Carian Maklumat di sini

Custom Search

Saturday, September 7, 2013

Taman Eko-Rimba Lata Kinjang: Nikmati air terjun bertingkat

Oleh Rosman Shamsudin
Air terjun bertingkat ditambah aliran air yang bebas pencemaran dari Banjaran Titiwangsa menjadikan Taman Eko-Rimba (TER) Lata Kinjang, Tapah, Perak yang dahulunya dikenali kawasan perkelahan Lata Kinjang kian menjadi tumpuan orang ramai.
Air yang mengalir melalui takat terjun membentuk kolam kecil secara semula jadi dan memberi keselesaan kepada pengunjung menikmati kesegaran serta kesejukan air terjun.
Anda pasti tenang menikmati suasana alam flora dan fauna di taman itu.
Semua takat terjun di taman sehingga ke titi gantung di bahagian atas banjaran itu terbentuk semula jadi akibat aliran air yang menolak batu-batu kecil lalu membentuk kolam kecil di setiap takat terjun itu.
FotoTANGGA yang membawa pengunjung ke takat air terjun bahagian atas serta titi gantung.
Jika kita melalui lebuh raya utara selatan sebelum melewati susur keluar tol Tapah dari arah Kuala Lumpur, anda boleh melihat pemandangan air terjun.
Pengunjung dari arah utara dan selatan boleh menggunakan susur keluar tol Tapah ke arah utara dengan melihat papan tanda di tepi jalan persekutuan iaitu kira-kira tujuh kilometer sebelum sampai ke taman itu.

Sepanjang perjalanan ke kawasan riadah yang terkenal di negeri ini, pengunjung akan melihat penduduk tempatan menjual hasil hutan seperti petai dan jering serta buah-buahan tempatan untuk dijadikan buah tangan ketika pulang.

Pengunjung tidak perlu bimbang membawa kenderaan kerana terdapat kemudahan letak kereta.

Untuk memudahkan mengenali taman dengan lebih dekat, papan maklumat yang disediakan atau di Pejabat Infomasi Lata Kinjang sebagai panduan serta rujukan bagi memudahkan anda meneroka keindahan alam semula jadi di sini.

Terdapat banyak pondok dibina sejak pusat perkelahan itu di naik taraf dan penjenamaan semula menjadi taman eko-rimba di bawah Jabatan Perhutanan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

Bagi menjamin keselamatan pengunjung, papan tanda dibina sebagai panduan kepada pengunjung. Untuk memelihara keindahan flora dan fauna, pengunjung tidak dibenar melakukan sebarang bentuk vandalisme.

Selain mandi di air terjun yang cukup cantik ini, jangan lepaskan peluang mencabar keberanian menaiki tangga hingga ke titi gantung di pertengahan puncak banjaran itu.

Inginkan barangan cenderahati untuk dibawa pulang, jangan lupa membeli pelbagai hasil kraf tangan penduduk terutama di Kampung Asli Lata Kinjang.

Jika bernasib baik, anda berpeluang membeli pelbagai hasil hutan seperti petai dan durian yang cukup terkenal di Tapah.

Pengunjung yang suka aktiviti perkhemahan boleh mendirikan khemah di tapak yang disediakan. Dengan kawasan yang luas, pelbagai aktiviti boleh dijalankan terutama membabitkan alam semula jadi.


INFO

Asal usul nama Lata Kinjang:


Menurut penduduk setempat, nama Kinja ini berasal daripada nama haiwan ‘Kijang’ yang ketika dulu banyak berkeliaran di kawasan ini.

Orang Inggeris yang menjadikan tempat ini sebagai lokasi memburu memanggil Kijang sebagai Kinjang dan nama itu kekal hingga ke hari ini.
Sumber:HArian Metro

Hotel Permai pilihan ramai

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
POPULARITI diraih Hotel Permai kini menjadi bualan ramai terutama di kalangan pelancong yang berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan ketika berkunjung ke Kuala Terengganu.
Menawarkan pelbagai kemudahan terkini serta dekorasi menarik, hotel itu sentiasa memberi layanan mesra kepada pelanggan yang menginap di hotel milik kerajaan negeri itu.
Sebagai usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta keselesaan pelanggan, September ini Hotel Permai akan menawarkan bilik standard di bahagian bangunan sayap lama yang berwajah baru dan berkonsepkan moden kontemporari dengan pelbagai kemudahan terbaik termasuk WiFi.

Pengurus Besar Hotel Permai Azman Ali berkata, sebanyak 130 bilik di bangunan sayap lama itu akan diubah suai secara berperingkat bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.
FotoBILIK yang luas memberikan keselesaan.

“Sebanyak 20 bilik sudah menjalani proses pe­ngubahsuaian dan mula beroperasi September ini.

“Semua kelengkapan di bilik ini termasuk warna dinding ditukar bagi membangkitkan suasana lebih moden serta gaya mewah.

“Kami menggunakan warna krim dan putih untuk bahagian dinding de­ngan lampu malap mewah dileng­kapi televisyen LCD 32 inci lengkap dengan siaran televisyen satelit Astro,” katanya.

Beliau berkata, selain menekankan keindahan dan keselesaan di ruang tidur, ruang tandas juga diubah suai supaya kelihatan lebih moden dan selesa.

“Kami menggunakan warna cerah di ruang tandas yang berperanan mewujudkan suasana yang lebih luas di dalam tandas.

“Kami bukan saja ingin memastikan pelanggan selesa beristirehat di ruang tidur tetapi turut selesa menggunakan kemudahan tandas,” katanya.

Menurutnya, Hotel Permai memiliki ruangan khas atau dewan serba guna sesuai untuk pelbagai acara seperti seminar, mesyuarat dan kursus dengan kelengkapan audio visual terkini.

“Justeru, tidak hairan jika Hotel Permai sering menjadi pilihan ramai
untuk menganjurkan pelbagai program dan kursus.

“Bagi yang gemar menjalani kehidupan sihat seperti bersenam, Hotel Permai turut menyediakan gimnasium yang dilengkapi pelbagai peralatan senaman terkini selain acara berbasikal yang menjadi identiti Hotel Permai,” katanya.

Katanya, harga bilik standard yang ditawarkan kepada pelanggan mengikut harga pasaran semasa sekitar RM150 hing­ga RM180 termasuk sarapan pagi untuk dua orang.
Sumber:Harian Metro