Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, August 21, 2013

Manor Beach Resort sukar dilupai


TENAGA pengurusan resort bergambar di hadapan dewan utama Manor Beach Resort.

MANOR adalah gabungan nama pasangan suami isteri. Ia bagaikan simbol ikatan kasih pemiliknya yang merupakan bekas pegawai pengurusan di sebuah firma kejuruteraan, manakala isterinya pula pernah bertugas sebagai pegawai tinggi di sebuah syarikat petroleum.
Hasil gabungan nama mereka, lahirlah sebuah resort yang dibangunkan dengan cerminan kecintaan terhadap ketinggian seni bina Melayu.
Manor Beach Resort terletak dalam kawasan seluas 1.2 hektar, kira-kira 50 meter di pinggir pantai di Tanjong Demong Besut, Terengganu.
Ia sebuah resort yang dianggap unik dan eksklusif. Mula beroperasi pada April tahun lalu dengan siapnya fasa pertama pembangunannya, resort itu kini semakin dikenali ramai.
Menawarkan sebanyak 20 bilik penginapan dalam calet lapan unit berkembar, pastinya pengalaman menginap di sini menjadi sesuatu yang sukar untuk dilupakan.
Reka bentuk dan seni bina rumah Melayu Terengganu dan Melaka yang diadun di bumbung, tingkap dan tangga menyerlahkan ciri-ciri rumah tradisional Melayu.
Lebih menarik, setiap calet didirikan dengan menggunakan tiang seri berkayu cengal, berbumbung limas, beratap senggora, berdaun tingkap, selain memiliki anak tangga dan beranda.
Manakala dekorasi di dalamnya pula dilengkapi dengan peralatan moden dan hiasan kayu, di samping bilik mandi separuh terbuka.
Keluasan dalaman yang cukup selesa dan menyenangkan bagi mereka yang berdua atau datang bersama keluarga membuatkan percutian dalam tempoh yang lama di sini berbaloi. Ini kerana pengunjung akan ditemani dengan suasana sunyi alam yang mendamaikan jiwa.
Apatah lagi tatkala melihat ragam kehidupan masyarakat tempatan di sekitar pekan kecil ini, kegiatan nelayan dan latar desa atau menjengah pulau-pulau berhampiran membuatkan percutian di resort ini begitu mengujakan.
Di lokasi setempat dalam persekitaran taman yang melingkari kawasannya, percutian di resort ini juga tidak menghampakan kerana ia turut menawarkan pemandangan pantai dan laut yang indah serta bot dan perahu nelayan.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti snorkeling, berkayak, menyelam, memancing, mencandat sotong atau melawat ladang rusa pemilik resort.
Lokasinya yang cuma 15 minit memandu ke jeti Kuala Besut untuk menaiki bot dengan jarak perjalanan 20 minit ke Pulau Rhu dan satu jam ke Pulau Perhentian melengkapkan percutian pengunjung yang menggemari keindahan alam laut yang kaya dengan kepelbagaian kehidupan di dasarnya.
Pengurus resort tersebut, Shazlan Ismail berkata, tetamu juga berpeluang melihat bengkel seni ukiran kayu oleh pengukir tersohor atau mengunjungi rumah berbentuk istana Melayu lama atau menjengah pembuat peralatan bunyian muzik tradisional seperti gong, gendang dan rebab.
‘‘Di dalam kawasan resort ini, kami sediakan wakaf termasuk yang didirikan di atas kolam ikan bagi membolehkan pengunjung bersantai sambil menikmati juadah.
“Pengunjung juga boleh menikmati sarapan di ruang terbuka, di samping disediakan kemudahan makan malam barbeku," katanya kepada S2.
Menurutnya, pihaknya juga menyediakan sebuah dewan yang sederhana keluasannya dan sesuai untuk meraikan majlis perkahwinan atau program-program korporat, selain majlis-majlis sosial seperti sambutan hari keluarga dan perkhemahan.
Katanya, resort ini mempunyai kelompok sasaran penggemar tersendiri dan banyak tempahan diterima daripada pelancong asing terutama dari Eropah apabila berlaku peralihan musim.
‘‘Mereka tertarik dengan apa yang kami persembahkan, reka bentuk calet dengan landskap buatan, kolam renang ala French Pool, pantai yang bersih dan panorama lautan berhampiran Pulau Rhu, Pulau Perhentian, Pulau Kecil, Pulau Besar, Pulau Suji dan juga Pulau Rama’' ujarnya.
Menurutnya, Manor Beach Resort boleh dianggap sebagai sebuah resort butik yang menampilkan calet alam Melayu dan harga bilik yang ditawarkan juga amat berpatutan.
‘‘Bagi pembangunan fasa seterusnya, pihak kami sedang dalam proses menyediakan sebuah gimnasium, spa dan suite bulan madu," ujarnya.

