Carian Maklumat di sini

Custom Search

Tuesday, June 25, 2013

Panggilan Santuari Ikan Sungai Chiling

KAMI sempat bergambar di laluan masuk ke Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Selangor.
DESIRAN air terjun di Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Selangor bagaikan memanggil-manggil sembilan anak muda berpangkat eksekutif di salah sebuah syarikat pembinaan terkemuka di ibu negara yang jarang berpeluang menikmati panorama indah di situ.
Perjalanan sejauh 70 kilometer dan mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit itu dimulakan seawal pagi menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dengan lancar, ditambah pula ketika itu ramai warga kota pulang ke kampung sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Setibanya kami di kawasan Santuari Ikan Sungai Chiling, kami bersarapan terlebih dahulu di kawasan parkir kereta sebelum memulakan aktiviti meredah hutan dan menyusuri aliran sungai yang jernih ke kawasan air terjun yang terletak di puncak bukit.
Setiap pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM1 untuk masuk ke kawasan berkenaan dan bagi yang datang buat pertama kali, anda akan diberikan taklimat serba sedikit mengenai kawasan dan laluan pendakian.
Perjalanan kami menuju ke kawasan air terjun mengambil masa kira-kira satu jam dengan melalui kawasan denai, halangan pokok tumbang dan air sungai yang dalam tetapi tidak cukup deras sehingga membahayakan pengunjung.
Pengunjung dinasihatkan agar bersiap sedia untuk basah sepanjang perjalanan untuk sampai ke kawasan air terjun tersebut.
Setibanya kami di kawasan air terjun, perkara utama yang terdetik di fikiran adalah kepuasan apabila berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi yang menghijau.
Kami mengambil peluang untuk mandi-manda di situ serta berasa amat teruja apabila dapat merasai pergerakan ikan yang banyak berenang bebas.
Bagi menarik perhatian ikan, pihak pengurusan santuari ada menyediakan paket-paket makanan ikan untuk anda berikan kepada ikan-ikan tersebut.
Selang beberapa jam, kami memutuskan untuk pulang. Dalam perjalanan pulang, ketika kami melalui kawasan empangan yang cantik, ada perkara yang mencuri pandangan kami di tepi jalan raya yang kami lalui.
Jangan terkejut sekiranya anda melihat beberapa buah kenderaan berhenti di tepi jalan raya bagi mendapatkan air mineral semula jadi yang terhasil di celah bukit tersebut.
Kami turut tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri air mineral semula jadi tersebut dan ternyata ia cukup menyegarkan.
Perjalanan pulang diteruskan dan kami sampai di Kuala Lumpur tepat pukul 6.30 petang. Kepenatan yang dialami amat berbaloi dan kami semua berasa sangat puas serta merancang untuk kembali lagi suatu hari nanti. - FAIZ FUAD, KUALA LUMPUR

Grand Puteri penyeri Kuala Terengganu

HOTEL Grand Puteri menawarkan 180 bilik dengan perkhidmatan bercirikan Islam.
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
HOTEL Grand Puteri di Kuala Terengganu mengambil nama sempena bukit kecil yang terletak tidak jauh dari lokasinya.
Bukit itu dikatakan menyimpan banyak misteri selain menempatkan rumah api dan khazanah purba seperti genta raksasa, meriam serta kubur lama.
Grand Puteri merupakan hotel terbaharu muncul di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan kewujudannya menambahkan warna putih sebagai latar pandangan dalam satu kelompok binaan yang tersergam indah.
Mulai beroperasi pada pertengahan April lalu, sambutan orang ramai terhadap hotel tersebut ternyata cukup menggalakkan, sekali gus membuktikan keperluannya sejajar dengan perkembangan industri pelancongan yang semakin pesat di negeri ini.
Ia merupakan hotel wakaf keempat di Semenanjung Malaysia, selain Hotel Pantai Puteri di Melaka, Hotel Klana Beach Resort Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Hotel Seri Warisan (Perak) yang telah beroperasi.
Grand Puteri yang dibangunkan dengan peruntukkan RM41.7 juta merupakan hasil kerjasama pintar antara pemegang amanah wakaf tunggal negeri iaitu Majlis Agama Islam Terengganu dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Berdiri setinggi tujuh tingkat, ia terletak di lokasi yang cukup strategik di Jalan Masjid Abidin, bersebelahan dengan masjid tertua di negeri ini yang lebih dikenali sebagai masjid putih.
Hanya beberapa langkah, anda akan berada di masjid bersejarah itu untuk menunaikan solat atau membeli-belah di pusat perniagaan Paya Keladi dan Hentian Bas MPKT.
Tidak perlu berkereta kerana anda cuba perlu beberapa minit berjalan kaki ke Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi tarikan umum dan bersiar-siar di Taman Shahbandar di pinggir kuala.
Dengan reka bentuknya yang menarik, berciri seni bina Islam di samping perkhidmatan dan kemudahan mengikut syariah seperti kolam mandi berasingan bagi lelaki dan perempuan, hotel ini boleh dijadikan pelengkap kepada pakej pelancongan Islam di negeri Terengganu.
Pengurusnya, Wan Mohd. Ariffin Wan Mustafa memberitahu, hotel bertaraf tiga bintang ini menawarkan 180 bilik dengan perkhidmatan bercirikan Islam.
Sempena pembukaannya pada April lalu, pihak hotel menawarkan baucar penginapan pada harga RM88 untuk bilik standard yang sah untuk digunakan sehingga hujung tahun.
Terdapat sebanyak 180 unit bilik meliputi 119 unit bilik standard, super standard (45 unit), deluxe (9), super deluxe (5) dan dorm (2) ditawarkan. Selain itu, kemudahan lain yang disediakan adalah bilik seminar dan dewan serbaguna yang boleh menampung sehingga 450 tetamu.
''Dengan tawaran harga yang cukup sederhana, apa yang disediakan di hotel ini cukup sesuai untuk menginap dan sebagai lokasi kursus, persidangan serta majlis keramaian," ujarnya.
Di samping itu, terdapat sebuah restoran yang menyajikan hidangan tempatan dan barat yang boleh menampung lebih 100 pelanggan dalam satu masa.
Katanya, sejak hotel itu beroperasi, kira-kira 100 peluang pekerjaan dapat disediakan termasuk menawarkan peluang kerjaya kepada anak-anak golongan asnaf.
Lebih daripada itu, kewujudan hotel itu juga dapat menyumbang kepada dana wakaf serta menjelaskan konsep wakaf kepada orang ramai dengan lebih dinamik.

