Carian Maklumat di sini

Custom Search

Thursday, March 21, 2013

Hotel berasaskan ekopelancongan

SUASANA indah pada waktu malam dengan deretan hiasan pokok bercahaya di hadapan hotel.
TERLETAK antara pertemuan pekan lama dan pekan baru, Hotel Kinta Riverfront di Ipoh, Perak semakin terkenal sebagai lokasi mesyuarat, konvensyen dan pameran (MICE) yang terbaik di bandar raya ini.
Mula beroperasi sejak 1 Januari tahun lalu, hotel bertaraf empat bintang yang dibangunkan berhampiran Sungai Kinta itu giat dipromosi sebagai hotel berasaskan ekopelancongan.
Selain memiliki sebuah muzium galeri yang memaparkan sejarah perlombongan bijih timah, pembinaan palung di ruang pejalan kaki di tepi Sungai Kinta mengimbau kembali kerancakan industri bijih timah di bandar raya itu sekitar tahun 1820-an.
Tidak hairanlah, empat buah dewan bankuet di hotel berkenaan diberi nama bersempena bandar-bandar perlombongan bijih timah di Perak seperti Tronoh, Kampar, Pusing dan Gopeng.
Pastinya, kunjungan ke hotel tersebut tidak lengkap tanpa menyusuri pemandangan indah di Kinta Riverwalk sepanjang 1.5 kilometer, terutamanya pada waktu malam dengan bertemankan pokok hiasan bercahaya persis Taman Tema i-City di Shah Alam, Selangor.
Pengurus Operasi Kinta Riverfront Hotel & Suites Sdn. Bhd., Patrick Chew berkata, projek pesisir sungai yang turut mengambil inspirasi serta konsep daripada Sungai Melaka itu baru bermula pada fasa pertama.
Beliau berkata, bagi memeriahkan lagi suasana di kawasan pejalan kaki yang terletak di hadapan hotel itu, pihaknya telah membina tiga replika jambatan terkenal dunia bagi membolehkan orang ramai melihatnya.
"Jambatan-jambatan ini adalah miniatur Golden Gate Bridge di San Francisco, Amerika Syarikat; Sydney Harbour Bridge di Australia dan Silver Nest Bridge di China.
"Beberapa gerai menjual makanan tempatan seperti mi rebus dan aiskrim kacang hazel, selain gerai sayur-sayuran segar dari Cameron Highlands turut dibuka di sini," katanya kepada S2.
Sementara itu, untuk penganjuran majlis pula, kawasan seluas 139 meter kaki persegi yang dinamakan Kongsi Square di tepi sungai itu juga dapat dimanfaatkan bagi tujuan pemasangan kanopi.
Bercerita lebih lanjut mengenai kemudahan penginapan, Patrick berkata, hotel berkenaan memiliki 410 unit bilik meliputi jenis standard, superior, family dan executives.
Bagi mereka yang inginkan kediaman yang lebih eksklusif, mereka boleh menempah set bilik honeymoon dan presidential suites yang masing-masing berharga RM3,888 dan RM8,888 semalam.
"Antara tetamu kenamaan yang telah menginap di presidential suites ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah sewaktu baginda merasmikan program Pergerakan Pandu Puteri di Ipoh.
"Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri juga pernah menginap di bilik honeymoon yang terletak di tingkat 19," katanya.
Dalam pada itu, Patrick berkata, bagi mereka yang inginkan bilik kediaman serba lengkap, mereka boleh menginap di servis apartmen yang terdiri daripada Kinta Gold (tiga bilik, menghadap sungai) dan Kinta Premier (dua bilik, menghadap pekan).
Selain itu, katanya, sesuai dengan sasaran hotel sebagai lokasi MICE, lapan dewan mesyuarat yang dinamakan Menglembu, turut ditawarkan selain Grand Valley Ballroom yang boleh memuatkan sehingga 1,300 individu dalam satu masa.
Menariknya, ballroom yang dibina tanpa sebarang tiang itu merupakan yang terbesar di bandar raya ini, selain dilengkapi paparan skrin besar diod pemancar cahaya (LED) serta pentas bergerak turun naik melalui pacuan sistem hidraulik.
"Antara kemudahan lain termasuklah kolam renang lutsinar yang diberi nama Infinity Mermaid Swimming Pool di tingkat lima, gelanggang tenis, squash, dan spa.
"Dari segi makanan dan minuman pula, kami mempunyai beberapa restoran seperti Great Miner Chinese Cuisine, Palong Coffee House, The Mermaid Poolside bar and BBQ dan Tin Ore Bistro and Lounge," ujarnya.
Kemudahan tempat meletak kenderaan juga bukan merupakan satu masalah kerana terdapat lebih 1,000 unit disediakan di tingkat bawah tanah, selain di kawasan luar hotel.
Malah, keselamatan para penginap juga terjamin kerana hotel berkenaan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

