Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, August 14, 2013

Pulau Lombok: Pengalaman indah

Oleh Suliati Asri
DUDUK bersantai di anjung bilik hotel menghadap laut yang membiru sambil menikmati kesegaran air kelapa muda dan ­ditemani novel kegemaran memang mengasyikkan.
Kanak-kanak riang berkejaran di tepian pantai dan sekumpulan orang muda sabar menanti ombak untuk meluncur menceriakan hati yang gundah-gulana.

Pemandangan indah lautan yang luas terbentang memberikan gambar yang cukup sempurna.

Mahukan pengalaman yang cukup bermakna dan menakjubkan ini?
FotoPULAU Lombok adik kepada Bali menjanjikan keunikan tersendiri.

Percutian santai, seronok, lebih relaks bersama rakan-rakan dan insan tersayang di Lombok, ­Indonesia menjadikan percutian anda pengalaman terindah yang tidak akan dilupakan.

Dianggap adik kepada Bali, Lombok pulau yang cukup cantik dan penuh dengan keseronokan.

Agama Islam sebagai agama utama dan Buddha sebagai agama minoriti, percutian anda di pulau yang indah ini akan lebih mudah.

Lombok mempunyai pelbagai tarikan pelancongan antaranya meluncur di Tanjung A’an atau melawat Kampung Budaya Sasak untuk melihat rumah tradisional, kain tenunan, cenderamata dan perarakan perkahwinan.

Pusat tenunan dan tembikar tempatan memberi peluang pengunjung melihat atau membeli hasil kraftangan penduduk tempatan.

Mutiara antara barangan yang menjadi tumpuan pelancong.

Taman Narmada terletaknya mata air yang dikatakan boleh diminum. Satu replika Gunung Rinjani juga terdapat di Taman Narmada.

Kehidupan malam yang meriah dan spa santai sepanjang Pantai Senggigi pasti menceriakan malam anda di pulau ini.

Jangan lepaskan peluang menikmati makanan tempatan iaitu ayam taliwang yang rasanya sedikit pedas tetapi enak.

Antara pulau yang menjadi tumpuan di sini ialah Gili Trawangan, Gili Meno serta Gili Air yang menjanjikan keseronokan dengan pelbagai aktiviti seperti sukan air meluncur dan bersantai di tepi pantai.

Penginapan tiada masalah kerana banyak chalet, resort, hotel dan spa untuk pelancong.

Kehidupan tepi pantai di Gili Trawangan cukup menakjubkan dan kehidupan malam boleh dirasai di sini.

Tiada kenderaan bermotor di kawasan pulau dan hanya kereta kuda yang dipanggil Cidomo sebagai pengangkutan.

Aktiviti membeli-belah boleh dilakukan di tepi pantai di Trawangan.

Kehidupan yang tenang, masyarakatnya yang mesra, panorama indah, suasana yang menyeronokkan, menjadikan Lombok destinasi pilihan pelancong.
Sumber:Harian Metro