Carian Maklumat di sini

Custom Search

Saturday, September 7, 2013

Taman Eko-Rimba Lata Kinjang: Nikmati air terjun bertingkat

Oleh Rosman Shamsudin
Air terjun bertingkat ditambah aliran air yang bebas pencemaran dari Banjaran Titiwangsa menjadikan Taman Eko-Rimba (TER) Lata Kinjang, Tapah, Perak yang dahulunya dikenali kawasan perkelahan Lata Kinjang kian menjadi tumpuan orang ramai.
Air yang mengalir melalui takat terjun membentuk kolam kecil secara semula jadi dan memberi keselesaan kepada pengunjung menikmati kesegaran serta kesejukan air terjun.
Anda pasti tenang menikmati suasana alam flora dan fauna di taman itu.
Semua takat terjun di taman sehingga ke titi gantung di bahagian atas banjaran itu terbentuk semula jadi akibat aliran air yang menolak batu-batu kecil lalu membentuk kolam kecil di setiap takat terjun itu.
FotoTANGGA yang membawa pengunjung ke takat air terjun bahagian atas serta titi gantung.
Jika kita melalui lebuh raya utara selatan sebelum melewati susur keluar tol Tapah dari arah Kuala Lumpur, anda boleh melihat pemandangan air terjun.
Pengunjung dari arah utara dan selatan boleh menggunakan susur keluar tol Tapah ke arah utara dengan melihat papan tanda di tepi jalan persekutuan iaitu kira-kira tujuh kilometer sebelum sampai ke taman itu.

Sepanjang perjalanan ke kawasan riadah yang terkenal di negeri ini, pengunjung akan melihat penduduk tempatan menjual hasil hutan seperti petai dan jering serta buah-buahan tempatan untuk dijadikan buah tangan ketika pulang.

Pengunjung tidak perlu bimbang membawa kenderaan kerana terdapat kemudahan letak kereta.

Untuk memudahkan mengenali taman dengan lebih dekat, papan maklumat yang disediakan atau di Pejabat Infomasi Lata Kinjang sebagai panduan serta rujukan bagi memudahkan anda meneroka keindahan alam semula jadi di sini.

Terdapat banyak pondok dibina sejak pusat perkelahan itu di naik taraf dan penjenamaan semula menjadi taman eko-rimba di bawah Jabatan Perhutanan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

Bagi menjamin keselamatan pengunjung, papan tanda dibina sebagai panduan kepada pengunjung. Untuk memelihara keindahan flora dan fauna, pengunjung tidak dibenar melakukan sebarang bentuk vandalisme.

Selain mandi di air terjun yang cukup cantik ini, jangan lepaskan peluang mencabar keberanian menaiki tangga hingga ke titi gantung di pertengahan puncak banjaran itu.

Inginkan barangan cenderahati untuk dibawa pulang, jangan lupa membeli pelbagai hasil kraf tangan penduduk terutama di Kampung Asli Lata Kinjang.

Jika bernasib baik, anda berpeluang membeli pelbagai hasil hutan seperti petai dan durian yang cukup terkenal di Tapah.

Pengunjung yang suka aktiviti perkhemahan boleh mendirikan khemah di tapak yang disediakan. Dengan kawasan yang luas, pelbagai aktiviti boleh dijalankan terutama membabitkan alam semula jadi.


INFO

Asal usul nama Lata Kinjang:


Menurut penduduk setempat, nama Kinja ini berasal daripada nama haiwan ‘Kijang’ yang ketika dulu banyak berkeliaran di kawasan ini.

Orang Inggeris yang menjadikan tempat ini sebagai lokasi memburu memanggil Kijang sebagai Kinjang dan nama itu kekal hingga ke hari ini.
Sumber:HArian Metro