Carian Maklumat di sini

Custom Search

Monday, July 22, 2013

Pulau Perhentian: Tujuh jam berbaloi


FotoKEJERNIHAN air laut Pulau Perhentian menggamit pengunjung

Oleh Rosman Shamsudin
Negara kita kaya dengan pulau yang menjadi destinasi pelancongan yang masih belum tercemar.
Keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan di pulau dan laut yang kaya dengan pelbagai spesies kehidupan adalah aset bernilai yang menarik pelancong.
Antara destinasi pulau pelancongan popular ialah Pulau Perhentian, Terengganu.
Ia bukan saja kaya dengan keindahan flora dan fauna, tetapi pelancong boleh menikmati pelbagai spesies hidupan laut.
Perjalanan mengambil masa kira-kira tujuh jam dari Kuala Lumpur walaupun agak memenatkan, semua itu hilang apabila melihat panorama indah di pulau berkenaan.
Untuk ke Pulau Perhentian ini, pengunjung perlu menggunakan perkhidmatan bot yang dikenali ‘teksi’ oleh penduduk tempatan dari Jeti Besut.

Ia mengambil masa kira-kira 30 minit.

Tambang perkhidmatan bot yang lengkap dengan jaket keselamatan ialah RM70 bagi penumpang dewasa dan bayaran separuh harga bagi kanak-kanak.

Sepanjang perjalanan dari jeti Besut ke Pulau Perhentian, anda dapat menyaksikan panorama indah kawasan sekitar dan sesekali pengalaman menarik apabila bot membelah ombak.

Pulau Perhentian terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Kecil yang juga kawasan penempatan penduduk kampung.

Pulau Perhentian Besar pula menjadi tarikan utama pelancong melakukan pelbagai aktiviti menyelam dan meneroka keindahan dasar laut.

Pelancong yang gemar menyelam boleh melakukan aktiviti itu di sekitar pantai pulau ini dan pemandangannya amat menakjubkan.

Ketika menyelam, anda boleh melihat pelbagai jenis ikan bermain-main secara berkumpulan di sekeliling kita.

Untuk mendapatkan bekalan makanan jika mengadakan aktiviti perkhemahan, anda boleh menggunakan bot di jeti Taman Laut dengan tambang RM10 ke Pulau Perhentian Kecil.

Keramahan penduduk dan kelazatan pelbagai jenis makanan tempatan adalah tarikan utama di Pulau Perhentian.

Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti mendaki bukit, anda boleh memilih laluan disediakan di persisiran pantai sambil menikmati keindahan flora dan fauna.

Di samping itu, kita juga boleh melihat pelbagai aktiviti penduduk yang tinggal di persisiran pantai terutama di Pulau Perhentian Kecil yang kebanyakan nelayan.

Aktiviti menangkap ikan termasuk memancing tidak dibenarkan di sekitar pantai ini bagi menjamin habitat dan hidupan laut.
Sumber: Harian Metro