30 tahun saji udang galah

ANTARA menu yang disajikan adalah udang galah goreng kunyit.
DAERAH Rompin cukup terkenal dengan udang galah sejak dahulu lagi sehinggakan kebanyakan kedai makan di daerah ini pasti mempunyai menu berasaskan udang galah.
Tidak hairanlah jika ada peminat udang galah sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata mahu menikmati keenakannya.
Salah sebuah kedai yang popular di sini adalah Gerai Makan Azizah yang menampilkan kelainan dalam kebanyakan masakan udang galah yang disajikan.
Sekali pandang, gerainya yang terletak di Leban Chondong itu tidak mempunyai sebarang keistimewaan berbanding dengan kedai makan yang lain.
Namun, Gerai Makan Azizah yang telah dibuka sejak 30 tahun yang lalu merupakan antara gerai yang popular di daerah ini yang menyajikan menu udang galah.
Menurut pemilik gerai terbabit, Norazura Sulaiman, 36, pelanggan yang datang boleh memilih sendiri udang galah segar yang ingin dimasak.
Katanya, pelanggan boleh memilih pelbagai menu antaranya udang masak lemak, goreng berlada dan goreng kunyit.
"Selain itu, gerai ini turut menyediakan mi bandung, mi rebus dan mi goreng serta masakan panas berasaskan udang galah," katanya kepada S2.
Menurutnya, harga udang galah adalah berbeza mengikut gred yang mana gred A berharga RM75 sekilogram selepas dimasak.
"Udang galah gred B pula berharga RM55 sekilogram selepas dimasak. Udang galah yang mentah turut dijual iaitu bagi gred A, RM60 sekilogram manakala gred B RM45 sekilogram.
"Pelanggan terlebih dahulu memilih udang mengikut saiz dan bilangan yang mereka inginkan sebelum ditimbang dan ditentukan harga sebelum dimasak.
"Biasanya, pelanggan tidak mempersoalkan harga kerana berpuas hati dapat menikmati udang yang besar dan segar," katanya.
Menurut Norazura, ada pelanggannya yang datang dari Kuala Lumpur dan Johor semata-mata mahu menikmati masakan udang galah di gerainya.
"Ramai pelanggan yang datang akan mengambil peluang untuk bergambar sebelum menjamu selera. Saya diberitahu pelanggan bahawa mereka dapat tahu mengenai warung ini melalui blog dan laman sosial seperti Facebook," jelasnya.
Katanya, jualan udang galah di gerainya mampu mencecah 100 kilogram setiap hari pada musim cuti persekolahan dan pada hari biasa, mampu mencecah sehingga 40 kilogram.
Gerai turun-temurun sejak dari zaman ibunya ini dibuka setiap hari dan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 7 petang.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130608/pl_02/30-tahun-saji-udang-galah#ixzz2XDUEyMO5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Keunikan Timah Tasoh


