Lebih menyeronokkan sejak awal tahun ini, Pantai Hiburan seolah-olah menjadi sebuah ‘pusat permainan’ untuk kanak-kanak dan remaja apabila ramai peniaga menyewakan peralatan permainan di kawasan pantai tersebut.

Bagi menghabiskan masa bersama anak-anak, pihak pengurusan pantai itu menyediakan satu kawasan untuk bermain kasut roda dan pelbagai alat permainan lain yang boleh disewa dengan harga berpatutan.

Selain kasut roda, turut disediakan adalah pelbagai alatan mainan bersesuaian dengan umur kanak-kanak seperti kereta dan motosikal mainan serta ‘hover board wheel’ yang mula menarik minat golongan remaja.
Seorang peniaga, Nur Ernie Natirah Azha, 17, berkata, dia mula menyewakan pelbagai kenderaan mainan sejak awal tahun lalu selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.Katanya, perkhidmatan yang dibuka pada setiap Jumaat hingga Ahad bermula pukul 5 petang sehingga 1 pagi itu kini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama daripada ibu bapa yang mengambil kesempatan membawa anak-anak mereka bersantai di sini,” katanya.

Menurut Nur Ernie, perkhidmatan sewaan alat permainan itu ditawarkan dengan harga berpatutan iaitu antara RM5 hingga RM10 bagi 30 minit penggunaan alatan permainan tersebut.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Khairul Nizam Razak, 26, berkata, trend permainan kasut roda yang menjadi kegilaan kanak-kanak pada masa ini mendorongnya memulakan perniagaan menyewa kasut roda di pantai berkenaan.
“Sememangnya pada harga sewa berpatutan, kasut roda ini sentiasa mendapat perhatian kanak-kanak dan orang dewasa yang bersantai di sini,"katanya yang mengenakan harga berpatutan, RM5 bagi 30 minit.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Mohd. Ridzuan Abdul Latif, 30, berkata, dia dan isteri sering membawa anak-anak mereka ke pantai berkenaan untuk bersantai.

Katanya, bukan sahaja dapat menikmati pemandangan yang indah dan udara pantai yang nyaman, malah kemudahan permainan yang disediakan amat sesuai untuk kanak-kanak.
“Anak-anak saya suka datang ke sini kerana ada banyak permainan, selain lokasinya juga amat dekat dan mudah untuk kami datang,” katanya yang tinggal di Taman Rompin Permai.
Bagi Mohd. Sufian Zainal Abidin, 30, dia sering membawa anak-anaknya bermain di kawasan pantai itu kerana ia bukan sahaja mempunyai pelbagai kemudahan tetapi juga selamat bagi kanak-kanak.

Ujarnya, kawasan tersebut juga menyediakan banyak kemudahan untuk pengunjung pantai, selain untuk mandi-manda.