KESEMPATAN cuti umum Tahun Baharu Cina baru-baru ini digunakan
penulis untuk berkunjung ke Hutan Lipur Sungai Tekala, Selangor. Laluan
ke sana dari ibu kota agak lengang kerana orang ramai pulang ke kampung.
Terletak hanya 13 kilometer dari pekan Semenyih, penulis menempuh
Jalan Semenyih-Hulu Langat untuk sampai ke hutan lipur itu. Lokasi yang
dekat dengan Kuala Lumpur menjadikan ia pilihan pengunjung kerana tidak
perlu memandu terlalu jauh dari ibu kota.
Sebaik sahaja sampai, penulis melihat hutan lipur ini menjadi tumpuan
pengunjung yang mahu beriadah dan berkelah bersama keluarga pada cuti
umum.
Setiap pengunjung yang masuk ke hutan lipur yang juga terletak di
dalam Hutan Simpan Sungai Lalang itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM1
bagi dewasa dan 50 sen bagi kanak-kanak.
Selesai urusan di pintu masuk, saya bersama empat lagi teman sepakat
untuk melalui denai hutan yang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk
sampai ke kawasan air terjun.
Kami menggunakan pondok yang ada di kawasan itu untuk meletakkan
barangan dan juga makanan sebelum terjun ke dalam air terjun yang dingin
dan menyegarkan.Terlupa seketika kesibukan kerja di pejabat tatkala air terjun yang
jatuh menimpa kepala dan badan, terasa seperti diurut tambahan pula
airnya yang sejuk dapat memberikan kesegaran semula jadi kepada kami.Hutan Lipur Sungai Tekala ini menjadi menjadi pilihan orang ramai
kerana kemudahan yang disediakan seperti pondok rehat, surau, calet,
denai hutan, tapak perkhemahan dan tandas yang diselenggara dengan baik.
Ketika perut mulai terasa lapar, kami semua naik ke pondok tadi untuk
makan tengah hari dalam keadaan menggigil kesejukan. Keadaan itu
membuatkan kami ketawa geli hati tatkala melihat gelagat kami yang makan
dalam kebasahan.Selesai makan, kami kembali ke sungai sebelum menukar pakaian untuk bersiar-siar di kawasan sekitar hutan simpan berkenaan.Di hutan lipur ini, pengunjung boleh melalui trek hutan sepanjang 2.6
kilometer dengan keadaan topografi antara 55 meter hingga 150 meter
dari aras permukaan laut yang mengambil masa kira-kira 90 minit untuk
membuat satu pusingan lengkap.
Setelah puas bersiar-siar dan bergambar di hutan jenis dipterokarp
pamah itu, kami meninggalkan hutan lipur ini dan sempat singgah di
sebuah restoran berdekatan sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Kawasan yang dikenali sebagai Taman Warisan Negeri Selangor itu akan
kami kunjungi lagi pada masa akan datang kerana dekat dengan ibu kota,
tambahan pula tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi. - AZRIN