ACAPKALI apabila menyebut nama Padang Besar, yang terletak di utara tanah air iaitu Perlis, ramai yang akan membayangkan syurga membeli barangan murah di Malaysia.
Namun tidak ramai yang menyedari Padang Besar bukan setakat tempat untuk membeli-belah tetapi wujudnya sebuah tasik buatan manusia yang terbentang luas berlatar belakangkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand di jalan menuju ke Padang Besar.
Tasik Timah Tasoh nama yang tidak asing lagi bagi penduduk negeri Perlis. Ini bukan sahaja empangan saliran terbesar di Perlis tetapi juga pusat percutian yang dilihat keluar dari kotak minda manusia yang cintakan alam semulajadi.
Tasik ini pada asalnya menjadi pertemuan dua buah sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh dan di dasarnya pada awalnya adalah sebuah kampung yang bernama Tasoh. Namun telah ditenggelamkan bagi mewujudkan empangan.
Turut ditenggelamkan bersama kampung itu ialah masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan selain nostalgianya yang semakin luput daripada ingatan penduduk setempat.
Kampung itu terpaksa ditenggelamkan untuk membentuk takungan bagi menyediakan bekalan air domestik atau perindustrian yang mencukupi di samping memenuhi keperluan mengairi 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman padi dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.
Makan buah
Selain pemandangan yang menarik, sekitar tasik itu terdapat tarikan lain iaitu dusun buah-buahan yang boleh dinikmati secara percuma semasa musimnya kepada penginap di Tasoh Lake Resort & Retreat.
Dan tidak lengkap sekiranya percutian di Perlis tanpa menikmati buah mempelam yang hanya terdapat di sana iaitu harumanis, yang harga sekilo sahaja boleh mencecah sehingga RM20.
Digelar harumanis kerana mengeluarkan aroma yang harum dan rasanya yang manis di samping isinya yang tebal kekuningan serta rasanya yang enak dimakan bersama pulut.
Ini juga adalah satu daripada sajian tradisi di negeri Perlis. Isinya juga boleh diproses dalam bentuk jus atau jem.
Buah-buahan eksotik lain yang terdapat di dusun ini ialah durian, durian Belanda, rambutan serta mangga yang boleh dipetik terus dari pokoknya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tasoh Lake Resort & Retreat, Helmy Faizal Mohd Kamal.
Persinggahan
Tidak kurang satu kilometer ke utara dari chalet itu ialah Padang Besar iaitu pusat membeli-belah dan pintu masuk ke Thailand bagi pelancong yang ingin ke Hat Yai, Krabi atau Phuket.
Kedudukan tasik itu pula berhampiran Wang Kelian iaitu pasar sehari yang menjadi tumpuan masyarakat untuk berbelanja, sama ada di sempadan sebelah Malaysia ataupun dalam kawasan Pasar Sehari Wang Prachan, Thailand dengan hanya menggunakan MyKad.
Begitu juga bagi masyarakat Thailand, mereka boleh berbelanja di pasar sehari Wang Kelian, Malaysia dalam jarak satu kilometer dengan hanya menunjukkan identiti pengenalan diri negaranya.
Kawasan bebas cukai yang menjual pelbagai barangan dari kedua-dua negara itu hanya terdapat di Padang Besar sahaja.
Menurut Helmy Faizal ramai pelancong asing yang akan singgah berehat di Tasoh Lake Resort & Retreat terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand.
"Sebagai contoh kita mempunyai pelanggan kerap dari England yang membawa Carry Van dan menetap selama sekurang-kurangnya sebulan di dalam van yang diparkir di tepi tasik itu," katanya.
Aktiviti di tasik
Percutian di situ juga menjanjikan syurga kepada kaki pancing, di mana terdapat pelbagai jenis ikan air tawar seperti Talapia, Ubi, Keli, Haruan, Gelang Pam sambil menikmati bayu angin sepoi-sepoi bahasa.
Ikan segar yang diperoleh boleh dibakar terus di tepi tasik pada waktu malam yang bersuhu 28 darjah celcius sambil bersantai di gazebo yang disediakan.
Terdapat juga para nelayan yang menjala ikan di situ dan pemancing boleh ikut serta jika ingin mendapat hasil yang lebih lumayan.
Selain itu, aktiviti air boleh dilakukan seperti berakit, berkayak dan sukan air. Tasik Tasoh juga menjadi lokasi yang dipilih untuk sukan layar peringkat kebangsaan sejak 2010.
Jika memancing atau aktiviti air tidak menjadi pilihan, pengunjung boleh memilih untuk melakukan 12 aktiviti merempuh halangan dan menyertai Teambuilding.
Di situ juga dilengkapi tapak perkhemahan, bagi yang tidak mahu menginap di 51 unit chalet, dengan kadar harga dari RM80 hingga RM500.
Pada bulan Ogos, Timah Tasoh menjadi tumpuan burung-burung hijrah terutama dari negara-negara sejuk kerana tasik air tawar itu serta persekitaran semulajadinya menawarkan habitat yang lengkap termasuk menyediakan makanan serta perlindungan yang diperlukan burung-burung berkenaan.
Satu lagi tarikan di Timah Tasoh ialah sering menjadi lokasi penggambaran antaranya drama Kiah Pekasam serta tempat klip video lagu Kisah Hati nyanyian Alya.
"Majlis perkahwinan Fasha Sandha juga diadakan di sini serta konsert sulung kumpulan Bunkface telah diadakan di sini pada tahun 2010," katanya. — BERNAMA

