Carian Maklumat di sini

Custom Search

Thursday, April 28, 2016

Ahsana Homestay menghadap Gunung Pulai







































KEBIASAANNYA inap desa (homestay) menawarkan penginapan di rumah penduduk kampung atau rumah teres mahupun banglo di bandar. Mengikut amalan pengusaha inap desa, hanya sebuah rumah disediakan untuk disewa. Manakala, kemudahan yang disediakan hampir lengkap seperti yang terdapat di rumah sendiri, antaranya peti sejuk, televisyen, dapur, meja makan dan sofa.
Memang itulah konsep yang biasanya ditawarkan di inap desa. Namun, berbeza dengan apa yang disediakan di Ahsana Homestay. Konsep yang diketengahkan adalah rumah kayu ala resort yang mempunyai balkoni. Lebih tepat konsep chalet di resort peranginan dibawa masuk ke inap desa itu untuk memberikan kelainan kepada penginap.
Pengurus Ahsana Homestay, Mohammad Azli Ahmad, berkata, pihaknya membeli kayu terpakai untuk membina inap desa yang terletak di Kampung Temusu, Mukim Pulai, Baling, Kedah itu.
“Kami beli kayu terpakai dari kedai kayu second hand. Proses membeli dan mengangkut kayu dilakukan pada 2011. Mula-mula kami bina Rumah Sahabat 1 yang mengandungi lima bilik tidur,” katanya kepada S2.
Katanya, Rumah Sahabat 1 mula beroperasi pada Februari 2012 dan setiap bilik dinamakan Abu Bakar, Ali, Umar, Uthman dan Aiman.
Kesemua bilik dilengkapi dengan katil queen, penghawa dingin, kipas dinding dan televisyen.
Selain itu, rumah itu juga mempunyai empat bilik air, dapur, ruang tamu, meja makan, peti sejuk, alatan memasak, jag cerek, seterika dan pemanas air mandian.
“Setiap bilik boleh memuatkan dua hingga tiga orang dengan keseluruhan rumah boleh menampung 15 orang,” katanya sambil memberitahu selimut, alas tidur dan bantal tambahan disediakan mengikut permintaan penginap.
Rumah Sahabat 11 pula dibuka pada Mac 2012. Reka bentuk rumah ini mirip sebuah chalet dua pintu yang mana ia menawarkan dua bilik famili iaitu Al-Fateh dan Al-Farabi.
Mohammad Azli berkata, Rumah Sahabat 11 memuatkan lima hingga lapan orang sebilik.
“Kemudahan yang disediakan adalah katil king dan katil single, penghawa dingin, pemanas air mandian, televisyen, sofa, seterika, peti sejuk, almari pakaian dan jag cerek,” tambahnya.
Sementara itu, terdapat dua bilik double di Rumah Sahabat 111 yang mana setiap bilik dinamakan Sya’rawi dan Qardhawi. Bilik-bilik itu boleh memuatkan dua hingga tiga orang. Kemudahan yang disediakan adalah katil queen, penghawa dingin, kipas dinding, televisyen dan jag cerek.
Mengulas lanjut, katanya, pembinaan rumah kayu yang dilakukan secara berperingkat itu menyaksikan Rumah Sahabat IV dibuka pada awal 2013. Rumah itu menawarkan dua bilik double dan boleh memuatkan dua hingga empat orang sebilik. Rumah-rumah itu diberi nama Turaabi dan Hudhaibi.
“Masing-masing bilik di Rumah Sahabat IV dilengkapi dengan katil queen, pemanas air mandian, televisyen, jag cerek, penghawa dingin, kipas dinding dan seterika,” kata Mohammad Azli sambil memberitahu keunikan inap desa itu adalah setiap bilik tidak guna nombor tetapi menggunakan nama sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W serta tokoh-tokoh antarabangsa dunia Islam.
Unit inap desa berikutnya masih berkonsepkan rumah kayu tetapi tidak mempunyai balkoni kerana asalnya adalah pejabat.
Menurutnya, ada satu ketika, jumlah penginap terlalu ramai dan salah seorang daripada mereka mencadangkan supaya ruang pejabat sedia ada diubah suai menjadi bilik penginapan.
“Oleh kerana ruang pejabat yang asal agak besar, maka kami mengubahsuainya menjadi Rumah Sahabat V. Untuk mengekalkan ciri-ciri rumah kampung, kami menggunakan atap nipah. Rumah ini dinamakan Zuhaili dan boleh memuatkan tiga hingga lima orang.
“Bilik ini dilengkapi dengan katil king, kipas siling, televisyen, jag cerek, kabinet, penghawa dingin, pemanas air mandian, seterika, cawan serta pinggan,” katanya yang turut memberitahu terdapat tiga pekerja tetap di Ahsana Homestay.
Selain menawarkan penginapan rumah kayu yang selesa, penginap juga pasti teruja melihat persekitaran menghijau dalam suasana kampung yang mendamaikan.
Bagi pencinta gunung pula, tentunya teruja melihat pemandangan Gunung Pulai yang terletak di hadapan inap desa ini.
Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, mata akan terus memandang ke arah gunung yang mempunyai kecerunan sehingga 80 darjah itu. Bagi yang menggemari aktiviti mendaki, bolehlah menyahut cabaran ke puncak.
“Kami boleh mendapatkan khidmat penunjuk arah, tetapi jumlah pendaki mestilah melebihi 15 orang sekumpulan,” katanya yang turut memberitahu Ahsana Homestay juga terletak berdekatan tempat-tempat menarik seperti Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong (25 km); Lata Bayu (14 km); Lata Bukit Hijau (40 km); Air Terjun Celak (20 km), Gunung Baling (4 km) dan Gunung Pulai (2 km) serta gua-gua yang terletak di kedua-dua gunung tersebut, antaranya Gua Kambing, Gua Ikan, Gua Kelambu dan Gua Tembus.

