Carian Maklumat di sini

Custom Search

Monday, June 29, 2009

Perahu naga tarik pelancong


KOTA KINABALU 29 Jun - Pesta Perahu Naga Sabah yang diadakan setiap tahun di Sabah merupakan salah satu acara paling menarik dan ditunggu-tunggu oleh peminat sukan ini dari merata tempat, termasuk menjadi elemen tarikan pelancong.

Meskipun perlumbaan itu berakar umbi daripada budaya Cina, namun ia kini semakin didominasi oleh kaum lain dan tidak keterlaluan dikatakan hingga menenggelamkan penguasaan kaum Cina.

Dalam sejarah perlumbaan perahu negara di Sabah, pasukan yang paling menyinar ialah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran yang merupakan juara bertahan dalam kategori utama iaitu Trofi Yang Dipertua Negeri Sabah.

Ramai yang tidak menyangka bahawa PPK Tuaran merupakan pasukan paling veteran dalam sejarah perlumbaan perahu naga sejak ia mula diadakan pada 1985.

Mereka sebenarnya bukan calang-calang peladang kerana telah beraksi selama sembilan tahun dan bergelar juara kategori utama sebanyak tiga kali.

Kekuatan yang dimiliki oleh para peladang ini harus dipuji apabila mampu bertahan dan popular di kalangan penggemar sukan itu mengatasi pasukan lain.

Peserta paling veteran pasukan ini, Madrasat Walid, 42, berkata, mereka sangat gembira dan berbangga dengan pencapaian pasukan itu sejak mula aktif pada 2000.

''Kami semua pekerja ladang dan itulah kelebihan kami. Sukan ini sudah sebati dengan kami. Setiap tahun kami menunggu ketibaan perlumbaan ini dengan penuh semangat.

''Menang atau kalah adalah perkara kedua kerana yang penting kami layak dan dapat berlumba. Itu sudah cukup memuaskan hati kami. Tetapi, apa pun kami sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi pasukan yang hebat.

''Kami mahu buktikan pasukan veteran seperti kami masih mampu memberikan saingan kepada pasukan baru," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam perlumbaan kali ini, PPK Tuaran membuktikan kehebatan mereka apabila menjuarai Trofi Yang Dipertua Negeri Sabah bagi tiga tahun berturut-turut.

Mereka yang berlumba dalam garisan nombor tiga disaingi oleh Pasukan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang sekadar meraih tempat kedua.

Ditanya mengenai persiapan setiap kali menjelang perlumbaan, Madrasat berkata, mereka hanya mengambil masa selama dua minggu berlatih setiap hari di Sungai Tuaran.

''Untuk mengikut perlumbaan kami hanya perlu menjalani latihan intensif dua minggu. Ini kerana, pada hari-hari biasa pun kami berlatih walaupun tiada pertandingan.

''Ia adalah rutin kami. Setiap petang, selepas bekerja di ladang kami semua akan berlatih," ujarnya.

Madrasat memberitahu, pasukan perahu naga dianggotai seramai 20 pelumba. Ia termasuk seorang pemukul gendang dan ketua pasukan yang menjadi 'tukang sorak' ketika berlumba.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan hasrat bahawa pasukannya bercita-cita untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

''Kami telah lama menyimpan hasrat bertanding di luar negara, namun masih belum ada peluang kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar.

''Justeru, kami berharap kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri dapat membantu merealisasikan impian kami beraksi dalam perlumbaan yang lebih besar," ujarnya.

Selain Sabah, sebanyak 70 pasukan termasuk dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Pulau Pinang mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang diadakan di Teluk Likas.

Perlumbaan Perahu Naga Sabah Ke-24 dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Peter Pang Eng Yin.

Wednesday, March 18, 2009

Riuh di bendang



Pelajar Korea bergambar bersama keluarga angkat.

Mengangin padi, tangkap belut aktiviti di Homestay Sungai Haji Dorani

SETIAP kali menjamah nasi, hati selalu tertanya-tanya bagaimana pesawah mengerjakan bendang dengan tenaga empat kerat. Apa agaknya keseronokan yang menanti andai diluangkan masa dua hari di desa dengan panorama sawah menghijau saujana mata memandang?

Tidak bertangguh lagi, penulis mencari destinasi sesuai bagi mengembalikan kenangan desa tercinta terutama keseronokan bermain di bendang. Kesempatan hujung minggu baru-baru ini diambil untuk meninggalkan hiruk pikuk di Kuala Lumpur dan menuju ke Homestay Sungai Haji Dorani di Sungai Besar, Selangor, yang terkenal dengan aktiviti pertanian.Lawatan sekumpulan pelajar dari Korea yang menyertai program pertukaran pelajar dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di lokasi sama menambah warna keseronokan percutian hujung minggu itu.

Sabtu

12 tengah hari :
Selepas menikmati makan tengah hari, penulis memulakan perjalanan ke Homestay Sungai Haji Dorani di Sungai Besar, Selangor. Perjalanan mengambil masa hampir dua jam meredah kesesakan di Kuala Lumpur sebelum menuju ke lokasi yang pastinya menjanjikan keseronokan.

AKTIVITI memancing belut antara tarikan di Homestay Sungai Haji Dorani.

2 petang :

Penulis tiba di perkarangan Homestay Sungai Haji Dorani. Ketika itu, dilihat sekumpulan pelajar dari Korea dan penuntut UiTM sedang sibuk membawa keluar barangan dari bas yang membawa mereka.

Suasana mula riuh rendah terutama pelajar Korea yang petah berbual dalam bahasa ibunda. Biarpun tidak difahami setiap patah perkataan yang diucapkan, keseronokan jelas dilihat di wajah mereka yang tidak sabar-sabar memijakkan kaki ke sawah.

2.30 petang : Sambil memerhatikan gelagat lucu kumpulan pelajar Korea, penulis menikmati hidangan petang yang disediakan di homestay ini. Sambil menjamu selera, mata meliar melihat keindahan suasana kampung. Hati terus menjadi lapang dan terlupa tugas rutin di pejabat dan kesibukan Kuala Lumpur.

Pelajar Korea menunjukkan kebolehan menumbuk padi secara tradisional.

Penulis kagum dengan keramahan penduduk kampung yang selalu tersenyum dan mengangkat tangan sebagai tanda perkenalan dan selamat datang.

3 petang : Selepas mendengar taklimat ringkas, penulis menyertai kumpulan pelajar menuju ke sebuah rumah yang letaknya tidak jauh iaitu di tepi bendang. Di sini, kami melihat sendiri aktiviti memproses padi secara tradisional.

Selain menumbuk padi, pelajar mengambil kesempatan menunjukkan kebolehan mengangin padi. Walaupun musim menuai padi sudah berakhir bulan lalu, namun kemeriahan masih dirasai di bendang.

4.15 petang : Meneruskan aktiviti, kumpulan pelajar dibawa memancing belut. Setiap pelajar dibekalkan dengan sebatang joran pendek yang diperbuat daripada buluh dan diberi umpan organ haiwan.

Dalam cuaca terik sesekali dihembus angin petang, kumpulan pelajar terbabit bersemangat memancing belut. Pengalaman ini amat berharga terutama bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke bendang dan memancing belut.

Sesi ini sungguh menyeronokkan kerana pelbagai aksi lucu dapat dilihat. Letih menunggu, seekor belut pun tidak terkena umpan! Bagaimanapun, pelajar tetap gembira dan puas bermain di tali air sawah.

5 petang : Bagi menambah aktiviti percutian di Homestay Sungai Haji Dorani, kami dibawa melawat ruang mewarna batik canting. Penulis juga diberi peluang mewarna batik mengikut kreativiti sendiri.

Sambil menunggu pelajar menyiapkan tugasan mewarna batik, pemilik rumah menghidangkan jamuan ringan. Penulis mengambil kesempatan untuk berkenalan dan mendengar celoteh tuan rumah.

6.30 petang : Selepas seharian melakukan aktiviti luar, pelajar diserahkan kepada ibu bapa angkat. Sudah semestinya peluang ini digunakan untuk mengeratkan hubungan selain mendalami budaya dan adat resam tempatan.

8.30 malam : Selepas membersihkan diri, penulis dijemput menikmati makan malam bersama keluarga angkat.

9.30 malam : Penulis menyertai kumpulan pelajar Korea berkumpul di perkarangan untuk menyaksikan keunikan masyarakat desa meraikan pasangan pengantin.

Pelajar yang dipilih menjadi 'pengantin segera' disarung persalinan pengantin serba lengkap.

Suasana mula riuh rendah apabila 'pengantin' diusik rakan-rakan. Kedua-dua mempelai diarak dengan paluan kompang mengiringi ke pentas persandingan.

Bagi memeriahkan majlis, pelajar juga berpeluang melakukan acara merenjis pengantin bagaikan majlis perkahwinan sebenar.

10.30 malam : Kami disajikan dengan persembahan tarian kuda kepang. Tidak lengkap rasanya jika tidak mencuba sendiri keseronokan tarian kuda kepang. Sedang leka menikmati keasyikan tari, lampu di perkarangan tiba-tiba terpadam.

Apabila lampu dihidupkan semula, jeritan penonton memecahkan suasana. Rupa-rupanya kelibat penari bertopeng mengejutkan mereka sebaik lampu terang.

Menutup tirai, pelbagai watak dipamerkan dalam acara Barongan yang menjadi kesinambungan segmen tarian kuda kepang.

Ahad

8.30 pagi :
Selepas membersihkan diri, penulis sempat menghirup udara pagi yang segar. Memang benar, keasyikan suasana desa pada waktu pagi, sungguh mendamaikan. Penulis kemudian menikmati sarapan bersama keluarga angkat.

10.30 pagi : Selesai menikmati hidangan pagi, kami dibawa menaiki bas menuju ke premis perniagaan yang diusahakan penduduk kampung. Selain melawat Nandong Food Industries, pelajar sempat membeli kerepek, baulu dan makanan ringan untuk di bawa pulang.

12.15 tengah hari : Kami meneruskan perjalanan menuju sebuah rumah keluarga angkat untuk menikmati air kelapa. Sungguh melegakan...

1 petang : Masa untuk pulang. Terasa cepat perjalanan waktu di desa ini. Pengalaman di Homestay Sungai Haji Dorani tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Keseronokan menanti di Homestay Sungai Haji Dorani

HOMESTAY Sungai Haji Dorani dibuka sejak 1996. Lokasi ini menjadi daerah jelapang padi terbesar di Selangor. Aktiviti kemasyarakatan dalam suasana pelancongan pertanian menjadi teras percutian homestay ini.

