|
|
KUALA TERENGGANU . - Demikian secebis catatan yang sempat dinukilkan bagi menggambarkan keindahan Pulau Redang, salah sebuah pulau pelancongan terkenal di negeri Terengganu Darul Iman.
Walaupun kunjungan hanya sekejap namun di Pulau Redang bersama-sama dengan para penghuninya, memberikan kedamaian dan ketenangan.
Semalam di Pulau Redang, walaupun singkat namun sempat membawa pulang kenangan manis yang sukar dilupakan.
Selain beberapa keanehan, berada di pulau ini terasa seperti berada di tengah-tengah sebuah akuarium raksasa.
Apa tidaknya, di perairan sekitar pulau ini berenang-renang dan bermain pelbagai spesies ikan.
Bagi yang mahir menyelam, tentunya ia satu peluang untuk menikmati keindahan pelbagai jenis batu karang di dasar laut pulau tersebut.
Sebenarnya, pulau yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pesisir pantai Kuala Terengganu ini asalnya adalah sebuah perkampungan nelayan.
Ia kemudian telah dibangunkan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk dijadikan salah sebuah pulau pelancongan bertaraf antarabangsa.
Apabila sebaik sahaja tiba di pangkalan dengan bot dari Jeti Merang, para pengunjung akan disambut dengan wajah anak-anak kecil yang asyik bergurau senda di pelantar laluan sambil bermandi-manda.
Di satu sudut lain, kelihatan pula anak-anak gadis yang manis dan para ibu membasuh pakaian sambil rancak berbual.
Semalam di Pulau Redang cukup terasa dengan kemesraan oleh penduduknya.
Gadis-gadis manisnya menyambut para pelancong dengan keramahan dan senyuman menawan, namun tidaklah seperti gadis di Pulau Hawaii yang menyambut para pelancong dengan tarian aloha seperti yang ditonton di kaca televisyen.
Apa pun, kesopanan dan budi bahasa mereka tetap asli dengan ciri-ciri ketimuran yang membanggakan.
Pendek kata, berada di sini bagaikan tidak mahu pulang dan apabila pulang teringatkan pula mahu mengunjunginya lagi.
Kesunyian dan keheningan alam semula jadi di sini sungguh mencengkam rasa, menenangkan jiwa.
Desiran ombak yang tidak henti-henti disulami siulan angin yang sesekali dikocak oleh deruan enjin bot, bagaikan gabungan muzik alam yang sungguh mengasyikkan.
Namun di sebalik ketenangan dan kedamaian itu, pulau ini juga menjanjikan beberapa keanehan dan cerita silam yang jarang diketahui.
Antaranya termasuklah cerita mengenai kewujudan dua buah kolam sebesar tapak sebuah rumah yang dikaitkan dengan beberapa cerita mistik.
Kononnya diceritakan, pada suatu hari seperti mana kebiasaannya, semua penduduk kampung di pulau ini akan turun ke ladang untuk bekerja.
Namun pada hari itu, terdapat dua orang penduduk yang tidak berbuat demikian. Mereka kemudian hanya berehat di rumah tetapi akhirnya oleh kerana tiada apa yang mahu dilakukan maka mereka pun akhirnya berasa jemu.
Rumah kedua-duanya berdekatan, lalu yang seorang lagi pergi ke rumah rakannya itu dan mereka saling bercerita untuk menghilangkan rasa jemu. Namun rasa jemu mereka tidak juga hilang.
Dikisahkan di rumah itu mempunyai seekor kucing dan seekor anjing. Akhirnya entah bagaimana, tiba-tiba terlintas di fikiran mereka untuk mempermainkan kucing dan anjing itu dengan mengenakan pakaian kepada haiwan berkenaan.
Kedua-dua mereka merasakan apa yang dilakukan itu sungguh mengasyikkan dan menghiburkan sehingga rasa jemu yang dirasakan awalnya itu telah hilang.
Mereka kemudian terus menarikan kucing dan anjing itu secara berpasangan diiringi dengan bunyi ketawa mereka sendiri seolah-olah ada gendang yang mengiringi gerak tari lagaknya.
Tiba-tiba guruh disertai dengan kilat dan petir datang secara sabung menyabung hingga mengubah suasana.
Akhirnya dua lelaki itu hilang selepas lupa daratan akibat mempermainkan haiwan belaan itu.
Selain itu, terdapat satu lagi cerita mengenai seorang lelaki tua yang mengamuk lalu menetak sebuah gua sehingga menyebabkan gua itu runtuh dan berselerakan.
Kesan tetakan dan batu-batu berselerakan ini masih dapat dilihat dalam sebuah gua bernama Gua Redang yang terletak di dalam sebuah hutan berhampiran.
Tidak ada siapa yang tahu bilakah kisah ini berlaku. Bagaimanapun menurut cerita dari mulut ke mulut ia berlaku beratus tahun yang lampau.
Menurut cerita lisan orang tua-tua, Redang berasal dari nama seorang nakhoda yang bernama Nakhoda Redang.
Dia kemudian disumpah menjadi batu oleh ibunya selepas sudah tidak mengenali ibunya apabila menjadi kaya sebaik sahaja pulang dari perantauan.