Berbuka di tengah rimba


NASI AMBENG


MENIKMATI juadah berbuka puasa di restoran D'River, Riverstone Eco Resort yang dikelilingi kehijauan hutan memang mendamaikan.

RAMADAN muncul lagi. Seperti tahun-tahun lalu, terdapat banyak kafe, restoran mahupun hotel menyajikan hidangan bufet Ramadan.
Setiap tempat menjamu selera tersebut memiliki tarikan dan keistimewaan tersendiri bagi menggamit kedatangan orang ramai untuk berbuka puasa.
Begitulah juga Riverstone Eco Resort (Riverstone) yang terletak di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. Sejak sembilan tahun lalu, restoran D'River di resort tersebut mengadakan bufet Ramadan.
Apa yang menarik tentang resort ini adalah ia dikelilingi hutan dan terletak di tepi sungai yang mengalir jernih. Kedamaian alam itu membuatkan majlis berbuka puasa di resort tersebut amat menenangkan.
"Kalau nak merasa berbuka puasa di tengah rimba, singgahlah ke Riverstone," kata Pengarah Urusannya, Mohd. Ashari Sidik kepada S2.
Terkenal dengan sajian Nasi Ambeng yang enak, D'River pasti tidak menghampakan penggemar hidangan tradisional masyarakat Jawa itu.
Penulis akui tidak pernah menjamah Nasi Ambeng yang sebegitu sedap, baik yang pernah dinikmati di kampung masyarakat Jawa mahupun yang dibeli di pasar Ramadan.
Mohd Ashari berkongsi rahsia, katanya, pihaknya hanya menggunakan bahan segar untuk menyediakan menu bufet Ramadan di restoran tersebut.
Faktor itu membuatkan setiap masakan yang disediakan sendiri oleh isterinya, Hamidah Asararuddin dijamin memiliki kualiti yang tinggi.
"Dari segi ramuan, rempah-ratus dan lain-lain, kesemuanya kami pilih yang terbaik untuk menjamin mutu masakan," katanya.
Set Nasi Ambeng itu terdiri daripada nasi putih, ayam semur, sambal goreng, mee goreng, serunding, sayur kacang dan ikan masin.
Justeru, bagi yang belum mengenali Nasi Ambeng, inilah masa paling sesuai untuk 'berkenalan' dengannya. Bak kata pepatah, 'tak kenal maka tak cinta', maka kenalah rasa sendiri keenakan nasi tersebut.
Selain dihidangkan di restoran D'River, Nasi Ambeng itu juga boleh didapati di Lot 48, Bazar Ramadan Desa Rejang, Setapak Jaya.
Mengenai menu lain, Mohd Ashari berkata, hidangan istimewa lain yang tidak kurang hebatnya dan sentiasa mendapat sambutan pelanggan adalah patin tempoyak.
Mungkin ada yang tidak menggemari bau ikan patin yang dikatakan hanyir, sekali gus menolak hidangan tersebut.
Ia mungkin berlaku di tempat lain, tetapi tidak di Riverstone kerana ikan patin yang disajikan di sini tidak berbau hanyir.
Ini kerana cara membersihkan ikan tersebut yang dipraktikkan di dapur D'River amat berkesan bagi menghilangkan bau hanyir.
"Ada cara yang digunakan untuk membersihkan ikan patin. Selain itu, kami hanya gunakan tempoyak baru yang dibuat sendiri," ujarnya.
Sementara itu, ayam panggang Riverstone dan soto turut menjadi penyeri bufet Ramadan pada tahun ini. Masih mengekalkan konsep masakan Jawa, bufet itu juga menghidangkan pecel Mbah Wedok dan tempe goreng bawang putih.
"Ada menu baru diperkenalkan tahun ini iaitu asam pedas dan tidak ketinggalan kerabu kacang botor.
"Untuk yang ingin terus menikmati keindahan malam di persekitaran resort yang tenang, hidangan ringan seperti sagu gula Melaka, bubur kacang hijau, pengat pisang dan teh tarik serta kuih-muih akan menemani anda," tambahnya.
Bufet Ramadan pada tahun ini menyajikan sejumlah 45 jenis makanan untuk anda nikmati sambil menghayati keindahan malam dalam suasana hutan yang mendamaikan.
Kemudahan surau ada disediakan sama ada untuk Maghrib ataupun tarawih.
Bufet Ramadan Riverstone bermula pada 13 Julai (Sabtu) lalu sehingga 4 Ogos (Ahad) 2013. Masih mengekalkan harga lama RM40 bersih untuk dewasa dan RM22 bersih untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.
Untuk sebarang tempahan, hubungi talian 03-92004181/03-9287267 atau 013-2080833.

