Carian Maklumat di sini

Custom Search

Tuesday, November 13, 2012

Malaysia diiktiraf penerajui homestay di ASEAN

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Malaysia kini muncul negara peneraju industri homestay di ASEAN berdasarkan kualiti serta impak yang dihasilkan produk pelancongan berkenaan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, selaras dengan pencapaian itu, ASEAN kini bukan sahaja mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi tetapi berminat untuk mendalami industri homestay negara.

"Berdasarkan inovasi yang kita laksanakan dalam bidang homestay ini, Malaysia kini menerajui produk pelancongan berasaskan homestay di ASEAN. Homestay kita sudah diiktiraf oleh ASEAN sebagai program yang amat berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan peringkat jawatankuasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013, kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut Yen Yen berkata, antara inovasi yang dilaksanakan kerajaan adalah mendaftarkan logo homestay di bawah harta intelek bagi memudahkan sebarang tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak berdaftar.

Katanya, langkah tegas itu perlu bagi menjamin kualiti produk yang ditawarkan kepada pelancong selain mengelakkan mereka terkeliru dengan homestay palsu yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menyentuh mengenai jumlah kedatangan pelancong berjumlah 24.7 juta pada 2011 yang dipertikai beberapa ahli Parlimen pembangkang, Yen Yen dalam nada sinis berkata, pihak berkenaan sepatutnya mencari isu yang lebih ilmiah jika mahu bermain politik.

"Kita dapat data dari Jabatan Imigresen, jika warga asing yang masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar atau pas pekerja, kita tidak kira mereka sebagai pelancong. Tak kan kita bodoh sangat sehingga sengaja nak cipta data sendiri.

"Sebab akhirnya data ini akan dihantar ke Organisasi Pelancongan Dunia (WTO), mereka pun membuat penyelidikan mengenai kedudukan kita. Patutnya kita berbangga pencapaian sektor pelancongan negara kita," katanya. 

Terdahulu, sebaik sahaja memulakan ucapan, Yen Yen terus 'menyerang' Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang terlebih dahulu menuduh beliau menggunakan kedudukannya untuk melancong ke Austria dan menginap di Ais Hotel sehingga menelan belanja yang besar.
"Saya terkejut tuduhan seperti itu berlaku di dewan ini. Saya kasihan dengan Wangsa Maju, dari mana Yang Berhormat dapat maklumat? Pengintipan Yang Berhormat terlalu lemah dan ini satu budaya yang tidak boleh diterima di sini.

"Yang Berhormat perlu memohon maaf kerana saya tidak pernah ke Austria malah, Ais Hotel pun saya tidak tahu di mana, periksa pasport antarabangsa saya, pernahkah saya ke Austria. Lain kali periksa betul-betul maklumat," katanya.

Skuba bersama Ombak Resort

ZULKIFLI Mohd Sharif (dua dari kanan) dan isteri, Nur Salinda (kanan) bersama kakitangan yang menjadi ‘tulang belakang’ Ombak Resort di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.
AKTIVITI selam skuba (skuba) memang asing bagi Zulkifli Mohd. Sharif, 50, sehinggalah dia bertemu jodoh dengan Nur Salinda Sabar, 34.

Isterinya telah memperkenalkan aktiviti skuba kepadanya sehingga membuatkannya ‘jatuh cinta’ terhadap rekreasi tersebut

Bukan sahaja Zulkifli, kini hampir semua ahli keluarganya termasuk adik-beradiknya turut ‘terjebak’ sehinggakan masing-masing kini mempunyai lesen menyelam. 

Minat mendalam terhadap skuba dan dunia lautan akhirnya mendorong Zulkifli membeli sebidang tanah di Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu untuk dimajukan sebagai resort.

Resort yang diberi nama Ombak itu bukan sahaja menjadi sumber pendapatan kepada Zulkifli, tetapi membolehkan mereka sekeluarga memenuhi hobi menyelam pada bila-bila masa yang disukai.