Kelong Abu tumpuan kaki pancing

ANTARA spesies ikan yang sering dipancing di sekitar kawasan kelong ini adalah jenahak, serekot, senangin, kurau, pari, tuka, gelama, talang dan serampai. 
 
AKTIVITI memancing kini menjadi riadah paling popular dalam kalangan penduduk di bandar raya Melaka terutama selepas detik 12 malam. Kemeriahan lebih terasa tatkala cuti hujung minggu dan cuti umum.
Masa terluang yang ada pastinya diisi dengan aktiviti tersebut memandangkan bandar raya Melaka terletak berhampiran laut.

Tidak hairanlah beberapa lokasi menjadi tumpuan ramai selepas pukul 12 malam, misalnya di jambatan Pulau Melaka, pantai Lereh, Dataran 1Malaysia di Klebang, Pulau Gadong, Kampung Hailam dan pantai Puteri.
Antara lokasi tersebut, Kelong Abu yang terletak berhampiran Jeti Nelayan Pantai Siring, Serkam menjadi tumpuan kaki pancing untuk bersantai melalui aktiviti memancing. 

Kelong yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar raya Melaka itu adalah lokasi paling popular dalam kalangan kaki pancing tegar atau mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti tersebut.Pengunjung yang datang ke kelong itu bukan sahaja daripada penduduk setempat atau sekitar Melaka, sebaliknya ada yang datang dari luar sempadan Melaka. Kedatangan mereka ke situ adalah untuk mengisi masa lapang, selain melayan minat memancing.

Untuk sampai ke kelong itu, kaki pancing perlu menaiki bot yang memakan masa tujuh minit perjalanan dari jeti nelayan pantai Siring.Bot yang biasa dinaiki dimiliki seorang anak jati tempatan, Amran Mat Zan, 32, atau lebih dikenali sebagai Abu.

Boleh dikatakan setiap cuti hujung minggu atau kelepasan am, kelong itu dipenuhi ramai kaki pancing sehinggakan pemiliknya terpaksa menolak banyak permintaan.Walaupun Kelong Abu tidak menyediakan kemudahan calet tetapi ia mampu menampung pengunjung antara 15 hingga 30 orang dalam satu-satu masa.
Terdapat dua kelong yang cukup selesa untuk memancing berbentuk rumah dan berlindung dari hujan atau panas matahari jika memancing pada waktu siang.Kelong itu turut menyediakan empat bilik untuk berehat selepas penat memancing selain beberapa kemudahan seperti tandas, dapur memasak, kerusi dan air untuk mandi serta minum.

Amran berkata, harga yang dikenakan amat murah iaitu RM30 seorang dengan waktu memancing tanpa had.
''Banyak tempahan yang saya terima adalah pada waktu malam dan mereka memancing sehingga awal pagi atau tengah hari keesokan harinya. Terpulang kepada masing-masing sama ada ingin memancing lama atau sekejap," katanya.