Pelancong yang menginap di Homestay Sungai Haji Dorani dijanjikan pengalaman menarik melalui pelbagai aktiviti. Malah pusat percutian ini mampu dijadikan pusat aktiviti sukan lasak, sesi motivasi dan program seperti hari keluarga.

Pengurus Homestay Sungai Haji Dorani, Abdul Rahman Daud berkata, pengunjung boleh menikmati kehidupan desa dan melakukan rutin harian penduduk tempatan.

"Homestay ini adalah pilihan terbaik bagi mereka yang sukakan keindahan desa terutama sawah dan keheningan pantai.

"Keseronokan memancing belut misalnya pasti menjanjikan pengalaman manis buat pengunjung," katanya ketika ditemui.

Abdul Rahman berkata, kemudahan chalet di atas petak sawah disediakan kepada pengunjung.

Beliau berkata, pihaknya merancang menawarkan pakej percutian bagi pengunjung yang mahu menikmati bulan madu dalam suasana desa.

Sementara itu, pelajar Korea, Kim Suji berkata, lawatan ke Homestay Sungai Haji Dorani memberi kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

"Selain dapat tinggal bersama keluarga angkat, layanan mesra dan juadah enak cukup menjadikan homestay ini menarik untuk dikunjungi siapa saja," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kemudahan di Homestay Sungai Haji Dorani boleh menghubungi Abdul Rahman Daud di talian 013-6077025 atau mengirim e-mel ke doranihomestay@yahoo.com.

Bercanda di Desaru





Pantai memutih, laut biru tarikan keluarga

SEJAK akhir-akhir ini, kempen ZOOM! Malaysia yang dikendalikan Kementerian Pelancongan giat mempromosikan pusat peranginan Desaru di Johor sebagai destinasi percutian hebat.

Biarpun memiliki tarikan tersendiri, Desaru bagaimanapun hanya popular di kalangan penduduk di selatan Semenanjung termasuk Singapura. Ini mungkin disebabkan faktor lokasinya di mana jika dari Kuala Lumpur, kita perlu memandu sekurang-kurangnya lima jam untuk bermain air di pantai ini.Keunikan Desaru membuatkan penulis teruja melihat sendiri keindahan pantainya. Lebih-lebih lagi, Desaru sering menjadi tempat pertandingan acara sukan luncur air yang berpotensi dijadikan produk pelancongan sukan negara. Keluasan pantai dan ombak besar menjadikan kelebihan Desaru menarik kedatangan peminat sukan luncur air.

Sempena cuti hujung minggu, penulis mengambil peluang bersama keluarga berkunjung ke Desaru. Malah, inilah kali pertama penulis memandu bersendirian ditemani anak-anak hingga ke selatan tanah air.

Ikuti pengalaman menyeronokkan bersantai di Desaru yang sesuai menjadi destinasi percutian keluarga.

MELAYAN perasaan di tepi Pantai Batu Layar.

Sabtu
10.30 pagi :
Kami memulakan perjalanan menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Johor. Tiga jam kemudian, kami tiba di susur keluar ke Tol Kulai. Sebaik tiba di persimpangan menghala Kulai, penulis terpandang kain rentang tertera 'Selamat Pengantin Baru Mawi-Ekin' serta anak panah menuju Felda Taib Andak.

Sejenak itu, penulis yakin sedang melalui jalan yang betul.

2 petang : Setibanya di pekan Kulai, penulis mengeluh menyedari Desaru berada pada jarak 109 kilometer lagi berdasarkan maklumat pada papan tanda. Ingatkan sudah dekat. Sepanjang perjalanan, mata disajikan dengan suasana perkampungan Felda yang dikelilingi ladang kelapa sawit menghijau. Suasana kampung yang tenang melekakan hingga tidak terasa bosan meneruskan perjalanan.

3 petang : Lega rasanya sebaik melihat pintu gerbang tertulis 'Selamat Datang Ke Desaru'. Deretan hotel dan chalet yang menawarkan pelbagai kadar penginapan memudahkan pelancong. Sebaik memandu masuk ke perkarangan Desaru Golden Beach Resort, penulis teruja melihat persekitaran bagaikan berada di Hawaii. Apatah lagi reka bentuk chalet villa berkembar dikelilingi pokok kelapa dan palma membuatkan hati seolah-olah tidak mahu pergi ke tempat lain.

PELBAGAI barangan perhiasan yang murah ada di Ayer Hitam.

3.30 petang : Selepas check in, penulis pergi ke Kota Tinggi melalui jalan pantai. Tiba di Teluk Rumania banyak kapal dilihat berlabuh di tengah laut. Ramai juga dilihat merakamkan gambar kerana pemandangannya berbeza seolah-olah berada di luar negara.

4.30 petang : Penulis tiba di Ostrich Desaru Show Farm yang menternak kira-kira 300 ekor burung unta yang dikatakan ladang burung unta terbesar di Malaysia. Sejak dibuka pada 2001, ladang burung unta ini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Desaru, mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Saiz burung unta yang besar ini menggerunkan kita, apatah lagi melihat kakinya yang panjang dan paruh besarnya. Namun, usah bimbang kerana hanya burung jinak saja dilepaskan untuk bermesra dengan pengunjung.

Penulis diberitahu, burung unta memakan kira-kira tujuh kilogram sayur, soya serta jagung sehari dan boleh hidup sehingga 60 tahun. Burung betina boleh bertelur sehingga 1,000 biji daripada usia dua tahun hingga 25 tahun.

Selepas puas bermain dengan burung unta, anda boleh cuba merasai keenakan burger, omelet dan satay sebelum pulang. Sebaik dipecahkan, anda pasti teruja melihat isi kandungan telur itu yang banyak.

5.30 petang : Penulis pulang semula ke Desaru tetapi dalam perjalanan kami singgah di Pantai Batu Layar. Ia dinamakan Pantai Batu Layar kerana bentuknya yang seperti kapal layar. Penulis hairan melihat banyak pakaian, tilam dan selimut terdampar di tepi pantai. Menurut beberapa penduduk tempatan, pakaian itu hanyut dari kapal karam atau mungkin bot pendatang tanpa asing yang karam.

Di sini, ramai pelancong berkelah dan bermain layang-layang. Penulis sempat berbual dengan seorang Ahli Geologi, Ariffin Suhaidi yang sedang membuat kajian di situ. Menurutnya, Tanjung Balau amat menarik kerana tempat ini yang sangat nyaman.

“Jika lebih banyak kemudahan disediakan di sini, saya percaya pusat peranginan ini dapat menarik lebih ramai pelancong, khususnya rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berkata, lokasi Kota Tinggi juga menarik untuk kajian ahli geologi kerana banyak batu unik dan alam semula jadi yang terhasil daripada fenomena alam, contohnya, Batu Layar yang kelihatan seperti kapal layar.

7.30 malam : Kami bertolak ke Medan Selera yang terletak kira-kira 10 kilometer dari hotel dengan niat menikmati masakan Johor, terutama Laksa Johor, lontong dan Soto.

Ahad
8 pagi :
Selepas bersarapan, penulis bersantai di sekitar hotel sambil melayan anak-anak di kolam renang. Menariknya, pihak pengurusan hotel tidak menetapkan syarat yang ketat supaya memakai pakaian renang. Jadi ramai ibu bapa yang turut mengambil kesempatan bermain bersama anak-anak. Memang menyeronokkan.

10.30 pagi : Kami menuju ke Tanjung Balau untuk melawat Muzium Nelayan, yang terletak kira-kira enam kilometer daripada pusat peranginan Desaru. Muzium ini mempamerkan khazanah peralatan menangkap ikan tradisional dan moden.

Lokasinya berdekatan perkampungan nelayan Tanjung Balau amat sesuai dengan konsep keseluruhan kawasan ini yang bertemakan kehidupan nelayan. Muzium yang dibuka pada 1993 ini dibahagikan kepada beberapa galeri seperti kehidupan nelayan, model perahu nelayan, jenis peralatan menangkap ikan, peralatan nelayan orang-orang asli, peralatan nelayan moden, model kaedah menangkap ikan, diorama kehidupan nelayan dan galeri perahu. Bahan pameran diperoleh dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Muzium Dan Antikuiti, Arkib Negara, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta individu lain.

Tidak ketinggalan Galeri Geologi menempatkan pelbagai batuan unik yang sebahagian besarnya diperoleh di perairan Tanjung Balau. Batuan unik ini dijadikan bahan kajian pelajar universiti aliran geografi dan geologi.

Penulis tertarik dengan artifak pinggan mangkuk dan bahan dagangan sebuah kapal dagang Negara China tahun 1840-an yang karam di perairan Desaru.

Menariknya, muzium ini terletak bersebelahan pantai Tanjung Balau yang sangat bersih dengan hamparan pasir memutih dan pemandangan laut yang indah. Lokasi ini sering menjadi tempat beriadah dan berkelah bersama keluarga pada hujung minggu.

12 tengah hari : Selepas check out, kami bertolak ke Kota Tinggi dan makan tengah hari. Di sini, kami sempat singgah di di Muzium Kota Tinggi untuk melihat pelbagai koleksi bahan bersejarah mengenai Kesultanan Johor dari dulu hingga kini.

Sebaik melangkah masuk, anda disambut suasana dalam istana yang menggambarkan Sultan Alauddin Riayat Shah II (Sultan Johor II) sedang menerima mengadap Estavo Da Gamma pada 1536 untuk memeterai perjanjian perdamaian.

Pengunjung juga dapat melihat cara hidup masyarakat Johor dari dulu hingga sekarang. Ini tentunya membawa kita mengimbau kenangan zaman kanak-kanak apabila melihat peralatan memasak zaman dulu seperti periuk tanah, kendi air, lesung batu, batu giling dan dapur kayu yang kini digantikan dengan barangan elektrik.

1 tengah hari : Kami kemudian berkunjung ke Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari bandar Kota Tinggi. Siapa yang tidak ingat kisah Sultan Mahmud Shah II yang bertindak kejam membelah perut isteri Laksamana Bentan yang sarat mengandung gara-gara makan nangka sultan. Walaupun Dang Anum memberitahu dia mengidam, Sultan tidak peduli dan terus menghukumnya.