Selaku Pengarah Operasi Ombak Travel & Tour Sdn. Bhd. (Ombak), Zulkifli berkata, resort tersebut diuruskan bersama isterinya yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Ombak Cafe, manakala ibu mertuanya yang dikenali sebagai Mama D pula berperanan sebagai Pengarah Ombak Cafe.

Sementara seorang abangnya, Shaharudin Sharif yang lebih dikenali sebagai Pok Din pula menjadi Pengarah Ombak Divers. 

Ditanya apakah keistimewaan Ombak Resort, beliau berkata, bukan sahaja lokasinya di Pulau Perhentian Kecil yang terkenal mempunyai air jernih dan kaya dengan hidupan laut, malah resort itu berbeza dengan destinasi percutian lain kerana menawarkan perkhidmatan sehenti bagi peminat skuba.

Menurutnya, operasi resort tersebut dibahagi kepada tiga bahagian iaitu Ombak Divers yang menguruskan aktiviti skuba dengan menawarkan pakej menarik termasuk jurulatih untuk mendapatkan lesen menyelam, kemudahan peralatan menyelam dan bot membawa pelancong menerokai dasar laut di sekitar perairan Pulau Perhentian.

“Istimewa perairan Pulau Perhentian adalah kepelbagaian spesies hidupan laut seperti ikan dan batu karangnya yang cantik.

“Di perairan ini juga terdapat tukun daripada kapal-kapal yang tenggelam termasuk kapal nelayan Vietnam, kapal milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta bot Polis Diraja Malaysia," katanya sambil memberitahu tukun-tukun tersebut menjadi tarikan penyelam kerana merupakan tempat ikan membiak. 

Bagi yang suka ‘jalan-jalan cari makan’ pula, Zulkifli berkata, Ombak Cafe menyediakan pelbagai hidangan barat dan tempatan yang enak. 

Menurutnya, suasana di kafe yang boleh memuatkan 150 pelanggan dalam satu masa itu bukan sahaja santai, malah menghadap laut dengan dihiasi dekorasi nusantara yang unik.
Tinjauan S2 mendapati keunikan itu boleh dilihat pada tiang-tiang kayu ukiran masyarakat pribumi Sarawak, selain bakul dan tikar anyaman dari Kelantan yang menjadi perhiasan di dalam kafe tersebut.

Bagi penginapan calet pula, pengunjung pasti berpuas hati dengan keadaan bilik yang kemas, bersih dan cantik.

Zulkifli dan Nur Salinda sepakat menerapkan unsur-unsur nusantara termasuk pemilihan perkataan bahasa Melayu iaitu Ombak untuk resort mereka.Ini kerana mereka mahu memperkenalkan keunikan kebudayaan Malaysia kepada pengunjung, khususnya pelancong asing. 

Sebab itulah, pasangan suami isteri tersebut tidak kisah mengeluarkan belanja yang tinggi untuk pergi ke Kuching, Sarawak dan Kampung Warisan di Kelantan bagi membeli tiang ukiran kayu, bakul, tikar dan pelbagai jenis hiasan lain untuk digunakan sebagai dekorasi di kafe dan calet mereka. 

Beliau berkata, walaupun berada di pulau, pengunjung tetap boleh berhibur pada waktu malam kerana Ombak Cafe menyiarkan tayangan filem-filem terbaharu dan siaran langsung perlawanan bola sepak melalui skrin besar.

“Pada masa depan, kami merancang mahu mengadakan persembahan kebudayaan seperti dikir barat sebagai acara tahunan di resort ini bagi memperkenalkan kebudayaan tempatan kepada pelancong," katanya.

Zulkifli juga berkata, memandangkan resort tersebut baru dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen pada 7 Jun lalu, mereka tidak sempat membuat laman web mengenainya lagi tetapi orang ramai boleh menghubungi talian 09-6911002 atau menghantar emel ke alamat ombakperhentianisland@yahoo.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan yang ditawarkan.
Sumber:utusan malaysia

Menyuluh udang di Pulau Duyung

MOHD Harfuad Harun (kanan), Hazwan Hanif Ismail (tengah) dan Muhammad Hakim Ariffin menyuluh udang galah di muara Sungai Terengganu, Terengganu baru-baru ini.
KETIKA air pasang pada waktu malam di muara Sungai Terengganu di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, detik itu menjadi satu malam yang sangat menyeronokkan bagi sebilangan penduduk setempat. 