Wednesday, August 14, 2013

Ikan bakar Tasik Raban

Oleh Suliati Asri
Semangkuk mihun sup yang menjadi santapan pagi itu mengenyangkan hanya untuk seketika. Mana tidaknya, jam baru me­nunjukkan 12 tengah hari tetapi perut sudah berkeroncong.
Justeru, sampai saja di Restoran Tasik Raban, hidangan masakan kampung dengan ulam-ulaman, gulai tempoyak, ikan pekasam dan air suam menjadi santapan tengah hari itu.

Ketika asyik menyuap nasi, kami dihidangkan ikan bakar yang masih panas. Dengan sambal ikannya atau bumbum menambahkan lagi keenakan ikan bakar itu.

Melihat kepada bilangan pengunjung yang ramai, tidak syak lagi hida­ngan ikan bakar di Restoran Tasik Raban itu antara menu popular.
FotoAZMAN mencurah bumbum yang menjadikan ikan bakar Restoran Tasik Raban sungguh enak.


Diasaskan Jamaliah Desa atau Mak Teh bersama suami, perniagaan ikan bakar ini sudah berusia 20 tahun. Bagaimanapun, di Restoran Tasik Raban itu sendiri hanya baru 10 tahun.

Menurut anak Mak Teh, Azwan Hazimi, 23, yang kini menguruskan perniagaan di restoran itu, ikan bakar air tawar adalah hidangan utama di restoran itu.

“Di sini, kami hanya menawarkan ikan bakar air tawar seperti ikan tilapia, tenggalan, kelabo, kerai, kaloi, sebarau yang sememangnya ikan air tawar Sungai Perak.

“Selain ikan bakar air tawar ini, makanan kampung juga adalah menu yang sering disajikan,” katanya.

Berkenaan bekalan ikan air tawar pula, menurut Azwan, kebanyakan ikan yang dihidangkan diternak di dalam Su­ngai Perak manakala ikan air tawar liar pula dibekalkan oleh nelayan sekitar Tasik Raban.

Restoran yang kini mempunyai dua cawangan iaitu di Stadium Ipoh dan Pengkalan 18, Ipoh boleh menghidangkan lebih kurang 100 hingga 150 ekor ikan ketika musim cuti termasuk Sabtu dan Ahad.

Untuk hari biasa pula anggaran ikan bakar yang habis dijual lingkungan 70 hingga 100 ekor ikan dan harganya bergantung kepada saiz ikan.

Menceritakan keistimewaan ikan bakar Restoran Tasik Raban yang sudah bertahan lebih 20 tahun ini, kata Azman, selain hidangan ikan air tawar, sambal ikannya atau bumbum yang dibuat sendiri oleh Mak Teh menjadikan ia istimewa dan lain daripada yang lain.

