Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my
Burung upeh di Kuala Gula kini berdepan dengan ancaman kepupusan dipercayai akibat faktor persekitaran.
Mungkin segelintir pencinta burung telah menyedari bahawa burung upeh yang dianggap unik ini diancam kepupusan.
Burung ini sering ditemui di Kuala Gula, Daerah Kerian Perak dan menjadikan kawasan tersebut sebagai habitatnya dan dengan ancaman yang dihadapi, ia bagaikan satu mimpi mengerikan bagi spesies tersebut
Sejak tahun 1980an lagi burung tersebut telah dipantau perkembangannya namun, tinjauan yang dilakukan baru-baru ini mendapati bilangannya semakin menurun.
Justeru, bagi menangani masalah tersebut, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah melancarkan usaha konservasi ke atas spesies burung tersebut.
Menurut Pegawai Hidupan Liar Perhilitan, Rahmah Ilias, pada tahun 1998, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), bersama Zoo Negara dan Perhilitan telah menjalankan program Pengenalan Semula dan Pembiakan Burung Upeh.
Zoo Negara juga telah membekalkan tiga induk jantan dan tujuh induk betina yang kemudiannya ditempatkan di Taman Alam Kuala Selangor dan diuruskan oleh MNS bagi tujuan tersebut.
"Burung-burung ini telah diletakkan di dalam sebuah sangkar yang besar di taman tersebut dan beberapa cubaan membuat sarang telah direkodkan pada tahun 2002 dan 2003.
"Kemudian kita berjaya menemui lima biji telur dan berjaya menetas. Namun ke semua anak burung tersebut tidak berjaya sampai ke peringkat dewasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kembara Bersama Media (KBM), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di Kuala Gula, Perak, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, pada tahun berikutnya ke semua burung tersebut telah terlepas dan hidup di sekitar Taman Alam sehingga ke hari ini.
Bertitik tolak daripada usaha tersebut, sekali lagi pihak Zoo Negara dan Perhilitan menganjurkan program pembiakan dan pengenalan semula spesies burung upeh di Kuala Gula.
Pada 4 Mac 2007, Perhilitan dan Zoo Negara telah menjalankan program pelepasan semula burung upeh sejumlah lapan ekor iaitu empat jantan dan empat betina.
Burung-burung tersebut dibiakkan di dalam Zoo Negara sebelum diserahkan kepada Perhilitan untuk diasuh agar mampu berdikari di habitat liar.
Antara asuhan yang diberikan kepada burung-burung tersebut adalah latihan pemakanan yang mana spesies unggas itu diberi ikan hidup secara kerap.
Jelas Rahmah, pada peringkat awal spesies unggas itu tidak memakan ikan hidup berikutan ia biasa diberikan ikan mati, lama kelamaan ia mula membiasakan diri.
Apabila burung-burung itu dilihat mampu untuk mencari makanan sendiri, ia dilepaskan ke sekitar Kuala Gula.Setelah dilepaskan, burung-burung tersebut akan dipantau oleh Perhilitan menggunakan kaedah radio telemetri untuk mengetahui kawasan keliaran dan pergerakan populasi baru yang telah dilepaskan.Program pelepasan tersebut akan terus dijalankan sehingga populasi yang stabil diwujudkan semula di Kuala Gula.
Projek selama lima tahun tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya 100 ekor burung upeh dibiakkan dan sehingga kini hampir 36 ekor telah dilepaskan.
Pemantauan yang dilakukan selepas enam bulan program pelepasan dijalankan mendapati burung, tersebut telah mula bersarang.
Seterusnya pada Jun 2010, pemantauan yang dilakukan menemui beberapa sarang dan pada Ogos tahun yang sama terdapat beberapa ekor anak burung telah ditemui.
Ia sekali gus menunjukkan bahawa program pelepasan tersebut perlu diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan kestabilan bagi bilangan spesies burung upeh terus berkekalan.
Biarpun terdapat usaha membiak dan melepaskan semula burung tersebut di kawasan yang sama namun masih terlalu banyak kajian perlu dilakukan bagi memastikan objektif usaha tersebut berjaya dicapai.
Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Ahmad Ismail, program pengenalan semua sesuatu spesies burung itu perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin kejayaan program tersebut.
"Banyak perkara perlu diambil perhatian sepenuhnya ketika keputusan untuk melaksanakan program pengenalan semula burung upeh ini.
"Antaranya adalah keadaan persekitaran habitat, keadaan burung, adaptasi burung, penerimaan masyarakat setempat serta pelbagai lagi faktor," ujarnya ketika di temui baru-baru ini.