Apabila Laksamana Bentan pulang dan mendapati isteri serta anaknya mati dibunuh, dia membalas dendam dan menyerang Sultan ketika sedang dijulang oleh panglima. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Sultan Mahmud bersumpah mana-mana orang berketurunan Bintan (Laksamana Bentan berketurunan Bintan) yang menjejakkan kaki ke Kota Tinggi akan muntah darah hingga mati.

Di kawasan ini, ada kubur kecil dengan dua batu berbentuk bulat diletakkan atas kubur dikenali sebagai Makam Kucing Bertanduk. Kisahnya, kucing yang sangat disayangi Sultan Mahmud Shah II ini mempunyai tanda atas kepala seperti tanduk.

Lebih istimewa kucing ini mampu mengesan musuh yang akan datang menyerang Kota Tinggi. Namun, kucing ini mati secara tiba-tiba seminggu sebelum baginda mangkat.

3 petang : Tiba masanya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami sempat singgah di Ayer Hitam untuk membeli pasu, bunga kering, bantal dan anak patung karektor kartun serta pelbagai hiasan rumah. Seronok kerana harga di sini jauh lebih murah berbanding di Kuala Lumpur. Malah, dengan harga satu barang di Kuala Lumpur anda boleh mendapat tiga barang di sini. Tapi pastikan anda pergi awal jika anda mahu membeli-belah dengan selesa kerana kedai ditutup jam 9 malam.

FAKTA: Desaru

  • Desaru terletak kira-kira 480 kilometer dari Kuala Lumpur dan mengambil masa perjalanan kira-kira lima jam berkereta.

  • Ladang Ostrich yang terletak di Batu 15, Teluk Ramunia, Kota Tinggi dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari dan anda dikenakan tiket RM10 (dewasa) dan RM6 (kanak-kanak).
  • Corat-coret Cherating



    MENIKMATI keindahan semulajadi sepanjang Sungai Cherating.

    Aktiviti luncur, alam semula jadi tarikan pantai popular

    KEDATANGAN musim monsun di pantai timur Semenanjung tidak menghalang pelancong bersantai di pantai popular, Cherating di Pahang. Biarpun laut bergelora dan pukulan ombak besar membataskan hasrat mandi-manda di laut, namun banyak aktiviti lain boleh dilakukan di pusat percutian ini.

    Jika berkunjung ke Cherating pada musim monsun, anda berpeluang menyaksikan pertandingan meluncur peringkat tempatan dan antarabangsa yang lazimnya diadakan antara Disember hingga Mac setiap tahun. Bukan selalu pertandingan sebegini dianjurkan di Malaysia, jadi usah sia-siakan peluang ini!Selain keindahan pantai, Cherating tidak kalah dengan keunikan sungai. Sudah tentu aktiviti menyusur Sungai Cherating bertemankan keindahan alam semula jadi menjanjikan keseronokan. Jika dilakukan pada waktu malam, anda tentu terpesona dengan kehadiran kelip-kelip yang seolah-olah menjadi penyuluh perjalanan anda. Aktiviti lain yang boleh dilakukan di Cherating termasuk berkayak dan memancing.

    Sesuai dengan kedudukannya yang hampir dengan Kuantan dan Kemaman, Terengganu, percutian anda boleh dilanjutkan dengan menghabiskan masa di dua bandar ini. Tunggu apa lagi?

    Sabtu

    MELAWAT Pusat Anyaman Cherating dan gerai keropok lekor.

    8.30 pagi: Kumpulan media berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Cherating melalui Lebuh Raya Pantai Timur. Kami sempat singgah di hentian rehat Temerloh untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Cherating.

    12.15 tengahari : Selepas hampir empat jam perjalanan, kami tiba ke destinasi yang dituju iaitu pantai Cherating di kawasan Kampung Cherating Lama yang menempatkan deretan hotel dan chalet di sepanjang pantai.

    1 petang : Kami dibawa ke pantai di mana pertandingan meluncur antarabangsa, International Surfing Competition-Billabong Pro Am 2008 dilangsungkan. kami melihat peserta sedang berlatih bagi peringkat separuh akhir selepas saringan diadakan pada sebelah pagi. Orang ramai juga mula memenuhi kawasan pertandingan untuk melihat aksi peluncur tempatan dan antarabangsa pada pertandingan itu.

    2.30 petang : Selesai menonton pertandingan luncur peringkat separuh akhir, kami menuju ke chalet Tanjung Inn untuk mendaftar masuk. Chalet ini terletak di hadapan pantai iaitu berhampiran Kampung Budaya.


    3.30 petang : Sempat berehat menghilangkan penat kira-kira sejam di chalet. Kami kemudian bersiap-siap dan berkumpul semula untuk mengikuti program seterusnya iaitu menyusur Sungai Cherating.

    Kami dapat melihat lebih dekat pokok paya bakau yang menjadi benteng kiri dan kanan sungai. Sesekali kami dibawa merapati pokok bakau bagi melihat spesis reptilia berbisa, ular ketam batu yang sedang berlingkar di atas pokok. Sungai ini juga menjadi sarang kelip-kelip namun kami tidak dapat menikmati kilauan cahayanya kerana hari masih terang-benderang.

    5.15 petang : Lokasi minum petang bukanlah di Cherating, sebaliknya kami dibawa ke di bandar Kemaman, Terengganu yang letaknya hanya kira-kira 15 minit perjalanan dari Kampung Cherating Lama. Kami menjamu selera di salah sebuah kedai kopitiam di sini.

    6.30 petang : Kami pulang semula ke Tanjung Inn dan bersiap-siap untuk menikmati makan malam.

    8 malam : Kami bertolak ke Tanjung Lumpur, Kuantan dan menikmati makan malam di medan selera yang popular dengan menu makanan laut. Agak sukar meletakkan kenderaan di sini terutama hari minggu kerana dikunjungi ramai pelanggan. Jika mahu berkunjung ke sini, lebih elok membuat tempahan terlebih dulu.

    10 malam : Sebelum pulang ke Cherating, kami singgah sebentar di Teluk Cempedak. Bagaimanapun, kami terpaksa membatalkan niat untuk bersantai di pantai kerana hujan.

    Ahad

    9 pagi :
    Bagi memastikan tidak terlewat menyaksikan pertandingan meluncur peringkat akhir International Surfing Competition-Billabong Pro Am 2008, kami memilih bersarapan di kawasan berhampiran chalet.

    10 pagi : Setibanya di kawasan pertandingan, kami melihat ramai peluncur dan peminat sukan berkumpul sejak awal pagi. Beberapa kategori yang belum dihabiskan kelmarin dilangsungkan pagi ini sebelum peringkat akhir. Mujur cuaca cukup baik dan pukulan ombak boleh dikatakan memberangsangkan untuk peserta mempamerkan kehebatan mereka.

    11.30 pagi : Sementara menanti pertandingan akhir bermula, pihak penganjur mengadakan sesi demonstrasi meluncur untuk orang ramai. Pengunjung terutama remaja tidak melepaskan peluang belajar teknik asas meluncur dari peluncur profesional tempatan dan luar negara.

    12.30 tengah hari : Cuaca panas dan terik tidak menghalang pengunjung menyaksikan pertandingan akhir meluncur. Ada yang sanggup memanjat batu yang tinggi bagi melihat aksi finalis dan memberi sorakan semangat kepada peserta pilihan.

    2.15 petang : Pertandingan yang berlangsung tiga hari akhirnya sampai ke penghujung. Juara setiap kategori yang dipertandingkan menerima plak, wang tunai dan cenderahati yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Pahang, Datuk Shafiq Fauzan.

    2.40 petang : Tamat acara penyampaian hadiah, kumpulan media dibawa melawat Pusat Anyaman Cherating yang terletak berhampiran. Pelbagai produk kraftangan yang diperbuat daripada mengkuang dihasilkan penduduk tempatan. Produk seperti beg, perhiasan rumah dan tikar dijual kepada pengunjung pada harga berpatutan.

    3.15 petang : Kumpulan media berkunjung ke gerai jualan keropok lekor di Jalan Cherating menuju Kemaman. Banyak gerai makanan seperti keropok lekor dan sata boleh ditemui di sepanjang perjalanan menuju ke Kemaman.

    3.40 petang : Selesai menjamu selera, kami meneruskan perjalanan ke Kuantan untuk melihat tarikan pelancongan di bandar ini. Perjalanan dari Cherating ke Kuantan mengambil masa kira-kira 40 minit.

    4.20 petang : Tiba di Kuantan, kami melawat pusat perusahaan dan penghasilan batik, Natural Batik Village. Kami dibawa melihat demonstrasi batik. Natural Batik Village bukan saja menawarkan pelbagai produk batik malah menyediakan kelas membuat batik bagi mereka yang berminat.

    5 petang : Lokasi terakhir yang kami kunjungi ialah pusat jualan makanan kering, Sin Kee Hung. Pengunjung boleh memilih bermacam produk makanan kering seperti ikan masin, makanan laut, keropok kering dan buah-buahan yang dikeringkan pada berpatutan.

    5.45 petang : Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

    Hutan dara





    Hutan Simpan Belum sarat rahsia 130 juta tahun

    SAFARI Malaysia. Begitulah jolokan yang diberi kepada Hutan Simpan Belum di Grik, Perak. Pelawaan meneroka keunikan hutan simpan Belum yang diterima penulis baru-baru ini, cukup membuatkan teman-teman cemburu.

    Pada mulanya, sukar membayangkan suasana di Lembah Belum walaupun penulis terlebih dulu merujuk beberapa artikel memaparkan rahsia alam tropika ini sebelum bertolak. Namun, selepas menjejakkan kaki di Hutan Simpan Belum, tiada kata-kata dapat menafsirkan keindahan dan keunikan panorama Lembah Belum.


    Hutan Simpan Belum dianggap khazanah berharga bagi negeri Perak, selepas 130 juta tahun jauh menyembunyikan diri.

    Peluang berkunjung ke Hutan Simpan Belum atas jemputan Kementerian Pelancongan sempena kempen Zoom! Malaysia, nyata tidak dipersia-siakan dalam mencari rahsia alam.

    Rabu



    6 pagi: Wakil media berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk mengikuti sesi taklimat.

