Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KEPENATAN memandu hampir satu jam setengah ke lokasi percutian dari bandar raya Shah Alam ke sebuah desa di Tanjong Karang, Selangor hilang tatkala melihat sebuah vila yang sebelum ini ditatap ketika melayari laman promosinya dalam enjin carian Google di Internet.
Vila indah yang dinamakan Firefly Villa itu terletak di Kampung Gulang-Gulang yang terkenal dengan tarikan kelip-kelip.
Setelah masuk ke vila tersebut melalui pintu klasik ala Bali dan melihat panorama rimba di sekeliling vila percutian itu, pastinya ia menjanjikan sesuatu yang berbeza.
Pemilik vila yang peramah, Mohd.Afandi Alias, 59, menyambut mesra kedatangan tetamu dan tidak lokek memberikan maklumat mengenai vila tersebut serta kemudahan-kemudahan yang disediakan.
Katanya, vila percutian itu dibuka sejak September 2011 setelah beliau bersara daripada sebuah syarikat swasta.
''Saya mengusahakan vila ini bersama isteri, Azizah Kadis. Setakat ini, vila yang kami usahakan dikunjungi bukan sahaja pelancong tempatan, malah menjadi tarikan pelancong asing yang inginkan kelainan," katanya kepada S2.
Mohd. Afandi berkata, vila tersebut menawarkan empat bilik penginapan yang berharga daripada RM788 bagi bilik jenis King sehingga serendah RM266 satu malam.
Bagi pengunjung yang datang bersama keluarga, anak-anak pasti dapat menikmati percutian yang meriah di desa tersebut kerana vila berkenaan juga menyediakan kemudahan kolam renang.
Tentunya, anak-anak kecil gembira untuk menghabiskan masa berjam-jam berendam di kolam renang.
Suasana perkampungan yang nyaman dengan udara yang segar pasti menenangkan fikiran, sekali gus melupakan seketika hiruk pikuk di kota.
Setelah penat berenang di dalam kolam, pengunjung pasti mahu mencari juadah untuk menjamu selera.
Bagi mengekalkan suasana percutian di desa, pengurusan vila tersebut menyediakan masakan kampung selain makanan Barat untuk mereka yang inginkan kelainan.
''Kami ada menyediakan nasi lemak, lempeng cicah sambal, kuih-muih seperti kuih koci, selain sarapan ala Barat untuk tetamu dari luar negara.
''Kebanyakan pelancong suka mencuba makanan kampung dan makanan paling mereka gemari adalah nasi goreng," kata Mohd. Afandi.
Percutian di kawasan desa juga memberikan peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak melihat pemandangan sawah padi yang menghijau di kawasan jelapang padi di sekitar Tanjong Karang, selain menyaksikan sendiri keindahan malam yang disinari cahaya sang kelip-kelip di Kampung Kuantan.
Jika ingin menjamu selera, kedai-kedai makan masakan Melayu, Jawa atau Siam sedia menanti pengunjung. Bagi penggemar keenakan cendol tradisional, jangan lupa singgah di beberapa gerai makan di sepanjang jalan dari Kuala Selangor ke Tanjong Karang.
Mohd.Afandi berkata, pengunjung yang berminat untuk menginap di Firefly Villa boleh membuat tempahan melalui e-mel atau menghubunginya dengan merujuk laman sesawang yang menyediakan perkhidmatan hotel dan resort.
Katanya, harga tempahan adalah berubah mengikut musim percutian di Eropah dan di dalam negara bagi memastikan Firefly Villa dapat terus bersaing dengan lain-lain pengusaha pusat percutian.
Seorang pengunjung di vila itu, Aziana Mohamad Aripin, 40, berkata, dia berasa tenang apabila berpeluang menginap di vila tersebut dengan suasana malam yang damai.
''Saya dan keluarga berasa selesa dengan suasana di vila ini terutama anak-anak yang dapat mandi-manda di kolam renang dengan penuh privasi tanpa gangguan ramai pengunjung.
''Sarapan ala kampung sungguh enak dan kemudahan di sini juga amat memuaskan hati. Siapa sangka di dalam Kampung Gulang-Gulang ini, ada sebuah vila indah yang amat mendamaikan," katanya yang baru pertama kali berkunjung ke vila tersebut.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130608/pl_01/Firefly-Villa-janjikan-kedamaian#ixzz2XDIXBsLN
© Utusan Melayu (M) Bhd