Seramai 20 penuntut dan 15 kakitangan UMK diketuai Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Strategiknya, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Mohamed telah berkampung selama empat hari dari 21 hingga 24 Mac lalu di pulau yang dinobatkan antara 10 tercantik di dunia itu.
Program yang merupakan aktiviti tahunan SMK Dato' Ahmad Maher itu bertujuan memupuk kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dan turut mendapat sokongan Jabatan Pelajaran Kelantan, Jabatan Taman Laut, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Nik Maheran, pihaknya tertarik dengan pendekatan yang dijalankan oleh SMK Dato' Ahmad Maher dalam usaha memupuk kesedaran tentang pemuliharaan hidupan laut di peringkat sekolah lagi.
Beliau berkata, pihak universiti amat mengalu-alukan sebarang usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai dan seterusnya memberi mesej kepada masyarakat bahawa pemuliharaan hidupan laut serta alam sekitar adalah tanggungjawab semua pihak.
"Sebagai sokongan, pihak kami telah menghantar peserta untuk bersama para pelajar sekolah SMK Dato' Ahmad Maher menjalankan pelbagai program penghayatan hidupan marin di pusat peranginan taman laut itu termasuklah melakukan aktiviti pembersihan pantainya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Pengetua SMK Dato' Ahmad Maher, Che Ragayah Muhammad berkata, program penghayatan taman laut merupakan program tahunan bagi warga sekolah beroleh peluang menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman tentang kepentingan serta pemuliharaan alam sekitar.
Katanya, pendedahan awal tentang biodiversiti alam marin perlu dipupuk di bangku sekolah kerana kesedaran golongan muda amat berkesan dalam menjaga alam sekitar dan hasil laut agar tidak terjejas pada masa akan datang.
"Pendekatan sekolah menganjurkan program ini bukan sahaja untuk penjagaan alam sekitar tetapi membina keyakinan diri para pelajar terutamanya membabitkan aktiviti atau pergerakan yang melibatkan air," katanya.
Sementara itu, siswa Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Mohd. Faeze Kamarulzaman, 22, berkata, program itu wajar diteruskan dan turut dijadikan program tahunan universiti kerana merupakan salah satu tanggungjawab sosial demi menyebarkan kepentingan ekosistem kepada umum.
"Saya begitu kagum dengan pengalaman pertama terutamanya melakukan water confident di bawah bimbingan jurulatih profesional yang memberi tunjuk ajar untuk membina keyakinan diri serta persediaan bagi aktiviti snorkeling dan selam skuba.
"Tidak ketinggalan ialah lawatan ke Telaga Air Berani kerana airnya yang tawar tidak pernah kering walaupun pada musim cuaca panas," katanya.