KUANTAN 3 April - Sungai Lembing di sini
sememangnya kaya dengan keunikan alam semula jadinya seperti Bukit
Panorama, Air Terjun Pelangi dan Muzium Sungai Lembing.
Maka tidak hairanlah sekiranya destinasi itu bakal menjadi daya
tarikan pelancong tempatan dan luar negara sejak zaman perlombongan
bijih timah lagi.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, Sungai Lembing disasarkan bakal menjadi kawasan hab pelancongan dalam tempoh lima tahun lagi.
Tambahnya, bagaimanapun prasarana di Sungai Lembing perlu melalui
proses menaik taraf, seperti menaik taraf jalan bandar Sungai Lembing ke
Air Terjun Pelangi dan kolam air panas supaya hasrat itu tercapai.
"Untuk ke Air Terjun Pelangi, pelancong perlu menaiki pacuan empat
roda sejauh tujuh kilometer dari bandar Sungai Lembing. Kita mahu jalan
tanah merah itu dinaik taraf kepada jalan berbatu supaya pacuan empat
roda (4WD) yang lalu di kawasan itu tidak berdebu.
"Kita mahu kekalkan laluan itu kerana pelancong lebih berminat untuk
menaiki 4WD pacuan empat roda untuk ke Air Terjun Pelangi," ujarnya.
Kata beliau, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) diminta membuat kajian
sebelum mengemukakan peruntukan tertentu kepada Kerajaan Persekutuan
supaya matlamat Sungai Lembing untuk dijadikan bandar pelancongan
tercapai.
"Selain itu kita juga mahu menaik taraf kolam air panas yang telah
rosak untuk meningkatkan lagi jumlah pelancong ke sini kerana selama ini
mereka akan berkunjung ke Perak dan Selangor untuk ke kolam air panas.
"Para belia di kawasan sekitar perlu mengambil peluang perniagaan
seperti membuka gerai cenderamata bagi menambahkan pendapatan mereka,"
katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohammed Shah berkata, kawasan ini berpotensi untuk dimajukan di dalam bidang pelancongan.
"Kehadiran para pelancong semakin bertambah, jadi kita berharap agar peruntukan tersebut dapat diluluskan," katanya.
Beliau memberitahu, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak
RM100 juta bagi pembinaan laluan antara Jalan Sungai Lembing ke
Jerantut.
Bagaimanapun, katanya, bagi membina jalan sejauh 129 kilometer itu,
tambahan kos sebanyak RM100 juta lagi diperlukan supaya projek berkenaan
berjalan lancar.
''Pembinaan jalan ini merupakan salah satu projek tambahan untuk kemudahan rakyat berulang-alik dari Kuantan ke Jerantut.
"Sebelum ini, penduduk Kuantan terpaksa mengambil masa empat jam
untuk ke Jerantut dan dengan laluan terbaharu ini akan memendekkan
tempoh perjalanan kira-kira dua jam," jelasnya.
Menurutnya, pembangunan lain yang turut dibangunkan di situ adalah
pembinaan tiga jambatan bailey yang kini hampir siap sepenuhnya.
Katanya, pembinaan itu memudahkan penduduk di tiga kampung di
seberang Sungai Klau berulang alik ke Pekan Sungai Lembing dengan
selamat.
"Sebelum ini, mereka menghadapi masalah untuk ke pekan terbabit
terutama pada musim banjir kerana jambatan sedia ada dinaiki air.
"Pembinaan jambatan bailey ini membawa banyak manfaat kepada mereka
kerana segala urusan dapat dilakukan dengan lancar," ujarnya.
Katanya, limpahan pembangunan yang dilaksanakan di Sungai Lembing
membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi perhatian
kepada masyarakat di situ.
Tambahnya, perubahan yang dilakukan meliputi aspek sosial dan ekonomi
sekali gus membawa perubahan kehidupan masyarakat setempat.
"Kerajaan BN tidak mengabaikan kehidupan rakyat di sini dan tumpuan
diberikan supaya mereka turut merasai nikmat pembangunan," katanya.
Jelasnya, jika sebelum ini Sungai Lembing sunyi dengan kehadiran pengunjung, kini suasana dan keadaannya semakin berubah.
"Rakyat perlu menilai kemajuan dan pencapaian BN di kawasan ini dan
sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, akan terdapat
pelbagai projek lagi untuk dibangunkan," katanya.
Apa yang dinyatakan Md. Sohaimi itu hakikatnya diakui pelajar Diploma
Pengurusan Pelancongan Politeknik Muadzam Shah (PMS) yang sempat
menyertai Program Transformasi 1Siswa 1Komuniti ke Sungai Lembing
baru-baru ini.
Menurut Pengarah PMS, Norlida Abd. Razak, program tersebut
bertujuan memenuhi keperluan sesi pengajaran dan pembelajaran penuntut
memandangkan kawasan itu merupakan bandar warisan yang memenuhi
ciri-ciri pelancongan.
"Sungai Lembing memang unik. Program dua hari ini memberi peluang
peserta mengunjungi Bukit Panorama untuk melihat matahari terbit selain
mengunjungi terowong lombong bijih timah.
"Mereka turut dibawa melawat ke kawasan rekreasi dan Pasir Kubur yang
juga merupakan tempat pelancongan," katanya sambil mengatakan keyakinan
usaha kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan Sungai Lembing
pasti memberi kebaikan menyeluruh.