Damai suasana hutan

Rumah Tetamu FRIM tawar penginapan berlatarbelakangkan alam semula jadi

Terdapat banyak pilihan bagi mereka yang ingin menikmati percutian bergantung kepada selera masing-masing. Oleh sebab itu, aktiviit pelancongan kita terbahagi kepada banyak bidang, bergantung kepada elemen atau destinasi itu sendiri. Sebagai contoh pelancongan alam sekitar (ekopelancongan), pelancongan pertanian (agropelancongan) dan pelancongan perubatan.

Istilah pelancongan itu bermakna merujuk kepada suatu yang seronok, seperti yang apa yang dihajati oleh mereka yang melancong dan memberi kepuasan kepadanya. Bercakap mengenai keseronokan dan kepuasan dalam melancong, ia suatu yang subjektif tetapi individu berkenaan tentunya berkunjung ke destinasi tersebut mengikut kehendaknya. Bagi pelancongan tani, tentunya dia seronok melawat kawasan pertanian, penternakan lembu atau atau pokok buah-buahan. Begitu juga mereka yang menggemari alam semula jadi, tentunya seronok dengan melihat keindahan alam, hutan, sungai, gua malah bukit sekalipun.
Ketika ini, pelancongan alam sekitar semakin popular meskipun berdepan dengan cabaran melihat kemusnahan dan pe pencemaran alam di sana sini. Bagi mereka yang duduk berhampiran kawasan hutan pastinya dapat merasai fungsi sumber semula jadi tersebut. Sebaliknya mereka yang sukakan hutan tetapi tinggal di kawasan jauh daripadanya pastinya kecewa sekiranya tidak berpeluang merasai pengalaman tersebut.

Oleh itu , apabila ada pihak yang menawarkan pelancongan alam sekitar sebagai contoh, mereka yang sukakan konsep pelancongan sedemikian pastinya teruja dengan tawaran tersebut. Yang menariknya konsep pelancongan alam sekitar ini kadangkala tidak memerlukan kos yang tinggi. Sebagai contoh, anda hanya melawat hutan dan sungai yang bukan `hak milik’ sesiapa, mandi sesuka hati di sungai tanpa bayaran dan sekiranya ingin menginap, pacak sahaja khemah tanpa ada dikenakan bayaran bilik.