Ujarnya, spesies ikan yang sering dipancing di sekitar kawasan kelong itu adalah jenahak, serekot, senangin, kurau, pari, tuka, gelama, talang dan serampai.''Kadang-kadang ikut rezeki, ada yang memancing hanya dapat ikan gelama sahaja tetapi ada juga yang menaikkan ikan pari seberat 15 kilogram dan jenahak seberat 3.4 kilogram," ujarnya yang membina kelong itu pada 2009.

Sementara itu seorang pengunjung, Mohd. Hanafi Hasan, 32, berkata, dia datang ke kelong itu untuk memancing dan menghabiskan cuti hujung minggu.''Memancing cukup menenangkan dan saya suka menghabiskan masa di kelong-kelong yang terdapat di Melaka," katanya yang merupakan seorang kakitangan awam dari Masjid Tanah.Bagi Hishamuddin Kamaruddin, 34, dari Alor Gajah, katanya, dia suka mengisi masa lapang pada waktu cuti dengan memancing sama ada di pantai, kelong atau menaiki bot. 

''Aktiviti ini cukup menarik dan saya lebih selesa jika dapat memancing di kelong berbanding memancing dari dalam bot yang agak sempit," katanya.Khairin Abdullah, 31, dari Bukit Rambai pula berkata, memancing di kelong adalah satu aktiviti paling menarik untuk mengisi masa lapang.

Nikmati kehijauan di Sungai Tekala

MANDI-MANDA di kawasan air terjun Sungai Tekala memberi kepuasan kepada setiap pengunjung.
KESEMPATAN cuti umum Tahun Baharu Cina baru-baru ini digunakan penulis untuk berkunjung ke Hutan Lipur Sungai Tekala, Selangor. Laluan ke sana dari ibu kota agak lengang kerana orang ramai pulang ke kampung.

Terletak hanya 13 kilometer dari pekan Semenyih, penulis menempuh Jalan Semenyih-Hulu Langat untuk sampai ke hutan lipur itu. Lokasi yang dekat dengan Kuala Lumpur menjadikan ia pilihan pengunjung kerana tidak perlu memandu terlalu jauh dari ibu kota.

Sebaik sahaja sampai, penulis melihat hutan lipur ini menjadi tumpuan pengunjung yang mahu beriadah dan berkelah bersama keluarga pada cuti umum.

Setiap pengunjung yang masuk ke hutan lipur yang juga terletak di dalam Hutan Simpan Sungai Lalang itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM1 bagi dewasa dan 50 sen bagi kanak-kanak. 

Selesai urusan di pintu masuk, saya bersama empat lagi teman sepakat untuk melalui denai hutan yang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke kawasan air terjun.

Kami menggunakan pondok yang ada di kawasan itu untuk meletakkan barangan dan juga makanan sebelum terjun ke dalam air terjun yang dingin dan menyegarkan.Terlupa seketika kesibukan kerja di pejabat tatkala air terjun yang jatuh menimpa kepala dan badan, terasa seperti diurut tambahan pula airnya yang sejuk dapat memberikan kesegaran semula jadi kepada kami.Hutan Lipur Sungai Tekala ini menjadi menjadi pilihan orang ramai kerana kemudahan yang disediakan seperti pondok rehat, surau, calet, denai hutan, tapak perkhemahan dan tandas yang diselenggara dengan baik.

Ketika perut mulai terasa lapar, kami semua naik ke pondok tadi untuk makan tengah hari dalam keadaan menggigil kesejukan. Keadaan itu membuatkan kami ketawa geli hati tatkala melihat gelagat kami yang makan dalam kebasahan.Selesai makan, kami kembali ke sungai sebelum menukar pakaian untuk bersiar-siar di kawasan sekitar hutan simpan berkenaan.Di hutan lipur ini, pengunjung boleh melalui trek hutan sepanjang 2.6 kilometer dengan keadaan topografi antara 55 meter hingga 150 meter dari aras permukaan laut yang mengambil masa kira-kira 90 minit untuk membuat satu pusingan lengkap.

