Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, October 1, 2014

Agropelancongan di Bagan Lalang

Memancing di kelong berhampiran antara aktiviti yang boleh dilakukan apabila menginap di PNK Sepang Resort.
Apa pun nama yang boleh anda berikan agropelancongan atau eko pelancongan atau bersantai, Bagan Lalang di Selangor mungkin boleh menjadi lokasi pilihan.
Pada hujung minggu atau cuti umum, pengunjung memenuhi sekitar pantai menikmati makan malam dan ada yang memasang khemah menghirup udara segar, menenangkan fikiran, jauh daripada hiruk pikuk kebingitan kota.
Dengan jarak perjalanan kira-kira satu jam setengah dari ibu kota, tidak ada sebab mengapa kawasan tersebut yang terkenal dengan hidangan makanan laut yang murah dan segar, tidak menjadi pilihan pengunjung.
Aktiviti air seperti memancing mudik ke sungai menaiki bot menyaksikan panorama hutan bakau, pasti menggamit mereka yang sukakan aktiviti berkaitan alam sekitar.
Namun, bagi penggemar aktiviti memancing, kawasan ini pastinya tidak akan dilupakan begitu sahaja. Lokasinya amat sesuai dan kini terus menjadi pilihan penggemar aktiviti tersebut.
Perkampungan nelayan di sini sebenarnya satu aset yang benar-benar memberi manfaat kepada penduduk dan pengusaha aktiviti pelancongan.
Selain pengusaha individu yang paling tidak membuka restoran, mereka mengaut keuntungan daripada kunjungan penggemar makanan laut yang tidak putus putus setiap hujung minggu.
Oleh sebab itu, apabila Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mewujudkan aktiviti ekonomi menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Camar Laut Resort, iaitu penginapan untuk pengunjung di sini, agensi terbabit boleh dianggap memilih lokasi yang tepat. LKIM menawarkan penginapan ala desa di pesisir pantai Bagan Lalang itu. LKIM merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Sebagai sebuah persatuan yang bernaung di bawah LKIM, PNK Sepang turut mengambil bahagian dalam menjana pendapatan persatuan menerusi pembinaan resort.
Dikenali sebagai PNK Sepang Resort, ia dibangunkan pada tahun 1997 dan menjadi tarikan utama pelancong tempatan terutamanya hujung minggu.
Menurut Penolong Pengurus Pentadbiran PNK Sepang, Mohd. Firdaus Mahadzir, selain lokasi yang strategik dan terletak berhadapan dengan pantai Bagan Lalang, resort tersebut turut menawarkan pelbagai kemudahan lain seperti dewan kuliah, surau dan padang permainan.
Katanya, selain menawarkan penginapan menerusi 20 unit calet dan dua unit dometri PNK Sepang Resort menawarkan pelbagai pakej lain untuk kemudahan pengunjung.
“Antara pakej yang kita tawarkan adalah pakej kursus, seminar dan juga bengkel, program penginapan, sambutan hari keluarga dan pelbagai lagi.
“Malah, bagi mereka yang berminat terhadap aktiviti riadah, kita juga turut menyediakan pakej memancing di atas sangkar kupang dengan kadar cuma RM20 seorang.
``Sangkar tersebut merupakan pelantar yang sebelum ini diusahakan untuk ternakan kupang, namun ia tidak begitu menjadi justeru ditukarkan kepada pelantar untuk aktiviti memancing.
“Memancing di sangkar kupang ini menerima permintaan yang tinggi dalam kalangan kaki pancing kerana kita turut menyediakan perkhidmatan bot untuk menghantar dan mengambil mereka.
“Di sini pelbagai spesies ikan muara boleh diperolehi seperti siakap, siakap merah, sembilang, dan pelbagai lagi," katanya.
Selain sangkar, terdapat juga pakej-pakej memancing di sekitar pantai Bagan Lalang di bawah kelolaan PNK Sepang.
Maklumat lanjut berkenaan PNK Sepang Resort, boleh menghubungi talian 03-3141 3182 atau layari laman web www.pnksepangresort.com.my - ashriq fahmy ahmad dan laupa junus


