|
|
SUDAH bosan dengan pelbagai pakej percutian dan destinasi percutian hambar yang tidak dapat memberi kepuasan? Atau, masih tercari-tercari destinasi percutian menarik yang boleh memberi ketenangan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan?
Pulau Tiga yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Jeti Kuala Penyu pastinya memberi satu pakej percutian yang lengkap dan menggembirakan.
Ia bukan sahaja menyajikan pemandangan yang indah dengan pelbagai aktiviti laut malah turut memaparkan keunikan yang tidak terdapat di mana-mana tempat percutian lain.
Antara keunikan di pulau itu ialah kolam lumpur gunung berapi yang seakan-akan 'laut mati' di tengah-tengah pulau berkenaan.
Berada di kolam yang sentiasa 'suam' ini, pengunjung pastinya terkejut mendapati mereka tidak akan tenggelam sebaliknya terapung-apung seolah-olah berada di laut mati.
Kolam yang terhasil daripada letusan gunung berapi ini juga dikatakan mampu mengubati penyakit kulit dan menyegarkan badan.
Selain kolam berkenaan, pengunjung juga dapat melihat kehebatan anak muda tempatan menangkap ular laut yang memenuhi Pulau Ular yang merupakan rangkaian Pulau Tiga.
Pulau yang tidak dihuni manusia itu menjadi satu-satunya habitat yang mempunyai ratusan ular laut yang lebih berbisa daripada ular tedung.
Aktiviti lain yang biasa di pulau itu adalah seperti snorkelling, berkayak, skuba dan kegiatan laut seperti 'banana boat' yang pastinya menjanjikan kepuasan.
Jadi, untuk menikmati keindahan dan keunikan Pulau Tiga yang meliputi tiga pulau itu, persinggahan ke Pulau Tiga Resort suatu persinggahan yang tepat untuk pakej penginapan dan pelbagai aktiviti luar.
Untuk ke Jeti Kuala Penyu dari Kota Kinabalu yang mengambil masa perjalanan kira-kira dua jam, kita bakal menyaksikan pemandangan cantik di sepanjang jalan dengan hamparan pantai yang memutih.
Kemudian dari Jeti Kuala Penyu, bot laju mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke Jeti Pulau Tiga Resort yang pernah menjadi salah satu lokasi penggambaran program Survival Island, suatu ketika dahulu.
Dari jauh penulis dapat melihat terpampang tulisan Survival Island pada pintu masuk jeti yang menambahkan lagi tarikan.
Sebaik sahaja melepasi pintu gerbang, penulis yang pertama kali tiba di situ terus tertarik kepada patung yang digunakan dalam siri Survival Island yang masih dijaga dengan baik.
Landskap resort yang bersih dan redup dipenuhi pokok-pokok hutan rendang membuatkan hati tidak sabar berehat melepaskan penat setelah agak khayal dilambung ombak sepanjang pelayaran tadi.
Resort sederhana itu menawarkan tiga unit calet yang sesuai untuk seisi keluarga dengan harga antara RM215 dan RM360.
Penyelia Resort, Janibel Bautista berkata, resort milik persendirian itu sentiasa mendapat sambutan daripada pengunjung dalam dan luar negara.
"Selain pengunjung individu kita juga sering menerima pengunjung berkumpulan termasuk daripada IPT (institusi pengajian tinggi).
"Tarikan pulau ini adalah keindahan laut dan tempat unik seperti lumpur gunung berapi," katanya.
Menurutnya, terdapat tiga kategori bilik yang disediakan iaitu superior sebanyak 12 unit, standard (23 unit) dan dua unit long house.
Penginapan satu malam termasuk pengangkutan bot laju ke jeti dan makan satu malam adalah RM360 bagi jenis 'Superior', 'Standard' (RM305) dan 'Long House' (RM210).
Dalam pada itu, pakej perjalanan ke Pulau Ular pula bernilai RM40 seorang, berkayak RM20 seorang dan Banana Boat RM25 seorang.
"Bagi pakej snorkelling dan perjalanan ke Pulau Ular ditetapkan harganya sebanyak RM70 seorang dan bagi skuba pakejnya ialah antara RM80 dan RM150," katanya.
Sementara itu, pada sebelah malam pengunjung boleh mengadakan pelbagai aktiviti di 'Hog Point' seperti barbeku dengan harga yang amat berpatutan.
"Melakukan aktiviti barbeku di Hog Point yang diiringi desiran ombak dan angin pantai pastinya memberi kepuasan dan pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan," ujarnya.