Setelah puas bersiar-siar dan bergambar di hutan jenis dipterokarp pamah itu, kami meninggalkan hutan lipur ini dan sempat singgah di sebuah restoran berdekatan sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Kawasan yang dikenali sebagai Taman Warisan Negeri Selangor itu akan kami kunjungi lagi pada masa akan datang kerana dekat dengan ibu kota, tambahan pula tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi. - AZRIN

Menginap selesa di Avillion Legacy

KUBAH kaca yang menghiasi siling menampakkan ciri-ciri mewah pada ruang makan di Hotel Avillion Legacy, Melaka. 
 
APABILA berkunjung ke Melaka untuk melancong atau urusan kerja, anda tidak perlu risau tentang penginapan.

Ini kerana di sekitar bandar raya Melaka atau dikenali juga sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, terdapat banyak hotel dan resort bertaraf satu hingga lima bintang. 

Bergantung kepada kemampuan anda untuk menginap di hotel mana. Jika inginkan penginapan yang cukup selesa, anda boleh memilih hotel bertaraf lima atau enam bintang.
Jika mahu menginap di hotel yang selesa dan eksklusif pula, pilihan Hotel Avillion Legacy adalah yang terbaik kerana ia mampu memenuhi kehendak dan keselesaan setiap pengunjung.

Terletak di Jalan Hang Tuah iaitu di tengah-tengah bandar raya Melaka, hotel yang dibuka pada tahun 1998 itu menawarkan 233 bilik dengan empat jenis penginapan.
Hotel ini terletak tidak jauh dari kawasan tumpuan pelancong di Banda Hilir yang menempatkan bangunan Stadhuys, Jonker Walk, Dataran Pahlawan, Menara Taming Sari, Muzium Kesultanan Melayu Melaka dan Muzium Kapal Samudera.

Peluang menginap di hotel setinggi 14 tingkat itu pasti berbaloi. Sebaik sahaja melangkah masuk ke lobi hotel, anda pasti berasa kagum melihat seni bina yang diilhamkan daripada sejarah kolonial. Kubah kaca yang mewah melengkapkan lagi ciri-ciri elegan pada hotel ini.
Lebih unik apabila ruang lobi dihiasi dengan beberapa tiang klasik Rome, menjadikan ruang di situ cukup mendamaikan. 

Selain itu, empat jenis bilik yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu superior, studio, premium studio dan suite cukup selesa dengan ruang yang besar.
Ruang bilik direka bentuk mengikut cita rasa terkini bagi memberi keselesaan kepada pengunjung hotel. 

Antara kemudahan yang disediakan di setiap bilik adalah televisyen satelit, pendingin hawa, mini bar, seterika, pengering rambut, peti simpanan barangan berharga, selipar, perkhidmatan servis 24 jam dan akhbar harian.

Bagi yang berminat untuk beriadah pula, kolam renang untuk dewasa dan kanak-kanak disediakan di tingkat enam, di samping gimnasium. Pakej melancong turut ditawarkan kepada tetamu hotel.

Untuk menjamu selera, Hotel Avillion Legacy menyediakan sebuah coffee house yang menyajikan menu tempatan dan barat untuk sarapan, makan tengah hari dan malam.
Coffee house ini dibuka dari pukul 7 pagi hingga 11 malam, manakala servis 24 jam bagi pengunjung yang ingin memesan makanan dari bilik.

Antara masakan yang disajikan adalah nasi goreng, char kway teow, mi goreng mamak, asam pedas Melaka, sambal udang, ayam panggang rosemary dan ayam goreng herba.Sementara itu, The Lounge dibuka dari pukul 5 petang hingga 1 pagi, setiap hari.

Hotel Avillion Legacy juga menawarkan pakej seminar, mesyuarat dan majlis perkahwinan dengan ruang bilik Pasific 1, II dan III di tingkat enam yang mampu menampung kehadiran 350 orang dalam satu-satu majlis.

Pengurus Besar Hotel Avillion Legacy, Loo Kee Nam berkata, pihaknya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila sering menganjurkan program amal untuk anak-anak yatim dan rumah orang tua di Melaka.

