Carian Maklumat di sini

Custom Search

Thursday, March 21, 2013

Kelong Abu tumpuan kaki pancing

ANTARA spesies ikan yang sering dipancing di sekitar kawasan kelong ini adalah jenahak, serekot, senangin, kurau, pari, tuka, gelama, talang dan serampai. 
 
AKTIVITI memancing kini menjadi riadah paling popular dalam kalangan penduduk di bandar raya Melaka terutama selepas detik 12 malam. Kemeriahan lebih terasa tatkala cuti hujung minggu dan cuti umum.
Masa terluang yang ada pastinya diisi dengan aktiviti tersebut memandangkan bandar raya Melaka terletak berhampiran laut.

Tidak hairanlah beberapa lokasi menjadi tumpuan ramai selepas pukul 12 malam, misalnya di jambatan Pulau Melaka, pantai Lereh, Dataran 1Malaysia di Klebang, Pulau Gadong, Kampung Hailam dan pantai Puteri.
Antara lokasi tersebut, Kelong Abu yang terletak berhampiran Jeti Nelayan Pantai Siring, Serkam menjadi tumpuan kaki pancing untuk bersantai melalui aktiviti memancing. 

Kelong yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar raya Melaka itu adalah lokasi paling popular dalam kalangan kaki pancing tegar atau mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti tersebut.Pengunjung yang datang ke kelong itu bukan sahaja daripada penduduk setempat atau sekitar Melaka, sebaliknya ada yang datang dari luar sempadan Melaka. Kedatangan mereka ke situ adalah untuk mengisi masa lapang, selain melayan minat memancing.

Untuk sampai ke kelong itu, kaki pancing perlu menaiki bot yang memakan masa tujuh minit perjalanan dari jeti nelayan pantai Siring.Bot yang biasa dinaiki dimiliki seorang anak jati tempatan, Amran Mat Zan, 32, atau lebih dikenali sebagai Abu.

Boleh dikatakan setiap cuti hujung minggu atau kelepasan am, kelong itu dipenuhi ramai kaki pancing sehinggakan pemiliknya terpaksa menolak banyak permintaan.Walaupun Kelong Abu tidak menyediakan kemudahan calet tetapi ia mampu menampung pengunjung antara 15 hingga 30 orang dalam satu-satu masa.
Terdapat dua kelong yang cukup selesa untuk memancing berbentuk rumah dan berlindung dari hujan atau panas matahari jika memancing pada waktu siang.Kelong itu turut menyediakan empat bilik untuk berehat selepas penat memancing selain beberapa kemudahan seperti tandas, dapur memasak, kerusi dan air untuk mandi serta minum.

Amran berkata, harga yang dikenakan amat murah iaitu RM30 seorang dengan waktu memancing tanpa had.
''Banyak tempahan yang saya terima adalah pada waktu malam dan mereka memancing sehingga awal pagi atau tengah hari keesokan harinya. Terpulang kepada masing-masing sama ada ingin memancing lama atau sekejap," katanya.

Ujarnya, spesies ikan yang sering dipancing di sekitar kawasan kelong itu adalah jenahak, serekot, senangin, kurau, pari, tuka, gelama, talang dan serampai.''Kadang-kadang ikut rezeki, ada yang memancing hanya dapat ikan gelama sahaja tetapi ada juga yang menaikkan ikan pari seberat 15 kilogram dan jenahak seberat 3.4 kilogram," ujarnya yang membina kelong itu pada 2009.

Sementara itu seorang pengunjung, Mohd. Hanafi Hasan, 32, berkata, dia datang ke kelong itu untuk memancing dan menghabiskan cuti hujung minggu.''Memancing cukup menenangkan dan saya suka menghabiskan masa di kelong-kelong yang terdapat di Melaka," katanya yang merupakan seorang kakitangan awam dari Masjid Tanah.Bagi Hishamuddin Kamaruddin, 34, dari Alor Gajah, katanya, dia suka mengisi masa lapang pada waktu cuti dengan memancing sama ada di pantai, kelong atau menaiki bot. 

''Aktiviti ini cukup menarik dan saya lebih selesa jika dapat memancing di kelong berbanding memancing dari dalam bot yang agak sempit," katanya.Khairin Abdullah, 31, dari Bukit Rambai pula berkata, memancing di kelong adalah satu aktiviti paling menarik untuk mengisi masa lapang.