Maggi ketam bangkit selera, pilihan pengunjung

MATRUDDIN Mat Sena dan Fadzilah Mansor menunjukkan hidangan popular kafe mereka, Maggi Ketam.

MAGGI Ketam dan Maggi Udang merupakan menu istimewa Relax Cafe.
MASAKAN mi segera daripada apa sahaja jenama termasuk Maggi mungkin lebih mudah dihidangkan di rumah.
Tetapi jika anda mahukan kelainan dan kelazatan masakan berasaskan mi segera, maka anda perlu singgah di Relax Cafe yang terletak di Tumpat, Kelantan.
Ini kerana kafe itu ada menyediakan Maggi Ketam yang mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja yang ‘terhidu’ bau kuahnya.
Terletak di Jalan Kampung Kutan Tengah, Wakaf Baru, lokasi itu juga merupakan laluan utama ke Pasir Mas. Justeru, kafe itu sentiasa dikunjungi ramai, apatah lagi ia memiliki 1,001 keistimewaan buat penggemar makanan tersebut.
Lebih menarik, Relax Cafe yang dibuka sejak sembilan tahun lalu oleh sepasang suami isteri, Matruddin Mat Sena, 45, dan Fadzilah Mansor, 38, merupakan satu-satunya restoran di negeri ini yang menyediakan hidangan istimewa itu.
Melihatkan penyediaan Maggi Ketam yang kemudian dihidangkan ketika masih panas, ditambah pula dengan aroma yang menusuk hidung, pastinya membuatkan anda teruja dan tidak sabar untuk menikmatinya.
Bukan itu sahaja, ‘kelibat’ seekor ketam besar ataupun udang galah dalam sajian itu membuatkan anda semakin ghairah untuk menikmatinya.
Hanya menyajikan bahan segar dan berkualiti kepada pengunjung, Relax Cafe sememangnya dapat memenuhi selera penggemar ketam dan udang galah.
Matruddin berkata, hasil usaha dia dan isterinya, restoran berkenaan kini menjadi tumpuan peminat hidangan ketam dan udang dari seluruh negara.
Katanya, keistimewaan Maggi Ketam itu sebenarnya terletak pada ramuannya yang dicipta sendiri oleh dia dan isterinya.
Ujarnya, di dalam hidangan tersebut, selain daripada ketam yang menjadi daya penarik utama, dia turut meletakkan bebola ikan, lala, udang, telur dan sotong.
“Setiap hidangan yang disediakan disiapkan hanya dalam tempoh lima minit. Jadi, pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk menikmatinya," katanya.
Tambah Matruddin, setiap pelanggan boleh memilih ketam pelbagai saiz daripada seberat 200 sehingga 900 gram dan harga setiap hidangan itu bergantung kepada saiz ketam yang dipilih.
Beliau berkata, harga tersebut adalah antara RM14 sehingga RM63 dan bagi ketam yang bersaiz besar, ia juga sesuai dimakan oleh dua atau tiga orang.
“Selalunya, pelanggan akan melakukan tempahan terlebih dahulu kerana kebanyakan mereka datang secara berkumpulan ataupun dengan keluarga," katanya sambil memberitahu pelanggannya juga terdiri daripada orang-orang kenamaan dan selebriti.
Beliau menambah: “Lebih menarik, pelancong luar negara seperti Ukraine, Sweden, Perancis, Thailand dan Jordan turut datang menikmati hidangan Maggi Ketam di sini."
Katanya lagi, dia amat menitikberatkan kepuasan pelanggan dan sehingga kini perniagaannya mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Insya-Allah, harga yang dibayar pelanggan berbaloi dengan kemanisan serta kepadatan isi ketam mahupun udang galah yang segar," katanya.
Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, Relax Cafe beroperasi dari pukul 4 petang hingga 1 pagi.