Menurutnya, program meraikan anak-anak yatim dan rumah orang tua sering diadakan pada setiap kali menjelang perayaan Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas sejak tujuh tahun lalu.

''Ini adalah antara program CSR yang kami anjurkan bersama masyarakat, selain pernah mengadakan kempen menderma darah dengan kerjasama Hospital Melaka," ujarnya.

Indahnya panorama Tasik Kenyir

Tunggul pohon balak yang tenggelam menambah keindahan Tasik Kenyir yang pasti memukau sesiapa jua ke sana.
TASIK Kenyir di Kuala Berang, Terengganu memang tidak asing lagi dan sering menjadi sebut-sebutan di bibir pelancong dalam dan luar negara.
Dengan keluasan 209,199 hektar, Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dan menjadi pintu masuk ke Taman Negara di Terengganu.
Di Tasik Kenyir, terdapat 340 buah pulau yang pada asalnya adalah tanah tinggi dan bukit bukau yang telah tenggelam dan membentuk pulau di sekitar tasik itu.
Dengan 14 air terjun serta jeram yang unik menjadikan Tasik Kenyir sebagai habitat kepada spesies ikan air tawar dan pelbagai hidupan liar eksotik yang lain.
Selain itu, antara destinasi yang popular ialah Lake Kenyir Resort, Taman Negara Terengganu (LKRTN), yang bertaraf empat bintang.
Baru-baru ini satu program sempena DRB-Hicom Familiarization and Outing Trip 2012 telah dianjurkan oleh Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), DRB-Hicom Bhd. dan Lake Kenyir Resort.
LKRTN bagaikan syurga bagi kaki pancing mempunyai suasana penginapan berasaskan alam semulajadi yang sangat menarik.
Keunikan LKRTN terletak pada seni binanya dengan bahan binaan daripada kayu cengal serta rekaan keseluruhan yang bercirikan budaya masyarakat Terengganu.
Terletak dalam kawasan seluas kira-kira 2.6 hektar, LKRTN menyediakan 148 buah calet yang selesa dan terdapat empat jenis bilik iaitu Superior, Deluxe, Executive dan Kenyir Suite, yang kebanyakannya mengadap tasik.
Turut dianjurkan ialah aktiviti treasure hunt di Pulau Herba, yang jarak perjalanan dari Pangkalan Gawi ke pulau seluas 15.84 hektar ini ialah tujuh kilometer, iaitu kira-kira 15 minit dengan menaiki bot laju.
Pulau Herba mempunyai kira-kira 26,000 pokok herba.
Peserta juga berpeluang berkunjung ke Air Terjun Lasir yang terletak 16 kilometer dari Pangkalan Gawi.
Air Terjun Lasir mempunyai ketinggian kira-kira 166 meter mengambil masa kira-kira 30 hingga 45 minit untuk sampai ke sana dengan menaiki bot laju.
Pelbagai kemudahan seperti tapak perkemahan, jambatan gantung dan laluan pejalan kaki disediakan di kawasan air terjun itu.
Bagi peminat fotografi, Air Terjun Lasir menjanjikan pelbagai landskap serta flora dan fauna yang indah untuk dirakam.
Pada hari ketiga menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Recycle Programme - Reduce, Reuse and Recycle' dengan sebanyak enam tong kitar semula disumbangkan oleh Alam Flora Sdn. Bhd. kepada LKRTN.
Pengurus Besar LKRTN, Ishak Yunus berkata tong berkenaan akan diletakkan di Jeti Pangkalan Gawi dan di sekitar LKRTN bagi meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan mengitar semula bahan buangan.
LKRTN akan menganjurkan aktiviti yang seumpama pada masa hadapan bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan melindungi alam sekitar, katanya kepada Bernama.
Ishak berharap program seumpama akan memberi kesan kepada orang ramai bahawa Tasik Kenyir Lake Resort adalah resort hijau. -BERNAMA.