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140908/ag_01/Agropelancongan-di-Bagan-Lalang#ixzz3ExXLXjuD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Percutian ala nelayan di Laguna Setiu

Advertisement
PERCUTIAN di lokasi-lokasi pelancongan popular seperti Pulau Langkawi, Redang, Perhentian, Pangkor dan Tioman serta di kawasan pantai seumpama Port Dickson pastinya sudah dianggap terlalu biasa bagi mereka yang gemar berkelah dan berjalan-jalan.
Disebabkan itu, penulis merancang untuk bercuti di salah satu destinasi percutian di Pantai Timur iaitu Laguna Agro Resort di Setiu, Terengganu.
Menariknya tempat ini adalah, pihak resort menawarkan pengalaman unik kepada pelancong dengan merasai sendiri kehidupan harian sebagai nelayan selain menetap di pesisir pantai.
Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, penulis memulakan perjalanan dengan menaiki kereta rakan. Perjalanan untuk ke Laguna Agro Resort dimiliki oleh Pertubuhan Peladang, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil masa kira-kira 1 jam 4 minit.
Pengalaman bercuti di destinasi percutian bajet berkeluasan 880 hektar itu telah memberi 1,001 kenangan indah yang sukar untuk dilupakan, apatah lagi ilmu yang dicurahkan kakitangan resort dalam memberi pengalaman menyelusuri kehidupan harian sebagai nelayan.
Mungkin ia rutin biasa bagi penduduk setempat, tetapi bukan bagi pelancong luar khususnya dari bandar yang inginkan ketenangan serta suasana kampung.
KEADAAN bilik yang boleh memuatkan tiga orang sesuai untuk percutian bajet.
Dengan bayaran dikenakan serendah RM100.00 untuk bilik memuatkan seramai tiga orang, pelancong dapat menikmati pemandangan indah dan persekitaran cantik yang memukau seperti hamparan pantai yang memutih dan suasana lagun yang mendamaikan.
Sejujurnya, tidak pernah terlintas dalam fikiran betapa gembiranya kehidupan seorang nelayan setelah hasil tangkapan seperti ikan, lala, lokan dan kerang itu dapat dikongsi serta dirasai sendiri bersama ahli keluarga.
Malah, kesemua hasil laut itu akan dijadikan menu utama yang akan disajikan pihak resort tanpa sebarang upah atau dikenakan bayaran tambahan.
Bagi pelancong yang mahu lebih keseronokan, mereka boleh meminta pihak resort untuk mengadakan aktiviti menyusuri lagun, memancing ikan dan udang galah, mencari kepah, kerang, ketam nipah serta melihat lokasi pendaratan penyu. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh membeli hasil hiliran laut seperti belacan, budu, ikan masin dan lain-lain dengan harga yang amat rendah.
Menurut pengurus resort, Mohamad Faizal Abdullah, 21, konsep resort berlatarbelakangkan perkampungan nelayan adalah permintaan orang ramai terutama penduduk setempat yang mahu pemandangan semulajadi terus kekal dipelihara selepas dikomersialkan.
“Sepanjang empat tahun penubuhannya, syukur resort ini terus kekal dipilih sebagai salah satu destinasi percutian khususnya buat pelajar universiti yang datang secara beramai-ramai.
“Laguna Agro Resort juga sesuai diadakan aktiviti berbentuk kem dan perkhemahan selain bermalam di chalet bagi percutian biasa," katanya. - MOHD. FAUZI MOHAMAD SUHAIMI



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140927/pl_01/Percutian-ala-nelayan-di-Laguna-Setiu#ixzz3ExW9Cd1F
© Utusan Melayu (M) Bhd