Carian Maklumat di sini

Custom Search

Monday, July 22, 2013

Bakau selamat pulau

Oleh Suliati Asri
“Langkawi ni macam bawang. Lebih dikupas, lebih banyak yang diperoleh”. Kalau difikir-fikirkan kembali, ada betulnya apa yang dikatakan Jerome, pemandu pelancong kami dari kumpulan media yang dibawa meneroka Kilim Geoforest Park, Langkawi, baru-baru ini.
Mana tidaknya, sekerap mana pun kunjungan ke pulau lagenda itu, pasti ada saja perkara atau tempat baru yang diterokai.
Jika sebelum ini, kunju­ngan lebih banyak tertumpu di Pekan Kuah, pantai Chenang dan Langakwi Skycab, Fam Trip The Danna membawa penulis ke Kilim Geoforest Park sekali gus menguatkan lagi apa yang dikatakan Jerome.

Berusia 550 juta tahun, uniknya Kilim Geoforest Park ini kerana ia adalah formasi batuan tertua di Asia Tenggara dan kewujudannya dianggap asas kepada pembentukan geografi fizikal Malaysia hari ini.
FotoJETI yang sentiasa sibuk dengan pengunjung yang datang.

Selain keunikan alam semula jadi, Kilim Geoforest Park Langkawi diiktiraf geopark atau taman geografi ke-49 dunia dan pertama di Asia Tenggara oleh UNESCO.

Batuan berusia ratusan juta tahun, malah ada yang mencecah satu bilion tahun membuatkan taman batu dan hutan ini dianggap sebagai ‘taman batuan purba’.

Justeru, kunjungan ke taman batuan purba ini cukup bermakna kerana memberikan pelbagai ilmu baru.

Di pagi yang cerah itu, kami memulakan penerokaan menaiki bot sejauh 18 kilometer (km) dan me­ngambil masa dua jam di Kilim Geoforest Park ke Eagle Feeding (Helang Makan).

Namun, sebelum sampai ke tempat yang dituju, kami melihat spesies monyet Macaque atau kera yang banyak di sekitar geopark ini.

Sesuatu yang menarik ialah kera ini boleh berenang sejauh satu kilometer dan sukakan warna merah jambu.

“Mengapa warna merah jambu?” tanya saya kepada Jerome.

Jerome mengakui tidak pasti tetapi daripada pemerhatiannya, kera ini amat suka kepada sesuatu yang berwarna merah jambu.

Bot kemudiannya dipandu laju untuk sampai ke lokasi yang dituju tetapi di pertengahan jalan, bot mula diperlahankan bagi memperlihatkan kepada kami satu lagi keajaiban geopark ini iaitu Orkid Liar.

Sejujurnya, penulis bagaikan tidak percaya orkid boleh tumbuh di batuan yang berusia jutaan tahun tetapi melihat bunga orkid liar, Keampra Pulcara ini, penulis akur hakikat itu.

Orkid liar ini hidup ha­nya hidup di batu kapur dan ia boleh didapati di Thailand.


Eagle Feeding (Helang Makan)

Selepas 30 minit, kami tiba di lokasi pertama iaitu Eagle Feeding. Kami berpeluang melihat beberapa ekor burung helang yang bebas berterbangan.

“Sebenarnya, apa yang kamu lihat itu bukanlah burung helang,” kata Jerome.

Saiz helang laut ialah antara 70 sentimeter (sm) hing­ga 85sm dan apa yang kami lihat itu hanya berukuran 44 hingga 52sm.

Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana berpeluang melihat seekor burung helang yang kebetulan terbang di sekitar kawasan itu.

Di Langkawi, burung Great Hornbill adalah burung yang paling besar di Langkawi yang berukuran 119 hingga 122sm. Terdapat tiga spesies hornbill yang dapat dilihat di sini termasuk Oriental Pied Hornbill dan Wreathed Hornbill.

Langkawi juga mempunyai 65 peratus ular atas pokok dengan 15 spesies dan empat daripadanya paling berbisa.

Mendengar saja fakta yang diberikan Jerome itu, kami semua meminta bot di pandu laju ke lautan Andaman yang sememangnya luas terbentang.

Tidak lama masa yang diperuntukkan di situ kerana kami akan dibawa ke satu lagi lokasi yang boleh penulis katakan cukup bersejarah.


