonah Hamisan, 36, dari Batu Pahat, Johor yang mengunjungi Padang Besar tidak melepaskan peluangnya merakamkan gambar kenangan di pinggir tembok berhampiran pintu sempadan itu.

Bagi beliau, ia adalah satu peluang yang baik untuk mengabadikan kenangan apabila tiba di pekan sempadan ini yang menjadi tumpuan pelancong. Sesungguhnya tiada apa yang perlu disembunyikan kerana tembok ini sememangnya boleh dilihat dengan jelas di pintu sempadan dan berhampiran laluan menuju ke pintu masuk Thailand.

Kerajaan mula membina tembok konkrit di sepanjang sempadan berbukit antara Bukit Batu Putih dan Padang Besar bermula 1994 yang antara lain bertujuan mengekang kegiatan pencerobohan dan penyeludupan melalui sempadan ini.

Apa yang penting selagi tidak menjejaskan keselamatan negara, tembok sempadan di kawasan pintu sempadan ini perlu diberi nafas baharu dan dihidupkan sebagai produk pelancongan.

Pembinaan replika tembok boleh menjadi alternatif kepada tembok sebenar jika pihak berkuasa keselamatan tidak membenarkan ia dihampiri.

Sebelum ini, penganjuran kegiatan berbasikal dan larian di pinggir sempadan pernah diadakan oleh beberapa pihak dan memberi peluang kepada para peserta mendekati tembok sempadan.

Sesungguhnya para pelancong juga sentiasa menunggu jika ada ruang untuk mereka menikmati suasana pinggir sempadan yang unik. - Bernama


© Utusan Melayu (M) Bhd