Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, August 21, 2013

Berbuka di tengah rimba


NASI AMBENG


MENIKMATI juadah berbuka puasa di restoran D'River, Riverstone Eco Resort yang dikelilingi kehijauan hutan memang mendamaikan.

RAMADAN muncul lagi. Seperti tahun-tahun lalu, terdapat banyak kafe, restoran mahupun hotel menyajikan hidangan bufet Ramadan.
Setiap tempat menjamu selera tersebut memiliki tarikan dan keistimewaan tersendiri bagi menggamit kedatangan orang ramai untuk berbuka puasa.
Begitulah juga Riverstone Eco Resort (Riverstone) yang terletak di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. Sejak sembilan tahun lalu, restoran D'River di resort tersebut mengadakan bufet Ramadan.
Apa yang menarik tentang resort ini adalah ia dikelilingi hutan dan terletak di tepi sungai yang mengalir jernih. Kedamaian alam itu membuatkan majlis berbuka puasa di resort tersebut amat menenangkan.
"Kalau nak merasa berbuka puasa di tengah rimba, singgahlah ke Riverstone," kata Pengarah Urusannya, Mohd. Ashari Sidik kepada S2.
Terkenal dengan sajian Nasi Ambeng yang enak, D'River pasti tidak menghampakan penggemar hidangan tradisional masyarakat Jawa itu.
Penulis akui tidak pernah menjamah Nasi Ambeng yang sebegitu sedap, baik yang pernah dinikmati di kampung masyarakat Jawa mahupun yang dibeli di pasar Ramadan.
Mohd Ashari berkongsi rahsia, katanya, pihaknya hanya menggunakan bahan segar untuk menyediakan menu bufet Ramadan di restoran tersebut.
Faktor itu membuatkan setiap masakan yang disediakan sendiri oleh isterinya, Hamidah Asararuddin dijamin memiliki kualiti yang tinggi.
"Dari segi ramuan, rempah-ratus dan lain-lain, kesemuanya kami pilih yang terbaik untuk menjamin mutu masakan," katanya.
Set Nasi Ambeng itu terdiri daripada nasi putih, ayam semur, sambal goreng, mee goreng, serunding, sayur kacang dan ikan masin.
Justeru, bagi yang belum mengenali Nasi Ambeng, inilah masa paling sesuai untuk 'berkenalan' dengannya. Bak kata pepatah, 'tak kenal maka tak cinta', maka kenalah rasa sendiri keenakan nasi tersebut.
Selain dihidangkan di restoran D'River, Nasi Ambeng itu juga boleh didapati di Lot 48, Bazar Ramadan Desa Rejang, Setapak Jaya.
Mengenai menu lain, Mohd Ashari berkata, hidangan istimewa lain yang tidak kurang hebatnya dan sentiasa mendapat sambutan pelanggan adalah patin tempoyak.
Mungkin ada yang tidak menggemari bau ikan patin yang dikatakan hanyir, sekali gus menolak hidangan tersebut.
Ia mungkin berlaku di tempat lain, tetapi tidak di Riverstone kerana ikan patin yang disajikan di sini tidak berbau hanyir.
Ini kerana cara membersihkan ikan tersebut yang dipraktikkan di dapur D'River amat berkesan bagi menghilangkan bau hanyir.
"Ada cara yang digunakan untuk membersihkan ikan patin. Selain itu, kami hanya gunakan tempoyak baru yang dibuat sendiri," ujarnya.
Sementara itu, ayam panggang Riverstone dan soto turut menjadi penyeri bufet Ramadan pada tahun ini. Masih mengekalkan konsep masakan Jawa, bufet itu juga menghidangkan pecel Mbah Wedok dan tempe goreng bawang putih.
"Ada menu baru diperkenalkan tahun ini iaitu asam pedas dan tidak ketinggalan kerabu kacang botor.
"Untuk yang ingin terus menikmati keindahan malam di persekitaran resort yang tenang, hidangan ringan seperti sagu gula Melaka, bubur kacang hijau, pengat pisang dan teh tarik serta kuih-muih akan menemani anda," tambahnya.
Bufet Ramadan pada tahun ini menyajikan sejumlah 45 jenis makanan untuk anda nikmati sambil menghayati keindahan malam dalam suasana hutan yang mendamaikan.
Kemudahan surau ada disediakan sama ada untuk Maghrib ataupun tarawih.
Bufet Ramadan Riverstone bermula pada 13 Julai (Sabtu) lalu sehingga 4 Ogos (Ahad) 2013. Masih mengekalkan harga lama RM40 bersih untuk dewasa dan RM22 bersih untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.
Untuk sebarang tempahan, hubungi talian 03-92004181/03-9287267 atau 013-2080833.