Carian Maklumat di sini

Custom Search

Tuesday, November 13, 2012

Malaysia diiktiraf penerajui homestay di ASEAN

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Malaysia kini muncul negara peneraju industri homestay di ASEAN berdasarkan kualiti serta impak yang dihasilkan produk pelancongan berkenaan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, selaras dengan pencapaian itu, ASEAN kini bukan sahaja mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi tetapi berminat untuk mendalami industri homestay negara.

"Berdasarkan inovasi yang kita laksanakan dalam bidang homestay ini, Malaysia kini menerajui produk pelancongan berasaskan homestay di ASEAN. Homestay kita sudah diiktiraf oleh ASEAN sebagai program yang amat berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan peringkat jawatankuasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013, kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut Yen Yen berkata, antara inovasi yang dilaksanakan kerajaan adalah mendaftarkan logo homestay di bawah harta intelek bagi memudahkan sebarang tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak berdaftar.

Katanya, langkah tegas itu perlu bagi menjamin kualiti produk yang ditawarkan kepada pelancong selain mengelakkan mereka terkeliru dengan homestay palsu yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menyentuh mengenai jumlah kedatangan pelancong berjumlah 24.7 juta pada 2011 yang dipertikai beberapa ahli Parlimen pembangkang, Yen Yen dalam nada sinis berkata, pihak berkenaan sepatutnya mencari isu yang lebih ilmiah jika mahu bermain politik.

"Kita dapat data dari Jabatan Imigresen, jika warga asing yang masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar atau pas pekerja, kita tidak kira mereka sebagai pelancong. Tak kan kita bodoh sangat sehingga sengaja nak cipta data sendiri.

"Sebab akhirnya data ini akan dihantar ke Organisasi Pelancongan Dunia (WTO), mereka pun membuat penyelidikan mengenai kedudukan kita. Patutnya kita berbangga pencapaian sektor pelancongan negara kita," katanya. 

Terdahulu, sebaik sahaja memulakan ucapan, Yen Yen terus 'menyerang' Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang terlebih dahulu menuduh beliau menggunakan kedudukannya untuk melancong ke Austria dan menginap di Ais Hotel sehingga menelan belanja yang besar.
"Saya terkejut tuduhan seperti itu berlaku di dewan ini. Saya kasihan dengan Wangsa Maju, dari mana Yang Berhormat dapat maklumat? Pengintipan Yang Berhormat terlalu lemah dan ini satu budaya yang tidak boleh diterima di sini.

"Yang Berhormat perlu memohon maaf kerana saya tidak pernah ke Austria malah, Ais Hotel pun saya tidak tahu di mana, periksa pasport antarabangsa saya, pernahkah saya ke Austria. Lain kali periksa betul-betul maklumat," katanya.