PERCUTIAN di lokasi-lokasi pelancongan popular seperti Pulau Langkawi, Redang, Perhentian, Pangkor dan Tioman serta di kawasan pantai seumpama Port Dickson pastinya sudah dianggap terlalu biasa bagi mereka yang gemar berkelah dan berjalan-jalan.
Disebabkan itu, penulis merancang untuk bercuti di salah satu destinasi percutian di Pantai Timur iaitu Laguna Agro Resort di Setiu, Terengganu.
Menariknya tempat ini adalah, pihak resort menawarkan pengalaman unik kepada pelancong dengan merasai sendiri kehidupan harian sebagai nelayan selain menetap di pesisir pantai.
Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, penulis memulakan perjalanan dengan menaiki kereta rakan. Perjalanan untuk ke Laguna Agro Resort dimiliki oleh Pertubuhan Peladang, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil masa kira-kira 1 jam 4 minit.
Pengalaman bercuti di destinasi percutian bajet berkeluasan 880 hektar itu telah memberi 1,001 kenangan indah yang sukar untuk dilupakan, apatah lagi ilmu yang dicurahkan kakitangan resort dalam memberi pengalaman menyelusuri kehidupan harian sebagai nelayan.
Mungkin ia rutin biasa bagi penduduk setempat, tetapi bukan bagi pelancong luar khususnya dari bandar yang inginkan ketenangan serta suasana kampung.
Dengan bayaran dikenakan serendah RM100.00 untuk bilik memuatkan seramai tiga orang, pelancong dapat menikmati pemandangan indah dan persekitaran cantik yang memukau seperti hamparan pantai yang memutih dan suasana lagun yang mendamaikan.
Sejujurnya, tidak pernah terlintas dalam fikiran betapa gembiranya kehidupan seorang nelayan setelah hasil tangkapan seperti ikan, lala, lokan dan kerang itu dapat dikongsi serta dirasai sendiri bersama ahli keluarga.
Malah, kesemua hasil laut itu akan dijadikan menu utama yang akan disajikan pihak resort tanpa sebarang upah atau dikenakan bayaran tambahan.
Bagi pelancong yang mahu lebih keseronokan, mereka boleh meminta pihak resort untuk mengadakan aktiviti menyusuri lagun, memancing ikan dan udang galah, mencari kepah, kerang, ketam nipah serta melihat lokasi pendaratan penyu. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh membeli hasil hiliran laut seperti belacan, budu, ikan masin dan lain-lain dengan harga yang amat rendah.
Menurut pengurus resort, Mohamad Faizal Abdullah, 21, konsep resort berlatarbelakangkan perkampungan nelayan adalah permintaan orang ramai terutama penduduk setempat yang mahu pemandangan semulajadi terus kekal dipelihara selepas dikomersialkan.
Sepanjang empat tahun penubuhannya, syukur resort ini terus kekal dipilih sebagai salah satu destinasi percutian khususnya buat pelajar universiti yang datang secara beramai-ramai.
Laguna Agro Resort juga sesuai diadakan aktiviti berbentuk kem dan perkhemahan selain bermalam di chalet bagi percutian biasa," katanya. - MOHD. FAUZI MOHAMAD SUHAIMI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140927/pl_01/Percutian-ala-nelayan-di-Laguna-Setiu#ixzz3ExW9Cd1F
© Utusan Melayu (M) Bhd