Semangkuk mihun sup yang menjadi santapan
pagi itu mengenyangkan hanya untuk seketika. Mana tidaknya, jam baru
menunjukkan 12 tengah hari tetapi perut sudah berkeroncong.
Justeru, sampai saja di Restoran Tasik Raban, hidangan masakan
kampung dengan ulam-ulaman, gulai tempoyak, ikan pekasam dan air suam
menjadi santapan tengah hari itu.
Melihat kepada bilangan pengunjung yang ramai, tidak syak lagi hidangan ikan bakar di Restoran Tasik Raban itu antara menu popular.
AZMAN mencurah bumbum yang menjadikan ikan bakar Restoran Tasik Raban sungguh enak.
Diasaskan Jamaliah Desa atau Mak Teh bersama suami, perniagaan ikan bakar ini sudah berusia 20 tahun. Bagaimanapun, di Restoran Tasik Raban itu sendiri hanya baru 10 tahun.
Menurut anak Mak Teh, Azwan Hazimi, 23, yang kini menguruskan perniagaan di restoran itu, ikan bakar air tawar adalah hidangan utama di restoran itu.
“Di sini, kami hanya menawarkan ikan bakar air tawar seperti ikan tilapia, tenggalan, kelabo, kerai, kaloi, sebarau yang sememangnya ikan air tawar Sungai Perak.
“Selain ikan bakar air tawar ini, makanan kampung juga adalah menu yang sering disajikan,” katanya.
Berkenaan bekalan ikan air tawar pula, menurut Azwan, kebanyakan ikan yang dihidangkan diternak di dalam Sungai Perak manakala ikan air tawar liar pula dibekalkan oleh nelayan sekitar Tasik Raban.
Restoran yang kini mempunyai dua cawangan iaitu di Stadium Ipoh dan Pengkalan 18, Ipoh boleh menghidangkan lebih kurang 100 hingga 150 ekor ikan ketika musim cuti termasuk Sabtu dan Ahad.
Untuk hari biasa pula anggaran ikan bakar yang habis dijual lingkungan 70 hingga 100 ekor ikan dan harganya bergantung kepada saiz ikan.
Menceritakan keistimewaan ikan bakar Restoran Tasik Raban yang sudah bertahan lebih 20 tahun ini, kata Azman, selain hidangan ikan air tawar, sambal ikannya atau bumbum yang dibuat sendiri oleh Mak Teh menjadikan ia istimewa dan lain daripada yang lain.
“Memang banyak restoran yang menghidangkan ikan bakar tetapi di sini yang membezakannya ialah ikan yang digunakan adalah segar dari Sungai Perak.
“Bumbum ikan yang menggunakan resipi istimewa Mak Teh juga menjadikan ia hidangan istimewa,” katanya.
Selain itu, bumbum yang dicurah ke atas ikan yang masih panas juga menjadikan bumbum itu sebati dengan ikan bakar, sekali gus memberikan rasa yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Restoran yang mengetengahkan konsep layan diri ini dibuka dari jam 11.30 pagi hingga 4.30 petang.
Bagi yang datang bersama kumpulan pula digalakkan memaklumkan kepada pihak restoran supaya mereka boleh menyediakan semua hidangan dengan cepat. Jadi, sampai saja di restoran itu, pengunjung terus boleh menjamu selera.
Justeru, tatkala berkunjung ke sekitar Lenggong atau melewati Restoran Tasik Raban ini, jangan lepaskan peluang untuk menikmati sendiri keenakan hidangan ikan bakar air tawar yang cukup sedap.
Sumber:Harian Metro