Mereka yang menjaga hutan bertuah kerana pelancongan konsep murah ini hanya memerlukan sedikit pelaburan tambahan untuk menarik kedatangan pelancongan kerana aset kekal sudah boleh menggamit mereka datang, Itu konsep yang cuba diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang mengawal selia dan menjaga kepentingan hutan selain Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Baru-baru ini, FRIM membuktikan komitmennya untuk membantu mempromosi pelancongan alam sekitar sekali gus mengajak orang ramai menghargai aset tersebut dengan menawarkan penginapan dalam kampusnya di Kepong Selangor.

Selama ini kampus FRIM berkeluasan 544.3 hektar itu yang dihuni 2,500 spesies pokok menggamit pengunjung yang berkunjung untuk beriadah menikmati alam sekitar tanpa sebarang bayaran. Sungai Kroh yang mengalir dalam kampus tersebut menambahkan lagi minat pengunjung datang berehat menikmati suasana hutan dengan pelbagai aktiviti seperti merentas hutan, joging, mengayuh basikal dan pelbagai aktiviti bercorak pendidikan.

Pengurusan FRIM telah membina kompleks penginapan yang dikenali sebagai Rumah Tetamu Sungai Kroh menawarkan pelbagai standard bilik khusus untuk penginapan jangka pendek atau pun untuk tujuan penaganjuran kursus dan seminar.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abdul Latif Mohmod berkata, penginapan 15 bilik itu mula dibina pada 2013 dan siap pada tahun lepas dengan kos RM500,000 dan kini telah menerima tempahan.

Beliau berkata, terdapat ramai pengunjung ke FRIM terutama pada hujung minggu dan mereka yang ingin berada lebih lama di kawasan tersebut boleh memilih untuk menginap dan menikmati keindahan panorama hutan di kampus institut tersebut.

Malah, mereka boleh mendapatkan bantuan bagaimana memperoleh maklumat untuk melawat sekitar kampus berkenaan untuk tujuan pendidikan dan pelancongan.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, kemudahan tersebut pada mulanya merupakan rumah kakitangan Kampung Jawa dengan reka bentuk kolonial, sama seperti kebanyakan reka bentuk binaan yang terdapat di FRIM.

“Pada 2009, ia merupakan kawasan perumahan satu bilik untuk kakitangan sedangkan sepatutnya mesti menganbdungi dua bilik dengan berdindingkan kayu,” ujarnya.
Kerja kerja pembangunan semula dan pengubahsuaian mula dijalankan pada 2013 dengan kemudahan 15 bilik studio dan dilengkapi dengan kemudahan asas termasuk televisyen dan pendingin hawa.
Bagaimanapun oleh kerana kerja-kerja penyelenggaraan agak tinggi, maka beliau mendapat satu idea untuk mengubahsuai sebagai kemudahan rumah rehat. Tambahan pula katanya, kawasan berhampirannya sudah dikenali dalam kalangan pengunjung sebagai lokasi riadah seperti mengayuh basikal berjoging dan bermandi manda di Sungai Kroh.

Malah mereka yang kerap berkunjung ke kampus FRIM tersebut pastinya mengenai Taman Etnobotani, Encabang Trail, Salleh Trail dan Kruing Trail iaiut laluan untuk aktiviti rentas hutan.

Beberapa tarikan lain lain seperti Taman Etnobotani dengan keluasan sebanyak kira-kira satu hektar (ha) dan terdapat antara 180 hingga 200 spesies tumbuhan ubatan dan beraroma daripada 85 famili dan kira-kira 180 genus.

Dalam pada itu, Ketua Unit Fasiliti FRIM, Mohamad Shapiei Jusoh berkata, pihaknya juga sedang dalamn perancangan menambah kemudahan yang bersesuaian di situ.- Gambar 