    7 pagi: Dengan menaiki bas milik kementerian, kami bertolak ke utara melalui Plaza Tol Jalan Duta. Lebuh raya ini mudah dihubungi dari pusat bandar Kuala Lumpur melalui Jalan Duta dan lokasi lain seperti Damansara dan Sungai Buloh. Bagi mengelak kesesakan jalan raya, penganjur mengatur perjalanan awal pagi

    10.45 pagi: Selepas dua jam perjalanan, kami tiba di susur keluar Kuala Kangsar yang menjadi laluan utama ke Hutan Simpan Belum. Perjalanan kami seterusnya berlatarkan panorama desa yang mengasyikkan. Pengunjung tidak perlu bimbang laluan yang menghubungkan lebuh raya ke destinasi dituju adalah dalam keadaan baik dan lancar.

    12.45 tengah hari: Selepas puas menikmati pemandangan desa, kami tiba di destinasi dituju. Belum Rainforest Resort yang menjadi tempat penginapan, letaknya bersebelahan jalan penghubung Kelantan-Kuala Kangsar. Keindahan Tasik Banding dan pokok hutan menjadi seolah menjadi 'pintu gerbang' menyambut kedatangan kami.


    Ketika memindah keluar barangan dibawa, jurugambar sibuk mencari tempat untuk merakamkan keindahan pemandangan Hutan Simpan Belum yang bertentangan tempat penginapan.

    Belum Rainforest Resort tidak asing di kalangan kaki pancing malah Tasik Banding dianggap syurga ikan. Namun, selepas diubahsuai Kumpulan Emkay, tempat penginapan itu lebih selesa.

    Walaupun resort agak terpencil dan sukar menemui kedai makan atau restoran di sekitarnya, hidangan yang disediakan resort tidak mengecewakan.

    Lupakan sebentar lauk ayam atau daging kerana ini masanya menikmati kesegaran ikan tasik sepuas-puasnya!

    1 petang: Pengembaraan bermula dengan wakil media dibawa bersiar-siar menaiki bot. Pakej yang disediakan resort ini adalah antara program ringan yang disediakan kepada pengunjung yang tidak gemar melakukan aktiviti lasak. Kami di bawa bersiar-siar ke sekeliling Pulau Banding, Hutan Simpan Belum, Hutan Belum dan empangan Temenggor.

    Antara tempat menarik yang menjadi tumpuan ialah Sungai Gadong iaitu tempat melihat bunga Rafflesia yang dikelilingi pokok berusia 150 hingga 600 tahun dan zon tapak haiwan liar seperti gajah, harimau dan beruang di Sira Gajah dan Sira Tersau.

    Pengunjung juga boleh menikmati keindahan tebing bukit batu di Pulau Batu Putih dan Sungai Nam yang dijadikan tapak perkelahan di kawasan ternakan ikan kelah.

    Menurut renjer, jika bernasib baik, pengunjung akan terserempak dengan haiwan seperti gajah dan harimau yang meminum air tasik selain melihat pelbagai spesis haiwan dan burung yang dikategori terancam, hidup aman tanpa diganggu aktiviti manusia.

    6 petang: Hujan lebat membuatkan kami berhenti berteduh di tanjung kecil perkampungan orang asli kampung Chueh. Walaupun teratak mereka beratap rumbia dan serba kekurangan, kehadiran kami dialu-alukan dan dilayan mesra.

    Pengunjung juga berpeluang membeli hasil kraftangan penduduk setempat seperti sumpit dan ukiran rotan untuk dibawa pulang sebagai cendera hati kepada keluarga dan teman.

    7.35 petang: Kami tiba di jeti Belum Rainforest Resort dan menikmati makan malam sebelum bergegas ke bilik untuk bersolat dan menyalin pakaian. Sekali lagi lauk kampung berasas ikan tasik atau ikan air tawar segar menjadi pilihan seperti Keli dan Kelah yang dimasak dengan cili api - cukup membuka selera dan mengenyangkan.

    9 malam: Wakil media berkumpul di perkarangan resort sebelum memulakan aktiviti meredah hutan waktu malam (night tracking). Namun ada beberapa wakil media yang tidak berani turut serta. Bayangkan, berjalan meredah hutan tanpa lampu suluh dan hanya berpandu cahaya bulan.

    Program ini memberi peluang pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi pada waktu malam. Pengunjung juga boleh mendekati habitat penghuni hutan atau 'penunggu malam' seperti kunang-kunang, labah-labah dan dedaun yang memancarkan cahaya.

    Takut? Namun berbaloi untuk dicuba kerana peluang meneroka hutan pada waktu malam akan memberi kelainan dan keseronokan. Suhu dingin dan tenang sambil didendangkan bunyian unggas pasti melegakan tekanan.

    12 malam: Program night tracking tamat dan wakil media berkumpul di perkarangan untuk aktiviti senaman ringan dan minum malam.

    Khamis

    6 pagi:
    Penganjur meminta wakil media berkumpul di perkarangan resort untuk bersarapan sebelum mengadakan sidang media bersama Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said. Kesempatan itu kami gunakan untuk menyaksikan matahari terbit. Keindahannya terserlah apabila cahaya terpancar di celah bukit bukau yang menghijau dan dipantulkan pula air Tasik Banding.

    Jika tidak dapat menyaksikan detik ini dari bilik, pengunjung berpeluang melihatnya di pelantar restoran resort.

    8 pagi: Wakil media diberi taklimat ringkas mengenai program seterusnya iaitu aktiviti lasak kenderaan pacuan empat roda 4x4. Kami dibahagikan kepada 10 kumpulan mewakili kenderaan pacuan empat roda masing-masing. Setiap kenderaan mempunyai empat penumpang dan seorang pemandu profesional.

    9.30 pagi: Kenderaan pacuan empat roda bergerak secara konvoi ke destinasi Hutan Grik yang jauhnya kira-kira 15 minit dari resort. Berdasarkan makluman peserta kembara profesional, Hutan Belum adalah antara lokasi pemanduan paling mencabar di Malaysia.

    Pelbagai halangan terpaksa dilalui termasuk meredah laluan sempit berpokok, laluan buluh, meredah anak sungai, bukit bukau dan gaung yang kadang-kala memerlukan kami turun dari kenderaan. Kenderaan terpaksa ditambat sebelum menariknya ke atas.

    Tidak dapat dilupakan pengalaman cemas apabila kenderaan 4x4 jurugambar NSTP, Zunnur Al Shafiq hampir jatuh ke dalam gaung selepas terbabas dari laluan licin. Namun, tindakan pantas pemandu profesional menambat kenderaan itu dengan kabel besi dan menariknya ke atas berjaya menyelamatkannya dari terus menjunam ke dalam gaung.

    11 pagi: Kami tiba di perhentian terakhir. Kawasan perkelahan ini amat menarik kerana menjadi tempat pertemuan dua mata air. Wakil media mengambil kesempatan menikmati kesegaran air sungai yang jernih dan sejuk sambil menjamu selera.

    12 tengah hari: Kami bertolak pulang ke resort. Perjalanan pulang kami lebih mencabar walaupun menggunakan laluan yang sama kerana masalah tayar yang tidak berbunga dan licin. Kenderaan penulis dan wakil dari The New Straits Times (NST) terpaksa ditarik oleh kenderaan 4x4 di hadapan sepanjang perjalanan keluar dari laluan itu.

    2 petang: Kami tiba di resort selepas berhempas pulas membawa keluar kenderaan pacuan empat roda keluar dari belantara. Kini masanya tiba untuk pulang. Kami bergegas mandi dan mengemas barang sebelum menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur.

    8.30 malam: Kami selamat tiba di PWTC.

    Program dua hari meneroka Hutan Simpan Belum memberikan kenangan tersendiri kepada penulis dan wakil media yang lain. Walaupun penat namun jelas keseronokan pada wajah kami.

    Fakta

  • Hutan Simpan Belum (The Royal Belum Forest) terletak di Grik, Perak.

  • Keluasan mencapai 290,000 hektar dengan lebih 146,000 hektar hutan dara. Kerajaan negeri mengkhususkan hutan simpan hanya untuk penyelidikan.

  • Hutan Belum dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Hutan Belum (lower) dan Hutan Simpan Belum (upper). Pengunjung hanya boleh meneroka Hutan Belum yang tidak diwartakan sebagai hutan simpan, manakala Hutan Simpan Belum perlu mendapatkan permit pihak berkuasa.

  • Sesuai dengan usianya yang hampir 130 juta tahun, kawasan hutan dara seluas 146,000 hektar ini menjadi habitat 25 spesis serangga dan udang yang jarang ditemui sejak beratus tahun serta tidak ada di tempat lain seluruh dunia.

  • Antara hidupan liar yang menghuni Hutan Simpan Belum adalah harimau, seladang, badak sumbu Sumatera, tapir selain antara spesis terancam seperti gajah, binturong, Malayan Sun Bears, kucing liar, harimau bintang, harimau kumbang, pelbagai spesis ular dan burung.

    Bagaimana ke sana:

  • Pengunjung boleh menaiki kereta atau bas dengan tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur hampir empat jam, Pulau Pinang dan Ipoh (kira-kira tiga jam).

  • Pengunjung yang menggunakan lebuh raya Utara-Selatan perlu mengambil susur keluar Kuala Kangsar sebelum masuk ke laluan Grik.

  • Jika pengunjung ingin menaiki bas, pengangkutan ini boleh diambil di Hentian Duta yang menyediakan perkhidmatan terus ke Pulau Banding, Gerik.

    Penginapan:

  • Pengunjung boleh memperoleh penginapan selesa di Belum Rainforest Resort yang menyediakan pelbagai pakej aktiviti menarik.

    Belum Rainforest Resort

    Pulau Banding , 33200 Grik,

    Perak Darul Ridzuan, Malaysia.

    Telefon: +6057916800

    Laman web: www.belumresort.com
  • Suara alam Taman Negara



    Peserta Program Ekspedisi Saintifik Universiti Teknologi Mara (UiTM) bergambar kenangan di hadapan stesen penyelidikan.

    Ekspedisi saintifik selongkar rahsia habitat tertua

    KEUNIKAN Taman Negara Jerantut yang kaya dengan khazanah alam cukup mempopularkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Kepelbagaian flora dan fauna, selain kesejukan air Sungai Tembeling menggamit pelancong dari seluruh dunia.

