Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
POPULARITI diraih Hotel Permai kini menjadi bualan ramai terutama di
kalangan pelancong yang berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan
ketika berkunjung ke Kuala Terengganu.
Menawarkan pelbagai kemudahan terkini serta dekorasi menarik, hotel
itu sentiasa memberi layanan mesra kepada pelanggan yang menginap di
hotel milik kerajaan negeri itu.
Sebagai usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta keselesaan
pelanggan, September ini Hotel Permai akan menawarkan bilik standard di
bahagian bangunan sayap lama yang berwajah baru dan berkonsepkan moden
kontemporari dengan pelbagai kemudahan terbaik termasuk WiFi.
Pengurus Besar Hotel Permai Azman Ali berkata, sebanyak 130 bilik di bangunan sayap lama itu akan diubah suai secara berperingkat bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.
Pengurus Besar Hotel Permai Azman Ali berkata, sebanyak 130 bilik di bangunan sayap lama itu akan diubah suai secara berperingkat bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.
BILIK yang luas memberikan keselesaan.
“Sebanyak 20 bilik sudah menjalani proses pengubahsuaian dan mula beroperasi September ini.
“Semua kelengkapan di bilik ini termasuk warna dinding ditukar bagi membangkitkan suasana lebih moden serta gaya mewah.
“Kami menggunakan warna krim dan putih untuk bahagian dinding dengan lampu malap mewah dilengkapi televisyen LCD 32 inci lengkap dengan siaran televisyen satelit Astro,” katanya.
Beliau berkata, selain menekankan keindahan dan keselesaan di ruang tidur, ruang tandas juga diubah suai supaya kelihatan lebih moden dan selesa.
“Kami menggunakan warna cerah di ruang tandas yang berperanan mewujudkan suasana yang lebih luas di dalam tandas.
“Kami bukan saja ingin memastikan pelanggan selesa beristirehat di ruang tidur tetapi turut selesa menggunakan kemudahan tandas,” katanya.
Menurutnya, Hotel Permai memiliki ruangan khas atau dewan serba guna sesuai untuk pelbagai acara seperti seminar, mesyuarat dan kursus dengan kelengkapan audio visual terkini.
“Justeru, tidak hairan jika Hotel Permai sering menjadi pilihan ramai
untuk menganjurkan pelbagai program dan kursus.
“Bagi yang gemar menjalani kehidupan sihat seperti bersenam, Hotel Permai turut menyediakan gimnasium yang dilengkapi pelbagai peralatan senaman terkini selain acara berbasikal yang menjadi identiti Hotel Permai,” katanya.
Katanya, harga bilik standard yang ditawarkan kepada pelanggan mengikut harga pasaran semasa sekitar RM150 hingga RM180 termasuk sarapan pagi untuk dua orang.
Sumber:Harian Metro