Oleh Suliati Asri
“Langkawi ni macam bawang. Lebih dikupas, lebih banyak yang
diperoleh”. Kalau difikir-fikirkan kembali, ada betulnya apa yang
dikatakan Jerome, pemandu pelancong kami dari kumpulan media yang dibawa
meneroka Kilim Geoforest Park, Langkawi, baru-baru ini.
Mana tidaknya, sekerap mana pun kunjungan ke pulau lagenda itu, pasti ada saja perkara atau tempat baru yang diterokai.
Jika sebelum ini, kunjungan lebih banyak tertumpu di Pekan Kuah,
pantai Chenang dan Langakwi Skycab, Fam Trip The Danna membawa penulis
ke Kilim Geoforest Park sekali gus menguatkan lagi apa yang dikatakan
Jerome.
Berusia 550 juta tahun, uniknya Kilim Geoforest Park ini
kerana ia adalah formasi batuan tertua di Asia Tenggara dan kewujudannya
dianggap asas kepada pembentukan geografi fizikal Malaysia hari ini.
JETI yang sentiasa sibuk dengan pengunjung yang datang.
Selain keunikan alam semula jadi, Kilim Geoforest Park Langkawi
diiktiraf geopark atau taman geografi ke-49 dunia dan pertama di Asia
Tenggara oleh UNESCO.
Batuan berusia ratusan juta tahun, malah ada yang mencecah satu
bilion tahun membuatkan taman batu dan hutan ini dianggap sebagai ‘taman
batuan purba’.
Justeru, kunjungan ke taman batuan purba ini cukup bermakna kerana memberikan pelbagai ilmu baru.
Di
pagi yang cerah itu, kami memulakan penerokaan menaiki bot sejauh 18
kilometer (km) dan mengambil masa dua jam di Kilim Geoforest Park ke
Eagle Feeding (Helang Makan).
Namun, sebelum sampai ke tempat yang dituju, kami melihat spesies monyet Macaque atau kera yang banyak di sekitar geopark ini.
Sesuatu yang menarik ialah kera ini boleh berenang sejauh satu kilometer dan sukakan warna merah jambu.
“Mengapa warna merah jambu?” tanya saya kepada Jerome.
Jerome mengakui tidak pasti tetapi daripada pemerhatiannya, kera ini amat suka kepada sesuatu yang berwarna merah jambu.
Bot
kemudiannya dipandu laju untuk sampai ke lokasi yang dituju tetapi di
pertengahan jalan, bot mula diperlahankan bagi memperlihatkan kepada
kami satu lagi keajaiban geopark ini iaitu Orkid Liar.
Sejujurnya,
penulis bagaikan tidak percaya orkid boleh tumbuh di batuan yang
berusia jutaan tahun tetapi melihat bunga orkid liar, Keampra Pulcara
ini, penulis akur hakikat itu.
Orkid liar ini hidup hanya hidup di batu kapur dan ia boleh didapati di Thailand.
Eagle Feeding (Helang Makan)
Selepas
30 minit, kami tiba di lokasi pertama iaitu Eagle Feeding. Kami
berpeluang melihat beberapa ekor burung helang yang bebas berterbangan.
“Sebenarnya, apa yang kamu lihat itu bukanlah burung helang,” kata Jerome.
Saiz helang laut ialah antara 70 sentimeter (sm) hingga 85sm dan apa yang kami lihat itu hanya berukuran 44 hingga 52sm.
Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana berpeluang melihat seekor burung helang yang kebetulan terbang di sekitar kawasan itu.
Di
Langkawi, burung Great Hornbill adalah burung yang paling besar di
Langkawi yang berukuran 119 hingga 122sm. Terdapat tiga spesies hornbill
yang dapat dilihat di sini termasuk Oriental Pied Hornbill dan Wreathed
Hornbill.
Langkawi juga mempunyai 65 peratus ular atas pokok dengan 15 spesies dan empat daripadanya paling berbisa.
Mendengar
saja fakta yang diberikan Jerome itu, kami semua meminta bot di pandu
laju ke lautan Andaman yang sememangnya luas terbentang.
Tidak
lama masa yang diperuntukkan di situ kerana kami akan dibawa ke satu
lagi lokasi yang boleh penulis katakan cukup bersejarah.
Pokok Bakau
Di
pertengahan jalan, Jerome mengajukan soalan kepada kami semua yang
leka melihat kehijauan pokok bakau dan juga air laut yang turut
menghijau.