    Berkunjung lagi ke hutan penuh rahsia ini, pengalaman menyelongkar keunikan Taman Negara bersama kumpulan pengkaji cukup meninggalkan kesan.Program Ekspedisi Saintifik yang dianjurkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini membawa penulis menghayati keunikan tumbuh-tumbuhan, unggas, serangga dan hidupan alam yang melengkapkan landskap Taman Negara.

    Antara kemudahan yang dilawati ialah Stesen Penyelidikan UiTM-Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Keniam. Selain berfungsi sebagai pusat penyelidikan saintis, stesen ini juga banyak dikunjungi pelancong.

    Untuk sampai ke Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan, pelancong perlu menaiki bot selama kira-kira dua jam sambil menikmati pemandangan menarik sepanjang mudik Sungai Tembeling.



    Selain itu, aktiviti memancing di tiga lubuk ikan iaitu Keniam Kecil, Lubuk Rawa dan Lubuk Licin cukup menyeronokkan. Lebih-lebih lagi mendapat rezeki tangkapan ikan kelah, tapak, baung, toman, belida, lampam dan bujuk.

    Selain wartawan, turut dibawa menyelongkar rahsia Taman Negara ialah 10 bekas pelajar jurusan fotografi UiTM, pegawai Jabatan Perhutanan Pahang dan penduduk setempat.

    Khamis

    8 pagi:
    Kami berkumpul di Travellers Home, Kuala Tahan untuk mengikuti sesi penerangan. Kami mengambil peluang beramah mesra dan berkenalan antara satu sama lain sebelum memulakan perjalanan.

    8.30 pagi: Selesai taklimat, kami menaiki kenderaan yang membawa kami ke jeti Kuala Tahan. Masing-masing tidak sabar menaiki perahu panjang sambil meredah arus deras dan jeram Sungai Tembeling.

    9 pagi: Detik yang dinanti-nantikan tiba. Peserta rombongan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan menaiki bot panjang untuk pergi ke Kuala Keniam. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam kerana dipengaruhi arus Sungai Tembeling.

    11 pagi: Rombongan selamat sampai ke stesen penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam. Pengalaman mudik Sungai Tembeling tidak dapat dilupakan terutama melihat kehijauan dan air sungai yang mengalir deras.

    11.30 pagi: Selepas menikmati juadah, ekspedisi bermula apabila peserta dibahagikan kepada tujuh kumpulan mengikut kajian. Kami mula menjelajah Taman Negara mengikut zon ditetapkan. Penulis memperoleh pengalaman berharga apabila berkongsi rahsia hutan seperti jenis tumbuh-tumbuhan, unggas dan hidupan lain ketika meredah belukar.

    Sesungguhnya, Taman Negara sesuai dijadikan hutan ilmu kerana banyak maklumat diperoleh di hutan tertua ini. Apa yang penting, kita boleh melihat bagaimana setiap isi alam saling bergantung untuk melengkapkan kitaran hidup.

    1 petang: Kami kembali ke stesen untuk menikmati makan tengah hari. Sambil menjamu selera, pelbagai cerita dan pengalaman menarik dibualkan. Ada juga yang mengadu kepenatan selepas meredah belantara.

    2.30 petang: Kami menyambung semula sesi kajian sambil menikmati keindahan flora dan fauna.

    4 petang: Rombongan bertolak balik ke Kuala Tahan. Peserta yang kepenatan tertidur sepanjang perjalanan.

    6 petang: Kami selamat tiba di kemudahan penginapan, Travellers Home. Penulis mengambil peluang berehat dan membersihkan diri.

    9.30 malam: Selesai makan malam, sesi perbincangan dan pembentangan hasil kajian hari pertama diadakan.

    Jumaat

    10 pagi:
    Kami tiba di Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam. Peserta mengambil kesempatan menyiapkan tugasan yang belum selesai.

    11.30 pagi: Sementara menunggu peserta melakukan kajian saintifik, kami dibawa bermain air Sungai Tembeling dan Sungai Keniam. Sungguh menyegarkan!

    1.30 petang: Rombongan yang diketuai Dr Norrizah Jaafar Sidik melawat kawasan penempatan tradisional, Orang Asli di tepi Sungai Tembeling. Kumpulan masyarakat Orang Asli ini menjalani rutin hidup yang sama saban hari sebagai penghuni hutan tertua ini.

    3 petang: Kami dibawa pula melawat sebuah lagi kawasan penempatan iaitu Kampung Pagi. Peluang digunakan untuk beramah mesra dengan penduduk dan melihat aktiviti harian mereka.

    5 petang: Majlis penutup ringkas disempurnakan Penyelaras Projek di Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam, Prof Dr Mohd Nazip Suratman. Kami kemudian pulang ke Travellers Home, Kuala Tahan untuk mengemas barangan dibawa.

    6 petang: Kami meninggalkan Kuala Tahan dengan ilmu dan pengalaman berharga.

    Fakta

  • Taman Negara Jerantut terkenal di kalangan pelancong tempatan dan asing yang mencintai kedamaian dan alam semula jadi.

  • Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam menjadi antara destinasi popular bagi pengunjung Taman Negara Jerantut..

  • Keunikan gaya hidup Orang Asli menjadi tarikan pelancong mendekati masyarakat peribumi itu.

  • Pelancong boleh menggunakan kemudahan bot dengan tambang berpatutan untuk melawat beberapa kampung tradisional seperti Kampung Mat Daling, Kampung Sat dan Kampung Pagi di sepanjang Sungai Tembeling.

  • Aktiviti air seperti berkayak, memancing, berakit dan sukan air sesuai dilakukan di jeti Taman Negara.
  • Semarak Pulau Redang




    Gotong-royong bersih pulau serlah keunikan

    SIAPA tidak jatuh cinta dengan Pulau Redang? Lokasi pelancongan indah ini dianugerahi pemandangan menakjubkan - laut membiru, pasir putih dan hutan hujan tropika gah memagari landskap pulau fantasi ini.

    Pesona pulau ini terus mengundang tetamu dari segenap pelusuk dunia, malah ada yang sanggup mengembara berhari-hari untuk berkunjung dan berkongsi anugerah alam di Pulau Redang.


    Namun, kerakusan manusia meratah keindahan alam di Pulau Redang jika tidak dikawal suatu hari nanti, boleh merosakkan permata alam ini. Sisa buangan seperti tin, botol dan bekas makanan yang dicampak insan tidak prihatin tentunya mencemar keunikan pulau ini.

    Begitu juga hidupan laut dan terumbu karang boleh rosak andai jari-jari nakal menyentuhnya serta mengganggu proses hidup dan habitat penghuni alam ini.

    Baru-baru ini, kolum 48 Jam berpeluang menyertai aktiviti Hari Membersih Pulau Redang anjuran Berjaya Hotels & Resorts. Sambil makan angin di Pulau Redang, penulis insaf harta alam yang dipinjamkan kepada manusia ini harus dipelihara setiap masa.

    MASIH bersemangat untuk mengutip sampah di Taman Laut Negara, Pulau Redang walaupun hari mulai terik.

    Jumaat

    12 tengah hari:
    Rombongan media dan peserta program Hari Membersih Pulau Redang tiba di Lapangan Terbang Pulau Redang. Kami dibawa ke Berjaya Redang Beach Resort yang menjadi tempat penginapan kami sepanjang program ini. Setibanya di resort itu, kami disambut kakitangan hotel dengan minuman selamat datang.

    12.30 tengah hari: Rombongan media dibawa melawat sekitar Berjaya Redang Beach Resort. Kami melihat pelbagai kemudahan disediakan seperti Ayura Spa yang menjadi premis wajib dikunjungi pengunjung yang ingin membelai diri. Kami juga meninjau bilik penginapan dan bersantai sebentar di pantai sebelum menikmati makan tengah hari.

    1 petang: Kami menikmati makan tengah hari menyelerakan dalam suasana resort di premis Palms Restaurant.

    AKTIVITI skuba sememangnya boleh dianggap sebagai perkara wajib dilakukan ketika berada di Pulau Redang.

    1.30 petang: Peserta kategori penyelam berkumpul di pusat menyelam untuk membuat persiapan dan mendengar penerangan ringkas mengenai aktiviti yang perlu dilakukan.

    2.30 petang: Kumpulan penyelam yang lengkap berpakaian menyelam dan peralatan berlepas ke pulau bagi aktiviti menyelam dan mengambil gambar dasar laut untuk Peraduan Fotografi Dasar Laut.

    2.30 petang: Peserta kategori bukan penyelam berkumpul di pusat rekreasi bagi mendengar taklimat mengenai aktiviti mengelilingi pulau dan snorkeling.

    Ketika aktiviti snorkeling, peserta teruja melihat kehidupan laut seperti terumbu karang dan sekumpulan ikan yang berwarna-warni bergerak dalam kumpulan.

    Malah, air laut yang jernih membolehkan siapa saja melihat ikan dari permukaan air.

    Penulis yang pertama kali menyertai aktiviti snorkeling di Pulau Redang, tidak melepaskan peluang keemasan menyertai rakan-rakan lain dalam aktiviti snorkeling. Melihat sekumpulan ikan berwarna-warni berenang mengundang perasaan takjub dalam diri.

    Terdetik dalam hati, alangkah bertuahnya penulis dapat menempuhi pengalaman 'bermesra' dengan kumpulan ikan yang seolah-olah tidak takut kehadiran manusia.

    5 petang: Selepas dua jam, semua peserta kembali ke Berjaya Redang Beach Resort untuk aktiviti bebas. Ketika ini, penulis tidak melepaskan peluang berehat di tepi pantai sambil menikmati pemandangan ombak menghempas pantai putih.

    7 petang: Selepas membersihkan diri, peserta berkumpul di Beach Restaurant untuk menikmati makan malam.

    Ini diikuti, sesi taklimat oleh Pengurus Besar Reef Check Malaysia, Julian Hyde mengenai kehidupan dasar laut serta ancaman yang dihadapi untuk mengekalkan keindahan khazanah marin.

    Dalam taklimatnya, Hyde berkata, keindahan dasar laut atau pantai perlu dikongsi dengan masyarakat. Beliau berkata, maklumat betul berhubung kaedah memulihara khazanah marin terutama terumbu karang amat penting untuk dihebahkan.

    Ini kerana perbuatan seperti sentuhan jari yang mungkin dianggap kebanyakan orang tidak memberi sebarang kesan buruk, boleh mendatangkan kemusnahan teruk kepada terumbu karang akibat terkena jangkitan.