Firefly Villa janjikan kedamaian

Dua kolam di luar kawasan vila pasti mampu menggembirakan anak-anak untuk mandi-manda.
KEPENATAN memandu hampir satu jam setengah ke lokasi percutian dari bandar raya Shah Alam ke sebuah desa di Tanjong Karang, Selangor hilang tatkala melihat sebuah vila yang sebelum ini ditatap ketika melayari laman promosinya dalam enjin carian Google di Internet.
Vila indah yang dinamakan Firefly Villa itu terletak di Kampung Gulang-Gulang yang terkenal dengan tarikan kelip-kelip.
Setelah masuk ke vila tersebut melalui pintu klasik ala Bali dan melihat panorama rimba di sekeliling vila percutian itu, pastinya ia menjanjikan sesuatu yang berbeza.
Pemilik vila yang peramah, Mohd.Afandi Alias, 59, menyambut mesra kedatangan tetamu dan tidak lokek memberikan maklumat mengenai vila tersebut serta kemudahan-kemudahan yang disediakan.
Katanya, vila percutian itu dibuka sejak September 2011 setelah beliau bersara daripada sebuah syarikat swasta.
''Saya mengusahakan vila ini bersama isteri, Azizah Kadis. Setakat ini, vila yang kami usahakan dikunjungi bukan sahaja pelancong tempatan, malah menjadi tarikan pelancong asing yang inginkan kelainan," katanya kepada S2.
Mohd. Afandi berkata, vila tersebut menawarkan empat bilik penginapan yang berharga daripada RM788 bagi bilik jenis King sehingga serendah RM266 satu malam.
Bagi pengunjung yang datang bersama keluarga, anak-anak pasti dapat menikmati percutian yang meriah di desa tersebut kerana vila berkenaan juga menyediakan kemudahan kolam renang.
Tentunya, anak-anak kecil gembira untuk menghabiskan masa berjam-jam berendam di kolam renang.
Suasana perkampungan yang nyaman dengan udara yang segar pasti menenangkan fikiran, sekali gus melupakan seketika hiruk pikuk di kota.
Setelah penat berenang di dalam kolam, pengunjung pasti mahu mencari juadah untuk menjamu selera.
Bagi mengekalkan suasana percutian di desa, pengurusan vila tersebut menyediakan masakan kampung selain makanan Barat untuk mereka yang inginkan kelainan.
''Kami ada menyediakan nasi lemak, lempeng cicah sambal, kuih-muih seperti kuih koci, selain sarapan ala Barat untuk tetamu dari luar negara.
''Kebanyakan pelancong suka mencuba makanan kampung dan makanan paling mereka gemari adalah nasi goreng," kata Mohd. Afandi.
Percutian di kawasan desa juga memberikan peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak melihat pemandangan sawah padi yang menghijau di kawasan jelapang padi di sekitar Tanjong Karang, selain menyaksikan sendiri keindahan malam yang disinari cahaya sang kelip-kelip di Kampung Kuantan.
Jika ingin menjamu selera, kedai-kedai makan masakan Melayu, Jawa atau Siam sedia menanti pengunjung. Bagi penggemar keenakan cendol tradisional, jangan lupa singgah di beberapa gerai makan di sepanjang jalan dari Kuala Selangor ke Tanjong Karang.
Mohd.Afandi berkata, pengunjung yang berminat untuk menginap di Firefly Villa boleh membuat tempahan melalui e-mel atau menghubunginya dengan merujuk laman sesawang yang menyediakan perkhidmatan hotel dan resort.
Katanya, harga tempahan adalah berubah mengikut musim percutian di Eropah dan di dalam negara bagi memastikan Firefly Villa dapat terus bersaing dengan lain-lain pengusaha pusat percutian.
Seorang pengunjung di vila itu, Aziana Mohamad Aripin, 40, berkata, dia berasa tenang apabila berpeluang menginap di vila tersebut dengan suasana malam yang damai.
''Saya dan keluarga berasa selesa dengan suasana di vila ini terutama anak-anak yang dapat mandi-manda di kolam renang dengan penuh privasi tanpa gangguan ramai pengunjung.
''Sarapan ala kampung sungguh enak dan kemudahan di sini juga amat memuaskan hati. Siapa sangka di dalam Kampung Gulang-Gulang ini, ada sebuah vila indah yang amat mendamaikan," katanya yang baru pertama kali berkunjung ke vila tersebut.