“Memang banyak restoran yang menghidangkan ikan bakar tetapi di sini yang membezakannya ialah ikan yang digunakan adalah segar dari Sungai Perak.

“Bumbum ikan yang menggunakan resipi istimewa Mak Teh juga menjadikan ia hidangan istimewa,” katanya.

Selain itu, bumbum yang dicurah ke atas ikan yang masih panas juga menjadikan bumbum itu sebati dengan ikan bakar, sekali gus memberikan rasa yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Restoran yang mengetengahkan konsep layan diri ini dibuka dari jam 11.30 pagi hingga 4.30 petang.

Bagi yang datang bersama kumpulan pula digalakkan memaklumkan kepada pihak restoran supaya mereka boleh me­nyediakan semua hida­ngan dengan cepat. Jadi, sampai saja di restoran itu, pengunjung terus boleh menjamu selera.

Justeru, tatkala berkunjung ke sekitar Lenggong atau melewati Restoran Tasik Raban ini, jangan lepaskan peluang untuk menikmati sendiri keenakan hidangan ikan bakar air tawar yang cukup sedap.
Sumber:Harian Metro

Tip melancong: Rancang perbelanjaan

Oleh Suliati Asri
Merehatkan diri dan minda serta lari daripada kesibukan kota antara tujuan utama bercuti selain ingin berseronok bersama rakan, keluarga atau anak-anak.
Sebelum pergi bercuti, perancangan teliti sememangnya sudah dibuat. Wang belanja sepanjang bercuti dan untuk membeli-belah juga sudah tersedia. Hanya tinggal berbelanja saja.

Membawa wang yang banyak saat bercuti terutama di tempat yang dikenali sebagai ‘syurga membeli-belah’ sememangnya cukup mengujakan.

Keseronokan yang dirasai juga bagaikan tidak tergambar dengan kata-kata. Maklumlah segala apa yang dihajati dapat dimiliki.
FotoTABUNG khas ringankan perbelanjaan ketika melancong.

Namun selepas balik bercuti, fikiran yang tenang kembali kusut dek masalah kewangan selama bercuti. Situasi seperti ini sememangnya sering berlaku dan ia boleh dielakkan.

Bagaimana caranya? Berikut beberapa tip bagaimana anda boleh bercuti dengan tenang tanpa dibelenggu masalah kewangan.


Menabung

Sebelum merancang untuk bercuti, ada baiknya anda menabung dengan mengasingkan duit ke dalam tabung khas. Secara tidak langsung, anda yang memang merancang untuk berbelanja besar ketika melancong sudah mempunyai peruntukan untuk agenda itu.


Perancangan teliti

Tentukan dengan betul negara, bandar atau tempat peranginan yang sesuai sepanjang tempoh percutian anda.

Buatlah pendaftaran di tempat yang akan anda kunjungi. Untuk menjimatkan tenaga, perbelanjaan dan masa, rancang mengunjungi lokasi menarik berhampiran dalam sehari.

Melalui perancangan itu, anda boleh mengetahui jenis pengangkutan ke lokasi pilihan dan bayaran dikenakan.


Pakej promosi

Jika memilih untuk bercuti di luar negara, pilihlah negara yang sedang mengadakan promosi atau diskaun di samping harga istimewa yang ditawarkan ejen pelancongan.

Menjelang musim sejuk, negara di Eropah giat mengadakan promosi. Justeru, itulah masa yang sesuai untuk anda yang gemar berbelanja.


Belanja harian

Selama bercuti, buat bajet harian termasuk kos penginapan, makan, kenderaan di tempat yang dituju dan oleh-oleh yang akan dibeli untuk diri sendiri, keluarga atau rakan.


Apabila bersama si kecil

Periksa terlebih dulu apakah tempat yang akan dikunjungi menyediakan makanan atau kelengkapan si kecil. Jika ada, elak membawa makanan berlebihan kerana ia akan memberatkan beg.


