Terdapat banyak pilihan bagi mereka yang ingin menikmati percutian bergantung kepada selera masing-masing. Oleh sebab itu, aktiviit pelancongan kita terbahagi kepada banyak bidang, bergantung kepada elemen atau destinasi itu sendiri. Sebagai contoh pelancongan alam sekitar (ekopelancongan), pelancongan pertanian (agropelancongan) dan pelancongan perubatan.
Istilah pelancongan itu bermakna merujuk kepada suatu yang seronok, seperti yang apa yang dihajati oleh mereka yang melancong dan memberi kepuasan kepadanya. Bercakap mengenai keseronokan dan kepuasan dalam melancong, ia suatu yang subjektif tetapi individu berkenaan tentunya berkunjung ke destinasi tersebut mengikut kehendaknya. Bagi pelancongan tani, tentunya dia seronok melawat kawasan pertanian, penternakan lembu atau atau pokok buah-buahan. Begitu juga mereka yang menggemari alam semula jadi, tentunya seronok dengan melihat keindahan alam, hutan, sungai, gua malah bukit sekalipun.
Ketika ini, pelancongan alam sekitar semakin popular meskipun berdepan dengan cabaran melihat kemusnahan dan pe pencemaran alam di sana sini. Bagi mereka yang duduk berhampiran kawasan hutan pastinya dapat merasai fungsi sumber semula jadi tersebut. Sebaliknya mereka yang sukakan hutan tetapi tinggal di kawasan jauh daripadanya pastinya kecewa sekiranya tidak berpeluang merasai pengalaman tersebut.
Oleh itu , apabila ada pihak yang menawarkan pelancongan alam sekitar sebagai contoh, mereka yang sukakan konsep pelancongan sedemikian pastinya teruja dengan tawaran tersebut. Yang menariknya konsep pelancongan alam sekitar ini kadangkala tidak memerlukan kos yang tinggi. Sebagai contoh, anda hanya melawat hutan dan sungai yang bukan `hak milik’ sesiapa, mandi sesuka hati di sungai tanpa bayaran dan sekiranya ingin menginap, pacak sahaja khemah tanpa ada dikenakan bayaran bilik.
Mereka yang menjaga hutan bertuah kerana pelancongan konsep murah ini hanya memerlukan sedikit pelaburan tambahan untuk menarik kedatangan pelancongan kerana aset kekal sudah boleh menggamit mereka datang, Itu konsep yang cuba diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang mengawal selia dan menjaga kepentingan hutan selain Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
Baru-baru ini, FRIM membuktikan komitmennya untuk membantu mempromosi pelancongan alam sekitar sekali gus mengajak orang ramai menghargai aset tersebut dengan menawarkan penginapan dalam kampusnya di Kepong Selangor.
Selama ini kampus FRIM berkeluasan 544.3 hektar itu yang dihuni 2,500 spesies pokok menggamit pengunjung yang berkunjung untuk beriadah menikmati alam sekitar tanpa sebarang bayaran. Sungai Kroh yang mengalir dalam kampus tersebut menambahkan lagi minat pengunjung datang berehat menikmati suasana hutan dengan pelbagai aktiviti seperti merentas hutan, joging, mengayuh basikal dan pelbagai aktiviti bercorak pendidikan.
Pengurusan FRIM telah membina kompleks penginapan yang dikenali sebagai Rumah Tetamu Sungai Kroh menawarkan pelbagai standard bilik khusus untuk penginapan jangka pendek atau pun untuk tujuan penaganjuran kursus dan seminar.
Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abdul Latif Mohmod berkata, penginapan 15 bilik itu mula dibina pada 2013 dan siap pada tahun lepas dengan kos RM500,000 dan kini telah menerima tempahan.
Beliau berkata, terdapat ramai pengunjung ke FRIM terutama pada hujung minggu dan mereka yang ingin berada lebih lama di kawasan tersebut boleh memilih untuk menginap dan menikmati keindahan panorama hutan di kampus institut tersebut.
Malah, mereka boleh mendapatkan bantuan bagaimana memperoleh maklumat untuk melawat sekitar kampus berkenaan untuk tujuan pendidikan dan pelancongan.
Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, kemudahan tersebut pada mulanya merupakan rumah kakitangan Kampung Jawa dengan reka bentuk kolonial, sama seperti kebanyakan reka bentuk binaan yang terdapat di FRIM.
“Pada 2009, ia merupakan kawasan perumahan satu bilik untuk kakitangan sedangkan sepatutnya mesti menganbdungi dua bilik dengan berdindingkan kayu,” ujarnya.
Kerja kerja pembangunan semula dan pengubahsuaian mula dijalankan pada 2013 dengan kemudahan 15 bilik studio dan dilengkapi dengan kemudahan asas termasuk televisyen dan pendingin hawa.
Bagaimanapun oleh kerana kerja-kerja penyelenggaraan agak tinggi, maka beliau mendapat satu idea untuk mengubahsuai sebagai kemudahan rumah rehat. Tambahan pula katanya, kawasan berhampirannya sudah dikenali dalam kalangan pengunjung sebagai lokasi riadah seperti mengayuh basikal berjoging dan bermandi manda di Sungai Kroh.
Malah mereka yang kerap berkunjung ke kampus FRIM tersebut pastinya mengenai Taman Etnobotani, Encabang Trail, Salleh Trail dan Kruing Trail iaiut laluan untuk aktiviti rentas hutan.
Beberapa tarikan lain lain seperti Taman Etnobotani dengan keluasan sebanyak kira-kira satu hektar (ha) dan terdapat antara 180 hingga 200 spesies tumbuhan ubatan dan beraroma daripada 85 famili dan kira-kira 180 genus.
Dalam pada itu, Ketua Unit Fasiliti FRIM, Mohamad Shapiei Jusoh berkata, pihaknya juga sedang dalamn perancangan menambah kemudahan yang bersesuaian di situ.- Gambar
Azlan Hadi Abu Bakar
Banglo kolonial jadi daya penarik
Selain kawasan hutan yang menjadikan daya penarik , kampus FRIM juga agak istimewa kerana banyak bangunan kolonial yang dibangunkan sebelum ini dan dipulihara untuk mengekalkan keaslian reka bentuknya.
Lebih daripada itu, pengurusan FRIM memanfaatkan beberapa bangunan berupa banglo yang agak klasik dan dibaikpulih untuk tujuan komersial.
Menurut Ketua Unit Fasiliti FRIM, Mohamad Shapiei Jusoh sebuah banglo yang dinamakan Villa Aromatica yang terletak di tengah tengah hutan FRIM boleh disewa untuk majlis perkahwinan dengan kadar sewa pakej RM1,500 untuk tiga hari dua malam. Banglo berkenaan juga dilengkapi penginapan empat bilik mengandungi 16 katil.
Selain itu, terdapat sebuah lagi banglo yang dinamakan Rumah Tetamu Bogenvilla yang mempunyai lima bilik dengan kadar sewa RM100 sebilik selain dua unit pangsapuri Meranti mempunyai 10 bilik (RM500 /rumah) dan dua unit Rumah Tetamu Jelutong (RM300/unit).