Selami sejarah Kota Melaka


HAMPIR semua muzium di negeri Melaka menyediakan ruang pameran yang menarik bagi menghidupkan suasana tertentu.
SEBUT sahaja negeri Melaka, kita sudah tentu terbayang sebuah negeri yang penuh dengan sejarah dan menjadi bukti keunggulan pemerintahan kesultanan Melayu suatu ketika dahulu.
Penulis baru-baru ini melawat seluruh bandaraya Melaka bagi melihat sendiri monumen serta mengimbau kembali sejarah negeri berkenaan yang sebelum ini hanya dibaca melalui buku teks ketika bersekolah.
Perjalanan yang hanya mengambil masa kira-kira dua jam menggunakan Lebuhraya Utara Selatan bagai tidak terasa apabila melihat masih banyak bangunan lama di kota Melaka.
Setelah parkir kenderaan, penulis bersama teman membuat keputusan untuk bersiar-siar dengan hanya berjalan melawat muzium dan tempat-tempat bersejarah.
Sudah tentu Kota A Famosa menjadi pilihan pertama dilawati kerana kota peninggalan penjajah Portugis berkenaan terkenal dan menjadi sebutan setiap rakyat Malaysia apatah lagi pelancong luar negara.
Ternyata pintu gerbang yang dinamakan Santiago berkenaan masih berdiri utuh walaupun sebahagiannya telah runtuh dimamah usia.
Penulis menggunakan peluang untuk bergambar di kawasan sekitar sebelum meneruskan lawatan ke panel 6 iaitu runtuhan Gereja St. Paul yang terletak tidak jauh daripada lokasi pertama kami.
Setelah selesai, kami meneruskan lawatan ke Istana Kesultanan Melaka yang dibina berdasarkan reka bentuk istana sebenar Kesultanan Melaka suatu ketika dahulu.
Kami menghabiskan kira-kira dua jam di dalam istana berkenaan untuk melihat setiap bahan pameran yang nyata berjaya membuatkan pelawat seolah-oleh berasa seperti berada pada zaman pemerintahan kesultanan yang terkenal itu.
Selesai melawat istana berkenaan, penulis bersama teman terus menuju ke beberapa muzium di kawasan sekitar seperti Muzium Sastera dan Muzium Yang Dipertua Negeri Melaka sebelum menikmati cendol istimewa yang dikenali sebagai Celdol Jam Besar bertentangan Gereja Christ Melaka.
Penat berjalan, penulis membuat keputusan untuk makan terlebih dahulu di Hard Rock Cafe Melaka sebelum singgah ke Jonker Walk yang mula dibuka pada waktu petang sehingga tengah malam.
Lawatan kami ke bandar bersejarah ini sememangnya bermakna kerana dapat mengimbau betapa hebatnya negeri ini yang menjadi tumpuan pedagang seluruh dunia di samping pemerintahan agung Kesultanan Melayu Melaka. - AZRIN

Hotel Raudah penuhi cita rasa

Satu sudut pandangan Restoran Lazzezz di Hotel Raudah, Kota Bharu, Kelantan.
TERLETAK di tengah-tengah bandar Kota Bharu, Hotel Raudah yang mula beroperasi sejak 2007 lalu menjanjikan kelainan kepada pengunjung yang mencari lokasi penginapan yang senang dikunjungi dan memiliki pelbagai kemudahan di satu tempat.
Berkonsepkan ciri-ciri keislaman baik dari segi hiasan dalaman mahupun pengurusannya, Hotel Raudah juga merupakan satu-satunya hotel di negeri ini mengamalkan konsep tersebut.
Pastinya sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam hotel berkenaan pengunjung akan terpesona dengan kesempurnaan dan keindahan di hotel tersebut.
Bertapak di Jalan Maju di sini, Hotel Raudah juga berhampiran dengan beberapa lokasi menarik seperti Kampung Kraftangan, Pasar Siti Khadijah, Restoran Nasi Ulam, Muzium Kraftangan, Bazar Tengku Anis, Stadium Sultan Muhammad IV dan banyak lagi.
Hotel Raudah yang mempunyai 1001 kelebihan tersendiri itu menawarkan suasana bilik yang luas dan selesa serta bilik yang dihias begitu indah dengan harga yang sangat berpatutan.
Hotel tersebut memiliki 56 bilik dengan pelbagai kategori termasuk Superior Queen, Twin, Deluxe Triple, Family Room dan Family Deluxe mampu memenuhi keperluan setiap pengunjung.
Bagi bilik Superior Queen dan Superior Twin, pengunjung hanya perlu membayar RM130 manakala bilik Deluxe Triple pula sebanyak RM155.
Bagi bilik Family Room pengunjung hanya perlu membayar RM175 dan Family Deluxe pula sebanyak RM180.
Dengan harga yang sangat berpatutan, setiap bilik penginapan itu juga dilengkapi dengan perkhidmatan WiFi percuma, peti simpanan deposit, televisyen satelit dengan skrin rata serta peti ais mini yang pastinya menjanjikan kepuasan buat pengunjung.
Pengarahnya, Mohd Fakhrul Anuar Mustapa berkata, selain itu hotel Raudah juga memiliki kemudahan dewan seminar yang serba lengkap boleh memuatkan sehingga 40 orang.
Sementara itu, tambahnya, bagi pengunjung yang ingin menjamu selera pula, terdapat restoran Lazzezz di tingkat bawah dengan pelbagai pilihan hidangan sama ada bufet antarabangsa, cita rasa Asia atau masakan Melayu dan Cina.