    8.30 malam: Peserta aktiviti menyelam pada waktu malam berkumpul di pusat menyelam bagi mendengar taklimat, menyediakan peralatan dan berlepas ke pulau untuk aktiviti menyeronokkan. Pengalaman pastinya berbeza kerana aktiviti dilakukan pada malam hari.

    10.30 malam: Bersurai untuk aktiviti bebas. Walaupun penat dengan aktiviti seharian, namun penulis mulai merasa rugi sekiranya masa tidak dihabiskan dengan bersantai di tepi pantai sambil mendengar bunyi deruan ombak.

    Sabtu

    8.15 pagi:
    Peserta kategori penyelam berkumpul di pusat menyelam untuk mendengar taklimat, membuatr persediaan kelengkapan dan berlepas ke pulau.

    8.45 pagi: Kami sempat bergambar di tepi pantai sebelum berlepas ke pulau untuk melakukan aktiviti pembersihan dasar laut.

    9 pagi: Penyelam menaiki bot untuk aktiviti pembersihan dasar laut di pulau. Antara peralatan yang dibawa ialah jaring untuk mengumpulkan sampah sarap.

    9 pagi: Peserta bukan penyelam pula bersiap untuk aktiviti pembersihan persekitaran pantai di Taman Laut Negara. Kami dibawa dengan bot untuk ke sana.

    Setibanya di lokasi, kami diberi taklimat mengenai aktiviti membersih pantai. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan masing-masing dibekalkan dengan beg plastik hitam untuk mengumpul sampah.

    Antara sampah yang dikutip ialah bekas makanan, botol, plastik, batu karang mati, tin dan kertas. Selepas sejam mencari dan mengutip sampah, penulis terusik kerana masih ada pengunjung pulau peranginan ini tidak prihatin dengan alam sekitar dengan membuang sampah merata-rata.

    10 pagi: Selesai aktiviti membersih pantai, kami melakukan aktiviti snorkeling di Taman Laut Negara sehingga jam 11.30 pagi. Ini kerana kawasan itu tidak lagi dibenarkan menerima kunjungan selepas jam 12 tengah hari.

    11.45 pagi: Kami menaiki bot untuk kembali ke Berjaya Redang Beach Resort. Namun, atas sebab keselamatan akibat cuaca tidak menentu, bot terpaksa berhenti pertengahan jalan di jeti Kampung Pulau Redang. Kami terpaksa menaiki bas disediakan penganjur untuk ke resort selepas menunggu hampir 20 minit.

    12.30 tengah hari: Kami menikmati makan tengahari di Beach Restaurant. Ketika ini, peserta menghabiskan masa lapang dengan pelbagai aktiviti sama ada berjemur di tepi pantai, mengambil gambar kenangan atau bermain bola pantai.

    7 petang: Selepas makan malam, tibalah masanya untuk majlis penutup dan penyampaian hadiah bagi Peraduan Fotografi serta cabutan bertuah.

    Peserta mula berdebar-debar menanti pengumuman. Pelbagai gambar menarik dan kreatif disiarkan menerusi layar bagi membolehkan peserta dan wakil media membuat undian bagi menentukan pemenang.

    10.30 malam: Selepas penyampaian hadiah, majlis pun berakhir. Tibalah masa bersurai. Kami menuju ke bilik penginapan masing-masing dengan 1,001 kenangan indah di Pulau Redang.

    Jom bersih pulau!

    MENYEDARI perlunya meningkatkan kesedaran mengekalkan pesona Pulau Redang, Berjaya Hotels & Resorts menganjurkan Hari Membersih Pulau Redang, baru-baru ini.

    Bertemakan 'Bersama Kita Melakukan Perubahan', program tahunan yang dianjurkan di Berjaya Redang Beach Resort itu bertujuan membangkitkan kesedaran mengenai kehidupan dasar laut dan batu karang yang makin terdedah kepada ancaman kemusnahan akibat perbuatan manusia.

    Selain menyemai kesedaran mencintai keajaiban alam di kalangan masyarakat, ia juga bertujuan meningkatkan usaha pemuliharaan bagi mengimbangi aktiviti harian manusia dan kesan terhadap alam.

    Pelbagai aktiviti disusun sepanjang program pembersihan pantai dan dasar laut yang membabitkan hampir 200 peserta. Antaranya, membersih persekitaran pantai oleh peserta bukan penyelam dan aktiviti membersih dasar laut untuk penyelam berlesen.

    Beberapa selebriti turut serta dalam program itu Jehan Miskin dan Elaine Daly. Kedua-dua selebriti ini memiliki lesen penyelam, tidak pernah letih menyertai aktiviti yang dianjurkan sepanjang program tiga hari itu.

    Info

  • Pulau Redang terletak 45 kilometer dari pinggir pantai Kuala Terengganu. Ia adalah pulau terbesar dari gugusan sembilan pulau yang terlindung di Laut China Selatan.

    Antara gugusan pulau itu ialah Pulau Pinang, Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, dan Pulau Lima.

  • Pulau Redang memiliki air laut jernih kebiruan dan boleh dianggap sebagai syurga bagi penggemar aktiviti menyelam. Ini kerana, perairan terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut.

  • Taman Laut Pulau Redang diuruskan Jabatan Taman Laut Malaysia untuk memberikan perlindungan dan pengurusan khusus bagi kawasan marin. Matlamat utama adalah untuk melindungi, memulihara dan menguruskan persekitaran marin secara berterusan. Selain itu, menggalakkan orang awam memahami, menghargai dan menikmati warisan marin semula jadi Malaysia.

  • Antara keistimewaan Pulau Redang ialah pada waktu tengahari, apabila sinaran matahari terik menembusi air laut, menampakkan terumbu karang dan ikan berwarna-warni.

  • Perairan Pulau Redang menyimpan dua bangkai kapal karam iaitu Kapal H M S Prince of Wales dan H M S Repulse yang karam ketika Perang Dunia Kedua.

  • Pulau indah ini sesuai untuk aktiviti snokeling, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2 km dari pulau.

  • Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau hidupan laut lain.

  • Hutan bakau juga menjadi sebahagian tarikan utama di Pulau Redang.
  • Keasyikan Kampung Lonek



    PERSEMBAHAN kumpulan kebudayaan Kampung Lonek dan gambar atas, ACARA Mengoca Ikan, menggamit kenangan yang menyeronokkan.

    Pesta Mengemping, Adat Pepatih tarikan pelancong

    CUTI sekolah saat paling dinantikan seluruh keluarga yang bercadang makan angin bersama. Dalam tercari-cari lokasi percutian paling sesuai, pelbagai ragam boleh dilihat terutama si anak yang punya 1,001 idea dan aktiviti menarik mahu dilakukan.

    Pening juga ibu bapa memikirkan destinasi yang mahu dituju. Apa kata, sesekali lakukan sesuatu berbeza. Ayuh, bulatkan tarikh sesuai di kalendar dan jom bercuti di kampung!Selain menghirup udara segar dan pemandangan sawah padi menghijau, percutian di desa mampu mengembalikan zaman kanak-kanak dan bagi si kecil, tentunya mengundang pengalaman baru kehidupan di kampung.

    Lokasi dituju, Home Stay Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan yang punya tarikan tersendiri. Menyingkap kehidupan di desa, penulis teruja meraikan Pesta Mengemping dan mengenali Adat Pepatih sepanjang bercuti di destinasi ini.

    Jumaat
    2.30 petang : Selesai solat Jumaat, penulis bersama rakan Virtual Malaysia memulakan perjalanan ke Home Stay Kampung Lonek. Menyusuri perjalanan hampir dua jam dari ibu kota, kami selamat tiba.

    ACARA Tarik Upih, antara tarikan di Home Stay Kampung Lonek.

    4.30 petang : Sambil menantikan acara sambutan, rakan media lain bersiap sedia dengan peralatan rakaman.

    Keriuhan penduduk yang sibuk membuat persiapan tiba-tiba terhenti apabila dua bas yang membawa pelajar dari Kolej Universiti Nilai dan Kolej Lagenda, memasuki perkarangan.

    Apa yang menarik, sempena Pesta Mengemping, penduduk kampung sepakat menjadi ibu bapa angkat kepada pelajar. Ini tentunya dapat mengeratkan hubungan selain memperkenalkan Kampung Lonek sebagai destinasi percutian desa.

    Iringan bunga manggar dan kanak-kanak yang lengkap berpakaian tradisi menyambut kehadiran pelajar asing dan tempatan sebagai tanda ucapan selamat datang.

    PELAJAR didedahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

    Selepas kumpulan pelajar diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing, penulis dan rakan media juga diserahkan kepada ibu bapa angkat kami.

    5.30 petang : Penulis mengambil kesempatan melawat persekitaran Kampung Lonek yang masih kaya dengan unsur-unsur tradisi dan kehidupan masyarakatnya yang aman dan bermuafakat. Penulis termenung sejenak memikirkan kehidupan di kota yang sungguh berbeza dengan keadaan hiruk-pikuk dan jiran tetangga yang kadang kala tidak mengenali sesama sendiri.

    8.45 malam : Selesai makan malam yang disediakan keluarga angkat, kami berkumpul di dewan untuk taklimat dan aktiviti suai kenal.

    Sabtu
    7.30 pagi : Selepas membersihkan diri, kami bersarapan bersama ahli keluarga angkat yang begitu mesra melayani kehadiran kami. Sambil menghirup minuman panas kami gunakan peluang ini untuk mengenali mereka dengan lebih rapat.

    Memang benar, keunikan kehidupan di kampung membuat jiwa menjadi tenang. Sambil menikmati kehijauan sawah bendang dan siulan burung di waktu pagi, realiti hidup di kota seolah hilang dari ingatan.

    8.30 pagi : Dengan niat lebih menyelami kawasan kampung Lonek, kami sepakat berjalan kaki menuju ke lokasi aktiviti sambil menikmati keindahan bendang.

    Aktiviti senaman menjadi pembuka acara sesi pagi. Selesai sesi memanaskan badan, kami mengikuti acara tarik upih, boling kelapa dan program istimewa. Semakin Jauh Semakin Sayang. Pelbagai aksi dan keseronokan terpancar pada wajah pelajar yang menyertai program ini.

    Aktiviti seterusnya, kami dibawa ke bendang bagi melihat sendiri proses menuai padi. Pelajar didedahkan dengan tugas pesawah sambil dibantu penduduk kampung. Bagi pelajar asing, pengalaman ini amat berharga.