Naik teksi

Apabila bercuti beramai-ramai, menaiki teksi lebih murah berbanding bas atau kereta. Justeru, bajet untuk pengangkutan dapat dijimatkan.


Manfaatkan sarapan

Manfaatkan sarapan secara percuma di hotel dan makanlah sampai kenyang terutama ketika bercuti di Eropah. Ini kerana harga makanan di sana mahal.


Oleh-oleh murah dan seperlunya

Bagi penjimatan, cari maklumat lokasi yang menawarkan barangan murah selain di pusat beli-belah. Elakkan membeli oleh-oleh dalam jumlah berlebihan.

Mencatatkan semua nama ahli keluarga atau rakan dan barangan yang akan dibeli dapat membantu anda supaya tidak membeli oleh-oleh yang berlebihan.


Sediakan duit kecemasan

Simpan 20 peratus daripada perbelanjaan bercuti untuk perkara kecemasan. Contohnya, bayaran kepada lebihan berat bagasi, membeli oleh-oleh dengan jumlah atau harga yang lebih mahal daripada anggaran.


Tunai lebih baik
Walau apa pun, cuba gunakan wang tunai untuk membayar perbelanjaan terutama apabila bercuti di luar negara. Anda akan dikenakan caj perkhidmatan atau bunga yang tinggi jika menggunakan kad kredit.
Sumber:harian metro

Pulau Lombok: Pengalaman indah

Oleh Suliati Asri
DUDUK bersantai di anjung bilik hotel menghadap laut yang membiru sambil menikmati kesegaran air kelapa muda dan ­ditemani novel kegemaran memang mengasyikkan.
Kanak-kanak riang berkejaran di tepian pantai dan sekumpulan orang muda sabar menanti ombak untuk meluncur menceriakan hati yang gundah-gulana.

Pemandangan indah lautan yang luas terbentang memberikan gambar yang cukup sempurna.

Mahukan pengalaman yang cukup bermakna dan menakjubkan ini?
FotoPULAU Lombok adik kepada Bali menjanjikan keunikan tersendiri.

Percutian santai, seronok, lebih relaks bersama rakan-rakan dan insan tersayang di Lombok, ­Indonesia menjadikan percutian anda pengalaman terindah yang tidak akan dilupakan.

Dianggap adik kepada Bali, Lombok pulau yang cukup cantik dan penuh dengan keseronokan.

Agama Islam sebagai agama utama dan Buddha sebagai agama minoriti, percutian anda di pulau yang indah ini akan lebih mudah.

Lombok mempunyai pelbagai tarikan pelancongan antaranya meluncur di Tanjung A’an atau melawat Kampung Budaya Sasak untuk melihat rumah tradisional, kain tenunan, cenderamata dan perarakan perkahwinan.

Pusat tenunan dan tembikar tempatan memberi peluang pengunjung melihat atau membeli hasil kraftangan penduduk tempatan.

Mutiara antara barangan yang menjadi tumpuan pelancong.

Taman Narmada terletaknya mata air yang dikatakan boleh diminum. Satu replika Gunung Rinjani juga terdapat di Taman Narmada.

Kehidupan malam yang meriah dan spa santai sepanjang Pantai Senggigi pasti menceriakan malam anda di pulau ini.

Jangan lepaskan peluang menikmati makanan tempatan iaitu ayam taliwang yang rasanya sedikit pedas tetapi enak.

Antara pulau yang menjadi tumpuan di sini ialah Gili Trawangan, Gili Meno serta Gili Air yang menjanjikan keseronokan dengan pelbagai aktiviti seperti sukan air meluncur dan bersantai di tepi pantai.

Penginapan tiada masalah kerana banyak chalet, resort, hotel dan spa untuk pelancong.

Kehidupan tepi pantai di Gili Trawangan cukup menakjubkan dan kehidupan malam boleh dirasai di sini.

Tiada kenderaan bermotor di kawasan pulau dan hanya kereta kuda yang dipanggil Cidomo sebagai pengangkutan.

Aktiviti membeli-belah boleh dilakukan di tepi pantai di Trawangan.