Kebanyakan golongan muda akan keluar bersama rakan-rakan dengan menaiki perahu atau bot. Berbekalkan lampu suluh dan serampang, mereka akan turun ke sungai untuk menangkap udang galah sehingga awal pagi.

Itulah yang dilakukan mereka bagi memenuhi masa terluang pada waktu malam. 

Dahulu, hidupan air itu mudah ditemui. Dalam tempoh hanya beberapa jam, udang galah dapat ditangkap dengan mudah di habitat berpaya dan persekitaran yang belum banyak terusik oleh pembangunan.

Walaupun jumlah udang galah agak berkurangan pada masa kini, namun penduduk masih meneruskan kegemaran menyuluh dan menangkapnya.

Bagi penggemar aktiviti ini, kilauan mata udang yang melantun daripada cahaya lampu suluh sudah cukup memukau. Keadaan itu memberi suatu kepuasan kepada mereka yang menggemari aktiviti tersebut.

Sepanjang aktiviti itu, dasar sungai menjadi terang oleh cahaya lampu suluh dan si penyuluh tidak akan melepaskan peluang 'melontar' serampang ke arah udang-udang yang 'kepeningan' akibat mabuk air laut yang pasang, sekali gus timbul di permukaan air.

Mohd. Harfuad Harun, 31, berkata, beliau gemar keluar malam semata-mata mahu memenuhi hobinya menangkap udang galah di sungai berhampiran tempat tinggalnya sejak 10 tahun lalu.
Selain itu, katanya, beliau juga gemar menyusuri kawasan berbatu di pantai pinggir muara sungai tersebut.

Bagi anak jati Pulau Duyung itu yang lebih mesra disapa Ijat, beliau tidak pernah berasa jemu untuk 'berjaga' malam demi hobi menangkap udang.

Malah katanya, hobi itu turut merapatkan hubungannya dengan rakan-rakan.

Ternyata, usaha Ijat dan rakan-rakannya yang menaiki sebuah bot fiber tidak sia-sia kerana kebiasaannya mereka berjaya memperoleh tangkapan udang galah mencecah antara tiga hingga empat kilogram dalam tempoh satu malam.

Anak kepada seorang tukang kayu itu juga berkata, hasil tangkapan itu bukan untuk dijual, sebaliknya akan dibahagi-bahagikan dalam kalangan rakan-rakannya sebelum dinikmati sebagai hidangan seisi keluarga.

Menceritakan lebih lanjut, Ijat berkata, lazimnya beliau serta tiga rakannya akan keluar mencari udang galah di Kampung Duyung pada waktu malam sebanyak tiga kali dalam seminggu.
"Biasanya, saya dan kawan-kawan pergi menyuluh udang tiga atau empat kali seminggu, dan masanya pula tidak menentu. Kadang kala kami mulai dari pukul 8 malam, adakalanya bermula pada pukul 12 tengah malam.

"Kesemuanya bergantung kepada keadaan air pasang dan kejernihan air. Jika air pasang, sungai akan lebih jernih menyebabkan udang-udang lebih mudah kelihatan, selain mabuk air masin dan akhirnya timbul ke permukaan.

"Pada ketika itulah, kami mula menyuluh. Mata udang akan berkilau serta bercahaya setelah terkena cahaya lampu dan sebaik sahaja kelihatan, kami akan segera mencucuk udang-udang ini dengan menggunakan mata serampang," ujarnya.

Beliau yang bekerja sendiri berkata, hobi itu akan diteruskan sampai bila-bila selagi masih ada kudrat untuk berbuat demikian kerana kegemaran menyuluh udang seolah-olah sudah sebati dengan dirinya. 

"Saya dan rakan-rakan sanggup berjaga malam demi hobi ini. Hobi ini jauh lebih baik daripada membuang masa dengan melepak dan sebagainya," ujarnya.