Oleh Abie Abdullah
Pulau Mahsuri sudah ternama. Kisah legenda dan mitos, bergaul
keindahan alam membuatkan Langkawi sukar dilepaskan. Banyak yang menarik
untuk diceritakan kerana rata-rata akan kembali memijak tanah itu
semula.
Langkawi menambah satu lagi tarikan dengan kewujudan Seri Chenang
Resort & Spa Langkawi (Seri Chenang). Suatu pengalaman yang dilalui
penulis, baru-baru ini.
Bukan hanya disambut butler di lapangan terbang Antarabangsa
Langkawi, malah petugas termasuk pengurusan resort, chef dan warga spa
menanti di pintu masuk utama Seri Chenang.
Sepanjang tiga malam menginap di Seri Chenang yang berjiran dengan penempatan nelayan, Kampung Temoyong di Kuala Sungai Chenang ini, bagaikan malas untuk mengucapkan selamat tinggal.
Sepanjang tiga malam menginap di Seri Chenang yang berjiran dengan penempatan nelayan, Kampung Temoyong di Kuala Sungai Chenang ini, bagaikan malas untuk mengucapkan selamat tinggal.
RUMAH Terengganu direka mengikut binaan lama.
Teringat cerita Pengurus Kayangan Spa, Mohd Rashdy Ahmad dalam loghat Kedah mengenai pengalamannya merantau ke negara orang, tidak kurang juga chef, Roslan Darus yang asalnya hanya pembantu dapur di restoran Jepun, berkongsi kenangan ketika kami sama-sama menjamah gulai tongkol, gelama kering, ulam pucuk gajus dan sambal belacan di pinggir kolam.
Pengurus Resort, Shamsol Mustapa berkata, semua petugas baik di meja kaunter atau dapur, dilatih ‘semula’ dengan budaya Melayu.
“Jemput makan dan tumpang lalu antara kesopanan adat Melayu kita yang kami terapkan di Seri Chenang.
“Kepada pelancong yang ingin menikmati kehidupan kampung dalam suasana budaya Melayu, Seri Chenang adalah tempatnya,” katanya.
Budi bahasa yang diserapkan dalam urusan harian di resort lima bintang ini melengkapkan lagi ‘kemewahan’ Seri Chenang yang dibuka secara rasmi pada 16 Mei lalu.
Di dalam keluasan tanah 0.53 hektar ini, dibangunkan enam rumah Melayu tradisional.
Rumah Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah sebagai Rumah Ibu saling berjiran. Susunan rumah yang menghadap kolam dan wakaf itu sangat indah.
Dominannya menggunakan kayu berlian dan cengal, rumah atau vila ini dilengkapi kemudahan moden. Setiap vila diatur dapur berasingan, ruang tamu dan ruang makan. Tiga daripada vila berkenaan ada ‘sky shower’ (tempat mandi terbuka tanpa bumbung). Seksi! Di bawah rumah pula disediakan dua basikal untuk tetamu.
Menurut Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Seri Chenang, Warren Fernandez, seni bina penginapan mewah ini disesuaikan dengan hospitaliti orang kita dan setiap tetamu akan seperti berada di kampung Melayu.
“Setiap vila turut ditemani seorang butler yang bersedia 24 jam untuk memenuhi keperluan tetamu. Setakat ini kami mempunyai lima butler termasuk seorang wanita,” katanya.
Resort butik yang diilhamkan oleh Pengarah Urusannya, Mohamad Shukor Zainal Abidin pada 2009 ini mendapat sentuhan seni bina ayahnya sendiri, arkitek terkenal, Datuk Zainal Abidin Mohamed Ali.
Shamsol bercerita, asalnya resort ini dibina untuk ahli keluarga sebagai rumah percutian, namun selepas perbincangan anak beranak, timbul idea untuk membesarkan kepada sebuah resort komersial.
Selain enam vila, Seri Chenang menyusun sebuah kolam renang, gimnasium, bilik membaca, spa dan wakaf. Tetamu boleh memilih sama ada makan di bilik, beranda rumah, wakaf atau Dapur Warisan untuk menyaksikan chef memasak untuk anda.
Lebih membanggakan kerana Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pernah menjamu selera di dapur itu.
“Seni bina rumah-rumah Melayu tradisional di Seri Chenang memang unik, sebab itu kami yakin pelancong suka dengan apa yang kami tawarkan di sini.
“Sasaran utama kami sememangnya pelancong luar terutama pasaran Eropah, namun pelancong tempatan amat dialu-alukan,” katanya yang boleh dihubungi melalui www.serichenangresort.com.
Sumber:Harian metro