Azlan Hadi Abu Bakar
Banglo kolonial jadi daya penarik
Selain kawasan hutan yang menjadikan daya penarik , kampus FRIM juga agak istimewa kerana banyak bangunan kolonial yang dibangunkan sebelum ini dan dipulihara untuk mengekalkan keaslian reka bentuknya.
Lebih daripada itu, pengurusan FRIM memanfaatkan beberapa bangunan berupa banglo yang agak klasik dan dibaikpulih untuk tujuan komersial.
Menurut Ketua Unit Fasiliti FRIM, Mohamad Shapiei Jusoh sebuah banglo yang dinamakan Villa Aromatica yang terletak di tengah tengah hutan FRIM boleh disewa untuk majlis perkahwinan dengan kadar sewa pakej RM1,500 untuk tiga hari dua malam. Banglo berkenaan juga dilengkapi penginapan empat bilik mengandungi 16 katil.
Selain itu, terdapat sebuah lagi banglo yang dinamakan Rumah Tetamu Bogenvilla yang mempunyai lima bilik dengan kadar sewa RM100 sebilik selain dua unit pangsapuri Meranti mempunyai 10 bilik (RM500 /rumah) dan dua unit Rumah Tetamu Jelutong (RM300/unit).

Monday, April 18, 2016

Pantai Hiburan 'pusat permainan' hujung minggu


Bagi mereka yang mencari lokasi sesuai dan mudah untuk bersantai bersama keluarga khususnya pada hujung minggu, Pantai Hiburan yang terletak berhampiran bandar Rompin, Pahang merupakan destinasi yang tepat. Bukan sahaja ketenangan dan keindahan pantai yang tersedia dinikmati tetapi pelbagai aktiviti dapat dilakukan di pantai berkenaan bersama anak-anak.

Lebih menyeronokkan sejak awal tahun ini, Pantai Hiburan seolah-olah menjadi sebuah ‘pusat permainan’ untuk kanak-kanak dan remaja apabila ramai peniaga menyewakan peralatan permainan di kawasan pantai tersebut.

Bagi menghabiskan masa bersama anak-anak, pihak pengurusan pantai itu menyediakan satu kawasan untuk bermain kasut roda dan pelbagai alat permainan lain yang boleh disewa dengan harga berpatutan.

Selain kasut roda, turut disediakan adalah pelbagai alatan mainan bersesuaian dengan umur kanak-kanak seperti kereta dan motosikal mainan serta ‘hover board wheel’ yang mula menarik minat golongan remaja.
Seorang peniaga, Nur Ernie Natirah Azha, 17, berkata, dia mula menyewakan pelbagai kenderaan mainan sejak awal tahun lalu selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.Katanya, perkhidmatan yang dibuka pada setiap Jumaat hingga Ahad bermula pukul 5 petang sehingga 1 pagi itu kini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama daripada ibu bapa yang mengambil kesempatan membawa anak-anak mereka bersantai di sini,” katanya.

Menurut Nur Ernie, perkhidmatan sewaan alat permainan itu ditawarkan dengan harga berpatutan iaitu antara RM5 hingga RM10 bagi 30 minit penggunaan alatan permainan tersebut.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Khairul Nizam Razak, 26, berkata, trend permainan kasut roda yang menjadi kegilaan kanak-kanak pada masa ini mendorongnya memulakan perniagaan menyewa kasut roda di pantai berkenaan.
“Sememangnya pada harga sewa berpatutan, kasut roda ini sentiasa mendapat perhatian kanak-kanak dan orang dewasa yang bersantai di sini,"katanya yang mengenakan harga berpatutan, RM5 bagi 30 minit.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Mohd. Ridzuan Abdul Latif, 30, berkata, dia dan isteri sering membawa anak-anak mereka ke pantai berkenaan untuk bersantai.

Katanya, bukan sahaja dapat menikmati pemandangan yang indah dan udara pantai yang nyaman, malah kemudahan permainan yang disediakan amat sesuai untuk kanak-kanak.
“Anak-anak saya suka datang ke sini kerana ada banyak permainan, selain lokasinya juga amat dekat dan mudah untuk kami datang,” katanya yang tinggal di Taman Rompin Permai.
Bagi Mohd. Sufian Zainal Abidin, 30, dia sering membawa anak-anaknya bermain di kawasan pantai itu kerana ia bukan sahaja mempunyai pelbagai kemudahan tetapi juga selamat bagi kanak-kanak.

Ujarnya, kawasan tersebut juga menyediakan banyak kemudahan untuk pengunjung pantai, selain untuk mandi-manda.