Kehidupan yang tenang, masyarakatnya yang mesra, panorama indah, suasana yang menyeronokkan, menjadikan Lombok destinasi pilihan pelancong.
Sumber:Harian Metro

Satay Tulang Jelebu: Resipi warisan

Oleh Suliati Asri
Apabila sebut ‘sate tulang’, pasti ramai tidak dapat memba­yangkan rupa sate yang dimaksudkan termasuklah penulis sendiri.
“Macam mana nak makan tulang?” detik hati penulis.

Minda mula ligat membayangkan bagaimanakah rupa dan rasanya sate tulang, salah satu makanan yang diketengahkan Tourism Malaysia Negeri Sembilan menerusi program Negeri Sembilan Food Trail 2013.

Menjadi lokasi terakhir dikunjungi pada hari pertama program, akhirnya apa yang bermain di minda terjawab dengan perasaan kagum atas ke­unikan Satay Tulang Jelebu.
FotoABU Mansor mewarisi resipi Satay Tulang Jelebu.

Diusahakan oleh Abu Mansor Abu Sammah, 42, Satay Tulang Jelebu ini adalah perniagaan turun-temurun yang sudah berusia lebih 60 tahun.

Dicipta oleh datuknya sewaktu sebelum merdeka dan pada waktu itu penjualan sate masih meng­gunakan kandar, hidangan ini sememangnya sangat unik.

Diambil namanya sempena nama produk sate tulang dan tempat asal ia wujud iaitu di Jelebu, sate tulang ini bukanlah tulang semata-mata seperti yang pastinya digambarkan ramai saat mendengar namanya.

Satay Tulang Jelebu diperbuat daripada lebihan ayam yang digunakan untuk membuat sate ayam.

Selepas isi ayam diambil untuk dijadikan sate, lebihan daging ayam yang terletak di tulang itu yang digunakan dan dicucuk dengan lidi, dibakar dan menjadi hidangan sate tulang yang sangat sedap.

Melihat pelanggan yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan sate tulang itu, pastinya ramai peniaga mengambil inisiatif membuat sate tulang sehingga ada pelbagai sate seumpamanya di pasaran.

Namun menurut Abu Mansor, semua itu tidak penting kerana Satay Tulang Jelebu adalah perintis pertama sate tulang dan ia adalah ‘ori’ dan asli.

“Satay Tulang Jelebu ini berbeza dan lebih istimewa kerana rempah ratus dan bahan campuran di dalam sate tulang dibuat serta diadun secara tradisional yang diamalkan dari zaman dulu lagi.

“Selain itu, sate tulang ini juga diproses dan dijual tanpa dibekukan terlalu lama agar rasa rempah dapat dinikmati hingga ke gigitan yang terakhir, sekali gus menjadikan aroma sate itu sentiasa segar,” katanya.

Satu lagi rahsia keenakan Satay Tulang Jelebu ini adalah rasa enak dan sedap kuah kacang yang dibuat menggunakan kacang yang banyak iaitu lebih kurang 70 peratus daripada kandu­ngan kuah.

“Dengan kandungan kacang yang lebih banyak, kuah menjadi lebih pekat dan apabila sate dicelup ke dalam kuah, kuah akan melekat dengan sendirinya di atas sate,” katanya.

Menikmati sendiri sate yang cukup unik ini, walaupun ia sate tulang, tulang itu kasar pada dasarnya tetapi akan hancur apabila dimakan.

Lebih menarik, Satay Tulang Jelebu ini tetap enak biarpun dimakan tanpa kuah ataupun hidangan lain.

Selain sate tulang, sate ayam, daging, hati dan pedal ayam juga boleh dinikmati di sini.

Mahu merasai sendiri keenakan sate tulang yang sedap dan unik ini, kunjungi premisnya di No 123G, Jalan Komersial 5, Dataran Senawang, Negeri Sembilan yang tidak akan mengecewakan anda.

Satay Tulang Jelebu ini mula dijual dari jam 5 petang hingga 3 pagi setiap hari. Selama mencuba!
Sumber:harian metro