Pokok Bakau

Di pertengahan jalan, Jerome mengajukan so­alan kepada kami semua yang leka melihat kehijauan pokok bakau dan juga air laut yang turut menghijau.

“Apakah yang membuat­kan Langkawi terkenal di seluruh dunia?” tanya Jerome.

Kami diam sejenak sebelum memberi jawapan. Biasanya kami yang me­ngajukan soalan tetapi ketika ini kami pula diajukan soalan.

“Bebas cukai dan Tsunami membuatkan Langkawi terkenal di seluruh dunia,” kata Jerome.

Apa kaitannya Tsunami dengan Langkawi, detik hati penulis. Cuak juga penulis saat itu. Mana tidaknya, saat itu kami benar-benar berada di perantaraan pokok bakau dan lautan yang luas terbentang itu.

Sambung Jerome, Tsunami menjadikan Langkawi terkenal kerana ketika kejadian itu berlaku, pokok bakau yang berdepan lautan Acheh itu menyelamatkan pulau itu daripada gelombang ombak menggunung itu.

Ketika itu, gelombang Tsunami yang sampai ke kawasan itu ialah empat meter dan ketinggian pokok bakau di kawasan itu 15 meter sekali gus me­nyelamatkan Langkawi dan menjadikan pulau ini sebagai pulau yang selamat di Malaysia.

Menyusuri laluan pokok bakau sememangnya cukup mendamaikan. Di Langkawi terdapat 70 spesies pokok bakau dan yang membezakannya ialah daun dan benihnya.

Sesuatu yang menarik mengenai pokok bakau ini ialah ia memerlukan air masin dan sesetengah daunnya yang kuning adalah disebab­kan lebihan air garam yang terdapat di dalam sesuatu pokok.

Menyusuri kawasan pokok bakau itu membawa kami ke Gua Kelawar yang juga menjadi persinggahan terakhir kami dalam sesi penerokaan di Kilim Geoforest Park ini.


Gua Kelawar

Sebelum memulakan di Gua Kelawar ini, sambil mendengar penerangan dan beberapa peraturan, penulis sempat membaca maklumat mengenai gua Kelawar yyang penulis rasakan satu ilmu baru dan penuh bermakna.

Di mana Gua Kelawar ini terbentuk oleh aliran air yang laju yang boleh dilihat pada dinding gua yang kasar dan menggerutu. Gua yang berdinding licin dan mendatar terhasil oleh hakisan air yang mengalir perlahan.

Air yang mengukir gua ini mengalir dari arah selatan ke utara. Selepas kamar utama terbentuk, air terus meresap atau mengalir melalui ruang-ruang kecil dalam gua.

Kekayaan air dengan mineral kalsit ini membentuk pelbagai formasi menarik seperti stalaktit dan stalagmit.

Di sekitar gua ini, kami berpeluang melihat pelbagai bentuk formasi yang unik seperti gigi jerung yang terbentuk dari air dan angin.

Bila stalaktit dan stalagmit bertemu, ia tidak akan semakin tinggi tetapi semakin melebar.

Sebelum memasuki Gua Kelawar yang sememangnya menjadi tempat tinggal si kelawar, kami diminta untuk senyap supaya tidak mengganggu kelawar yang sedang tidur atau hanya sekadar bersantai-santai di dinding gua.

Ketika Jeroma menyuluh, kami melihat spesies kelawar ini, agak mengujakan tetapi menakutkan. Takut-takut dia menyerang seperti mana yang digambarkan dalam filem.

Dalam gua ini, Jerome memperlihatkan kami kehidupan kelawar dewasa yang bergantung di dinding gua yang tinggi manakala kelawar kecil bergantung di dinding gua yang rendah.

Penerokaan selama hampir dua jam di sekitar Kilim Geoforest Park ini benar-benar memberikan pelbagai ilmu baru yang cukup bermakna.

Nyata, semakin diteroka pulau lagenda ini, semakin banyak yang ditemui dan dilihat.


INFO:
  • Berusia 550 juta tahun.
  • Uniknya Kilim Geoforest Park kerana formasi batuan yang tertua di Asia Tenggara.
  • Langkawi juga mempunyai 65 peratus ular atas pokok dengan 15 spesies dan empat daripadanya paling berbisa.
  • Burung Great Hornbill adalah burung yang paling besar di Langkawi.
  • Tinggi maksimum pokok bakau adalah 15 meter.
  • Sumber:Harian Metro