Carian Maklumat di sini

Custom Search

Sunday, April 3, 2011

Keunikan lokasi baru skuba di Semporna


Sabah 101 Dive Treasures beri peluang jurufoto dasar laut teroka lokasi baru.


BERBICARA tentang lokasi selam skuba di Sabah, pasti ramai yang akan bersetuju tentang kehebatan alam marin di negeri Bawah Bayu itu.

Bukan hanya Sipadan, pulau yang mengunjur dari kedalaman 600 meter dari dasar laut dan terletak di tenggara Sabah iaitu Mabul, Kapalai dan Mataking antara nama-nama hebat. Lokasi itu menjadi tumpuan penyelam tempatan dan juga antarabangsa.

Malah, kehebatan kesemua pulau itu membuatkan ada di antara mereka sanggup menjelajah melebihi 22 jam untuk berada di situ dan merakamkan keindahan pesona marin perairan Sabah.

Atas kehebatan itu, Semporna, pintu masuk ke semua pulau berkenaan semakin dikenali di seluruh dunia sehinggakan ada penyelam luar negara menjalankan perniagaan selam skuba di situ.

Yang pasti pulau-pulau berkenaan semakin sesak terutama Pulau Sipadan yang kini mengehadkan 120 penyelam sahaja setiap hari.

Menyedari hakikat itu, Tourism Malaysia Sabah giat mempromosikan lokasi selam skuba baru terutama Taman Laut Tun Sakaran di daerah Semporna bagi mengurangkan 'kesesakan' yang semakin tidak terkawal.

Keadaan tersebut, menurut Timbalan Pengarah Negeri, Tourism Malaysia Sabah, Ahmad Faisal Mohamed, sedikit sebanyak memberi kesan jangka panjang kepada ekosistem yang ada di situ.

Mempromosikan

Beliau menarik perhatian mengenai usaha mempromosikan pulau-pulau lain di Semporna melalui program 'Sabah 101 Dive Treasures' bagi mengurangkan kebergantungan kepada Sipadan, Kapalai, Mabul dan Mataking.

"Lebih menarik, pulau-pulau itu termasuk Si Amil, Bohey Dulang, Mantabuan dan Sibuan mempunyai harapan untuk bersaing dengan pulau lain di Semporna,'' katanya.

Daerah Semporna sememangnya terkenal dengan lokasi spesies mikro marin di mana penyelam-penyelam skuba terutama jurufoto dasar laut menamakannya sebagai lokasi 'Muck diving location of the world'.

Justeru, Ahmad Faisal yakin empat pulau berkenaan yang mempunyai khazanah unik dan berharga mampu 'menjual' aset yang ada untuk tarikan pelancong.

Bagaimanapun, oleh kerana kebanyakan pulau itu masih baru, pencarian pelbagai spesies makro unik mungkin mengambil masa sedikit untuk membolehkan penyelam skuba mendapat kepuasan maksimum di situ.

Ketika trip menyelam skuba anjuran Sabah Tourism baru-baru ini, penulis mendapati empat pulau berkenaan menjanjikan pelbagai pengalaman menarik lebih-lebih lagi kepada jurufoto dasar laut.

Walaupun tidak sehebat Pulau Sipadan - Si Amil, Bohey Dulang, Mantabuan dan Sibuan mempunyai keupayaan sendiri dalam menarik penyelam skuba untuk menyelam di situ.

Walaupun terletak agak jauh dari Pulau Mabul, lokasi penginapan kebanyakan penyelam skuba ketika berada di Semporna, namun menyelam di salah sebuah empat pulau berkenaan cukup mendamaikan.

Lebih-lebih lagi disebabkan pulau-pulau itu kurang 'diteroka' menjadikan keasliannya lebih utuh berbanding pulau-pulau lain yang sering dikunjungi.

Pelbagai spesies marin makro unik boleh dijumpai di pulau-pulau itu termasuk pelbagai spesies nudibranch atau siput tanpa cengkerang, spesies belut moray dan juga ikan depu selain pemandangan atas air pulau yang sungguh mengasyikkan.

Oleh kerana kebanyakan pulau baru itu tidak mempunyai banyak perkampungan atau densiti penduduk yang ramai menjadikan suasana di situ lebih 'sunyi' berbanding Mabul, Kapalai dan Mataking.

batu karang

Namun agak mendukacitakan, kebanyakan kawasan di Si Amil, Bohey Dulang, Mantabuan dan Sibuan pernah menjadi lokasi nelayan pantai mengebom ikan menyebabkan kebanyakan batu karang di situ kurang sempurna.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahli Lembaga Pengarah Sabah Tourism, Clement Lee berkata, pihaknya kini berusaha untuk mendidik nelayan tempatan mengenai bahaya aktiviti tersebut serta kesan jangka panjang terhadap hidupan laut.

Dia yang juga Pengarah Urusan Borneo Divers and Sea Sport turut berkata, amat sukar untuk menghentikan kegiatan tersebut kerana nelayan di situ yang terdiri daripada kaum Bajau Laut sudah menggunakan kaedah itu sejak zaman berzaman.

"Namun selepas diterangkan mengenai keuntungan jangka panjang yang diperoleh dengan kemasukan penyelam ke pulau-pulau mereka, perkara ini berjaya diterima sedikit demi sedikit.

"Apa yang perlu, kami di Tourism Sabah dengan kerja sama Taman-Taman Sabah, pihak berkuasa dan semua pusat selam skuba di Mabul akan memberikan penerangan dari semasa ke semasa untuk memastikan kejadian itu tidak berulang," katanya.

Pengeboman ikan itu turut dirasai oleh penulis sendiri sebanyak dua kali ketika melakukan penyelaman di Mantabuan dan Sibuan.

Apa pun, keindahan dan keunikan di alam marin empat pulau berkenaan mampu mengurangkan kerisauan yang melanda.

Untuk sebarang maklumat lanjut hubungi Sabah Tourism di www.sabahtourism.com atau www.borneodivers.info.

Tonton versi video berita ini Utusan Online melalui http://bit.ly/101dive.