    Selain itu, acara mengirik dan mengangin padi turut diadakan. Kebanyakan pelajar asing terpegun melihat budaya pertanian yang diamalkan di sini.

    Ada saja soalan diajukan bagi mendapatkan penjelasan. Bagi menambah keseronokan dan pengalaman pelajar, acara mengoca ikan juga dianjurkan.

    Pelajar diarah memasuki selut pada petak sawah lalu diminta mencari ikan. Gelak tawa dan usikan rakan memecah keheningan pagi di Kampung Loneki. Penduduk kampung juga tidak mahu melepaskan peluang melihat sendiri gelagat pelajar yang menyertai program anak angkat.

    2 petang: Selepas membersihkan diri untuk menikmati makan tengah hari, tidak lengkap rasanya jika masak lemak cili api tiada dalam menu. Berbeza rasanya air tangan orang kampung, apatah lagi pari masak asam pedas menjadi menu utama santapan selain juadah lain yang enak-enak rasanya.

    Selesai menikmati juadah, kami dibawa melawat ke Tapak Pesta Mengemping. Pelajar diberi pendedahan dan peluang untuk lebih mengenali aktiviti memproses padi secara tradisional.

    Bagi memeriahkan majlis, acara pertandingan masakan tradisional dan Panta Kucung turut diselitkan. Pelajar juga dibawa melihat sendiri hasil keunikan kraftangan penduduk kampung.

    8.30 malam : Selepas berehat dan bersiap-siap kami menuju ke tempat acara malam, Kami dihiburkan dengan persembahan Bongai oleh kumpulan kebudayaan Kampung Lonek. Pelajar asing juga mengambil kesempatan mengadakan persembahan bagi memperkenalkan lagu dan budaya tradisi negara asal mereka. Acara penyampaian hadiah kemudian menutup tirai program.

    Selesai menjamu selera, kami berkumpul di rumah keluarga angkat sambil melihat kembali aksi-aksi yang sempat dirakamkan.

    Terasa panjang perjalanan waktu, malah hati seolah-olah tidak bersedia untuk pulang keesokannya. Pengalaman di Kampung Lonek tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Apa kata, sesekali datanglah ke Kampung Lonek kerana di sini segala-galanya menyeronokkan!

    Keistimewaan tanah tinggi!





    Cameron Highlands janji percutian nyaman, aktiviti menarik

    CAMERON Highlands cukup terkenal sebagai pusat peranginan tanah tinggi di Malaysia. Terletak di barat daya Pahang, pusat peranginan ini kaya dengan khazanah semula jadi serta keunikan flora dan fauna. Keindahan Cameron Highlands tidak pernah pudar malah terus memukau siapa saja.

    Cameron Highlands mendapat nama selepas seorang pegawai Inggeris, William Cameron menemui tanah tinggi itu ketika sedang melakukan tinjauan pemetaan pada 1885.


    Tanah tinggi ini juga terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian seperti teh, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Malah ada antara produk pertanian ini termasuk rangkaian flora sukar diperoleh di tempat lain.

    Awal bulan ini, penulis bersama 20 rakan media dijemput membuat liputan dua program pelancongan di Tanah Rata yang menjadi pusat pentadbiran daerah ini.

    Media dijemput membuat liputan majlis pelancaran Zoom! Cameron Highlands dan larian Taman Negara Eco Challenge (TNEC) 2008 dari Tanah Rata ke Kuala Medang, Lipis.

    Kedua-dua acara disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

    Berada di puncak tanah tinggi mencabar ketahanan mental dan fizikal penulis yang tidak tahan dengan suasana dingin mencucuk tulang terutama di waktu malam. Mujur program diadakan sebelah petang dalam keadaan cuaca nyaman.

    Rabu

    8 pagi :
    Sarapan pagi dengan hidangan roti bakar, kentang goreng, hot dog dan teh kosong di Century Pines Resort cukup menyegarkan.

    Masih terbayang keseronokan tiba di resort ini yang menjadi tempat penginapan media, lewat petang semalam. Suasana ketika itu cukup dingin hingga alat penghawa dingin tidak disediakan di bilik tidur.

    9 pagi : Kumpulan media dibawa melawat Brincang yang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong di Cameron Highlands. Ada banyak gerai menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan cenderamata menggunakan van di sini. Penulis dan rakan mengambil kesempatan membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang.

    Ketika melawat ladang strawberi, penulis teruja melihat buah strawberi yang ranum di tangkai pokok tetapi tidak dibenar memetiknya kecuali membayar RM20 bagi setengah kilogram buah. Tidak sanggup pula membazirkan wang kerana penulis hanya mahu merakamkan gambar buah strawberi.

    12 tengah hari : Selepas menikmati pemandangan serba menghijau di tanah tinggi ini, kami bergegas ke hotel untuk menikmati makan tengahari sebelum menghadiri majlis perasmian program yang disusun.

    1.30 petang : Kami dibawa ke Taman Agro Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk majlis perasmian dan menandatangani plak Zoom! Cameron Highlands yang disempurnakan Tengku Abdullah.

    Hadir sama di majlis itu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S K Devamany.

    3.30 petang : Tengku Mahkota Pahang menandatangani plak Zoom! Cameron Highlands sebelum dibawa melawat ladang sayuran, herba, bunga dan strawberi di Taman Agro Teknologi Mardi (TATM) diiringi Pengarah Mardi, Datuk Abdul Shukur Abd Rahman.

    Jelas tergambar riak gembira pada wajah Tengku Mahkota yang teruja melihat buah strawberi bergayutan di sekeliling pasu, sayur-sayuran dan bunga-bungaan segar yang menggoda setiap mata yang memandang.

    5 petang : Selesai majlis dan sesi minum petang kami bergegas mencari pusat internet untuk mengejar masa menulis dan menghantar berita. Tugas selesai satu setengah jam kemudian.

    7.10 malam : Menghadiri sesi taklimat untuk Taman Negara Eco-Challenge (TNEC) di hotel Cool Point sebelum menikmati makan malam ala barbeku.

    9.30 malam : Sekali lagi meronda di sekitar Tanah Rata sambil menikmati kedinginan malam yang belum pernah dirasai sebelum ini. Jelas, keramahan penduduk Cameron

    Highlands melayan tetamu begitu terasa tidak kira mereka pekedai, pekerja hotel atau penduduk tempatan.

    11 malam : Masing-masing berehat dan dan tidur menantikan esok yang menjanjikan keseronokan.

    Khamis

    7.10 pagi :
    Menikmati sarapan pagi dengan sepiring kuey teow goreng, kentang goreng, roti bakar dan teh O.

    8.20 pagi : Menuju ke Hotel Cool Point tempat perasmian dan pelepasan peserta TNEC 2008 yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang. Seramai 80 peserta dari 21 pasukan termasuk lima pasukan media tidak sabar memulakan larian sejauh 170 kilometer menuju Kuala Medang, Lipis. Penduduk tempatan turut memberi sokongan kepada peserta.

    9.10 minit : Ketibaan Tengku Mahkota diiringi tarian tradisional tiga kaum utama, Melayu, Cina dan India oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (C), Cameron Highlands, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cameron Highlands dan 25 kanak-kanak Tadika Winlon.

    9.40 pagi : Tengku Mahkota melepaskan peserta TNEC 2008 dan menuju ke Ladang Teh Boh di Brincang untuk sesi lawatan ladang teh.

    10.20 pagi : Tiba di ladang teh terbesar milik Boh Plantations dan penulis bersama rakan media teruja melihat 'gelombang' pokok teh yang berusia kira-kira 80 tahun.

    Pokoknya masih rendang dengan daun teh yang merimbun. Penulis tidak melepaskan peluang bergambar di celah pokok. Seumur hidup, inilah kali pertama menyentuh daun teh segar di pokok.

    11.05 pagi : Kumpulan pertama TNEC 2008 dari pasukan komando Kem Sungai Udang, Melaka tiba dan disambut meriah oleh Tengku Mahkota yang setia menanti untuk memberi semangat kepada peserta yang terpaksa berlari menuruni lembah teh menuju ke Sungai Relong.

    11.25 tengahari : Melawat kilang memproses teh milik Boh Plantations sambil menikmati hidangan teh pelbagai perisa dan sandwich yang begitu menyelerakan. Penulis kemudian bergegas pulang ke hotel penginapan untuk menyiapkan berita dan makan tengahari.

    5.20 petang : Selepas semua selesai termasuk menyerahkan kunci bilik, kami berkemas untuk pulang. Sempat juga singgah sebentar di Brincang untuk membeli cenderamata.

    6.30 petang : Penulis mengucapkan selamat tinggal Cameron Highlands dan membawa pulang memori indah.

    INFO:

    • Cameron Highlands berkeluasan 71,218 hektar dengan populasi penduduk melebihi 32,000 orang.
    • Mencapai ketinggian 1,230 meter dari aras laut dengan suhu purata 19.8 darjah selsius.
    • Puncak tertinggi terletak di Gunung Brincang dengan ketinggian 2,000 meter dari aras laut.
    • Bandar utama Tanah Rata (pusat pentadbiran), Brincang dan Kea Farm (kawasan tumpuan pelancong), Ringlet, Tringkap, Kuala Terla serta Kampung Raja (kawasan ladang).
    • Penempatan kaum Melayu pertama, Kampung Taman Sedia di lembah antara Tanah Rata dan Brinchang menawarkan pakej penginapan homestay.


    Tarikan:
    • Taman Agro Teknologi Mardi (TATM).
    • Gunung Lumut, Taman Flora, Hutan Lipur Parit Fall.
    • Ladang teh: Brincang dan Sungai Palas.
    • Taman bunga Cactus Point iaitu 500 meter dari Kea Farm, Rose Centre, Rose Valley.
    • Kebun buah strawberi dan taman rama-rama.
    • Aktiviti redah hutan.
    • The Smoke House, The Lake House dan Strawberry Park.
    • Homestay Kampung Taman Sedia, Tanah Rata.

    Pesona ikan hiasan



    SEBAHAGIAN kecil ikan peliharaan.

