MARANG 27 Mac - Hadiah yang ditawarkan cuma
RM2,000 dengan gelaran sebagai juara namun itu bukanlah faktor utama
yang menarik Benjamin Konscak terbang sekali lagi dari Jerman dan
menghabiskan beberapa hari di sini.
Pulau yang cantik dengan hamparan pantai yang memutih, jarak yang
dekat dengan tanah besar, dipisahkan oleh laut tenang, memenuhi
obsesinya untuk berenang dan Kejohanan Swimathon Antarabangsa
Kapas-Marang menjadi medan yang sentiasa dinantikan.
Konscak turut menganggap penyertaan tahun ini begitu membanggakan
kerana berjaya mencipta rekod baharu kejohanan yang dicipta pada tahun
lalu.
"Saya tertarik dengan penganjuran pertandingan renang bebas ini,
apatah lagi keadaan laut dan pantainya yang cantik. Saya akan kembali
tahun depan dan berazam untuk terus mencipta rekod baharu," ujarnya
selepas berakhir kejohanan itu.
Konscak bersama perenang jarak jauh negara, Heidi Gan, 25,
masing-masing dinobatkan juara keseluruhan kategori Lelaki dan Wanita
Kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang 2013 di sini sini
baru-baru ini.
Berasal dari Frankfurt, dia berjaya menamatkan saingan sejauh 6.5
kilometer dengan catatan masa 1 jam 25 minit 29 saat sekali gus mencipta
rekod baharu mengatasi catatan rekod lamanya 1 jam 28 minit 6 saat
dalam kejohanan sama tahun lalu.
Heidi pula berjaya mencatat masa 1 jam 25 minit 43 saat setelah
menewaskan juara tahun lalu, Chelsea Chong Xuet Yi yang meraih tempat
kedua dengan catatan 1 jam 46 minit 25 saat disusuli Irene Chong
(ketiga) dengan 1 jam 48 minit 15 saat.
Kedua-duanya juga merupakan perenang negara.
Heidi pula menganggap penyertaannya kali pertama dalam kejohanan ini
sebagai latihan dan stamina bagi menghadapi kejohanan lebih besar.
"Saya cukup teruja kejohanan ini apatah lagi keadaan lautnya agak
tenang, walaupun keadaan cuaca agak panas," ujar perenang yang kini
sedang menjalani latihan di Australia.
Tempat kedua bagi kategori lelaki dimenangi perenang Hong Kong, Jason
Hsieh dengan masa 1 jam 37 minit 52 saat manakala Clement David
(Malaysia) pula di tempat ketiga dengan 1 jam 40 minit satu saat.
Juara keseluruhan kategori lelaki dan wanita masing-masing menerima
hadiah wang tunai RM2,000 diikuti naib juara (RM1,500) dan ketiga
(RM1,000).
Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan,
Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said di Pantai
Kelulut.
Dalam kejohanan kali ke-14 ini, perenang negara terus membuktikan
keunggulan masing-masing apabila sebahagian kategori dipertandingkan
berjaya didominasi peserta terbabit.
Selain Heidi yang juga dinobatkan juara kategori Wanita 20 Tahun dan
Chelsea juara Remaja Wanita, seorang lagi perenang negara, Beh Wei Doong
berjaya mengungguli kategori Remaja Lelaki dengan masa 1 jam 43 minit
34 saat.
Tempat kedua wanita 20 tahun dimenangi Irene Chang (Malaysia) dengan
masa 1 jam 48 minit 15 saat dan tempat ketiga Sherrylnn Tan (Singapura)
dengan masa 2 jam 61 saat.
Bagi kategori Remaja Wanita, dua lagi perenang negara, Rachel Haah
yang mencatat masa 1 jam 48 minit 36 saat dan Lynn Wang dengan masa 1
jam 53 minit 55 saat masing-masing berjaya meraih tempat kedua dan
ketiga.
Tempat kedua bagi kategori remaja lelaki pula dimenangi Mohd. Zaim
Teh Mohd. Said (Malaysia) dengan masa 1 jam 43 minit 22 saat dan Yeong
Yik San (Malaysia) di tempat ketiga dengan masa 1 jam 47 minit 58 saat.
Bagi kategori lelaki 35 tahun, perenang Austria, Mantred Mahzle
Mahzle muncul juara dengan masa 1 jam 45 minit 32 saat, mengatasi
Tsuyoshi Sawada dari Jepun yang meraih tempat kedua dengan masa 1 jam 49
minit 36 saat dan Yoh Yee Ming (Malaysia) di tempat ketiga dengan masa 1
jam 52 minit 58 saat.
Perenang Hong Kong, Tao Chec Hoo pula menjuarai kategori lelaki 50
tahun dengan masa 2 jam 13 minit 23 saat, Eduard Nowak (Jerman) di
tempat kedua dengan masa 2 jam 14 minit 18 saat dan Han Ah Wah
(Malaysia) ketiga dengan masa 2 jam 16 minit 49 saat.
Sebanyak 427 peserta mewakili 22 buah negara menyertai kejohanan yang
diadakan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan menawarkan
hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM43,000.
Selain memenuhi kalendar sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT)
2013, sambutan yang kian meluas dalam kalangan peserta antarabangsa
mendorong kerajaan negeri bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan
bagi menjadikan kejohanan itu sebagai acara dalam kalendar Tahun Melawat
Malaysia (TMM) 2014.
Menurut Abdul Rahin, melalui kerjasama itu kejohanan dapat dianjurkan
dalam kala lebih besar dengan hadiah lebih lumayan sekali gus akan
turut meningkatkan prestijnya.