PENAT selepas seminggu menyertai kursus di utara tanah air membuatkan saya dan beberapa rakan lain nekad mencari tempat rehat, santai dan kalau boleh merendamkan badan.
Selepas menyenaraipendekkan beberapa destinasi, Bukit Merah Lake Town Resort (BMLTR) menjadi pilihan kerana menepati keperluan kami, selain ia berada di pertengahan perjalanan antara Kedah dan Kuala Lumpur.
Cuma kurangnya cerita tentang taman tema itu sejak kebelakangan ini menimbulkan sedikit keraguan, namun ia terus lenyap selepas mendapatkan maklumat lanjut di laman web pusat peranginan itu di www.bukitmerahresort.com.
Kami tiba kira-kira pukul 11 pagi selepas mengharungi perjalanan hampir tiga jam. Melihat air tasik membuatkan kami tidak sabar untuk mandi-manda di taman tema air di pusat peranginan itu.
Selepas membeli tiket, kami terus ke pintu masuk taman tema. Bagaimanapun di sepanjang laluan itu, kami berhenti beberapa kali apabila ada antara rakan-rakan yang tertarik dengan barang jualan di kedai yang terdapat di sepanjang laluan dari kaunter tiket ke pintu masuk taman air.
Selepas memakai gelang tiket di kaunter masuk, kami terus menyalin pakaian dan menyimpan beg di peti simpanan yang boleh disewa pada kadar tertentu.
Kami memilih ke kawasan sebelah kanan taman tema air kerana ia menempatkan kolam yang lebih besar dan permainan sesuai untuk dewasa.
Di sebelah kiri pula lebih kepada permainan kanak-kanak kerana jelas kelihatan kanak-kanak bergembira bersama ibu bapa masing masing di kawasan itu.
Sebagai permulaan, kami memilih untuk berendam di kolam utama selain ‘mengurut’ badan di bawah pancutan air deras yang amat menyenangkan.
Puas berendam, kami menyewa pelampung dan meneroka keseluruhan taman tema air itu dengan menyusuri sungai buatan.
Seterusnya, kami menambah keseronokan dengan melayan tarikan graviti menerusi permainan gelongsor.
Ketika itu, pengunjung tidak ramai, menjadikan permainan itu lebih menyeronokkan kerana kami tidak perlu menunggu lama untuk mendapat giliran turun semula.
Bagaimanapun keadaan berbeza di permainan belon basah besar apabila perlu menunggu agak lama ekoran ramai pengunjung ingin mencuba permainan itu.
Permainan yang memerlukan kita memanjat ke tengah bahagian gelembung sebelum menjatuhkan diri, lebih meriah jika disertai secara berkumpulan.
Setiap kumpulan diberikan masa selama lima minit sebelum digantikan kumpulan seterusnya. Walaupun kelihatan tidak mencabar, permainan ini menuntut kekuatan daripada pemain untuk memanjat ke puncak belon sebelum membebaskan diri meluncur ke bawah. Puas dengan permainan itu, perut mula terasa lapar. Kami mengisi perut dengan makanan yang dibeli dari gerai di dalam taman tema air itu. Agak mengejutkan harga makanan amat berpatutan dan tidak jauh berbeza daripada harga di luar. Sebagai contoh sebiji kelapa muda hanya RM3.50.
Keadaan itu jelas berbeza dengan taman tema lain yang dilihat mempunyai strategi terancang untuk memastikan pengunjung tidak mempunyai pilihan lain, melainkan terpaksa membeli makanan yang dijual mahal dalam taman tema tersebut.
Selepas makan kami berehat sebelum kembali ke kolam bagi meneruskan aktiviti yang belum dilakukan sebelum ini. Kami mandi sampai puas sehingga pukul 4.00 petang. Selepas menyalin pakaian, kami menunaikan solat di surau yang disediakan sebelum keluar dari taman air tersebut.
Atas alasan enggan menempuh perjalanan malam, kami mengakhiri kunjungan ke BMLTR meskipun tiket berharga RM48 yang kami beli melayakkan kami mengunjungi Taman Eko, Skycycle dan mengayuh bot, kayak atau kanu.
Satu lagi tarikan di pusat peranginan itu yang kami tidak sempat lawati ialah Pulau Orang Utan.
Kami meninggalkan BMLTR kira-kira pukul 5 petang dengan hati puas. Matlamat untuk merehatkan minda selepas penat mengikuti kursus tercapai. Kesimpulannya, meskipun agak kurang diberikan perhatian sejak kebelakangan ini, Bukit Merah Lake Town Resort sebenarnya tidak mengecewakan. –Aireen Qistina, Kuala Lumpur