    Pameran Aquafair Malaysia 2008 himpun ratusan spesies ikan hiasan

    KATA orang, terapi terbaik dan mungkin paling mudah dilakukan ialah dengan memelihara ikan hiasan. Biarpun seekor ikan gapi yang dibela dalam balang kecil, ia cukup melegakan minda. Tari si ikan dengan ekor panjang memantulkan warna keemasan pada sisiknya, cukup mendamai jiwa. Jika mahu mencari ketenangan, perhatikan ikan kecil berenang ke sana-sini - seolah-olah khayal dalam dunianya sendiri.

    Hobi memelihara ikan hiasan sudah lama bertapak di Malaysia. Perhatikan saja rumah kenalan atau saudara-mara yang anda kunjungi, tentu segelintir mereka memiliki akuarium biar kecil sekalipun.


    Hobi memelihara ikan hiasan bukan saja dapat memberi nilai baik, terutama kepada si kecil mengenai rasa sayang kepada ikan atau hidupan laut, malah mengajar erti tanggungjawab apabila ikan perlu dijaga, ditukar airnya serta diberi makan apabila tiba masanya.

    Bagi individu yang mengikuti perkembangan hobi ikan hiasan, mereka pasti ternanti-nanti kewujudan spesies ikan hiasan baru untuk dipelihara. Suatu waktu dulu, spesies ikan arowana yang boleh mencecah RM40,000 seekor mencetus fenomena di kalangan pencinta ikan hiasan. Mereka sanggup berhabis wang beratus-ratus ringgit bagi mendapatkan anak ikan arowana dan memeliharanya sehingga matang.

    Ada yang menjadikan hobi memelihara ikan arowana sebagai sumber pendapatan. Bayangkanlah, jika harganya menyamai sebuah kereta baru, siapa tidak mahu memelihara dan menjual spesies ikan ini yang tidaklah sukar untuk dipelihara di rumah.

    IKAN pari hiasan.

    Selepas kegilaan terhadap arowana reda, sejak akhir-akhir ini, spesies ikan pari hibrid yang berasal dari Amerika Selatan pula mendekati hati peminat ikan hiasan di Malaysia.

    Jika anda belum pernah melihat lebih dekat ikan pari hibrid ini, apa kata kunjungi Pameran Aquafair Malaysia 2008 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, mulai Khamis ini.

    Populariti ikan pari hibrid yang meningkat menjadikan spesies ikan air tawar ini tarikan utama Pameran Aquafair Malaysia 2008. Fizikalnya yang ganjil dan melebar berbanding ikan biasa, menyebabkan ramai ingin memilikinya. Walaupun berbisa (namun tidaklah sebisa ikan pari di laut terbuka), peminat ikan hiasan tetap teruja memeliharanya di rumah.

    Mengikut fakta, ikan pari hiasan ini dikenali sebagai South America Freshwater Stingray dari spesies Potamorygon. Malaysia sebenarnya mempunyai spesies ikan pari tempatan tetapi corak pada ikan spesies tempatan tidak menarik untuk dipelihara dalam akuarium.

    ANTARA aktiviti mengisi pameran Aquafair ketika dianjurkan pada 2006.

    Sebaliknya, ikan pari hibrid dari Amerika Selatan mempunyai bintik atau tompokan ala batik yang menjadikan ia cukup menarik, terutama ketika ia berenang-renang dan melebarkan sirip atau sayap dalam air.

    Sebelum ini, peminat ikan pari hiasan dari Amerika Selatan terpaksa mengimport spesies ikan ini dari benua terbabit. Bekalan ikan pari diperoleh dari habitatnya di Hutan Amazon.

    Namun proses membawa masuk ikan pari Amerika Selatan ke Malaysia cukup rumit di mana ia perlu melalui proses kuarantin serta tempoh penghantaran yang panjang. Disebabkan itu, banyak ikan pari Amerika Selatan mati dalam perjalanan.

    Namun usaha Syarikat Xian Leng Holdings Berhad yang berpejabat di Shah Alam, Selangor, membiak spesies ikan pari hibrid ini sejak 1996 membawa berita baik kepada penggemar ikan pari hiasan ini. Faktor iklim khatulistiwa dan cuaca di Malaysia yang menyamai keadaan di hutan Amazon membolehkan ikan pari ini dibiak dan disesuaikan dengan keadaan di Malaysia.

    Pengarah Eksekutif Xian Leng Holdings Berhad, Tan Cheng Kiat, berkata ikan pari hiasan mula mendapat tempat di kalangan penggemar ikan hiasan kerana rupa dan tarikan fizikalnya.

    “Selepas memelihar ikan hiasan lain yang masing-masing memiliki rupa bentuk tipikal, peminat hobi ikan hiasan mula mencari-cari spesies ikan hiasan lain untuk dipelihara di rumah.

    “Selepas kita membiak spesies ikan pari Amerika Selatan, kita lihat makin ramai peminat menyedari kehadiran spesies hibrid ini kerana suka melihat bentuknya yang berbeza ketika berenang-renang dalam akuarium di rumah,” katanya ketika ditemui Sabtu di premis Xian Leng Aquatic di Seksyen 2, Shah Alam.

    Premis itu dilengkapi aquaritorium mini yang menempatkan beratus-ratus spesies ikan hiasan serta paling menarik, tiada bayaran dikenakan untuk melawat kemudahan ini.

    Memerhati gerak-geri ikan pari hiasan yang dipelihari di premis itu, penulis dapat mengagak mengapa ia makin diminati. Ikan pari hiasan yang lebih gemar berada di bahagian bawah akuarium mudah menarik perhatian siapa saja dengan corak batik pada badannya. Setiap kali ia berubah tempat, pergerakan sirip atau sayapnya sungguh mengasyikkan berbanding ikan hiasan lain.

    Tan berkata, ikan pari hiasan boleh dibeli pada harga serendah RM338 bagi ikan pari yang masih kecil manakala yang mencapai tahap matang boleh mencecah RM1,700 atau lebih tinggi.

    Beliau berkata, seperti ikan hiasan lain, ikan pari hiasan tidak sukar dipelihara asalkan pemiliknya tahu proses yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa seperti menjaga suhu air dan kebersihan.

    “Ikan pari boleh diberi makanan ikan kecil atau udang kecil. Mutu air cukup penting dengan alat penapis air perlu dipastikan berfungsi bagi mengekalkan kebersihan dan kesegaran air.

    “Tidak banyak pantang menjaga ikan pari hiasan ini melainkan pemilik perlu berhati-hati mengelak terkena sengatnya. Walaupun sengatan ikan pari hiasan tidaklah sebisa ikan pari di laut, langkah pencegahan perlu diambil,” katanya sambil menambah faktor bisa atau racun tidak menjadi soal bagi penggemar ikan pari hiasan.

    Tan berkata, ikan pari hiasan boleh membiak selepas mencapai umur setahun setengah atau dua tahun.

    “Ini antara faktor mengapa ramai berminat memelihara ikan pari hiasan kerana mahu melihat populasinya makin meningkat,” katanya sambil menambah ikan pari hiasan akan dipamerkan di Aquafair Malaysia 2008 dengan harapan dapat mengulangi fenomena ikan arowana yang diperkenalkan syarikat itu pada pameran sama, dua tahun lalu.

    Sementara itu, Aquafair Malaysia 2008 yang membuka pintunya minggu depan, dijangka terus melonjak nama Malaysia sebagai antara pengeluar ikan hiasan terkemuka di dunia. Kelebihan sebagai negara di garisan Khatulistiwa dengan iklim panas, menambah variasi khazanah laut termasuk ikan hiasan.

    Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, Aquafair Malaysia 2008 akan terus meningkatkan keupayaan dan reputasi Malaysia sebagai pengeluar ikan hiasan yang utama di dunia berikutan kejayaan acara pertama pada 2006.

    "Kami berbangga kerana Aquafair 2006 meletakkan Malaysia di persada dunia sebagai pengeksport ikan hiasan yang boleh dipercayai.

    "Kejayaannya telah memberi dorongan kepada kami untuk mengukuh dan memantapkan pertumbuhan industri ikan hiasan dalam usaha merebut peluang baru di arena antarabangsa," katanya.

    FAKTA: Industri ikan hiasan di Malaysia

  • Industri ikan hiasan Malaysia dijangka mencapai sasaran pengeluaran tahunan sebanyak 800 juta ekor ikan dan menjana nilai eksport mencecah RM300 juta menjelang 2010.

  • Malaysia adalah pengeluar kedua terbesar dunia bagi ikan hiasan dengan membekalkan hampir 10 peratus daripada permintaan global.

  • Industri ikan hiasan tempatan yang pesat berkembang menghasilkan 679 juta ikan tahun lalu bernilai RM192 juta.

  • Malaysia kini membiak lebih 250 spesies yang merangkumi lebih 550 jenis ikan tempatan dan eksotik bagi pasaran tempatan dan dunia.

  • Lebih 90 peratus daripada jumlah pengeluaran dieksport ke lebih 30 negara.

  • Menjelang 2010, Malaysia dijangka menghasilkan lebih 800 juta ikan hiasan untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.

  • Ikan hiasan dianggap sebagai produk nilai tinggi kerana secara perbandingan, nisbah harga ikan perhiasan berbanding yang dibela untuk sajian ialah 100:1 atau secara purata bernilai AS$1.8 juta setan.

    FAKTA: Aquafair Malaysia 2008

  • Aquafair Malaysia 2008 ialah acara dwitahunan kedua anjuran Jabatan Perikanan.

  • Pameran empat hari itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari Khamis ini hingga Ahad depan.

  • Aquafair Malaysia 2008 dijangka menarik lebih 150 peserta pameran dari 10 negara.

  • Matlamat khusus pameran ialah untuk meningkatkan potensi eksport industri ikan hiasan Malaysia, tanaman akuatik dan seluruh rangkaian industri dan perkhidmatan sokongan.

  • Pameran bertempat di Dewan 1, 2 dan 3, KLCC.

  • Waktu pembukaan dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

  • Pameran bagaimanapun terbuka untuk kumpulan profesional dan kumpulan pedagang atau peniaga pada Khamis ini.

  • Pameran dibuka kepada orang ramai mulai Jumaat ini hingga Ahad depan.

  • Bayaran sebanyak RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak dikenakan.

  • Penganjur menjangka lebih 20,000 pelawat akan mengunjungi Aquafair Malaysia 2008.

  • Antara spesies ikan yang boleh dilihat ikan pari hibrid, arowana, discus, betta splenden, ikan kap dan ikan emas.

  • Turut dipamerkan tumbuhan dalam air sebagai hiasan akuarium.