Carian Maklumat di sini

Custom Search

Sunday, April 3, 2011

Terokai dunia antartik di Langkawi


Pelbagai jenis batu karang turut dipamerkan di bahagian Sub Antartik.


Melihat gelagat spesies burung hitam putih yang tidak boleh terbang itu, sudah tentu menghiburkan lebih-lebih lagi kerana haiwan akuatik tersebut mustahil untuk dilihat berkeliaran di Malaysia.

Namun kini, berdasarkan teknologi masa kini, penguin dewasa mampu hidup di Pulau Langkawi, Kedah.

Bagi mereka yang mahu melihat dengan lebih dekat gelagat nakal hidupan marin itu silalah berkunjung ke Underwater World Langkawi yang terletak di lokasi kegemaran ramai, Pantai Cenang.

Di Underwater World Langkawi, pengunjung didedahkan kepada pengalaman kehidupan pelbagai spesies hidupan liar yang hidup pada tiga ekosistem berbeza iaitu bersuhu tropika, sederhana dan sejuk.

Di bahagian Sub Antartik misalnya, kedatangan pengunjung akan disambut oleh aksi akrobatik dari anjing laut berbulu yang diberi nama sebagai Karen dan Nano.

Bahagian ini merupakan bahagian terbesar di Underwater World Langkawi dan ia meliputi kawasan seluas 60,000 kaki persegi.

Malah di bahagian itu juga, pengunjung berpeluang untuk melihat dua spesies penguin iaitu penguin berkaki hitam dan rock hopper.

Walaupun habitat asal haiwan tersebut agak berbeza dengan habitat asal, spesies penguin daripada Afrika Selatan itu semakin membiak tanpa bantuan inkubator.

Pada mulanya, Underwater World hanya membawa masuk 22 spesies penguin berkaki hitam dan lima ekor penguin rock hopper untuk dipamerkan kepada pengunjung.

Bagaimanapun, sehingga kini terdapat lebih 70 ekor penguin yang ditempatkan di sebuah kolam gergasi yang direka khas buat spesis hidupan marin itu.

Kolam tersebut bersuhu 15 hingga 17 darjah celsius dan suhu tersebut direka berdasarkan suhu habitat asalnya.

Pengunjung juga berpeluang untuk menerokai hidupan ikan air tawar di River Eco-System.

Di sini terdapat 10 tangki akuarium menempatkan beberapa hidupan reptilia yang ada di antaranya agak sukar ditemui di negara ini.

Antara hidupan yang terdapat di bahagian tersebut ialah iguana hijau, cicak Afrika, Chinese water dragon, cicak biru dari Indonesia dan sebagainya.

Manakala di bahagian kedua pula, pengunjung akan di bawa menjelajahi kawasan hutan hujan Tropika buatan manusia yang menempatkan lebih 4,000 spesies ikan air tawar dan 500 spesies hidupan liar yang lain.

Underwater World dibuka kepada pengunjung bermula pada pukul 10 pagi hingga 6 petang (Isnin hingga selasa) manakala pada musim cuti pula ia dibuka pada pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

Setiap pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM 38 (dewasa) dan RM 28 (kanak-kanak).

Untuk maklumat lanjut mengenai Underwater World Langkawi, sila layari laman web www.underwaterworldlangkawi. com.my.