DESIRAN air terjun di Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Selangor bagaikan memanggil-manggil sembilan anak muda berpangkat eksekutif di salah sebuah syarikat pembinaan terkemuka di ibu negara yang jarang berpeluang menikmati panorama indah di situ.
Perjalanan sejauh 70 kilometer dan mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit itu dimulakan seawal pagi menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dengan lancar, ditambah pula ketika itu ramai warga kota pulang ke kampung sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Setibanya kami di kawasan Santuari Ikan Sungai Chiling, kami bersarapan terlebih dahulu di kawasan parkir kereta sebelum memulakan aktiviti meredah hutan dan menyusuri aliran sungai yang jernih ke kawasan air terjun yang terletak di puncak bukit.
Setiap pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM1 untuk masuk ke kawasan berkenaan dan bagi yang datang buat pertama kali, anda akan diberikan taklimat serba sedikit mengenai kawasan dan laluan pendakian.
Perjalanan kami menuju ke kawasan air terjun mengambil masa kira-kira satu jam dengan melalui kawasan denai, halangan pokok tumbang dan air sungai yang dalam tetapi tidak cukup deras sehingga membahayakan pengunjung.
Pengunjung dinasihatkan agar bersiap sedia untuk basah sepanjang perjalanan untuk sampai ke kawasan air terjun tersebut.
Setibanya kami di kawasan air terjun, perkara utama yang terdetik di fikiran adalah kepuasan apabila berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi yang menghijau.
Kami mengambil peluang untuk mandi-manda di situ serta berasa amat teruja apabila dapat merasai pergerakan ikan yang banyak berenang bebas.
Bagi menarik perhatian ikan, pihak pengurusan santuari ada menyediakan paket-paket makanan ikan untuk anda berikan kepada ikan-ikan tersebut.
Selang beberapa jam, kami memutuskan untuk pulang. Dalam perjalanan pulang, ketika kami melalui kawasan empangan yang cantik, ada perkara yang mencuri pandangan kami di tepi jalan raya yang kami lalui.
Jangan terkejut sekiranya anda melihat beberapa buah kenderaan berhenti di tepi jalan raya bagi mendapatkan air mineral semula jadi yang terhasil di celah bukit tersebut.
Kami turut tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri air mineral semula jadi tersebut dan ternyata ia cukup menyegarkan.
Perjalanan pulang diteruskan dan kami sampai di Kuala Lumpur tepat pukul 6.30 petang. Kepenatan yang dialami amat berbaloi dan kami semua berasa sangat puas serta merancang untuk kembali lagi suatu hari nanti. - FAIZ FUAD, KUALA LUMPUR
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130622/pl_01/Panggilan-Santuari-Ikan-Sungai-Chiling#ixzz2XHQUBOgl
© Utusan Melayu (M) Bhd