Dr. Ahmad yang juga merupakan ahli majlis MNS berkata, burung upeh yang dibiakkan di dalam kurungan tidak memiliki kemahiran untuk hidup di habitat liar.
Justeru, burung upeh memerlukan masa untuk menyesuaikan diri keadaan habitat sebenar bagi memudahkannya untuk mencari makan, membiak seterusnya tidak pupus.
Katanya, beberapa program pelepasan burung upeh telah dijalankan di Kuala Gula sebelum ini namun program tersebut pada peringkat awalnya tidak menunjukkan keputusan yang memberansangkan.
"Malah ada sesetengah burung upeh ini hilang tanpa dapat dikesan, berkemungkinan mati akibat ditangkap penduduk setempat mahupun diserang haiwan pemangsa," katanya.
Ini kerana burung upeh yang baru dilepaskan masih belum mampu berdikari untuk mencari makanan sendiri malah amat jinak kepada manusia berikutan ia mengenali manusia sejak kecil.
Kajian yang dilakukan oleh Dr. Ahmad bersama beberapa penyelidik dari UPM mendapati penduduk setempat masih lagi tidak memahami kepentingan konservasi burung tersebut.
"Hampir 47 peratus penduduk yang ditemubual di Kuala Gula ini menyatakan mereka tidak memahami konsep dan usaha konservasi yang sedang dilakukan di sana.
"Kita sudah buat kajian demografik berdasarkan pelbagai kaum dan mendapati mereka tidak memperolehi maklumat yang tepat dalam usaha konservasi burung upeh," ujarnya.
Sehingga kini beliau bersama beberapa penyelidik dari UPM masih menjalankan kajian dan pemerhatian terhadap burung upeh berbekalkan dua dana geran yang telah diperolehinya.
Dana geran tersebut disumbangkan oleh Perhilitan dan daripada Skim Geran Universiti Penyelidikan (RUGS) telah dikhaskan untuk melakukan penyelidikan burung upeh atau lebih mudah dikenali dengan nama Milky Stork.
Kajian yang perlu dilakukan pada peringkat seterusnya adalah berkenaan tahap kemandirian (survival) , kebolehan beradaptasi dengan dunia luar, gangguan habitat yang sedang melanda kawasan Kuala Gula.
Sambil melahirkan rasa kecewanya, Dr. Ahmad menegaskan pembangunan, perladangan serta penerokaan kawasan hutan paya bakau yang giat dilaksanakan sekitar Kuala Gula mampu memberi impak negatif kepada burung upeh.
Biarpun kejayaan demi kejayaan dilakarkan menerusi program pembiakan ex-situdi Zoo Negara bagi mengembang biak burung upeh, namun realitinya kadar kemandirian burung tersebut di habitat asal amat rendah akibat faktor-faktor tersebut.
"Kita masih boleh menemui burung-burung tersebut di sana (Kuala Gula) namun ia tidak membiak seperti yang diharapkan kerana sukar untuk mencari habitat yang benar-benar sesuai untuk bersarang.
"Burung ini sangat unik, malah tempat untuk ia bersarang pun memerlukan kriteria yang tertentu, ketinggian tertentu, cabang atau dahan yang sesuai," katanya.
Terdapat beberapa usaha telah dilakukan membina sarang tiruan telah dilakukan namun ia tidak berjaya menarik perhatian burung untuk bersarang.
Ditambah pula dengan faktor kawasan hutan yang semakin mengecil akibat aktiviti pertanian.
Contohnya terdapat beberapa kawasan paya bakau yang mati akibat pembuangan air tawar daripada kawasan takungan air tawar di dalam kawasan pertanian secara berlebihan.
"Apabila tahap kemasinan air paya bakau berubah dan menurun secara mendadak, pokok-pokok yang terdapat di sekitarnya tidak dapat bertahan lalu mati.
"Kematian pokok-pokok yang menjadi habitat dan kawasan kediamannya sekali gus menjejaskan kadar survival burung-burung tersebut," katanya.
Selain itu, pokok-pokok yang telah mati menjadikan kawasan tersebut lapang seterusnya menyebabkan burung upeh mudah terdedah kepada pemangsa ketika mencari makan di sana.
Beliau turut mengutarakan cadangan agar diadakan kawasan pembiakan khas (in-situ) di Kuala Gula bagi memudahkan burung upeh untuk beradaptasi di kawasan tersebut.
Sumber:utusanmalaysia.com