APABILA berkunjung ke Melaka untuk melancong atau urusan kerja, anda tidak perlu risau tentang penginapan.
Ini kerana di sekitar bandar raya Melaka atau dikenali juga sebagai
Tapak Warisan Dunia UNESCO, terdapat banyak hotel dan resort bertaraf
satu hingga lima bintang.
Bergantung kepada kemampuan anda untuk menginap di hotel mana. Jika
inginkan penginapan yang cukup selesa, anda boleh memilih hotel bertaraf
lima atau enam bintang.
Jika mahu menginap di hotel yang selesa dan eksklusif pula, pilihan
Hotel Avillion Legacy adalah yang terbaik kerana ia mampu memenuhi
kehendak dan keselesaan setiap pengunjung.
Terletak di Jalan Hang Tuah iaitu di tengah-tengah bandar raya
Melaka, hotel yang dibuka pada tahun 1998 itu menawarkan 233 bilik
dengan empat jenis penginapan.
Hotel ini terletak tidak jauh dari kawasan tumpuan pelancong di Banda
Hilir yang menempatkan bangunan Stadhuys, Jonker Walk, Dataran
Pahlawan, Menara Taming Sari, Muzium Kesultanan Melayu Melaka dan Muzium
Kapal Samudera.
Peluang menginap di hotel setinggi 14 tingkat itu pasti berbaloi.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke lobi hotel, anda pasti berasa kagum
melihat seni bina yang diilhamkan daripada sejarah kolonial. Kubah kaca
yang mewah melengkapkan lagi ciri-ciri elegan pada hotel ini.
Lebih unik apabila ruang lobi dihiasi dengan beberapa tiang klasik Rome, menjadikan ruang di situ cukup mendamaikan.
Selain itu, empat jenis bilik yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu superior, studio, premium studio dan suite cukup selesa dengan ruang yang besar.
Ruang bilik direka bentuk mengikut cita rasa terkini bagi memberi keselesaan kepada pengunjung hotel.
Antara kemudahan yang disediakan di setiap bilik adalah televisyen
satelit, pendingin hawa, mini bar, seterika, pengering rambut, peti
simpanan barangan berharga, selipar, perkhidmatan servis 24 jam dan
akhbar harian.
Bagi yang berminat untuk beriadah pula, kolam renang untuk dewasa dan
kanak-kanak disediakan di tingkat enam, di samping gimnasium. Pakej
melancong turut ditawarkan kepada tetamu hotel.
Untuk menjamu selera, Hotel Avillion Legacy menyediakan sebuah coffee house yang menyajikan menu tempatan dan barat untuk sarapan, makan tengah hari dan malam.
Coffee house ini dibuka dari pukul 7 pagi hingga 11 malam, manakala
servis 24 jam bagi pengunjung yang ingin memesan makanan dari bilik.
Antara masakan yang disajikan adalah nasi goreng, char kway teow, mi
goreng mamak, asam pedas Melaka, sambal udang, ayam panggang rosemary
dan ayam goreng herba.Sementara itu, The Lounge dibuka dari pukul 5 petang hingga 1 pagi, setiap hari.
Hotel Avillion Legacy juga menawarkan pakej seminar, mesyuarat dan
majlis perkahwinan dengan ruang bilik Pasific 1, II dan III di tingkat
enam yang mampu menampung kehadiran 350 orang dalam satu-satu majlis.
Pengurus Besar Hotel Avillion Legacy, Loo Kee Nam berkata, pihaknya
tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila
sering menganjurkan program amal untuk anak-anak yatim dan rumah orang
tua di Melaka.
Menurutnya, program meraikan anak-anak yatim dan rumah orang tua
sering diadakan pada setiap kali menjelang perayaan Hari Raya Aidil
Fitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas sejak tujuh tahun lalu.
''Ini adalah antara program CSR yang kami anjurkan bersama
masyarakat, selain pernah mengadakan kempen menderma darah dengan
kerjasama Hospital Melaka," ujarnya.