Makang Sekak Sekak Nok untuk penggemar stimbot


Restoran Makang Sekak Sekak Nok di Kuala Terengganu menyajikan masakan berasaskan stimbot.
Makang Sekak Sekak Nok sebutan loghat Terengganu asli yang membawa makna makan setakat yang anda mahukan. Begitulah nama sebuah restoran berasaskan stimbot yang terletak di pinggir pusat bandar raya Kuala Terengganu.
Namanya yang unik, spontan mengundang rasa ingin tahu dan bagaikan satu daya tarikan untuk menjengah masuk ke dalam restoran yang mula beroperasi pada Disember tahun lalu.
Dengan slogan Makang Sekak Sekak Nok, Biar Se'eh Perot Baru Bayor (makan setakat yang anda mahu, biar betul-betul kenyang baru bayar) bagi kebanyakan pengunjung, apa yang mereka bayar untuk mengecapi hidangan agak berbaloi.
Menurut pengusahanya, Ermita Razali, 29, atau lebih dikenali sebagai Emy, idea penubuhan restoran itu tercetus sejak dia masih menuntut di Universiti Teknikal Malaysia (UteM) di Melaka kira-kira lima tahun lalu.
Pada masa itu katanya, dia sering mengunjungi restoran stimbot yang terletak berdekatan dan mengimpikan untuk membuka sebuah restoran dengan konsep yang sama di negeri kelahirannya.
"Secara kebetulan pula, bapa saudara saya yang terlibat dalam bisnes restoran ini juga mengimpikan hasrat yang sama. Jadi, kami bina restoran ini secara perkongsian.
"Lagipun, lepas belajar, saya juga telah menceburkan diri dalam industri ini dan berpengalaman hampir tiga tahun walaupun pada asalnya mempunyai ijazah dalam bidang multimedia," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Selain menyajikan pelbagai pilihan makanan laut seperti udang segar, filet ayam yang diperap dengan bahan istimewa, paru lembu, daging, sotong dan ayam, restoran itu turut menyediakan buah-buahan dan aiskrim sebagai pencuci mulut.
Turut disediakan ialah minuman panas, ice-blended serta sajian tradisional seperti nasi goreng, mi dan sebagainya.
Jelas, Emy yang juga Pengarah Urusan restoran berkenaan, semua makanan yang disediakan adalah berbentuk bufet dan disediakan sendiri dengan bantuan 10 orang kakitangannya.
Selain itu katanya, harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu RM23.90 bagi dewasa dan RM13.90 untuk kanak-kanak manakala pelajar sekolah yang mengunjungi restoran itu di antara pukul 4 petang hingga 7 malam pula hanya dikenakan bayaran sebanyak RM19.90.
Terletak di bangunan dua tingkat menjadikan restoran tersebut sebagai satu lokasi yang sempurna untuk mengadakan makan malam penghargaan syarikat, parti sambutan hari lahir dan sebagainya.
"Saya bersyukur kerana dalam tempoh hampir lima bulan ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada penduduk setempat mahupun pelancong.
"Justeru, kami sedang menimbangkan untuk mempelbagaikan lagi menu di sini termasuklah menyediakan nasi dagang dan keropok lekor yang juga merupakan makanan utama di negeri ini selepas ini," katanya.
Berdasarkan sambutan yang memberangsangkan itu juga, pihaknya telah membuka satu lagi cawangan di Jalan Melati, Dungun Februari lalu yang diuruskan oleh bapa saudara Emy, Sha'rie Mat Rani, 50.
"Syukur Alhamdulillah, restoran itu juga mendapat sambutan yang baik walaupun baru dua bulan beroperasi. Kami juga sedang merangka pelbagai program untuk mempromosikan restoran ini selepas ini," katanya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130525/pl_02/Makang-Sekak-Sekak-Nok-untuk-penggemar-stimbot#ixzz2XDF7JHi8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Fishing Bay Resort gamit pengunjung


