KETIKA air pasang pada waktu malam di muara Sungai Terengganu di
Pulau Duyung, Kuala Terengganu, detik itu menjadi satu malam yang sangat
menyeronokkan bagi sebilangan penduduk setempat.
Kebanyakan golongan muda akan keluar bersama rakan-rakan dengan
menaiki perahu atau bot. Berbekalkan lampu suluh dan serampang, mereka
akan turun ke sungai untuk menangkap udang galah sehingga awal pagi.
Itulah yang dilakukan mereka bagi memenuhi masa terluang pada waktu malam.
Dahulu, hidupan air itu mudah ditemui. Dalam tempoh hanya beberapa
jam, udang galah dapat ditangkap dengan mudah di habitat berpaya dan
persekitaran yang belum banyak terusik oleh pembangunan.
Walaupun jumlah udang galah agak berkurangan pada masa kini, namun
penduduk masih meneruskan kegemaran menyuluh dan menangkapnya.
Bagi penggemar aktiviti ini, kilauan mata udang yang melantun
daripada cahaya lampu suluh sudah cukup memukau. Keadaan itu memberi
suatu kepuasan kepada mereka yang menggemari aktiviti tersebut.
Sepanjang aktiviti itu, dasar sungai menjadi terang oleh cahaya lampu
suluh dan si penyuluh tidak akan melepaskan peluang 'melontar'
serampang ke arah udang-udang yang 'kepeningan' akibat mabuk air laut
yang pasang, sekali gus timbul di permukaan air.
Mohd. Harfuad Harun, 31, berkata, beliau gemar keluar malam
semata-mata mahu memenuhi hobinya menangkap udang galah di sungai
berhampiran tempat tinggalnya sejak 10 tahun lalu.
Selain itu, katanya, beliau juga gemar menyusuri kawasan berbatu di pantai pinggir muara sungai tersebut.
Bagi anak jati Pulau Duyung itu yang lebih mesra disapa Ijat, beliau
tidak pernah berasa jemu untuk 'berjaga' malam demi hobi menangkap
udang.
Malah katanya, hobi itu turut merapatkan hubungannya dengan rakan-rakan.
Ternyata, usaha Ijat dan rakan-rakannya yang menaiki sebuah bot fiber
tidak sia-sia kerana kebiasaannya mereka berjaya memperoleh tangkapan
udang galah mencecah antara tiga hingga empat kilogram dalam tempoh satu
malam.
Anak kepada seorang tukang kayu itu juga berkata, hasil tangkapan itu
bukan untuk dijual, sebaliknya akan dibahagi-bahagikan dalam kalangan
rakan-rakannya sebelum dinikmati sebagai hidangan seisi keluarga.
Menceritakan lebih lanjut, Ijat berkata, lazimnya beliau serta tiga
rakannya akan keluar mencari udang galah di Kampung Duyung pada waktu
malam sebanyak tiga kali dalam seminggu.
"Biasanya, saya dan kawan-kawan pergi menyuluh udang tiga atau empat
kali seminggu, dan masanya pula tidak menentu. Kadang kala kami mulai
dari pukul 8 malam, adakalanya bermula pada pukul 12 tengah malam.
"Kesemuanya bergantung kepada keadaan air pasang dan kejernihan air.
Jika air pasang, sungai akan lebih jernih menyebabkan udang-udang lebih
mudah kelihatan, selain mabuk air masin dan akhirnya timbul ke
permukaan.
"Pada ketika itulah, kami mula menyuluh. Mata udang akan berkilau
serta bercahaya setelah terkena cahaya lampu dan sebaik sahaja
kelihatan, kami akan segera mencucuk udang-udang ini dengan menggunakan
mata serampang," ujarnya.
Beliau yang bekerja sendiri berkata, hobi itu akan diteruskan sampai
bila-bila selagi masih ada kudrat untuk berbuat demikian kerana
kegemaran menyuluh udang seolah-olah sudah sebati dengan dirinya.
"Saya dan rakan-rakan sanggup berjaga malam demi hobi ini. Hobi ini
jauh lebih baik daripada membuang masa dengan melepak dan sebagainya,"
ujarnya.