“Apakah yang membuatkan Langkawi terkenal di seluruh dunia?” tanya Jerome.
Kami diam sejenak sebelum memberi jawapan. Biasanya kami yang mengajukan soalan tetapi ketika ini kami pula diajukan soalan.
“Bebas cukai dan Tsunami membuatkan Langkawi terkenal di seluruh dunia,” kata Jerome.
Apa
kaitannya Tsunami dengan Langkawi, detik hati penulis. Cuak juga
penulis saat itu. Mana tidaknya, saat itu kami benar-benar berada di
perantaraan pokok bakau dan lautan yang luas terbentang itu.
Sambung
Jerome, Tsunami menjadikan Langkawi terkenal kerana ketika kejadian itu
berlaku, pokok bakau yang berdepan lautan Acheh itu menyelamatkan pulau
itu daripada gelombang ombak menggunung itu.
Ketika itu,
gelombang Tsunami yang sampai ke kawasan itu ialah empat meter dan
ketinggian pokok bakau di kawasan itu 15 meter sekali gus menyelamatkan
Langkawi dan menjadikan pulau ini sebagai pulau yang selamat di
Malaysia.
Menyusuri laluan pokok bakau sememangnya cukup
mendamaikan. Di Langkawi terdapat 70 spesies pokok bakau dan yang
membezakannya ialah daun dan benihnya.
Sesuatu yang menarik
mengenai pokok bakau ini ialah ia memerlukan air masin dan sesetengah
daunnya yang kuning adalah disebabkan lebihan air garam yang terdapat
di dalam sesuatu pokok.
Menyusuri kawasan pokok bakau itu membawa
kami ke Gua Kelawar yang juga menjadi persinggahan terakhir kami dalam
sesi penerokaan di Kilim Geoforest Park ini.
Gua Kelawar
Sebelum
memulakan di Gua Kelawar ini, sambil mendengar penerangan dan beberapa
peraturan, penulis sempat membaca maklumat mengenai gua Kelawar yyang
penulis rasakan satu ilmu baru dan penuh bermakna.
Di mana Gua
Kelawar ini terbentuk oleh aliran air yang laju yang boleh dilihat pada
dinding gua yang kasar dan menggerutu. Gua yang berdinding licin dan
mendatar terhasil oleh hakisan air yang mengalir perlahan.
Air
yang mengukir gua ini mengalir dari arah selatan ke utara. Selepas kamar
utama terbentuk, air terus meresap atau mengalir melalui ruang-ruang
kecil dalam gua.
Kekayaan air dengan mineral kalsit ini membentuk pelbagai formasi menarik seperti stalaktit dan stalagmit.
Di
sekitar gua ini, kami berpeluang melihat pelbagai bentuk formasi yang
unik seperti gigi jerung yang terbentuk dari air dan angin.
Bila stalaktit dan stalagmit bertemu, ia tidak akan semakin tinggi tetapi semakin melebar.
Sebelum
memasuki Gua Kelawar yang sememangnya menjadi tempat tinggal si
kelawar, kami diminta untuk senyap supaya tidak mengganggu kelawar yang
sedang tidur atau hanya sekadar bersantai-santai di dinding gua.
Ketika
Jeroma menyuluh, kami melihat spesies kelawar ini, agak mengujakan
tetapi menakutkan. Takut-takut dia menyerang seperti mana yang
digambarkan dalam filem.
Dalam gua ini, Jerome memperlihatkan
kami kehidupan kelawar dewasa yang bergantung di dinding gua yang tinggi
manakala kelawar kecil bergantung di dinding gua yang rendah.
Penerokaan
selama hampir dua jam di sekitar Kilim Geoforest Park ini benar-benar
memberikan pelbagai ilmu baru yang cukup bermakna.
Nyata, semakin diteroka pulau lagenda ini, semakin banyak yang ditemui dan dilihat.
INFO:
Berusia 550 juta tahun.
Uniknya Kilim Geoforest Park kerana formasi batuan yang tertua di Asia Tenggara.
Langkawi juga mempunyai 65 peratus ular atas pokok dengan 15 spesies dan empat daripadanya paling berbisa.
Burung Great Hornbill adalah burung yang paling besar di Langkawi.
Tinggi maksimum pokok bakau adalah 15 meter.
Sumber:Harian Metro