FISHING Bay Resort, Air Papan Johor masih mengekalkan ciri-ciri alam semulajadi.
BUNYI desiran ombak, lambaian dedaun kelapa dan keindahan pantai semula jadi yang belum dinodai sudah cukup menterjemahkan keindahan Fishing Bay Resort sebagai destinasi istirehat yang ideal untuk seisi keluarga.
Terletak di daerah Mersing, pengunjung mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke Fishing Bay Resort di Teluk Buih, Air Papan, Johor itu.
Perasaan tenang dapat dirasai sebaik menjejakkan kaki ke resort itu. Sepanjang menginap di bilik yang mengadap Laut Cina Selatan itu, setiap pengunjung pasti dapat menghirup udara segar sambil ditemani deruan ombak yang memecah pantai.
Ditambah pula dengan kicauan unggas di celah-celah pohon kelapa bersama hembusan bayu yang menyamankan, pastinya percutian di resort itu meninggalkan nostalgia terindah.
Sememangnya suasana seperti itu menjadi tarikan destinasi pelancongan yang sewajarnya menjadi pilihan bagi mereka yang ingin keluar daripada keriuhan dan hiruk-piruk bandar untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.
Fishing Bay Resort dimiliki Norazilah Mohd. Khalid dan di kawasan seluas 1.2 hektar. Ia adalah lokasi yang menarik bagi mereka yang gemarkan keindahan alam semula jadi.
Resort yang dibuka sebagai tempat peranginan eksklusif pada tahun 2000 itu diapit oleh Teluk Buih dan begitu popular dalam kalangan pelancong Singapura.
Kemudahan penginapan di resort itu meliputi 30 bilik daripada jenis standard, superior, family, deluxe dan junior suite.
Pengurus resort itu, Harmizi Nopura, 32, berkata, bagi mengekalkan keindahan semula jadi dan ciri tradisional serta memastikan pengunjung menyimpan kenangan manis yang sukar dilupakan, resort itu menyediakan segala kemudahan sama ada untuk berehat, beriadah, berhibur dan bersantai.
“Pengunjung bukan sekadar menikmati keseronokan di resort, malah mereka boleh melakukan sukan pantai, mengadakan aktiviti laut seperti memancing, snorkeling, mandi manda dan melawat Pulau Gajah yang mempunyai sebuah gua yang terletak lapan kilometer dari resort ini," katanya kepada S2.
Bagi pengunjung yang inginkan cabaran, mereka berpeluang menjelajah dan mendaki bukit bersebelahan resort untuk melihat secara dekat pelbagai spesies tumbuhan sambil menikmati pemandangan indah Laut Cina Selatan.

FISHING Bay Resort di Air Papan, Johor menyediakan pelbagai aktiviti riadah termasuk memanah.
Pengunjung juga boleh mencuba kemudahan rekreasi termasuk memanah, berbasikal dan bermain bola tampar. Bagi penggemar sukan air, tidak sah jika tidak menguji keberanian dengan berkayak, memancing, snorkeling dan menaiki banana boat sambil melayan cabaran gelora ombak.
Hamizi memberitahu, Restoran Baywatch Cafe pula menyajikan makanan ala Barat dan Thailand, selain makanan tempatan yang sentiasa membuka selera pengunjung.
“Bagi menjaga tahap perkhidmatan yang berkualiti dan suasana damai yang eksklusif, resort kami boleh menampung seramai 100 tetamu dalam satu-satu masa.
“Pengunjung pasti berpuas hati kerana Fishing Bay Resort bukan sahaja menyediakan segala yang diperlukan dalam menikmati suasana rehat yang damai dan menyeronokkan," tambahnya.
Menurutnya, yang penting sekarang adalah menjaga dan meningkatkan mutu perkhidmatan kakitangan resort.
Ini kerana katanya, layanan mesra kepada pengunjung sama ada pelancong tempatan mahu luar negara menjadi kunci kejayaan sesebuah resort.
Dari segi harga bilik pula, katanya, kadar pada hari biasa untuk jenis standard adalah RM118 sebilik, superior (RM168), family (RM228), deluxe (RM268) dan junior suite (RM488), manakala pada hujung minggu dan cuti sekolah, bilik standard berharga RM188, superior (RM238), family (RM378), deluxe (RM346) dan junior suite (RM588).
“Apabila ramai yang melancong pada waktu puncak seperti musim cuti persekolahan dan perayaan, resort ini akan menjadi terlalu sibuk. Jadi, kadar diskaunnya agak terbatas," katanya.
Resort tersebut turut menawarkan pakej bulan madu dua hari satu malam bermula pada harga RM380 bagi setiap pasangan, selain turut menyediakan pakej keluarga, ulang tahun dan percutian bajet.
“Kami memberi pilihan kepada pelanggan untuk memilih pakej yang sesuai berdasarkan bajet mereka. Apa yang penting, kami tidak akan menawarkan apa yang telah ditawarkan oleh pesaing kami.
“Bagi kami, apa yang penting adalah dapat membangkitkan kenangan terindah kepada pengunjung dan menjadikan resort ini pilihan utama destinasi pelancongan rakyat negara ini," katanya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130518/pl_01/Fishing-Bay-Resort-gamit-pengunjung#ixzz2XDEGN1UT
© Utusan Melayu (M) Bhd